Pakaiannya dirapikan di hadapan cermin. Dia sudah bersedia untuk ke pejabat kerana hari ini dia kena cepat. Musyuarat dengan ahli lembaga pengarah berkaitan dengan pembangunan yang bakal dimulakan di Langkawi. Pusat tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara, penuh dengan tarikan yang menjanjikan keindahan alam semulajadi, samada di daratan mahupun di lautan. Harapannya besar agar projek yang bakal dilaksana mampu dijayakan nanti.
Dia kemudian melangkah menuju ke bilik opah untuk mencari Sofia, kekasih barunya itu, tapi dia nyata kecewa, katil anaknya sudah kosong, dah tak ada yang menghuni sebelum dia yakin Sofia pasti sedang berada bersama dengan opahnya.
Sesampainya di ruang tamu, matanya tersenyum bahagia kerana sangkaannya tepat. Sofia kini sedang berada bersama dengan oyangnya, bergurau senda sambil dipenuhi dengan gelak ketawa. Terkekeh-kekeh gelaknya sampai mengalir air mata.
“Opah, kenapa dera anak Azeem sampai macam tu? Tengok, ketawa sampai nangis.” tuturnya sebelum mencapai Sofia dan mendukungnya manja.
“La…bukannya opah sengaja, Sofia tu yang kuat ketawa. Pantang diagah, mulalah ketawa tak sudah. Geram betul opah menengoknya. Bagilah sini Sofia pada opah balik, opah tak puas lagi nak tengok dia gelak.” balas opah, sedia memberikan layanan yang terbaik untuk cicit kesayangannya itu.
“Nantilah opah. Bagilah Azeem manja-manja dengan buah hati Azeem ni dulu. Sekejap lagi Azeem dah nak pergi kerja. Opah kan ada sepanjang hari nak main dengan dia. Betul tak? Betul tak? Betul tak sayang abi?” ucapnya pada Sofia sambil mengangkat tubuh itu ke udara, mengganti tempat opah untuk bergurau senda. Sofia pantas membalasnya dengan kekekan dan senyuman ceria.
“Betul tak? Betul tak sayang abi?” tuturnya lagi sambil mengeyitkan matanya berulang kali sebelum mengangkat Sofia lebih tinggi kali ini. Sofia ketawa terkekeh-kekeh, lebih kuat daripada tadi dan Azeem betul-betul puas hati kerana senyuman Sofia mampu untuk memberikannya keceriaan sepanjang hari.
Syarifah Rahimah masih ditemani dengan sisa ketawa. Bahagia rasanya dapat bermesra dengan cicit tunggalnya itu. Hari dihabiskan dengan memanjakannya sepanjang masa, tapi dia tetap rasa tak puas. Dia tak pernah rasa penat melayan kerenah Sofia malah hidupnya bertambah bahagia. Bahagia rasanya bila sentiasa ditemani gelak ketawa si manja, sampaikan hal-hal syarikat dah tak mampu untuk menggugat ketenangannya.
Segala tanggungjawab telah diamanahkan kepada Azeem. Dia yakin Azeem sudah berubah. Cucunya itu sudah mampu untuk menguruskan syarikat tersebut dengan baik, bahkan mungkin lebih baik kerana Azeem masih muda dan dia mempunyai visinya sendiri. Apa yang harus dia lakukan hanya memantau keadaan supaya segalanya sentiasa berada di dalam kawalan.
Selesai berpakaian, Dian membelek-belek tudung yang bergayutan di dalam gubok pakaian. Tudung tersebut didekatkan ke mata, mahu memastikan warna, tak rela penampilannya kelihatan pelik memakai pakaian yang tak matching nanti. Biarpun tak dapat melihat dengan jelas dia tetap merasakan penampilannya harus dijaga dan oleh sebab itu jugalah dia sedang membiasakan diri dengan fabrik-fabrik baju dan tudungnya supaya dia dapat mengenalinya bila kegelapan itu benar-benar menyapa nanti. Hitam dan coklat gelap adalah pilihan yang paling selamat kerana mudah dipadankan dengan apa-apa warna sekalipun.
