Home Novel Cinta Takdir Cinta Kita
Bab 29

Pintu bilik dibuka perlahan-lahan. Aril melihat Arra duduk meniarap diatas tilam. Dia tersenyum nakal. Langkah kakinya diatur perlahan menghampiri isterinya yang sedang ralit berbual dengan Ain dihujung talian. Terdengar gelak ketawanya meletus.

"Sayang!" jerkah Aril lalu menindih tubuh Arra diatas katil.

"Abang!" jerit Arra.

Telefon ditangan Arra dicapai. "Bye Ain," kata Aril lalu mematikan talian telefon.

Arra menolak tubuh Aril daripada terus menindih tubuhnya. Telefon bimbit direbut semula dari tangan Aril. "Suka hati abang aje putuskan panggilan telefon sayang!" marah Arra sambil memicit pinggangnya yang terasa sakit ditindih oleh Aril. "Abang berat tau tak? Sakit pinggang sayang!"

"Mari sini abang picitkan," ujar Aril sambil tersenyum penuh makna.

Tanpa berfikir panjang Arra memusingkan badannya. "Picit kat sini?" arah Arra sambil menunjukkan tempat yang sakit.

"Kesian isteri abang ni," ujar Aril lalu memicit pinggang Arra. 

"Picitlah betul-betul," tegur Arra apabila merasakan tangan Aril yang memicit pinggangnya mula beralih tempat.

Aril mula menggeletek tubuh Arra dari arah belakang. Arra mula menjerit kerana berasa geli. Mereka mula bergolek diatas katil. Arra turut membalas perbuatan Aril. 

"Abang! Stop it!" kata Arra apabila mula berasa letih menahan ketawa.

Aril berhenti menggeletek tubuh Arra. Dia memeluk erat tubuh Arra dari arah belakang. "Ermm... nanti abang mesti rindu nak bergurau dengan sayang lagi," ujar Aril perlahan sambil menahan lelah.

Arra mendengus marah. Dia cuba meleraikan pelukan tetapi Aril berkeras tidak mahu melepaskan pelukannya. Arra tersengih. "Angkatlah tangan abang sekejap, sayang nak betulkan tudung ni," ujar Arra dengan lembut. Lengan Aril diangkat perlahan lalu digigitnya. 

"Argh!!!" jerit Aril menahan kesakitan.

"Assalamualaikum, Encik Aril Zakuan!" ujar Hanif sambil mengetuk meja dihadapan Aril.

"Eh, Hanif," sapa Aril setelah tersedar daripada lamunannya yang panjang. Kehadiran Hanif langsung tidak disedarinya. Setiap kali merindui Arra dia pasti akan tersenyum sendirian mengingati memori mereka bersama.

"Dah sampai ke bulan ke?" perli Hanif sambil tersengih.

Aril tersenyum sumbing. "Angkasawan aje yang pernah sampai ke bulan," balas Aril lalu menyambung kerja yang tertangguh.

"Habis tu salam aku bagi pun tak terjawab? Aku ingat dah sampai ke langit ke-tujuh dah tadi?" 

"Waalaikumussalam, Encik Hanif ada apa yang boleh saya bantu?" soal Aril sambil mengangkat keningnya.

Hanif melihat jam pada pergelangan tangannya. "Dah waktu lunch. Jom makan."

"Huh? Dah lunch ke?" soal Aril tidak perasan akan waktu yang berjalan dengan begitu pantas. Dia turut melihat jam pada tangannya. 

Hanif ketawa kecil. "Baru dua hari isteri tinggalkan. Dah jadi pelupa ke?" usik Hanif lagi.

"Aku bukan lupa. Cuma tak perasan aje," balas Aril lalu berdiri. 

"Alah, cakap ajelah rindukan isteri yang jauh di mata, namun dekat di hati," usik Hanif sambil tersenyum.

Aril membuka pintu lalu melangkah keluar daripada ruangan pejabatnya. "Nama pun suami mestilah rindukan isteri. Kau pulak macam mana? Tak rindukan kekasih hati yang jauh di mata, namun dekat dihati," perli Aril pula.

