Home Novel Cinta Salju Di Edinburgh
Salju Di Edinburgh
che'
4/6/2020 13:54:16
154,679
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
29

   

      Amelia menarik tanganku membelok ke satu laluan kecil memasuki kawasan asrama yang terdiri daripada beberapa blok bangunan tiga tingkat yang panjang dengan rekabentuk kemas dan moden.  Kami memasuki salah sebuah bangunan ini dan memanjat tangga menuju ke ruang tingkat atas yang terbuka.  Asrama ini kelihatan sepi dan tidak ramai penghuni yang kelihatan.  

      Kami melalui ruang dapur yang terang – benderang.  Tiada siapa di dalamnya.  Di hujung koridor terdapat sebuah ruang tamu yang luas dan bersih.  Sebuah meja makan khusus untuk lapan kerusi terletak bersebelahan dua set sofa hitam panjang di hadapan skrin televisyen moden.  Kawasan rehat ini bagaikan tidak terusik.  Dari ruang ini terdapat sebuah pintu yang memisahkan sebuah koridor panjang menempatkan laluan ke bilik – bilik asrama.

      Amelia meminta diri untuk ke bilik bagi menyalin pakaiannya.  Aku mengangguk sambil menyoroti langkahnya berjalan ke koridor yang panjang itu.  Sementara menunggu, aku mengintai ke luar jendela melihat malam yang tadinya terang kini gelap.  Mungkin cahaya bulan sudah terlindung di balik awan. 

      Berkali – kali aku mengerling jam tangan sambil mencongak tempoh masa yang diperlukan untuk pulang semula ke stesen bas St Andrews.  Beg galasku masih berada di dalam loker.  Dalam tempoh satu jam lagi, stesen bas akan ditutup.  Dan aku perlu mencari penginapan untuk malam ini seperti yang dirancang. 

      Amelia muncul dari pintu koridor dengan rambut yang tersanggul memperlihatkan lehernya yang jinjang.  Loket emas tergantung di lehernya jelas kelihatan apabila baju tee hijau laut yang dipakainya longgar.  Dia membawa jaket kulitku di tangannya.

      “Mamat hendak minum teh?” dia bertanya semasa menyerahkan jaket itu padaku semula.

      Mulutku terasa kering dan payah hendak menjawab.  Lantas aku hanya mengangguk dan memeluk jaket kulit itu.  Hendak dipakai terasa panas pula.  Ruang tamu ini dilengkapi dengan sistem pemanas berpusat.  Kemeja ini pun terasa seperti perlu ditanggalkan.

      Amelia bergerak ke ruang dapur untuk memanaskan air.  Aku tidak tahu sama ada aku perlu mengikutinya ke dapur atau menunggu di meja makan yang kosong ini.  Terdengar satu dua suara remaja berteriak di luar jendela.  Keseronokan bunyinya.  Mungkin mereka baru pulang dari mana – mana.

      Aku menoleh semula apabila terdengar bunyi tapak kaki ringan menghampiri.  Amelia berdiri di tepi meja sambil menyuakan cawan yang berisi air teh panas kepadaku.  Aku tergamam sebentar apabila terlihat baju tee jatuh rendah menampakkan bahu kirinya.  Dadaku berdebar kembali.  Tali hitam baju dalam Amelia jelas kelihatan.  Sejurus itu pandanganku tertunduk menyembunyikan rasa gementar yang bangkit tiba - tiba. 

      “Kenapa Mamat?” tanya Amelia.

      Aku cuba bersuara tetapi tidak kedengaran.  Mataku masih menikam lantai.  Tidak mampu aku mengangkat pandangan semula.  Diselubungi rasa segan.  Tatkala dia terlalu hampir padaku. Telingaku terasa panas.  Barangkali wajahku sudah menjadi merah. Diserang hendap oleh sang nafsu pada saat - saat begini.  Entah bagaimana aku bingkas berdiri seolah ada renjatan elektrik mengalir pada saraf tunjang.  Terus aku teringat bahawa aku masih belum mengerjakan solat.

      “Saya belum solat.  Boleh saya tumpang guna bilik air?” tanyaku.  Tergagap sedikit.

      Dia mengangguk dan berjalan keluar menuju ke pintu.  Aku mengekori langkahnya.  Tercium pula bau harum tubuhnya.  Ingin sahaja aku menarik Amelia saat itu dan merangkulnya sepenuh hati. 

      Entah kenapa bergelora sungguh perasaanku pada waktu ini. 

      Amelia membuka pintu bilik.  Nafasku terhenti sewaktu melepasi tubuhnya menuju ke bilik air.  Langsung tidak memberi perhatian pada tutur kata Amelia sewaktu aku membuka pintu bilik air.  Sesuatu mengenai sejadah, rasanya.

      Sebaik sahaja pintu bilik air ditutup aku menarik nafas lega.  Masih terbayang lehernya yang jinjang dan kulitnya yang halus.  Mataku terkelip - kelip cuba mengalihkan tumpuan pada dinding putih, lampu siling, sink biru ini dan wajah yang kembali merenungku di dalam cermin.  Istighfar.  Istighfar.  Di mana aku ini.  Dari Edinburgh.  Kelmarin berlari di Glen Nevis.  Mengingat kembali rentetan hari - hari lepas sebelum berada di kamar kecil ini.  Resah dadaku kembali reda apabila terbayang padang rumput hijau kekuningan di Glen Nevis.  Tawa Amelia dan helaian rambut yang jatuh ke wajahnya.  Aku tersenyum perlahan.

      Ah, susah.  Kalau nak menikah malam ini pun tak lepas.  Bukannya ada masjid di sini, hati kecilku mengejek.  Cepat – cepat aku mengambil wudhu’ dan keluar dari bilik air.  Sejadah sudah terbentang di tepi katil membelakangkan jendela.  Tanpa berlengah lagi aku terus mengangkat takbir.  Solat ini benar – benar telah menyelamatkanku.

Previous: 28
Next: 30

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.