Home Novel Cinta Salju Di Edinburgh
Salju Di Edinburgh
che'
4/6/2020 13:54:16
154,290
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
19


      Dua orang kanak – kanak perempuan berambut tocang melintas sebentar di hadapan kami.  Riang sahaja mereka berlari sambil menendang – nendang timbunan daun luruh.  Aku tersenyum melihat keletah mereka lalu terkenang pada Haziq dan Zahrane.  Mungkin aku perlu membawa mereka berdua bermain di taman seperti ini satu hari nanti.

      “Mamat suka kanak – kanak kah?” suara Amelia memecahkan tembok sunyi antara kami.  Dia turut memerhatikan gelagat kanak – kanak itu bermain.  Di bibirnya terukir senyuman lembut.

      Aku mengangguk.  Masa yang kuluangkan bersama – sama anak buahku sehari dua ini sedikit sebanyak memberi kesan kepada diriku.

      “Cuma saya tidak pasti sama ada saya boleh menjadi seorang bapa yang baik.  Saya khuatir saya tidak mampu memberikan sepenuh perhatian kepada mereka.”  Balasku lanjut.  Aku membayangkan betapa aku akan sibuk ditenggelami dengan tuntutan kerja dan sedikit sebanyak masa untuk diluangkan bersama keluarga tentu akan terjejas.

      “Amelia bagaimana?” aku melontarkan soalan bodoh lagi.  Seorang wanita semestinya mempunyai naluri untuk berkeluarga dan membesarkan anak – anak.

      “Saya memang berhasrat untuk berkeluarga satu hari nanti.”  Dia terdiam sejenak berfikir.

      “Tetapi saya perlu memberi tumpuan sepenuhnya pada anak – anak setelah berkeluarga kelak.  Jadi saya tidak pasti bila saya akan bersedia, kerana buat masa ini saya masih ada perancangan kerjaya untuk dipenuhi.”

      Aku mengangguk.  

      “Saya percaya Amelia akan menjadi seorang ibu yang sempurna,” ujarku tiba – tiba.  Dia melirik matanya kepadaku.  Entah mengapa setiap kali dia berbuat demikian, jantungku berdetak - detak ingin menarik tubuhnya ke dalam pelukan.  Ingin kuusir segala kegusaran yang bermain di benaknya.

      Aku mengalihkan pandangan dengan segera.  Kali ini memandang langit yang membiru.  Di ufuk langit, matahari petang sedang bersinar.  Gugusan awan putih berkelompok – kelompok mewarnakan langit.  Membalikkan cahaya mentari petang.

      “Tengok awan itu.  Macam gula kapas,” ujarku sambil tersenyum sendiri.  Amelia mendongak melihat gugusan kelompok awan tersebut.

      “Saya selalu tertanya – tanya bagaimana agaknya keindahan alam semesta.  Kadang – kala saya menjadi kagum apabila dapat melihat gambaran angkasa lepas dari imej satelit NASA tentang rupa bentuk dan warna gas nebula dan galaksi di luar sana.”  Aku menyambung lagi.  Disulami keseronokan kerana dapat berkongsi cerita yang jarang sekali aku luahkan kepada orang lain.  Selalunya mereka tidak akan memahami.  Selalunya terlalu enteng untuk diambil peduli.  

      “Saya pun meminati penerokaan ke angkasa lepas.  Cita – cita saya semasa kecil adalah untuk menjadi angkasawan,” Amelia berkata sambil tersenyum malu.

      Aku tergelak.  Bukan bermaksud mengetawakan impiannya semasa kecil.  Cuma tidak menyangka gadis secantik ini meminati misteri sains angkasa lepas.  Bagaimana agaknya perawakan gadis ini semasa di sekolah dahulu. 

      “Sejak bila Amelia meminati bidang sains angkasa lepas ini?” aku mencungkil rentetan silamnya.

      “Memang semenjak saya kecil, saya tidak seperti kanak – kanak perempuan yang lain.  Mereka suka bermain dengan permainan seperti anak patung, dressing up, dan pelbagai lagi permainan kanak – kanak perempuan.  Saya lebih gemar membaca.  Dan kadang – kadang mempelajari perkara – perkara baru.  Contohnya saya akan membuka dan meleraikan sesuatu benda itu dan kemudian cuba mencantumkan ia kembali.”

      “Adakah ia bercantum kembali?”

      Amelia tergelak. “Kadang – kadang.  Kalau ianya tidak rosak.”

      “Abang saya sering mengejek perangai saya seperti budak lelaki waktu itu.”

      “Amelia lasakkah semasa kecil? Aktif dalam sukan barangkali?”

      “Saya bermain sukan tenis.  Semasa di sekolah dan juga sekarang di universiti,” suaranya lembut membalas.  Mungkin kerana itu agaknya postur tubuh badannya menarik dan pergerakannya  kemas.  Sungguhpun begitu, aku tersenyum apabila teringat aksinya yang agak kekok pada pertemuan kami di atas keretapi dahulu.

