Home Novel Cinta Takdir Cinta Kita
Bab 28

Arra berpelukan dengan Puan Anisah. Perasaan sedih mula menyelubungi hatinya. Terasa sayu pula ingin berjauhan dengan ibunya. Tempoh masa sebulan begitu cepat berlalu. Jika dahulu dia meninggalkan rumah sebagai seorang anak. Kini dia telah bergelar seorang isteri. 

"Arra jaga diri elok-elok tau," pesan Puan Anisah lalu meleraikan pelukan. 

Arra menganggukkan kepalanya. "Ibu jaga kesihatan. Jangan buat kerja berat-berat."

Encik Sufian dan Aril datang menghampiri mereka. 

"Sudahlah tu. Bukannya lama pun Arra pergi. Hujung minggu nanti dia baliklah," ujar Encik Sufian mengingatkan isterinya. Kini setiap hujung minggu Arra akan pulang ke rumah secara bergilir. Rumahnya atau rumah mertua.

Arra menyapu air matanya. Sedih pula hatinya memikirkan status diri kini sudah bergelar isteri orang. Tidak lagi dapat bermanja dengan ibunya. "Dah sampai kampus nanti, Arra call."

"Jaga diri kat kampus tu elok-elok. Ingat dah jadi isteri orang ni kenalah jaga batas pergaulan dengan pelajar lelaki," pesan Encik Sufian.

"Alah abah ni. Macamlah Arra ni budak kecik. Sebelum ni pun ada ke Arra keluar lepak dengan student lelaki," omel Arra tanda protes.

"Abah kat rumah. Abah tak nampak. Tak tahu apa Arra buat kat sana?"

Arra mengerling ke arah Aril. "Jangan nak fikir bukan-bukan. Abah ni dah jadi geng Aril lah tu. Kerja nak mengusik Arra aje," ujarnya lalu menghulurkan tangan. "Salam."

Tangan Arra disambut mesra. Kepala Arra diusap perlahan. Hatinya lega kerana melihat Arra bahagia disamping Aril. Kini dia tidak bimbang lagi akan keselamatan Arra apabila berjauhan dengannya. Air mata yang mahu menitis segera ditahan. Dia tidak mahu Arra melihatnya menangis. Dadanya terasa sebak pula apabila mengingati kembali saat-sata mengahwinkan Arra dan Aril. 

"Ada lagi ke barang yang sayang nak bawa?"

Arra mengelengkan kepalanya. "Abah dan ibu jaga diri tau. Arra pergi dulu," ujar Arra lalu melangkah masuk ke dalam kereta.

"Okey," balas Puan Anisah.

"Hati-hati memandu Aril."

"Okey abah," balas Aril lalu meninggalkan halaman rumah.

Tangan Arra diraih lalu diciumnya. "Kita singgah rumah mama dulu."

"Okey," balas Arra lalu menarik tangannya. "Pandulah kereta elok-elok. Janganlah sibuk nak pegang tangan sayang?"

"Suka hati abanglah. Nak pegang tangan bini sendiri takkan tak boleh?" ujar Aril lalu memegang kembali tangan Arra.

Arra tersenyum melihat telatah Aril. "Sayang belajar kat UiTM Dungun aje abang. Bukannya pergi luar negara."

"Tak kisahlah dekat atau jauh. Jika diikutkan hati, abang nak sayang duduk aje disisi abang."

Arra tersenyum sumbing. "Habis abang tak perlu pergi kerja?"

"Bukan itu maksud abang," ujar Aril perlahan sambil memandu kereta. "Abang nak sayang jalankan tanggungjawab macam isteri orang lain?"

Arra mengalihkan pandangannya ke luar tingkap. "Sebagai seorang isteri perlu berada disisi suaminya. Sayang tahu. Tapi sayang masih belajar," Arra mengusap lembut tangan Aril. "Sayang harap abang faham. Bukan sayang tak nak jalankan tanggungjawab sayang sebagai seorang isteri sepenuh masa. Tapi abang sabarlah tunggu sayang tamatkan pengajian."

Aril mengusap kepala Arra dengan perlahan. Dia mengukirkan senyuman. Sejuk hatinya mendengar penjelasan Arra. Sejak bergelar suami. Dia tidak sanggup berjauhan dengan isterinya. Kehadiran Arra begitu membahagiakan hatinya. Kini dia tidak keseorangan lagi dalam melayari kehidupan yang penuh onak dan duri. Arra adalah inspirasi dalam setiap kerja yang dilakukan.