Hanif mengerutkan dahinya. "Kekasih hati mana pulak ni?"

Aril mengusap bahu Hanif perlahan. "Bila nak buat majlis sanding? Aku tak sabar nak tengok sahabat aku naik pelamin," ujar Aril lalu ketawa kecil.

Hanif masih tidak mengerti apa yang dimaksudkan oleh Aril. "Majlis apa? Pelamin?"

Aril menganggukkan kepalanya. "Sejak bila kau rapat dengan Ain?" soal Aril sambil tersengih. "Hurmm... maknanya aku bakal dapat sepupu baru."

Hanif mula tersenyum sumbing mendengar nama Ain disebut-sebut oleh Aril. Dia msih belum bersedia memaklumkan tentang hubungannya dengan Ain kepada sesiapa. "Aku dengan Ain baru berkawanlah."

"Oh kawan," balas Aril sambil menganggukkan kepalanya. "Takkan kawan aje kot? Aku tengok gambar kau berdua bukan main mesra lagi?" ujar Aril serkap jarang.

"Mana ada?" ujar Hanif cuba berdalih.

"Andai jodoh itu memang tertulis buat kamu berdua takkan ke mana, Hanif," ujar Aril lalu melabuhkan punggungnya diatas kerusi setelah tiba di dalam cafe yang berada pada tingkat bawah pejabatnya.

Hanif turut mengambil tempat duduknya setelah membuat pesanan. Dia hanya mampu tersengih memandang wajah Aril dihadapannya. Jika tadi dia mengusik Aril, kini dirinya pula diusik kembali. Dia dan Ain masih lagi dalam fasa perkenalan. Tiada siapa yang mengetahui tentang hubungan mereka berdua. Mereka masih lagi dalama proses suai kenal hati budi masing-masing.

"So macam mana dengan kerja?" soal Aril sambil menikmati makanannya.

"Alhamdulillah semua okey," balas Hanif pula. Jus epal diteguknya perlahan. "Ermm... kau tahu dari mana tentang aku dan Ain," Hanif mula beranikan diri bersuara.

"Ain itu sepupu aku, sahabat baik Arra. Kau rasa aku tahu dari mana?"

Hanif menganggukkan kepalanya tanda faham. "Kau marah ke?"

Aril menggelengkan kepalanya. "Tak," jawab Aril sepatah lalu mengelap bibirnya dengan tisu. "Aku tumpang gembira jika kau betul-betul serius dengan Ain."

"Kita orang kawan aje dulu. Soal kahwin tu kemudian kira," kata Hanif perlahan.

"Aku sebagai sahabat hanya mampu doakan yang terbaik untuk kau orang berdua."

"Thanks Aril," balas Hanif sambil tersenyum.

"Welcome. Tak sabar tunggu hati bahagia kau tiba," usik Aril sambil tersenyum.

"InsyaAllah sampailah masa nanti," balas Hanif tersipu malu. "Eh jomlah balik ofis."

"Jom," kata Aril lalu bangkit dari tempat duduknya. 

Aril menolak pintu. Hanif melangkah keluar mendahului Aril. 

"Hai, Aril."

"Hai, Rafiq," sapa Aril apabila melihat Ragiq dihadapannya. Dia tidak menyangka akan berjumpa dengan Rafiq lagi setelah pertemuan mereka ketika di rumah Ibu bapa Arra beberapa minggu yang lalu.


"HI HANDSOME," sapa Lucy sambil menggosok perlahan belakang tubuh Ryan. Tanpa segan silu dia melabuhkan punggungnya diatas paha Ryan.

"Hi gorgeous," balas Ryan sambil tersenyum. "Minum," ujar Ryan lalu menghulurkan gelas minumannya kepada Lucy.

Lucy melemparkan senyuman. Gelas yang dihulurkan oleh Ryam diambil lalu diminumnya. "I tak pernah jumpa you sebelum ni? Orang baru ke?"

