Home Novel Cinta Salju Di Edinburgh
Salju Di Edinburgh
che'
4/6/2020 13:54:16
157,833
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
33

      Lamunanku terhenti apabila terdengar bunyi pesanan ringkas masuk.  Duniaku kembali terpasung di dalam bilik hotel di tengah kotaraya London ini.  Bunyi kenderaan semakin sibuk di luar sana menandakan matahari sudah mula meninggi.  Aku capai telefon bimbit dan membaca pesanan ringkas daripada Rizal, rakan kongsi syarikatku.  Memaklumkan padaku bahawa dia akan menunggu aku dalam masa sejam di hotel K West & Spa berdekatan dengan Sherpard’s Bush, London.  Lebih kurang setengah jam jaraknya dari sini menaiki sistem pengangkutan awam keretapi bawah tanah ‘tube’. 

      Bingkas aku bangun dari katil menuju ke bilik air.  Slaid – slaid perbentangan untuk mesyuarat pagi ini yang di emelkan oleh setiausahaku sempat aku telaah semasa di Edinburgh semalam.  Di atas meja makan di rumah Zharif sambil menemani Haziq makan tengahari.  Sambil juga melayani Zahrane yang sibuk memeluk kakiku dan cuba memanjatku sewaktu aku duduk di sofa.  Mungkin kerana dia sudah tidak lama bertemu denganku.  Mungkin juga dia dapat merasakan aku akan berangkat pergi malam itu.

     Zharif menghantarku malam tadi ke lapangan terbang Edinburgh bersama dengan Haziq.  Dia tidak banyak berkata.  Aku jua begitu.  Terdiam memikirkan bahawa kami akan bertemu kembali hanya enam bulan kemudian.  Itupun sekiranya dia sekeluarga pulang untuk menyambut hari raya di Malaysia tahun depan.  Sewaktu berpisah di balai berlepas, kami berpelukan sebelum aku bergerak menuju ke pintu berlepas.  Hanya tangan Haziq yang kelihatan sibuk melambai – lambai sewaktu aku melangkah pergi.

      Pintu bilik hotel kututup lalu berjalan terus menuju ke laluan tangga.  Tiba di lobi, sebiji epal di kaunter sarapan pagi kucapai lantas menolak keluar pintu hotel ini.  Di luar, jalanraya sudah mula dipenuhi dengan kenderaan yang beratur dalam kesesakan.  Lalu – lintas manusia juga sibuk di kaki lima menghala ke stesen keretapi London Euston.  Bas merah dua tingkat yang terkenal di London berhenti di tepi jalan berbaris menurunkan dan mengambil penumpang untuk menuju ke tempat kerja.

      Aku melangkah cergas bersama – sama pengguna keretapi tube yang lain pada pagi ini.  Bersesak dan berkejaran mendapatkan peluang menaiki keretapi.  Di tengah – tengah kelompok manusia yang berpusu mengejar masa di dalam keretapi yang bergerak laju di dalam terowong bawah tanah.  Setengah jam itu kurasakan tidak ubah seperti satu perlumbaan mencari destinasi.  Bagai tikus yang berlari di dalam terowong.  Beramai – ramai terperangkap di dalam penjara masa.

      Rizal mengangkat tangannya kepadaku sambil bercakap dengan telefon bimbit di luar bangunan hotel sewaktu aku tiba.  Rambutnya kemas seperti baru dipotong menyerlahkan wajahnya yang bulat dan keanak – anakan.  Memakai kot dan seluar kemeja biru tua yang sepadan.  Jam tangan mewah.  Begitu juga  beg kecil yang tersandang di bahunya berjenama Louis Vuitton.  Di jarinya terselit sebatang rokok yang masih berasap.

      “Lambat.  Ini bukan Mamat yang aku kenal,” ujarnya selepas mematikan perbualan di telefon bimbit.

      “Sesak.”  Tanganku bersusun rapat cuba menggambarkan keadaan lautan manusia di dalam terowong bawah tanah itu tadi.

      Dia mengangguk.  Menghembuskan asap rokok jauh dari mukaku.

      “Senang tak cari hotel ini?” Rizal bertanya lagi.

