Home Novel Cinta Salju Di Edinburgh
Salju Di Edinburgh
che'
4/6/2020 13:54:16
154,219
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
17


     Sungguh aku berusaha untuk memberi tumpuan pada khutbah Jumaat tersebut.  Namun yang berkitar – kitar dalam kepalaku hanyalah dentingan detik waktu yang berlalu menantikan saat selesai khutbah.  Khutbah pertamanya di dalam bahasa Arab, dan kedua pula di dalam bahasa Inggeris.  Ringkas dan padat.  Malah pandanganku juga tidak berganjak daripada menyaksikan Imam berketurunan Arab – Afrika ini menyampaikannya dengan penuh semangat.

      Tetapi kuat lagi paluan rebana dalam hatiku.  Sejak siang menguak hari, semangatku sudah berkobar – kobar.  Dari pagi lagi aku sudah bertanyakan Zharif di mana letaknya Harrison Road.  Berapa jauhkah dari masjid.  Bagaimana caranya untuk aku sampai ke sana.  Berapa lama aku perlukan untuk sampai ke sana sekiranya aku menaiki bas.  Malah aku terfikir untuk meminjam basikal Ibrahim untuk kukayuh dari Masjid Edinburgh ke Harrison Road.  Lalu terlintas pula di kepalaku bahawa badanku akan berpeluh – peluh sewaktu bertemu Amelia.  Dan kemungkinan aku akan tersesat dalam mencari jalan ke sana. 

      Menurut Zharif, Harrison Road terletak di seberang bandar Edinburgh berdekatan dengan stesen keretapi Haymarket.  Lantas aku menyemak pula jadual perjalanan pengangkutan awam untuk sampai ke sana dan kudapati jumlah masa yang diperlukan adalah lebih lama berbanding menaiki basikal.

      Aku tidak mahu Amelia menunggu lama.  Meskipun Amelia tidak pernah memberi anggaran waktu pertemuan, sejujurnya aku ingin meluangkan sebanyak masa yang mungkin untuk bersamanya.

      Akhirnya Zharif menawarkan diri untuk menghantar aku ke Harrison Road.  Katanya dia pernah ke kawasan tersebut untuk menemankan Ila membeli beberapa pokok bunga di sebuah kedai di sana.  Itupun setelah dia menyoalku bermacam – macam.  Apatah lagi setelah melihatku serba tidak kena membuka peta Edinburgh dan memeriksa jadual pengangkutan awam.  Aku cuma menyangkal.  Menepis dan tidak mengendahkan soalan – soalannya yang berbunyi seperti polis pencen.

      Jemaah kini sudah mula berdiri dan merapatkan saf.  Zahrane diam membatu di bahu Zharif sambil memegang sebuah permainan kecil berbentuk kereta.  Entah kenapa timbul rasa seronok dalam hati kini tiba saat untuk menunaikan solat.  Aku rasa seperti tersenyum – senyum sendiri.  Mujurlah tiada siapa yang mengerling ke arahku pada waktu itu.  Semuanya sibuk menumpukan perhatian sebelum mengangkat takbir.  Aku juga.

      Sepatutnya aku juga begitu.

      Mendiamkan diri dalam tempoh bertenang.

      Selesai solat, Zharif menyapa beberapa orang pelajar Malaysia semasa kami keluar dari masjid.  Aku hanya bersalaman semasa dikenalkan kepada mereka.  Dari hujung mata ternampak kelibat Omar dengan rambutnya yang panjang di dataran masjid sewaktu kami menuju ke kereta.  Buat seketika aku tertanya, siapakah muslimah yang tidak menutup aurat di dalam kawasan masjid itu sehinggalah Omar berpaling dan mengangkat tangan kepada aku dan Zharif.

      Zharif memandu keluar dari kawasan masjid menuju ke pusat bandar.  Kami melintasi persimpangan jalan – jalan utama yang turut menyediakan laluan tram di atasnya.  Bentuk jalan dan muka bumi di Edinburgh berbukit – bukit.  Kebanyakan bangunan dan rumah – rumahnya mempunyai rekabentuk yang lama.  Kereta – kereta yang diletakkan berderet di tepi jalan di hadapan rumah.  Kawasan rumah pula sempit dan meruncing ke belakang.  Beberapa orang pelajar sekolah dalam pakaian seragam sweater burgundy menyandang beg mereka mendaki cerun dan menuruni lurah sepanjang kaki lima jalan.

      “Bagaimana Along nak balik nanti?” tanya Zharif sejurus selepas membelok ke sebuah jalan kawasan perumahan.

      Terhampar di tepi jalan ini sebuah taman padang yang sederhana luasnya.  Pokok – pokok tinggi tersergam indah memagar keliling taman.  Daunnya kekuningan.  Kemerahan.  Serta sedikit botak menampakkan ranting – ranting yang kering kesejukan.

      “Adalah caranya, InsyaAllah,” jawabku pendek.  Sejujurnya aku tidak sempat berfikir pun ke arah itu.

      “Pandai – pandai Alonglah.  Zharif masuk shift kerja selepas ini.  Kalau rasa tak hendak balik pun beritahulah,” sempat pula adikku memerli sebelum dia memberhentikan kereta di hadapan taman tersebut.  Aku berpura – pura tidak mendengar sewaktu membuka pintu keluar dari keretanya dan menutupnya kembali. 

      Berpaling sebentar untuk membalas lambaian Zahrane di cermin belakang sebelum menghantar pesanan ringkas kepada Amelia menyatakan aku kini sudah berada di Harrison Park.  Dan bahawa aku akan menunggunya berdekatan taman permainan kanak – kanak yang ada dalam taman ini.  Sambil memandang sekeliling aku tertanya – tanya sendiri tempat yang sesuai untuk membawanya makan.  Aku tidak nampak pun sebarang kedai makan di sekitar kawasan ini.  Hanyalah kawasan perumahan berwarna kelabu suram dan kotak - kotak jendela besar pada dinding rumah.

      Mungkin kami terpaksa mengambil bas menuju ke pusat bandar dari sini.  Tidak sempat aku kaji kawasan kedai makan yang berdekatan dan arah yang perlu kuambil untuk sampai ke sana.  Aku mengeluh sebentar sambil melabuhkan punggungku ke atas sebuah bangku yang berdekatan.  Kesal pula rasanya terburu – buru.  Kebiasaannya perancanganku sentiasa kemas dan teratur.

      Kebiasaannya.

      Mungkin ini kali ia bersifat luar biasa.


Previous: 16
Next: 18

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.