"Ini kawan I. Ryan namanya," jelas Fuad.

"Oh, I see," ujar Lucy lalu meletakkan gelas diatas meja. "Tal sangka you ada kawan sehandsome ni?" puji Lucy dengan ketampanan yang dimiliki oleh Ryan.

Ryan tersenyum mendengarnya. Dia menggosok belakang badan Lucy dengan perlahan. Telefon bimbitnya berbunyi. Tanpa membuang masa dia segera mengambil telefon bimbitnya diatas meja lalu menjawab panggilan itu.

"Hello!"

"Keluar sekarang! Tempat tu bakal diserbu pihak polis!" kata Dany dengan tegas dihujung talian.

"Okey," balas Ryan sepatah lalu mematikan talian. Wajah Fuad dipandang. "I gerak dululah. If you nak oder barang lagi just call me," kata Ryan lalu menolak tubuh Lucy.

"Okey. No problem," balas Fuad sambil tersenyum.

"Dah nak balik ke? Lepaklah dengan I dulu," ujar Lucy dengan nada menggoda sambil menyentuh dada Ryan.

Tangan Lucy dipegang lalu diciumnya. Niatnya memang ingin berada lama lagi disitu. Tetapi kini keadaan memaksa dia harus meninggalkan kelab malam dengan kadar segera. Jika tidak dia bakal ditangkap oleh pihak polis. 

"I'm sorry Lucy. I will see you again," kata Ryan lalu melangkah keluar meninggalkan Lucy. 

Sebaik sahaja keluar dari pintu belakang. Sebuah kereta menuju ke arahnya. Tanpa membuang masa dia segera masuk ke dalam kereta itu. Dia menarik nafas lega kerana terselamat daripada ditangkap oleh pihak polis. Kehidupannya di Kuala Lumpur agak baik kerana sering dibantu oleh Dany. Perniagaannya kembali beroperasi seperti selalu berkat pertolongan Dany. 


"TAHNIAH Arra," ucap Rania lalu meletakkan satu kotak serdehana besar diatas meja sebagai hadiah perkahwinan buat Arra. Kerusi disebelah Arra ditarik lalu duduk.

"Selamat pengantin baru Arra," ujar Bazilah sambil tersenyum ke arah Arra.

"Congratulation Arra. Sampai hati tak jemput kita orang masa wedding?" kata Zarina dengan nada rajuk.

Arra terbatuk kecil. Terkejut dengan ucapaan tanhiah daripada rakan sekuliahnya. Dia mengambil air lalu diteguk perlahan. Tisu dicapai. Dia mengelap mulutnya. Dia tersenyum memandang ke arah mereka.

Hadiah yang diberikan oleh Rania dipegang. "Terima kasih Rania, Ila, Rina," ujar Arra perlahan sambil tersenyum. "Maaflah tak sempat jemput. Majlis buat pun sederhana saja."

"It's okay, Arra. Kami doakan semoga berbahagia selalu disamping suami tersayang," ujar Zarina.

Suami? bisik hati kecil Hairi yang turut berada disitu terkejut mendengarnya. Dia bangkit dari tempat duduknya setelah selesai menjamu selera lalu menghampiri Arra dan kawan-kawannya. Dia ingin mengetahui apa dibualkan oleh mereka.

"Arra!" panggil Aminah dari jauh sambil melambaikan tangan ke arah Arra dan kawan-kawannya yang lain. Dia melemparkan senyuman kepada Hairi yang berada tidak jauh dari tempat duduk Arra. "Hai, Hairi," sapanya perlahan lalu menepuk bahu Arra.

"Hai, Min? Kau dari mana?" soal Arra apabila melihat Aminah keletihan berlari mendapatkannya. 

"Dari libray. Nak air sikit," ujar Aminah lalu meneguk air minuman milik Arra tanpa menunggu Arra mengizinkannya.

"Dahaga betul kau, Min?" tegur Bazilah pula.