ENJIN motosikal dimatikan. Nazril segera melangkah masuk ke dalam rumah. Daun pintu ditutup dengan kuat. Hatinya panas melihat kemesraan Arra dan Aril. Walaupun mereka berada di dalam kereta. Dia masih mampu melihat kelakuan mereka.

"Kau dah kenapa?" soal Dibah apabila mendengar pintu rumah dihempas dengan kuat. "Pintu tu bukannya kuat sangat kau nak hempas sampai nak tercabut!" omel Dibah lalu melabuhkan punggung diatas lantai. Dia kembali melipat baju yang tertangguh.

Nazril melabuhkan punggungnya diatas kerusi. Kunci motor dicampak atas meja. "Orang bengang tengok Arra dengan suami dia tu. Mengedik aje," ujar Nazril dengan wajah yang meluat.

"Dah nama pun suamikan. Takkan nak mengatal dengan isteri sendiri pun tak boleh?"

"Hurmm... memanglah dah sah jadi laki bini, tapi takkanlah dalam kereta pun duk mengatal lagi," tambah Nazril lagi sengaja ingin menceritakan kepada ibunya yang selalu menjaadi wartawan tak bergaji di dalam kampungnya.

"Yang kau sibuk tu kenapa?" marah Dibah. Dia tidak lagi menyibuk tentang orang lagi setelah ditampar oleh Puan Anisah tempoh hari.

"Berbulu mata ni mak. Tengok suami Arra mengada tak habis-habis," jelas Nazril apa yang telah dilihatnya. "Tengah drive kereta pun, tangan tu sempat lagi merayap sana sini."

"Biarlah dia, Naz. Arra tu dah jadi bini dia. Suka hati dialah nak buat apa?" balas Dibah tidak kisah dengan apa yang diceritakan oleh Nazril.

"Mak ni orang bercerita, dia tak kisah pulak?" ujar Nazril hairan dengan sikap ibunya acuh tak acuh. Kebiasaannya ibunya lah yang sibuk mengambil tahu tentang Arra dan orang-orang kampung.

Baju yang baru nak dilipat dilempar pada wajah Nazril. "Nak suruh pipi aku ni bengkak lagi kena pukul dengan mak cik Nisah kau?" marah Dibah.

"Dah kenapa dia nak pukul mak?"

"Sebab menyibuk tentang anak dia. Kau tu dari mana? Dah tiga hari tak balik. Tetiba muncul sibuk bercakap pasal Arra kenapa?"

"Orang baru balik kerjalah mak."

"Orang lain pun kerja jugak Naz. Tapi tahu jalan balik rumah. Kau kerja apa sapa tiga hari tak balik rumah?"

"Kerja bawa lori lah mak," ujar Nazril sambil mengeliatkan tubuhnya lalu merebahkan badannya.

"Bawa lori ke, bawa anak dara orang ke hulu ke hilir?"

Nazril bingkas bangun dari pembaringan. Niatnya ingin melelapkan mata seketika terbantut mendengar persoalan ibunya. "Kerjalah mak. Bila masa pulak Naz bawa anak dara orang ni?" dalih Nazril. Dia mula cemas apabila ibunya berkata begitu.

"Mak tanya ni bersebab..."

"Sebab orang kampung kan?"

"Kita ni duduk kat kampung Naz, bukannya duduk bandar."

"Habis tu mak percayalah cakap orang kampunglah?"

"Sebab itulah mak tanya. Mak tak nak kamu buat kerja tak senonoh belakang mak?"

Nazril mendengus marah. "Naz kerja cari duit lah mak, nanti mak jugak tumpang senang."

"Cari kerja tu biar kerja yg halal Naz," ujar Dibah tidak mahu anak terunanya membuat kerja yang tidak sepatutnya tanpa pengetahuan dirinya.

"Ikutlah mak. Malas lah cakap dgn mak ni, ada saja tak kena," omel Nazril lalu bangun dari tenlat duduknya. "Naz letih balik kerja. Naz masuk bilik dululah. Nak tidur sekejap."

"Itu lah kerja kau. Asal balik rumah kerja nak membuta aje. Bukannya nak menolong mak pun!" omel Dibah apabila Nazril berlalu masuk ke dalam bilik.

"Alah, nanti orang ada duit, orang bagi lah dekat mak. Sekarang gaji tak dapat lagi."

"Bukan soal duit yang aku kisahkan. Cubalah ringan tulang sikit tolong bersihkan halaman rumah ke? Panjat pokok kelapa tu. Mak tengok dah banyak buah kering tu!"

