Setelah berjalan buat beberapa ketika, mereka semakin menghampiri tempat Adam dan Nasir berada. Kak Lela menuntun Dian menuju ke arah mereka dan Dian seperti biasa tetap tersenyum, memberi sedekah paling mudah, terus datangnya daripada hati.
Kak Lela turut tersenyum melihat kerana dia rasa bahagia dan gembira. Seperti vairus yang mudah berjangkit, begitulah hebatnya kuasa senyuman nikmat ketenangan yang membahagiakan.
“Akak nampak tak diorang? Kalau ikutkan, mereka ada dekat-dekat sini, itupun mengikut apa yang Adam cakaplah. Ada ke tak?” soal Dian pada Kak Lela mencari keberadaan sahabat-sahabatnya itu. Sudah lama dia tak menjejakkan kaki ke situ dan keterujaannya memang terasa. Serentak ingatan pada teman-teman lama menjengah semula kerana keseronokan ketika bersama takkan mudah untuk dilupa.
“Tengok tu, akak lagi, panggil mak. Kita dah sampai dah. Mak dah nampak mereka kat depan tu. Aimi pun dah ada sama.” balasnya.
“Opss, sorry. Dian dah terbiasa sangat…mak. Ramai ke orang kat sana?” soalnya pula.
“Tak ramai sangat, hari ni kan hari kerja. Kalau semalam mesti sesak kan?”
“Hmm. Biasalah hujung minggu, ramai yang datang berkunjung. Pelancong-pelancong luarpun ada yang datang nak tengok aktiviti. Dah bertahun Dian tak jejakkan kaki ke sini, kali terakhir dulu datang dengan kawan-kawan, lepas submit projek akhir semester.”
“Lepas cuci mata terus pekena McD, biasalah budak-budak U, junk food memang dah jadi kegemaran sangat. Cepat dan sedap, paling penting sentiasa ada kat mana-mana kita pergi. Mana-mana pergi, ada je Mc D, KFC. Mesti dah banyak yang berubah kan?” balas Dian dengan senyuman kebahagiaan.
Dia mula merindui kehidupan di universiti, berteman sepanjang hari. Berkongsi kesukaran dan kepayahan yang dihadapi. Bimbingan dan tunjuk ajar takkan pernah lokek untuk diberi kerana ilmu kurniaan Illahi, harta Allah yang patut dikongsi.
“Makin bersih dan teratur, tapi tak adalah banyak beza sangat. Mak sebenarnya jarang ke sini, kalau datang pun dengan abang dengan kakak. Budak-budak tu suka bawa anak-anak ke sini, katanya nak tengok seni. Mak pun ikutkan jelah.”
“Kita dah sampai. Assalammualaikum.” tuturnya pada semua. Adam, Nasir dan Aimi segera berpaling ke arah mereka, sebelum tersenyum gembira.
“Waalaikumussalam. Datang pun, Adam ingat tak datang tadi.” tutur Adam ceria. Baru sebentar tadi mereka mula meragui janji yang telah dibuat kerana sudah agak lama mereka dibiarkan menunggu di situ.
“Mestilah datang. Kan dah janji. Dah mula ke?” soalnya pula. Mereka terlepas train yang sepatutnya tadi, jadi terpaksalah mereka menunggu lagi.
“Belum, kami tunggu tetamu VVIP la ni, tu yang tak mula lagi.” balas Nasir berseloroh sebelum mereka sama-sama tersenyum gembira.
“Dian, kau kat mana?” soal Aimi pula sambil tangannya mencari-cari Dian.
“Aku kat sini, kau kat mana?” balas Dian sambil turut melakukan perbuatan yang sama.
“Aku kat sini.” tutur Aimi pula memberitahu lokasi sebelum akhirnya jari-jemari mereka bertaut sambil dihiasi kuntuman senyum yang mekar di bibir keduanya.
