Home Novel Cinta Salju Di Edinburgh
Salju Di Edinburgh
che'
4/6/2020 13:54:16
154,269
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
42


      Langit membiru pagi ini di taman Hyde Park.  Sepasang remaja perempuan berjalan santai berbual sakan mengenai kisah – kisah lucu kehidupan mereka.  Anjing kecil di hadapan bagaikan mengemudi jalan buat mereka.  Berhenti sebentar di perdu pokok.  Melepas hajat barangkali.  Kemudian mereka meneruskan langkah di atas timbunan daun – daun musim luruh yang gugur.  Berwarna kuning perang keemasan.  Sedikit lembap di dalam cuaca awal musim dingin.

      Aku menyeret langkah perlahan – lahan di sepanjang baris pokok Hyde Park yang meninggi.  Pokok – pokok ini sudah mula botak kehilangan daun – daunnya.  Antara celah – celah rimbun kosong, picisan warna langit biru jelas kelihatan.  Matahari dengan gigih memancarkan sinar menyegarkan pagi yang sejuk ini.  Kelibat pengunjung taman kelihatan leka bersiar – siar di tengah padang rumput menikmati sinarannya.  Tidak kurang juga yang berjalan dengan pantas melewatiku.  Menuju ke destinasi kerja mungkin.

      Aku berhenti di sebuah bangku yang sepi.  Tidak jauh dari tiang lampu taman yang berdiri kaku.  Seperti juga pokok – pokok yang menghuni taman ini.  Semuanya setia memerhatikan lintasan hidup manusia yang melewati kemuraman musim luruh.

      Sambil melabuhkan punggung ke atas bangku, aku memerhatikan sekeliling.  Tercari – cari paras wajah yang kurindu.  Yang menghuni rasa sepi di ranjang hati.  Yang hilang tiba - tiba tanpa sebarang khabar berita.

      Serta – merta ingatanku terimbas kepada perbualan telefon semalam.

      “Helo.  Amelia?”

      Aneh.  Suara lelaki menjawab panggilanku.  “Amelia tiada.  Dia masuk ke kedai bersama Datin.”

      Suaranya lunak sungguhpun sedikit berusia.

      “Oh, yakah?” Aku mengagak papa Amelia sedang berada di talian.  “Tidak mengapa, nanti saya hubungi kembali.”

      “Ini siapa?” suara lelaki itu bertanya.

      “Saya Muhammad.”  Kehilangan kata – kata, aku tidak tahu bagaimana hendak memperkenalkan diriku.

      “Muhammad?  Baiklah nanti saya maklumkan kepada Amelia.”

      “Terima kasih, Dato’.”

      “Sama – sama.”  Talian dimatikan.

      Menarik nafas lega.  Sekurang – kurangnya aku tidak perlu merasa gusar dan bimbang kiranya apa – apa terjadi pada Amelia yang tidak aku ketahui.  Hanya kepalaku seakan pecah memikirkan situasi yang sedang ku alami sekarang.  Aku buntu kenapa Amelia tidak menghubungiku semula walaupun sudah berkali – kali aku cuba menghubunginya selepas mesyuarat beberapa hari lalu.

      Dia diam menyepi.  Seperti tidak pernah wujud dalam lembaran hidupku.  Apakah yang kulalui selama ini adalah satu mimpi yang panjang.  Dan kini terjaga di alam realiti yang amat berbeza.  Namun gelak tawanya masih segar dalam ingatan bagaikan semalam.  Sentuhan hangat jari - jemarinya.  Harum tubuhnya sewaktu berada dalam dakapan.  Dan sepasang matanya yang bundar terus - terusan memusnahkan tembok kewarasanku tanpa mengenal erti kasihan.

      Aku rindukan pandangan matanya yang bening itu. 

      Kelembutan suaranya yang membelai malam - malamku.

      Aku menelan air liur yang tersekat di kerongkong. 

      Melepaskan sebuah keluhan yang berat.  Terasa panas pula mata ini mengenangkan aku perlu berangkat pulang ke tanah air.  Apakah dasyat benar silapku sehingga dia sanggup menjauhkan diri.  Apakah kalimah maafku tidak memadai.  Tidak berupaya menyembuhkan kepedihannya sehingga membiarkan aku terkapai – kapai sendirian begini.  Menongkah kegelapan yang tidak pasti.  

      Aku melepaskan keluhan lagi.  Menatap kosong pokok dan tiang lampu yang berdiri kaku.  Tanganku mencapai telefon bimbit di saku jaket lantas kubaca semula pesanan ringkas yang terakhir kuhantar kepadanya malam tadi.

      ‘Amelia.  Mengapa membisu? Saya telah cuba untuk menghubungi Amelia beberapa kali.  Saya ingin bertemu Amelia sebelum penerbangan pulang saya petang esok.  Di Hyde Park pukul 10 pagi.  Hadirlah.  Saya akan tunggu Amelia.’

      Pagi masih indah.  Sebuah basikal dipacu laju melintasi pandanganku.  Daun yang berguguran turut berserakan ditiup angin pacuannya.  Aku masih di sini meskipun Dato’ Megat, Rizal dan Tan Sri Effendy semuanya sudah pulang beberapa hari lepas.  Seperti yang kujangkakan, Dato' Megat meluahkan rasa tidak puas hatinya apabila aku masih tidak bergegas pulang untuk menyelesaikan masalah projek kami.  Biarkan, aku tidak mahu pergi sebelum bertemu Amelia dahulu.  Aku perlu menatap wajahnya.  Aku perlu menyatakan kepadanya pemergianku hanya sementara dan aku akan kembali kepadanya.  Masih ingin melakar masa hadapan bersamanya.


Previous: 41
Next: 43

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.