"Nantilah."

Dibah menggelengkan kepalanya mengenangkan sikap Nazril. "Bertuah sungguh anak aku sorang ni!" omelnya lagi.


"BERTUAH sungguh anak menantu. Baru hari ni nak balik rumah?!" ujar Datin Sri Aid dengan nada marah.

Arra hanya diam mendengar Datin Sri Aida yang dulu dianggap sebagai majikannya kini telah menjadi ibu mertuanya membebel. Dia menggaru kepala yang tidak gatal. Tidak tahu di mana silapnya tetiba Datin Sri Aida seakan memarahinya.

Aril tersenyum sumbing. Dia melangkah membontoti Datin Sri Aida. "Mama janganlah marah. Kita orang baru aje sampai."

"Kenapa tak balik sini dulu semalam. Mama kalau boleh nak kamu bermalam dekat sini dulu," ujar Datin Sri Aida dengan nada geram. "Datang sini sekejap aje. Tak boleh ke kamu bermalam dekat sini dulu?"

Aril tersenyum pahit. Kepala yang tidak gatal digarunya perlahan. "Arra dah start kuliah esok. Itu yang Aril singgah sekejap aje sementara nak hantar balik ke kampus petang ni?" ujar Aril perlahan. Dia tidak mahu melukai hati ibunya.

"Mama tak kira. Malam ni Arra kena tidur sini," ujar Datin Sri Aida lalu melabuhkan punggung diatas sofa bersebelahan dengan Arra. "Mama dah plan nak masak untuk sambut menantu mama ni," ujarnya sambil memegang tangan Arra.

"Sambut menantu aje? Anak mama ni tak nak timang sekali?" ujar Aril lalu duduk diatas sofa.

"Sekali lah tu anak dan menantu," ujar Datin Sri Aida lalu menoleh ke arah Arra. "Arra bermalam lah di sini ya?" Pinta Datin Sri Aida sambil mengusap lembut bahu Arra.

Arra mengerutkan kening. Wajah Aril dipandang sekilas. "Tapi Arra sepatutnya daftar masuk hostel hari ni?" ujar Arra perlahan bimbang akan melukai hati ibu mertuanya.

"Malam ni aje. Kita makan satu family. Bukan selalu tau. Nanti Arra dah start kuliah susah pulak nak cuti," kata Datin Sri Aida dengan nada sedih.

Arra memandang wajah Aril. "Okey mama. Tapi hari ni aje. Esok Arra kena balik kampus dah."

Datin Sri Aida tersenyum mendengarnya. "Good girl. Macam ni lah menantu mama," ujarnya lalu menoleh ke arah Aril. "Aril saja cakap tak boleh kan?"

Aril hanya mendiamkan diri.

"Mama nak masak apa?"

"Hari ni mama nak masak special. Arra tak perlu tolong biar mama siapkan semua."

"Eh tak apa ke, Arra tak tolong?" soal Arra segan jika tidak membantu.

"Tak apa. Mama dah biasalah masak sendiri," ujar Datin Sri Aida lalu melangkah ke dapur.

Arra sekadar memandang Datin Sri Aida berlalu meninggalkannya. Satu keluhan kecil dilepaskan. Aril dihadapannya dipandang lalu mengukirkan senyuman buat suaminya.

"Serius sayang nak bermalam kat sini?"

Arra menganggukkan kepalanya. "Tak sampai hati nak hampakan permintaan mama."

"Bila nak balik kampus?"

Arra bangkit dari tempat duduknya lalu menghampiri Aril. "Esok pagi abang hantarlah sayang. Boleh kan?" ujar Arra sambil bermain-main dengan jangut nipis Aril.

"Boleh. Abang lagi suka sayang duduk sini aje," ujar Aril sambil tersenyum nakal.

Arra mencuit pinggang Aril. "Mengadalah abang ni," ujar Arra lalu mengambil telefon bimbitnya dari dalam tas tangan.

"Nak pergi mana?" soal Aril sambil memaut lengan Arra.

"Nak call Ain. Sayang nak minta tolong dia daftarkan sayang masuk hostel hari ni?"

"Itulah tadi kenapa tak jujur aje dengan mama. Cakap sajalah tak boleh?"

"Abang nak mama merajuk dengan sayang ke?"

"Alah rajuk mama tu sekejap aje sayang?"

Arra duduk diatas paha Aril. Matanya memerhati sekeliling. Dia tersenyum nakal. Di dalam rumah saat ini hanya mereka berempat sahaja termasuk Maznah. Leher Aril dipaut manja. Dia merapatkan wajahnya pada telinga Aril.