"Sampai hati kau orang tak bagi tau aku nak belikan hadiah untuk Arra," ujar Aminah dengan nada sedih.

"Semalam sebelum aku pergi beli, kenapa tak cakap dekat aku," celah Rania.

"Kau tak tanya pun?"

"Manalah aku tahu kau nak kirim barang sekali?"

"Sebab aku pun tak tahu kau nak pergi belikan hadiah buat Arra."

"Sudahlah kau orang. Takkanlah pasal hadiah wedding aku pun kau orang nak bergaduh pulak," ujar Arra mencelah apabila kawan-kawan mula bertengkar sesama sendiri.

"Wedding siapa?" soal Hairi mencelah. Dia tertanya-tanya sejak tadi.

"Arralah siapa lagi," kata Raina, Bazilah dan Aminah serentak.

Wajah Hairi mula keruh. Dia terkejut mendengarnya. "Bila kahwin?"

"Dah nak masuk dua bulan Hairi," jelas Zarina sambil memakai pelembab bibir. "Kau apa khabar?"

"Baik, alhamdulillah," jawab Hairi perlahan. Matanya terarah pada Arra. "Ermm... Arra kahwin masa cuti semester baru ni ke?" soal Hairi menginginkan kepastian. Suaranya hanya kedengaran perlahan dan ada nada sedih terselit.

"Ya," jawab Arra sepatah.

Kring! Kring! Kring!

"Husband call ke tu?" usik Bazilah.

"Aaalah... Sekejap ya," ujar Arra lalu bangkit dari tempat duduknya. Dia berdiri jauh sedikit daripada kawan-kawannya. Panggilan telefon dijawab. 

"Assalamualaikum sayang."

"Waalaikumussalam abang. Ada apa call sayang?"

"Takkan call isteri sendiri pun tak boleh?"

"Boleh. Sayang tengah rehat. Sekejap lagi nak balik hostel."

"Baliklah cepat. Abang ada dekat depan hostel ni."

"Hah?" ujar Arra seakan tidak mempercayainya. "Bila abang sampai?"

"Baru aje. Sayang cepatlah. Abang rindu ni."

Arra tergelak kecil mendengarnya. "Okey abang. Tunggu sekejap nanti sayang sampai," ujar Arra lalu mematikam talian telefon. Dia menghampiri kawan-kawannya. Hadiah yang diberikan diambil. "Terima kasih tau. Arra minta diri dulu."

Zarina melihat jam pada pergelangan tangannya. "Lepaklah dulu. Awal lagi Arra."

"Aaalah. Nak pergi mana Arra?" soal Aminah pula.

"Mestilah Arra nak balik rehat dekat bilik. Nak bersembang dengan suami kesayangan," usik Bazilah.

Arra tersenyum tersipu malu mendengar usikan Bazilah. "Taklah. Aril dah tunggu dekat depan hostel. Mimpi apa entah tetiba datang tak bagi tau," ujar Arra lalu mengambil beg sandang dan buku-bukunya. 

"Nak lepaskan rindulah tu," ujar Rania pula sambil tersenyum. "Bestlah kan ada orang rindu dan sayang," tambah Rania lagi.

Arra menepuk bahu Rania. "Alah, nanti Rania kahwin pun mesti ada orang rindu dan sayang jugak."

"Lambat lagi," kata kawan-kawannya serentak sambil ketawa. 

Arra ketawa kecil mendengarnya. "Arra minta diri dulu. Jumpa petang nanti," ujar Arra lalu melangkah meninggalkan Kafeteria.

"Arra tunggu," panggil Hairi.

Arra sekadar menoleh ke arah Hairi tanpa memberhentikan langkahnya. "Maaf Hairi. I have to go," kata Arra lalu berlari menuju ke hostel.