      Aku menjeling pada bangunan di belakangnya yang mempunyai rekabentuk moden dan berdinding panel kaca hampir keseluruhannya.  Aku mengangguk.  Apalah istimewa sangat hotel K West & Spa ini sampaikan Rizal memilih untuk duduk jauh dari tengah – tengah kotaraya.

      “Tan Sri Effendy berminat untuk acquire hotel ini.  Very trendy.  Banyak musical icon dan historical events yang berlaku di hotel ini.  Dia suruh aku assess untuk fundraising.”

      Aku kenal tokoh perniagaan yang disebutkan oleh Rizal itu.  Rizal sudah biasa berurusan dengan syarikatnya untuk mengaturkan penjanaan dana bagi pembelian aset – aset pelaburan sebegini.  Walaupun Rizal memegang sejumlah saham minoriti dalam syarikat, dia juga mempunyai syarikat pengurusan dana sendiri di mana dia sering berurusan dengan pelanggan yang memerlukan khidmat nasihat dan penjanaan dana yang melangkau berpuluh – puluh malah beratus juta jumlahnya.  Urusan kerjanya memerlukan dia bergaul dengan sosialit serta tokoh – tokoh perniagaan di tanahair mahupun di peringkat antarabangsa.

      “Tan Sri ada di sini.  Malam ini kita berjumpa dengan dia.  Aku nak aturkan peluang perniagaan untuk syarikat kita.  Engkau mesti suka,” ujar Rizal lagi sambil mencampakkan putung rokoknya ke asbak rokok yang berhampiran.

      Muka Rizal yang bulat itu kupandang semula.  Aku tidak tahu – menahu mengenai perjumpaan malam ini.

      “Berkaitan apa?” dahiku berkerut.

      Rizal adalah rakan sekampung.  Anak Cikgu Bahari yang telah berpindah ke Pulau Pinang.  Keluargaku kenal baik dengan keluarga Cikgu Bahari.  Rizal pun sering datang ke rumah untuk bermesyuarat dengan aku dan ayah sebelum ayah bersara.  Kini hanya tinggal kami berdua yang masih beradu nasib mengemudikan haluan bahtera syarikat.

      “Adalah.  Nanti aku cerita.  Sekarang kita harus bergerak ke Surrey.  Aku berjanji dengan RV Group kita akan berada di sana sebelum pukul sepuluh,” Rizal bergerak menuju ke sebuah van mewah hitam berlambang Mercedes.

      “Mana kau dapat kereta ni?  Di Malaysia pun tak ada jual lagi,” ujarku sewaktu memasuki kabin van tersebut.  Dilengkapi set televisyen dan kerusi mewah seperti di dalam kapal terbang.

      “Ini Tan Sri bagi pinjam semalam.  Untuk apa – apa sahaja tujuan di London minggu ini.  Nampak mewahkan?”  Riak muka Rizal tak ubah seperti muka Haziq semasa mendengar lagu kanak – kanak kesukaannya dimainkan di kaca televisyen.

      “This will be a good impression,” ujarnya lagi.  Tersenyum puas.

      Aku tidak menyahut.  Melontarkan pandangan ke luar apabila kenderaan ini bergerak.  Pemandunya kelihatan berbangsa Eropah dan tidak bercakap melainkan untuk mengesahkan destinasi perjalanan.  Maklumat – maklumat slaid pembentangan ligat berputar dalam fikiranku.  Termasuklah penyata kira – kira dan maklumat syarikat yang bakal kami kunjungi sebentar lagi.

      “Engkau jangan risau, Mamat.  Aku dah selidik projek ni.  Kertas cadangan pun aku dah fine - tune supaya bersesuaian dengan kehendak kita.  All you have to do is just work your magic.”

      Aku tersenyum mengangguk.  Itulah kerja aku selama ini.  Memastikan segala – galanya berjalan lancar.  Memastikan ada untung.  Memastikan ada pendapatan untuk menampung operasi syarikat.  Dan perancangan untuk mengembangkan penjanaan pendapatan syarikat.

      Dengan itu secara rasminya, hari percutianku telah berakhir.

Previous: 32
Next: 34

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.