"Abang pun gembira kan sayang masih boleh teman abang malam ni," bisik Arra.

Cup!

Satu ciuman singgah pada pipi Arra. "Abang kalau boleh nak ikat sayang duduk kat tepi abang aje," ujar Aril sambil tersengih.

Arra mengigit telinga Aril tanda marah. Dia segera bangkit dari tempat duduknya sebelum Aril melakukan sesuatu. Dia berlari ke tingkat atas. Aril hanya memandang Arra masuk ke dalam bilik sambil tersenyum.


PINTU kereta dibuka. "Silakan keluar permaisuri hatiku," seloroh Aril sambil tersenyum.

Arra menepuk bahu Aril perlahan. "Apa abang ni cakap macam tu?"

"Betul apa yang abang cakap?" ujar Aril lalu mengeluarkan beg bagasi milik Arra. "You are my wife okay? Tak salah pun abang nak cakap macam tu."

Arra mencuit pinggang Aril. "Jangan nak mengatal boleh tak?"

Tangan Arra diraih lalu diciumnya. "Dengan isteri sendiri tak salah kan?" ujar Aril lalu mengenyit matanya.

Arra menarik tangannya perlahan. Wajahnya mula kemerahan apabila Aril mencium tangannya. Dia segan jika ada mata yang memerhati tingkah laku mereka. "Kan sayang dah pesan tadi?"

"Barang-barang ni nak abang hantar ke hostel ke?"

"Tak perlu. Abang letak aje kat pondok keselamatan ni. Nanti Ain tolong sayang angkat masuk bilik."

"Banyak ni? Larat ke?"

"Dah terbiasa cik abang sayang oiii," ujar Ain dari arah belakang.

"Assalamualaikum," ujar Arra dengan gembira melihat Ain.

"Waalaikumussalam, Puan Arra?"

Arra menjeling marah. "Yes I not a single women anymore. Tapi janganlah panggil macam tu?"

"Bagus apa?" sokong Aril. "Puan Arra Safiyya."

Arra mencubit lengan Aril. "Adalah tu nak mengusik."

"Aduh!" Aril menggosok lengannya yang terasa sakit dicubit oleh Arra.

"Eh, jomlah. Kita dah lewat ni," ujar Ain setelah melihat jam pada pergelangan tangannya.

"Tahu. Bawak lagi kereta macam kura-kura," omel Arra dengan nada rajuk.

"Biar lambat asal selamat sayang," ujar Aril sambil tersengih.

Arra menghulurkan tangannya. "Cepatlah salam!" 

"Amboi garangnya," celah Ain. "Cakaplah lembut sikit dengan suami," sambungnya lalu melangkah meninggalkan Aril dan Arra.

Aril menyambut huluran salam Arra. Terasa sejuk tangannya apabila dicium oleh Arra. Kepala Arra diusap perlahan. "Free nanti call abang tau?"

"Okey," ujar Arra lalu menarik tangannya.

Aril memegang erat tangan Arra. "Belajar tau. Jangan lepak dengan kawan laki?"

"Baiklah suamiku sayang," ujar Arra dengan lembut. "Boleh lepaskan tangan sayang?"

"Abang rasa nak peluk aje sayang."

Ah sudah. Hish buat perangai betullah mamat ni. Susah sangat nak berjauhan, omel hati kecil Arra.

"Abang jangan nak buat perangai macam budak-budaklah. I have to go right now."

"Belajar rajin-rajin tau. Jangan lupa hari khamis nanti abang datang jemput."

Arra menganggukkan kepalanya. "Okey. I love you," bisik Arra perlahan. "Assalamualaikum," ujar Arra sebelum berlalu meninggalkan Aril dihadapan pagar hostel.

Arra segera mendapatkan Ain yang setia menunggunya tidak jauh dari hostel. "Hai. Maaf lambat. Thanks tau tolong aku semalam."

Ain tersenyum melihat Arra. "Kalau bukan aku siapa lagi yang kau nak harapkan."

Arra menyiku lengan Ain. "Kat kampus ni aku ada kau aje tau. Kawan a.k.a merangkap sepupu  aku," ujar Arra sambil tersenyum.

"Sepupu? Sejak bila?"

Arra menjeling marah. "Takkan pura-pura tak tahu pulak," ujar Arra lalu mempercepatkan langkah kakinya menuju ke dewan.