Buat seketika dia mengambil masa untuk mengemaskan tudung di kepala. Bila sudah yakin, barulah dia menghentikannya.
“Dah ok dah kan ummi.” tuturnya sambil sekali lagi membetulkan tudung itu berhati-hati tak mahu yang memandang terasa jelik nanti.
“Ummi, Dian pergi kerja dulu ya. Petang sikit nanti Dian balik. Assalammualaikum.” tuturnya sebelum mencapai tongkat yang ada diatas meja, tak ketinggalan beg kain kesayangannya itu.
Kakinya melangkah berhati-hati menuruni anak tangga yang semakin sukar untuk dilihat dan hanya dapat dirasa dengan hujung jari kaki. Sesampainya di bawah, dia disapa Udin yang sedang menghidangkan air kepada pelanggan.
“Kak Dian tunggu sekejap.” tuturnya sebelum bergegas ke dapur tadkala ternampak kehadiran Kak Dian di depan kedai sebelum mangkuk tingkat yang sudah diisi dengan makanan segera dicapai.
“Mak, Kak Dian dah nak pergi kerja dah tu. Udin ambil bekas ni kasi kat dia ya.” ucapnya pada Mak Andak yang sedang sibuk di dapur.
“Iyalah. Letak dalam beg kain yang ada dekat bawah kaunter. Mak ada bekalkan lebih sikit hari ni, suruh Kak Dian kongsi sekali dengan Kak Ira dengan Abang Saiful nanti.” pesan Mak Andak pula.
“Ok.” balasnya sebelum menuju ke bahagian hadapan semula.
Begitulah keadaannya setiap pagi sejak Dian disahkan kehilangan penglihatan beberapa bulan yang lepas. Mereka sekeluarga turut sama mahu membuat jasa, membantu mana yang termampu dan Dian menerimanya dengan penuh kesyukuran.
Hatinya sangat gembira dan bahagia kerana semua itu adalah sumbangan ikhlas daripada insan-insan yang menghargainya. Dia tak sanggup menjadi manusia yang tak tahu bersyukur. Syukur kan milik Allah, seandainya kita tak tahu mensyukuri samalah seperti kita tak menghargai pemberianNya dan dia tak rela itu terjadi kerana dia sangat sayangkan Allah.
“Kak Dian, ambil ni. Mak pesan makan sekali dengan Kak Ira dengan Abang Saiful. Berat ni. Tak pun biar Udin hantarkan akak je lah. Akak tunggu kejap, Udin ambil kunci kereta. Sekejap ya.” tuturnya sebelum bergegas ke kaunter semula.
“Udin, tak payah, tak payah. Biar Kak Dian pergi macam biasa. Bukannya berat sangat. Biasalah ni. Udin tak payah susah-susah, Kak Dian boleh.” tuturnya mengelak.
“Susah la dengan Kak Dian ni. Udin nak tolong je, itupun tak nak terima. Bukannya jauh kalau pakai kereta. Dua minit dah boleh sampai sana.” balasnya kecewa kerana sudah banyak kali bantuannya ditolak.
“Bukannya Kak Dian tak nak terima, tapi Kak Dian dah biasa. Kan Kak Dian dah cakap Kak Dian nak berdikari, lagipun bukannya jauh sangat, dekat depan tu je.”
“Udin pandang rendah pada Kak Dian ya, sebab Kak Dian dah tak sama macam dulu?” tutur Dian pula dalam usaha untuk menjelaskan keadaan.
“Bukan pandang rendah la, cuma risau, tahu tak risau. Itu pun tak boleh?” balasnya sebelum kembali semula kepada Dian setelah sedar dia takkan dapat mengubah keputusan Kak Diannya itu.
“Tapi kan kak, betul juga apa yang akak cakap tadi.”
“Apanya?” balas Dian tak pasti.
