Home Novel Cinta Salju Di Edinburgh
Salju Di Edinburgh
che'
4/6/2020 13:54:16
154,312
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
15


      “Suhunya dingin banget.  Bahkan air dalam paip bisa beku,” ujar Omar dengan bersungguh – sungguh sambil mengunyah spaghetti bolognese yang baru disuapnya tadi.

      Aku tertarik mendengar celoteh Omar di meja makan dalam flatnya sambil menikmati masakan hidangan tengahari oleh anak – anak bujang ini.  Zahrane kubiarkan merangkak – rangkak di atas lantai menuju ke arah abangnya, Haziq yang masih leka menonton rancangan kanak – kanak di komputer riba Ibrahim. 

      “Aku benci sekali berada di Inverness kapan tibanya musim dingin,” sampuk Ibrahim dengan suara perlahan.  Seolah sedang berbicara sendiri.  Bibirnya menjuih.  Matanya masih tidak lepas memandang mangkuk spaghetti di hadapannya.

      “Iya, tetapi kita harus selalu pulang.  Kita butuhkan masakan enak daripada Mama,” jawab Omar pantas.

      Ibrahim bangun lantas berpusing membuka pintu peti sejuk.  Dikeluarkan botol yang hampir kosong berisi sambal hijau.  Lalu disuakan kepadaku selepas mengambil sesudu dua untuk dilumurkan ke atas spaghetti dalam mangkuknya.  Aku menjadi tercengang melihat anak muda ini menikmati hidangan masakan Barat begitu rupa.  Barangkali sudah dibiasakan dengan makanan pedas oleh ibunya yang berasal dari Padang.  Menurut Omar, kedua ibu – bapanya bertemu pada usia yang muda sewaktu bapanya, seorang guru sekolah tempatan, membuat lawatan kajian budaya di Indonesia.  Sejurus selepas berkahwin, ibubapa mereka kembali ke Scotland untuk membina keluarga di Inverness.

      “Apa rencana abang hari minggu?” tanya Omar setelah menghabiskan makanannya.  Dia bersandar kekenyangan.  Spaghetti berlumuran sos dalam mangkuk di hadapanku masih tinggal separuh.  Sekali sekala, aku suapkan ke dalam mulut Haziq yang seperti endah tak endah makan tengahari.  Tidak menepati seleranya mungkin.

      “Tiada ke mana – mana.”

      Teringat jadual penerbangan pulang ke London minggu depan.

      Teringat jua pada Amelia.  Aku masih berharap untuk bertemunya di Edinburgh.  Walaupun terlintas di fikiran bahawa ianya mungkin sebuah angan – angan kosong, namun hatiku masih berdegil untuk tidak berputus harap.

      “Abang, ikut dengan kami kunjungi Glen Nevis minggu ini.  Berlibur dengan nyaman di kabin keluarga kami.  Nggak jauh banget.  Seputar 4 jam,” petah sahaja bicara Omar mengajakku.  Matanya turut sama memancarkan keseronokan.

      “Kita bisa pergi trekking terus menanjak ke perbukitan Ben Nevis.  Puncaknya tertinggi di Scotland,” sambung Omar lagi.  Ibrahim memandangku sambil tersenyum mengiyakan.

      “Abang punya tenaga muda, nggak?” kedua –duanya tersengih memerli.

      Aku tergelak kecil.

      Terfikir juga apa salahnya aku mengikuti mereka.  Zharif pun sibuk bekerja hujung minggu ini.  Paling tidaknya, aku boleh menikmati pemandangan musim luruh di kawasan pedalaman Scotland.  Menurut Omar lagi, keluarganya akan turut berada di situ untuk percutian hujung minggu.  Jadi sekiranya aku berhasrat untuk menikmati masakan Indonesia yang sedap, maka aku perlu ikut serta berkunjung bersama mereka.

      Haziq kusuruh mandi sebaik sahaja tiba di flat adikku.  Cuaca di luar sudah semakin gelap.  Sekejap lagi masuk maghrib.  Aku bergegas mengambil wudhu’ di bilik air setelah Haziq selesai mengelap badannya dengan tuala mandi.  Sejurus sahaja aku keluar dan membentangkan sejadah, pintu flat dibuka dari luar.  Zahrane yang sedang bermain – main di ruang tamu terus merangkak laju menuju ke pintu apabila mendengar suara ibunya pulang.

      Dapatlah aku menunaikan solat jama’ Asr dan Dhuhr dengan khusyuk tanpa merisaukan keadaan anak – anak buahku.  Sungguhpun begitu, Zahrane tetap datang dan memanjat ke pangkuan sebaik sahaja aku selesai memberi salam.  Dia berbaring sambil memegang botol susu dengan kedua – dua belah tangannya.  Matanya bulat merenungku.  Berbeza dengan abangnya Haziq, wajah budak kecil ini lebih mirip muka Melayu.  Sesekali tangannya yang berisi itu menyentuh fabrik baju panasku.  Dia sudah terlupa pada kepalanya yang bengkak.  Pada insiden yang mencemaskan pagi tadi.  Tidak pula bagiku.  Masih terbayang di mataku keadaan tubuh yang kecil itu terlentang di atas lantai.

      Pun begitu, aku masih belum berani untuk maklumkan kepada Ila.  Mungkin lebih baik aku tunggu sahaja Zharif pulang.

 

 

Previous: 14
Next: 16

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.