"Aku bergurau ajelah," balas Ain lalu mengejar langkah Arra. Secara tidak sengaja Ain hilang pertimbangan apabila berlari menuruni bukit dia terlanggar tubuh Arra.

Arra tersandung kaki sendiri apabila tubuhnya dilanggar oleh Ain secara mengejut. Dia melanggar bahu sesorang yang melintas dihadapannya. Terasa tangan sesorang memegang bahunya menahan dirinya daripada terjatuh.

"Awak okey ke?" soal Hairi setelah membantu gadis yang bertudung daripada terjatuh.

"Arra? Aku minta maaf?" pinta Ain dengan nada cemas.

Arra membetulkan kedudukannya. Dia terkejut melihat Hairi yang telah membantunya. Dia menjarakkan dirinya daripada Hairi. Wajah Ain dijeling marah. 

"Eh Arra?" sapa Hairi dengan ceria. Dia tidak menyangka gadis yang ditolongnya adalah Arra.

"Hai," balas Arra sambil tersenyum sumbing. Dia tidak menyangka akan ditolong oleh Hairi. "Terima kasih," ujarnya perlahan. Tangan Ain ditarik. "Jom Ain."

"Ermm... Arra?"

"Aku masuk dululah," ujar Ain cuba memberi ruang untuk Hairi bercakap dengan Arra. Dia cuba menarik tangannya.

"Hairi, saya minta maaf. Saya minta diri dulu."

"Arra nampak cantik bila bertudung," puji Hairi.

Satu keluhan dilepaskan. "Terima kasih," balas Arra lalu melangkah meninggalkan Hairi. 

"Sampai bila kau nak tarik aku ni?" soal Ain. Dia bagaikan lembu yang ditarik talinya.

Arra menjeling marah. "Kau memandai nak tinggalkan aku tadi kenapa?"

"Aku tak nak kacau daun lah," ujar Ain lalu mengambil tempat duduk.

"Kacau daun apanya. Aku dah jadi isteri oranglah!" ujar Arra perlahan.

"Habis tu kau cakaplah dekat dia. Kau dah kahwin. Habis cerita."

"Dah. Aku dah minta Amir tolong bagi tau. Cukup lah tu. Takkanlah aku nak hebohkan satu kampus yang aku dah kahwin?"

"Amir?"

Arra menganggukkan kepalanya.

"Sejak bila dia tahu? Kau dah kahwin?"

"Masa kat Cameron Highlands aku terserempak dengan dia."

"Kau rasa Amir akan bagi tahu ke?"

Arra mengangkat bahu. Dia tidak mahu ambil tahu tentang perkara itu lagi. Soal Hairi bukan lagi urusannya. Dia sudah berterus terang kepada Hairi semasa cuti semester. Dia berharap Hairi mengerti apa yang telah diberitahunya. Arra tidak pernah menyukai Hairi atau menganggap dia lebih daripada seorang kawan.


ENJIN kereta dimatikan. Rafiq melangkah keluar dari dalam perut kereta. Dia melangkah menghampiri Melysa yang berada ditepi kolam mandi. Dari jauh dia sudah dapat melihat kesunggulan wajah isterinya. Dia menggelengkan kepalanya memikirkan kesihatan isterinya yang semakin merosot sejak mendapat email ugutan daripada Ryan.

"Assalamualaikum," sapa Ryan dari arah belakang.

Melysa menoleh ke arah Rafiq. "Waalaikumussalam," jawabnya lalu menyalami tangan Rafiq.

"Sayang buat apa kat luar ni?" soal Rafiq lalu duduk diatas kerusi. Dia mengusap lembut kepala isterinya.

"Saja duduk kat luar ni. Nak ambil angin petang sikit."

Rafiq menyentuh dahi Melysa. "Panasnya. Sayang demam ke?" soal Rafiq cemas apabila merasakan suhu badan Melysa agak panas.

Melysa memegang tangan Rafiq. Dia menggelengkan kepalanya. "Sayang, okey aje. Abang janganlah risau," ujar Melysa sambil tersenyum.

Pipi Melysa disentuh perlahan. Wajah Melysa jelas kelihatan pucat. "Jom abang hantar saya pergi klinik."

Melysa bangkit dari tempat duduknya. "Tak perlulah. Sayang okey aje. Tadi dah makan ubat sekejap lagi okeylah ni. Sayang masuk dalam rumah dulu, abang nak apa-apa ke?"

"Sayang masuklah. Hati-hati naik tangga tu. Tak perlu risau tentang abang," balas Rafiq sambil tersenyum. Dia tidak mahu menyusahkan Melysa atas faktor kesihatannya.