“Betullah yang Udin kena pandang rendah pada akak, sebab kan memang akak lebih rendah daripada Udin.” balasnya sebelum ketawa senang hati. Dian rasa tak puas hati kerana tahu dia sengaja diperli.
“Kurang asam punya budak.” balas Dian sambil mencebik geram.
“Dahlah, malas Kak Dian nak layan Udin. Nanti lambat pulak akak masuk kerja. Terima kasih untuk bekal ni. Dapat gaji nanti Kak Dian belanja makan steambot yang Udin suka tu. Akak gerak dulu. Assalammualaikum.” ucapnya seperti selalu mendoakan kesejahteraan insan-insan yang sudi membantu.
“Waalaikumussalam, Kak Dian jalan elok-elok, kalau jatuh bangun sendiri…sebab Udin tak ada nak tolong nanti.” tutur Udin sekadar ingin bergurau. Mereka biasa begitu kerana sudah terlalu lama mereka mengenali sesama sendiri.
“InsyaAllah.” balas Dian menghargai perhatian yang diberi.
Setelah hampir 15 minit berjalan, akhirnya dia tiba di tempat kerja. Seperti biasa juga, dia akan disapa Kak Ira yang sudah bersedia untuk menyambutnya.
“Ha…panjang umur dia. Kami baru cerita tentang Dian, alhamdulillah sampai pun akhirnya.” tutur Kak Ira yang sedang berada di sebelah suaminya Saiful yang turut mengalami masalah penglihatan, sama seperti Dian.
“Akak cakap apa? Akak mengumpat Dian ya?” balas Dian sekadar ingin mengusik.
“Eh, ke situ pulak difikirnya, tapi ada juga betulnya cakap Dian tu. Memang mengumpat pun kalau bercakap tentang hal orang lain tanpa orang tu dengar, biarpun cakap yang benar, kan?” balasnya sambil menganggukkan-anggukkan kepala.
“Tapi nak buat macam mana, Dian tu yang lambat kenapa? Buat kami risau je. Ni, abang Dian ni, risau sangat. Bila Dian lambat sikit, mulalah dia kalut, takut ada apa-apa yang jadi pada Dian. Siap suruh Kak Ira callkan tanya Dian dah sampai kat mana.” tambah Kak Ira lagi. Saiful ketawa ceria, sedar yang kebimbangannya itu tak berasas. Dia cuma bimbangkan keselamatan Dian kerana dia turut merasainya, hidup tanpa cahaya, gelap gelita sepanjang masa. Kebergantungan pada deria yang baru, hati dan firasat, berbekalkan dengan sebatang tongkat, untuk memandu arah ke destinasi dan tempat. Mungkin nampak mudah, namun kesukarannya tetap ada dan dia arif tentang itu semua kerana dia telah terlebih dahulu merasainya.
“Abang bukan apa, bimbang. Dian tu perempuan, tak macam abang. Takut jugak kalau ada apa-apa jadi pada Dian. Itulah sebabnya abang ajak pergi kerja sama-sama, tapi Dian tak nak. Saja nak buat degil kan?” balas Abang Saiful pula dan Dian hanya tersenyum mendengarnya.
“Bukannya tak nak, cuma Dian dah biasa macam ni. Sampai bila Dian nak bergantung pada orang lain. Dian pun nak belajar berdikari, nak uruskan hidup sendiri, kan itu yang Abang Saiful cakap dulu. Hidup kena berdikari. Dian hanya mengikut arahan.”
“Lagipun kan elok pagi-pagi jalan kaki dapat juga bersenam, baik untuk kesihatan.” balas Dian pula tetap tak mahu mengalah.
“Iyalah tu. Ikut suka hati Dian lah, abang tak nak paksa. Orang dah tak sudi, takkan kita nak paksa pulak kan?” tutur Abang Saiful merajuk. Kesal kerana bantuan yang ingin diberi tak diterima seperti yang diharapkan.