      “Jadi Amelia ini adalah pelajar contoh di sekolahkah? Aktif dalam sukan.  Pencapaian akademik yang cemerlang.  Mendapat tajaan biasiswa kerajaan ke luar negara,” tanyaku separuh mengusik.  Separuh lagi berminat.

      Gadis itu hanya tersenyum sambil menggelengkan kepalanya.  “Mamat dulu bagaimana pula? Ketua pelajar di sekolah?”

      Aku tersenyum hambar.  Bagai langit dan bumi jika hendak dibandingkan sejarah zaman mudaku dengan gadis yang tiga belas tahun lebih muda daripadaku ini.

      “Saya biasa – biasa sahaja semasa zaman sekolah.  Masa kecilnya saya dibesarkan di kampung.  Dengan ayam, itik, lembu dan kambing.  Cabut kelemuncut, kutip kayu api, main galah panjang, selipar tiga.  Kalau ada abang – abang sepupu balik, saya gali tanah cari cacing untuk mereka buat umpan memancing.  Tolong nenek pergi kedai.  Teman nenek naik bas pergi pekan.  Bas itu sudah tua dan bergoyang – goyang macam hendak roboh bila dipandu.”

      Amelia tergelak.  Menutup mulutnya dengan sebelah tangan.  Matanya mengecil geli hati.  Masih menawan.  Hatiku masih terpaku.

      “Kalau hari hujan, kambing – kambing semua lari ke bawah rumah.  Saya duduk di tangga tunggu hujan berhenti.  Air hujan jatuh menitik dari cucur atap.  Berkumpul di tanah membentuk alur.  Bunyinya mengasyikkan.  Diiringi irama bunyi katak kuang.”

      “Katak kuang?” tanyanya kembali.  Tersenyum lebar menampakkan barisan giginya yang putih.

      “Ya, kuang.  Sebab bunyinya kuang, kuang, kuang,” aku meniru bunyi katak di tengah – tengah taman Edinburgh itu.  Hatiku terhibur menyaksikan gadis di hadapanku tergelak besar mendengar ajukanku.  Pada saat itu aku merasakan dunia lain dalam hidupku tidak lagi wujud.  Hanya tawanya.  Keindahan pekertinya.  Di kala itu aku tidak ubah seperti bulan yang kewujudannya tertumpu hanya pada satu jasad sahaja.  Pada bumi.

     Amelia adalah umpama bumi yang mengandungi segala keindahan.  Terpancar dari raut wajahnya.  Suaranya.  Kata hatinya.  Padanya segala yang menakjubkan.  Dan aku hanyalah himpunan jasad batuan gersang yang berputar mengelilinginya.  Tidak menjauh.  Tidak pula berani mendekat.  Sang bulan yang tidak pernah jemu untuk bersamanya.

      “Malam – malam sebelum tidur, saya suka melihat langit malam yang terang bercahaya dengan bintang – bintang.  Terasa sunyi sangat pada ketika itu.  Memandang ke langit bersendirian.  Kadang – kadang saya bercakap sendiri dengan bintang – bintang itu.  Mana tahu mungkin pada waktu itu, agaknya ada bintang yang mendengar,” aku tersengih malu mengenangkan kebodohanku waktu kecil dahulu.

      Amelia tidak lagi ketawa.  Dia menatap wajahku.  Sepasang mata bundar itu kelihatan sungguh bening.  Entah mengapa dalam kebeningan matanya itu aku merasa selamat.  Jiwaku merasa tenteram.

      Pandangannya semakin redup.  Seperti redupnya cahaya petang yang menyinari taman ini.  Senja sudah semakin hampir.  Lantas aku teringat bahawa aku belum lagi mengerjakan solat Asr.

      Aku memandang keliling taman ini.  Punca air tidak pun kelihatan.

      “Amelia hendak pergi makan?” aku juga baru teringat bahawa gadis ini masih belum makan.

      Dia mengangguk.  “Boleh juga.”

      “Mari.  Kita cari kedai makan,” ujarku sambil memandang ke jalan besar di luar taman yang tidak jauh dari kedudukan kami.  Kakiku mula bergerak melangkah pergi.  Aku menoleh semula pada Amelia seraya menghulurkan tangan.  Entah dari mana timbul kekuatan, atau mungkin tindakan di luar sedar, tapak tanganku terbuka menantinya.

      Seperti pakcik tua yang kutemui di atas keretapi tempoh hari.  Setia menanti pasangan hidupnya untuk bergerak bersama menuruni gerabak keretapi.  Tenang tidak dihurung masa.

      Amelia menyambut tanganku tanpa berkata apa – apa.  Kami melangkah bersama memijak daun – daun kering yang gugur ke bumi.  Umpama detik – detik masa yang berlalu melintasi ruang hidup kami.  Aku menggengam erat tangannya.  Terasa hangat menular ke seluruh badanku.  Aku tidak pasti hala tuju kami pada saat ini.  Dan aku masih tidak tahu bagaimana hendak pulang ke rumah Zharif dari sini.  Namun semua itu tidak bermakna padaku.  Aku hanya ingin memegang tangan Amelia.  Berada di sampingnya dan sekiranya boleh, sampai bila – bila.


Previous: 18
Next: 20

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.