Rafiq hanya mampu melihat Melysa melangkah meninggalkannya sendirian di taman buatan milik ibu mertuannya. Satu keluhan kecil dilepaskan. Kesihatan Melysa amat dirisaukannya. Dia bimbang jika kesihatan Melysa melarat. Kini sudah dua hari isterinya berkurung di dalam rumah.


HAIRI melihat foto Arra yang diambil pada petang semalam secara curi. Dia tersenyum sendirian melihat kecantikan Arra apabila memakai hijab. Gadis yang disukainya itu semakin cantik dan menawan pada pandangan matanya. Namun, dia kecewa kerana hati gadis yang bernama Arra terlalu sukar untuk dimilikinya.

Arra, tidak kah engkau tahu betapa dalamnya rasa sayangku buatmu, desis hati kecil Hairi. Walaupun Arra tidak pernah membalas huluran kasihnya. Namun, dia bukanlah lelaki yang mudah berputus asa dalam mengimpikan sesuatu yang diingininya.

"Kau tak ada kerja ke? Aku tengok asyik menghadap phone dari tadi?" soal Amir lalu melabuhkan punggungnya diatas katil.

Hairi menutup telefon bimbitnya. Bimbang diketahui oleh Amir bahawa dia sedang merenung foto Arra. "Aku rehat sekejap. Pukul 4.00 petang nanti aku nak ke kelas?"

"Hurm... yelah tu," kata Amir perlahan. Dia mengeluh. Dia sempat melihat skrin telefon milik Hairi.

"Kau tak keluar ke hari ni?" soal Hairi.

"Taklah. Nanti tak sempat masuk kelas pulak," balas Amir lalu menggaru kepalanya yang tidak gatal. "Aku nak tanya kau sesuatu boleh?"

Hairi menoleh ke arah Amir. "Apa? Selalu kau cakap aje?"

Amir tersengih apabila mengingatkan sikapnya sebelum ini. "Ini soal hati dan perasaan kau."

"So? Apa yang kau nak tanya sebenarnya?" desak Hairi hairan dengan sikap Amir.

"Kau masih sayangkan Arra?"

Hairk mengeluh berat. Perasaan yang sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata. "Entahlah Amir. Aku tak tahu kenapa sukarnya nak lupakan dia," ujar Hairi dengan nada sedih.

"Fokuslah pada pelajaran Ri. Arra takkan kau miliki."

Hairi terkejut mendengarnya. "Apa maksud kau?" soal Hairi tidak memahani apa yang cuba disampaikan oleh Amir. 

"Aku sebagai sahabat nak beri nasihat aje. Bimbang nanti hati kau terluka."

"Tapi kenapa?" Soal Hairi hairan. "Cara kau cakap seolah-olah Arra tu dah jadi milik orang lain."

Amir menganggukkan kepalanya. "Itulah yang aku cuba nak sampaikan. Aku dah lama nak bagi tau pada kau. Tapi tak berpeluang."

"Aku tak faham? Apa yang kau nak cakap sebenarnya?" ujar Hairi masih keliru dengan penjelasan Amir.

Amir mengeluh lagi. "Sejujurnya Arra tahu tak perasaan kau terhadap dia?"

Hairi turut mengeluh perlahan mendengar pertanyaan Amir. "Pernah," jawab Hairi sepatah. "Tapi Arra macam tak suka aje."

"Kau tahu dia tak suka. Then kau masih lagi menaeuh harapan dan perasaan dekat dia?"

Hairi menganggukkan kepalanya. "Aku dah cuba untuk lupakan perasaan ini. Tapi tak boleh. Semakin aku cuba lupakan dia. Aku rasa semakin rindu. Apatah lagi bila tengok dia bertudung sekarang. Rasa sejuk aje mata memandang. Perasaan sayang aku ni macam semakin kuat dekat dia," luah Hairi sambil tersenyum.

Amir hanya mampu menggelengkan kepalanya mendengar luahan isi hati Hairi. Kepala yang tidak gatal digarunya. "Teruk betul angau kau Ri. Tapi sebolehnya cubalah lupakan Arra. Fokuslah pada pelajaran. Dengarlah nasihat aku," kata Amir lalu bangkit dari tempat duduknya.

"Aku tidak mahu kau terluka satu hari nanti," kat Amir lagi lalu melangkah meninggalkan Hairi di dalam bilik.

Previous: Bab 27
Next: Bab 29

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Andayu