Kak Ira hanya mampu ketawa dengan gelagat keduanya. Gembira terasa di hati melihat keperihatinan yang ditunjukkan suaminya itu. Walaupun dikelaskan sebagai orang kurang upaya, tapi dia berasa sebaliknya. Tiada apa yang kurang kerana suaminya itu sudah cukup sempurna di hadapan matanya. Hatinya terang, dan disebabkan ketulusan hati suaminya itu jugalah dia jatuh sayang.
“Teruskanlah bertaki ya. Akak nak keluar sekejap, nak beli sarapan. Abang nak nasi kerabu kan? Dian ada nak pesan apa-apa?” soalnya pada Dian sambil tersenyum ceria. Seronok melihat keakraban keduanya.
“Tak payah la kak. Ni, Mak Andak ada bekalkan sarapan untuk kita. Jomlah kita makan sama-sama.” balas Dian sambil menghulurkan beg yang sedia di tangan.
“Ye ke Dian? Alhamdulillah, syukur. Tak payah akak keluar semula. Akak baru ingat nak ke sana, makanan yang Mak Andak masak best, tapi apa menu kita pagi ni? Dian bawa apa?” soalnya ingin tahu.
“Entahlah, Dian sendiri pun tak tahu. Cubalah akak tengok. Dian lupa nak tanya tadi.” balasnya pula. Kak Ira segera menyambut huluran yang diberikan untuk mencari jawapan.
“Beratnya Dian. Apa yang Mak Andak kirim agaknya ya? Suspen akak.” tuturnya pula sebelum matanya membulat dan bersinar ceria.
“Dah memang rezeki abanglah agaknya nak makan nasi kerabu hari ni. Sejak semalam asyik sebut tentang nasi kerabu Mak Andak. Minggu lepas nak beli, tapi dah habis. Sekarang dah ada depan mata. Hebatlah Mak Andak macam tahu-tahu je.” tuturnya gembira.
“Apa kata kita makan dulu, lepastu baru mula kerja. Jom kita makan.” cadang Kak Ira lagi sambil membawa bekas makanan tersebut ke pantri. Abang Saiful turut tak ketinggalan begitu juga dengan Dian dan dia gembira bila mengetahui usahanya dihargai semua.
Helaian kertas di hadapan mata diselak dan diteliti satu persatu. Otaknya ligat memikirkan hasil perbincangan yang baru dikelolakannya tadi. Masih terdapat isu-isu kecil yang perlu diselesaikan sebelum pembangunan semula resort tersebut dapat dimulakan. Walaupun hanya isu kecil, tapi ianya perlu segera diselesaikan supaya tak merencatkan proses pembangunan yang akan berjalan. Biarpun sudah mendapat persetujuan semua, dia tetap inginkan segalanya sempurna sebelum ianya bermula. Dia ingin membuktikan pada opah yang dia juga mampu meneruskan legasi keluarga.
Setelah puas memerah otak dia akhirnya mengambil masa untuk merehatkan diri. Badannya disandarkan pada kerusi empuk yang sebelum ini menjadi hak milik opah itu. Tiada sebarang perubahan dilakukan terhadap ruang pejabat berkenaan. Dia mahu semangat opah sentiasa ada menemaninya dan semoga dengan cara itu dia akan lebih berhati-hati ketika menguruskan sesuatu nanti.
Kalau dulu dia rimas dengan opah, rimas dengan perhatian dan tunjuk ajar opah yang sentiasa dianggap sebagai bebelan, tapi kini barulah dia tahu segala yang opah lakukan adalah untuk kebaikannya. Opah mahu mendidiknya menjadi manusia yang berguna kepada agama, bangsa dan negara dan disebebkan itu juga penambahan dana bagi yayasan yang ditubuhkan opah telah dilakukan agar lebih ramai dapat merasai nikmat pendidikan. Dia mahu membantu golongan-golongan yang kurang berkemampuan untuk melanjutkan pelajaran mereka ke peringkat yang lebih tinggi dengan harapan mereka juga mampu menyumbang bila masanya tiba nanti.
Tiba-tiba hatinya hiba kerana setiap kali perihal yayasan muncul di fikiran dia akan jadi teringatkan Dian semula.