Hairi mengejar langkah Arra. Dia seakan tidak mempercayai apa yang baru didengarinya. Dadanya berasa perit terpaksa menerima kenyataan gadis yang disukai selama ini telah menjadi milik orang lain. Dia mula teringatkan kata-kata Amir. Adakah ini yang cuba disampaikan oleh Amir kepadanya. Dari jauh dia melihat betapa bahagianya Arra disamping seorang lelaki yang bergelar suami. Dia mengatur langkah pulang ke hostel setelah melihat Arra keluar bersama suaminya menaiki kereta.


PINTU bilik ditolak perlahan. Hairi merebahkan badannya diatas katil. Wajah Arra yang tersenyum melihat suaminya datang terpancar jelas kebahagiaan yang dirasainya. Dia mengeluh kecil. Entah mengapa hatinya mula berasa perit melihat insan yang disayanginya dalam diam tak mampu dimilikinya lagi.

"Ri makanan aku mana?" soal Amir apabila melihat Hairi pulang tanpa membawa makanan untuknya.

Hairi menepuk dahinya. "Alamak Mir. Maaflah aku terlupa tadi," ujarnya lalu bangkit daripada pembaringan. Dia terlalu sibuk ingin berjumpa dengan Arra sehingga terlupa pesanan Amir.

Amir mengeluh perlahan. "Hurm... Tak apalah Ri. Aku makan maggi ajelah. Petang nantilah aku turun ke cafe," kata Amir lalu mengambil sebungkus mi segera dari dalam laci meja.

"Amir,"panggil Hairi sebelum sempat Amir melangkah keluar dari dalam bilik.

Amir menoleh ke arah Hairi. "Ya," balas Amir sepatah lalu ke sinki di luar bilik mereka. Dia mengisi air paip ke dalam jug elektrik. "Kenapa?" soal Amir setelah merebus air.

"Kau tahu Arra dah kahwin?"

Amir sekadar menganggukkan kepalanya. Dia sudah menduga Hairi pasti akan mengetahuinya juga walaupun bukan dia yang memberitahuinya. "Aku dah cakapkan hari tu. Aku ingat kau dah tahu?"

"Kau anggap aku ni sahabat kau atau tak?"

"Kau memanglah sahabat aku. Kau ni dah Kenapa?" soal Amir hairan dengan sikap Hairi seolah-olah ingin memarahinya.

Hairi menganggukkan kepalanya berkali-kali secara perlahan. "Arra dah kahwin. Aku tak tahu pun?" bicaranya berhenti sejenak. "Tapi kenapa kau tak bagi tau aku tentang ni?!"

Amir melabuhkan punggungnya diatas kerusi setelah merendam mi segera ke dalam mangkuk. Dia mengeluh berat. "Aku kan dah cakap lupakan Arra. Dia takkan kau miliki. Takkan itu pun, kau tak faham?"

Hairi berdiri. Hatinya mula terasa panas. "Kenapa kau tak straight to the point aje kan senang?!"

Amir menggelengkan kepalanya. "Kau nak aku cakap macam mana? Sedangkan kau tergila-gilakan dia sampai apa yang aku nasihatkan kau sedikit pun tak nak dengar," ujar Amir dengan tenang. "Aku sendiri buntu macam mana nak beritahu pada kau tentang perkara ni. Nak cakap dekat kau yang Arra dah kahwin. Dia jadi dah jadi isteri orang. So kau janganlah menaruh harapan pada yang tak sudi. Padahal kau tahu Arra tak pernah membalas perasaan cinta kau terhadap dia selama ni."

Hairi terkedu mendengarnya. Apa yang dikatakan Amir ada benarnya. Dia hanya bertepuk sebelah tangan selama ini. "Aku bagaikan orang bodoh apabila kawan-kawan dia ucapkan tahniah dan berikan hadiah."

"Sabarlah Ri. Mungkin dia bukan jodoh yang terbaik untuk kau," ujar Amir cuba menenangkan hati sahabatnya itu.

"Tapi aku sayang dia sangat Mir?"

"Kau aje yang sayang dia, Ri. Tapi Arra sendiri cakap, dia tak pernah anggap kau lebih daripada seorang kawan. Dulu aku pernah minta kau berterus terang sebelum terlambat."

"Aku dah cakap. Aku dah luahkan isi hati pada dia. Sejujurnya aku kecewa bila dia just anggap aku kawan aje. Tapi aku tak tahu kenapa susahnya untuk aku padam perasaan sayang ni."

"Suka atau tidak kau perlu lupakan dia. Aku rasa lebih baik kau fokus pada pelajaran. Dia dah jadi isteri orang. Aku harap kau bersabarlah. Aku yakin satu hari nanti kau akan jumpa jodoh yang terbaik," ujar Amir lalu menikmati mi segera.

Hairi mengeluh berat. Dia kembali merebahkan badannya diatas katil. Disebalik kata-kata Amir ada kebenarannya. Cintanya hanya bertepuk sebelah tangan. Arra tak mungkin dimilikinya lagi. Kini dia harus mengikhlaskan hatinya menerima kenyataan ini walaupun memeritkan.


HULURAN tangan Arra disambut mesra oleh Aril. Terasa sejuk belakang tangannya apabila dicium oleh Arra. Hilang segala rasa kerinduan di hati melihat isteri di depan mata ketika ini. Tanpa berfikir panjang dahi Arra diciumnya perlahan.

Arra menolak tubuh Aril menjauhinya. "Malulah orang tengok," kata Arra apabila Aril mencium dahinya.

Aril tersenyum. "Biarlah. Abang cium isteri sendiri. Halal disisi agama bukan orang lain okey," balasnya lalu mencium tangan Arra pula.

"Abang!" marah Arra. Dia segan apabila dilayan begitu. Bimbang jika ada mata yang memerhati.

Tudung Arra dibetulkan. "Abang nak lepaskan rindu dekat isteri sendiri. Takkan tak boleh?"

"Hurmm... mula lah tu nak menggatal," ujar Arra lalu mencuit pinggang Aril.

Aril tergelak menahan geli. "Menggatal dengan isteri sendiri tak salah kan," ujar Aril lalu mengenyit mata.

"Apa-apa ajelah abang," balas Arra sambil menjuihkan bibirnya.

"Sayang nak kena cium ke buat macam tu?" usik Aril lagi. Jika berada di rumah sudah pasti bibir mungkil milik Arra diciumnya.

Arra menjeling marah. "Abang buat apa kat sini? Tak kerja ke?"

"Kan abang dah cakap nak lepaskan rindu dekat sayang?" ujar Aril lalu mencubit pipi Arra.

Arra menepis tangan Aril. "Sakitlah," adu Arra dengan manja.

"Sayang free tak?" soal Aril sambil mengusap pipi Arra yang dicubitnya.

Arra melihat jam pada tangannya. Kelas Jahitan akan diadakan pada pukul 4.00 petang nanti. Wajah Aril dipandang. "Sekarang free. Pukul empat nanti baru ada kelas pulak."

"Jom teman abang makan."

Arra tergelak mendengarnya. "Dari jauh datang sini semata-mata nak sayang teman makan aje ke? Macam lah tak boleh makan bila sayang tak ada?"

"Bukan tak boleh. Tapi tak ada selera. Asyik teringatkan sayang aje," ujar Aril sambil memegang tangan kanan Arra. "Itu belum masuk waktu tidur lagi."

"Okey. Jom sayang teman," kata Arra lalu menolak tubuh Aril menjauh dari pintu kereta. Dia perlu segera menemani Aril sebelum lelaki itu bercakap perkara yang tidak sepatutnya.

"Eh nanti dulu," ujar Aril menghalang Arra daripada membuka pintu kereta.

"Apa lagi?"

Aril membuka pintu kereta lalu mengambil sejambak bunga ros merah. "Special for my wife," ujat Aril sambil tersenyum semasa menyerahkan bunga itu kepada Arra.

"Abang," ujar Arra sambil tersenyum. Dia tidak menyangka Aril begitu romantik dengannya. Bunga diambil.

"Suka tak?"

"Mestilah suka," kata Arra sambil menghidu bau bunga yang diberikan oleh Aril. "Nak sayang tanam bunga kat sini ke apa?"

"Boleh aje. Nanti sayang akan teringatkan abang selalu bila tengok bunga ni," ujar Aril penuh romantik.

Arra memukul bahu Aril dengan manja. "Abang ni ada saja nak mengusik sayang kan?"

"Dah menjadi kebiasaan. Tak usik sayang sehari rasa tak lengkap hidup abang ni."

"Bila nak makan ni? Ke abang nak sayang teman makan kat kafe dalam kampus ni aje?"

"Okey. Jom masuk. Abang lapar ni?" ujar Aril memberi ruang kepada Arra masuk ke dalam kereta.

"Dah tahu lapar, kenapa tak makan?"

"Nak sayang teman baru ada selera," balas Aril lalu menghidupkan enjin kereta.

"Tapi bila sayang teman makan nasi lauk ikan patin masak tempoyak terus tak ada selera kan?" usik Arra pula. Dia mengingati sewaktu pulang daripada percutian bulan madu mereka tempoh hari. Aril tidak mengemari ikan patin masak tempoyak.

Aril menjuihkan bibirnya. "Makanan abang tak suka. Memanglah tak ada selera nak makan," balas Aril sambil memandu kereta menuju ke kedai makan berhampiran dengan kampus UiTM.

Arra sekadar mendengar sahaja. Tangannya sibuk membuka hadiah yang baru diterimanya. Dia tergelak kecil apabila melihat isi kandungan di dalam kotak itu. Kepalanya digelengkan apabila melihat satu helai baju tidur bersama beberapa barang yang lain.

"Kenapa sayang?"

Arra hanya tersenyum ke arah Aril. Dia menutup kembali kotak hadiah. "Tak ada apalah?" balas Arra lalu meletakkan kotak itu di tempat duduk belakang. 

Aril mematikan enjin kereta. "Jom."

Arra melangkah keluar dari dalam perut kereta. Terasa angin kencang bertiup ke arahnya. Dari jauh dapat melihat ombak menghempas pantai. Restoran dihadapan Pantai Kemasik menjadi pilihan Aril.

Tangan Arra diraih. Mereka berjalan berpegangan tangan menuju ke arah meja. Mereka mengambil tempat duduk di bahagian belakang restoran bagi mencari ruang privasi untuk berbual.

"Abang ingat nak ajak sayang jalan-jalan petang ni?" ujar Aril setelah membuat pesanan.

"Tak sempat. Kelas jahitan pukul enam baru habis."

"Demi sayang, abang sanggup menginap kat hotel tau."

"Janganlah membazir duit abang. Nanti kerja macam mana?"

"Duit bukanlah satu masalah bagi abang. Apa yang penting keselamatan sayang?" ujar Aril lalu memegang tangan Arra. Dia masih mengingati perbualannya dengan Rafiq semalam tentang perbuatan Ryan.

"Apa yang nak dirisaukan. Sayang tinggal kat hostel bukan menyewa dekat luar kawasan kampus? Sayang pun jarang keluar jika tiada barang penting yang perlu dibeli," jelas Arra hairan dengan sikap Aril terlalu mengambil berat tentang dirinya.

Aril mengeluh perlahan.

"Kenapa? Ada sesuatu yang mengganggu fikiran abang ke?"

Aril menganggukkan kepalanya perlahan. "Ingat lagi tak, sayang hampir kena langgar dekat Cameron hari tu?"

Arra angguk. "Kenapa?"

"Betullah kata kawan sayang. Amir kan nama dia?"

"Ya. Tak sangka abang ingat lagi."

"Mestilah. Abang berterima kasih sangat sebab dia tolong selamatkan sayang hari tu."

"Owh. Ingatkan abang cemburu tadi?" ujar Arra sekadar ingin mengusik Aril.

Mereka diam seketika sementara pelayan menghantar pesanan mereka. "Terima kasih," kata Aril kepada pelayan kedai. Dia kembali menatap wajah Arra. "Memanglah ada jugak rasa cemburu tu bila sayang bukan main mesra lagi bercakap dengan dia."

"Abang..."

"Tapi bukan itu yang abang nak cakap?"

"Makanlah dulu," ujar Arra apabila Aril masih belum menjamah makanannya.

"Memang betul pemandu kereta tu sengaja nak langgar sayang," ujar Aril perlahan lalu menyuapkan nasi ke dalam mulutnya.

"Abang tahu dari mana?"

"Rafiq."

Arra mengerutkan keningnya. Jus oren dikacau perlahan dengan straw. "Macam pernah dengar nama tu, tapi lupa?"

"Husband Melysa."

"Owh... dia jumpa abang buat apa? Melysa upah orang untuk cederakan sayang lagi ke?"

Aril geleng kepalanya. Jus epal diteguk perlahan. "Taklah. Pemandu kereta itu adalah Ryan. Lelaki upahan Melysa dulu."

Wajah Arra mula keruh. Isi ayam yang dimakan terasa terlekat di keronkong apabila mendengar nama itu. Kisah hitam yang cuba dilupakan mula  diingati kembali. 

"Tak sangka kita boleh terserempak dengan dia?" kata Arra perlahan sambil memotong isi ayam. Dia memesan Chicken Chop. Walaupun baru sahaja selesai makan sebentar tadi. Namun  tetiba terliur pula menu di restoran ini.

"Itulah abang pun tak perasan."

"Tapi macam mana Rafiq tahu?"

Aril menghabiskan makanannya. "Ryan hantar email dekat Melysa."

"Hantar apa?"

"Hantar ugutan melalui email dengan menggunakan gambar sayang. Dia cakap Ryan nak buat sesuatu pada sayang. Itu yang abang risau sangat bila sayang berjauhan dari abang."

Arra memegang tangan Aril. Dia cuba menenangkan hati Aril yang kerisauan. "Abang janganlah fikir bukan-bukan. InsyaAllah keselamatan sayang sentiasa dilindungi oleh Allah."

Aril mengemgam erat tangan Arra. "Sayang jaga diri baik-baik tau dekat kampus? If ada orang tak dikenali nak jumpa. Please bagi tahu abang dulu dan sebolehnya jangan jumpa pun."

"Okey abang. Janganlah risau sangat," ujar Arra dengan lembut.

"Okey," balas Aril perlahan. Hatinya berasa sedikit tenang mendengarnya. Pipi Arra diusap perlahan. "Sayang masih marahkan Mel?"

"Tak. Sayang kan dah maafkan dia. Siapalah sayang nak menghukum seseorang itu."

"Mel tak sihat. Emosi dia terganggu sejak dapat ugutan daripada Ryan. Dia rasa bersalah sangat dekat sayang atas apa yang dah berlaku. Sudah seminggu Mel tak sihat."

"Kesiannya. Rafiq tak bawa Mel pergi hospital ke?"

"Katanya baru keluar wad tiga hari lepas sebab demam. Sekarang tak tahulah dah sihat atau tidak?"

"Sayang harap Melysa cepat sembuh," kata Arra sambil memegang tangan Aril yang mengusap pipinya. "Nanti bila abang free bawalah sayang jumpa Mel."

"Sayang tak kisah ke jumpa dengan dia?"

"Apa yang nak dikisahkan?"

"Sebab...?"

Arra mengeluh perlahan. Tangan Aril dipegang erat. Dia mengerti apa yang cuba disampaikan oleh Aril. "Dia dah minta maaf abang. Sayang pun dah maafkan dia. Orang yang jahat tak semestinya tidak boleh dilayan dengan baik. Lagipun dia takkan jadi musuh sayang buat selamanya," jelas Arra dengan tenang.

Aril tersenyum mendengarnya. Hati Arra begitu lembut kerana mudah memaafkan insan yang telah melakukan kejahatan pada dirinya.

Previous: Bab 28
Next: Bab 30

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Andayu