“Datang juga kau akhirnya. Aku ingat kau tak datang tadi.” tutur Aimi sedikit kesal, tapi syukur kerana sangkaannya sebentar tadi ternyata meleset. Dian telah mengotakan janjinya untuk beriadah bersama.
“Kan dah janji, mestilah aku datang. Kenapa? Kami lambat sangat ke? Maaflah terlepas train, kena tunggu yang lain, itu yang lambat sikit. Aku pun silap jugak, budget macam biasa waktu muda-muda, masa mata tengah ada, memanglah cepat. Tak sangka boleh lambat. Maaflah ya, buat korang tunggu lama.” balasnya yang turut berasa kesal.
“Tak adalah lama sangat, sikit je…sikit.” tutur Aimi, mengisyaratkan dengan jari, walaupun tak nampak di pandang sendiri. Dia gembira berkawan dengan Dian. Biarpun baru bertemu mereka amat rapat. Dian sering membantunya dalam bentuk nasihat terutamanya bila dia hampir putus semangat.
“Tak apalah, yang penting datang. Terima kasih kerana sudi datang ya.” tutur Nasir pula.
“Terima kasih juga pada korang sebab sanggup beri tiket percuma.” balasnya dengan senyuman. Kak Lela hanya memerhati. Hatinya terhibur melihat gelagat mereka. Keihlasan jelas terpancar di wajah masing-masing dan kegembiraan mereka mampu dirasainya juga.
Mungkin mereka kekurangan dari satu segi, tapi Allah beri kelapangan hati sebagai pengganti. Kecacatan anggota lebih baik jika dibandingkan dengan kecacatan hati kerana ia tak memudaratkan dan datangnya sebagai ujian dari Allah untuk meninggikan lagi darjat mereka. Dengan tak semena-mena, air matanya mula bergenangan bila dia teringatkan Azizah semula.
“Zizah, aku akan jaga dia. Kau jangan bimbang ya. Aku janji dengan kau, aku akan pelihara dia macam anak aku sendiri. Aku harap kau tenang di sana.” bisiknya di dalam hati. Setitis air mata yang menuruni pipi segera diseka, tak mahu keadaannya itu diketahui sesiapa, sebelum dia tersedar, tiada siapa yang mampu melihatnya.
“Ok lah, jom kita start. Penonton sedia?” soalnya pada semua.
“Sedia.” jawap Dian dan Aimi kerana mereka sudah mula teruja, sebelum kedua-duanya berpelukan mesra.
“Okey good. Nasir ready?” soalnya pada Nasir yang telah bersedia di sebelah.
“Muzik ok. Sound check, 123. Mic ok. Orait, kita start jamming, tapi sebelum tu, aku nak minta maaf awal-awal, kalau tak sedap…jangan marah ekk.” tuturnya mengingatkan juga berupa gurauan. Hari yang paling bermakna dirasakan kerana dapat menghiburkan hati sahabat dan kenalan rapat. Mungkin mereka tak berpeluang mengenali wajah masing-masing, tapi melalui tuturkata, dia tahu sahabat-sahabatnya itu berhati mulia.
“Lagu pertama khas ditujukan untuk kita, dan diharapkan lagu ni akan jadi lagu tema untuk geng kita sampai bila-bila. Sebuah lagu daripada seberang nyanyian band Peterpan, Semua Tentang Kita. Harap semua dapat enjoy.” ucap Nasir sebelum memulakan petikan guitar, jelas di pendengaran malah amat mengasyikkan serentak mereka sama-sama memberi perhatian.
Bait-bait lirik yang penuh makna memberikan gambaran persahabatan mereka. Walaupun baru berkenalan, tapi silaturahim mereka sudah menjadi begitu akrab dan utuh. Ibarat aur dengan tebing. Sentiasa bergerak seiring, dan saling bergantungan di sepanjang perjalanan.
Dian bersyukur pada Allah kerana memberinya kesempatan untuk mengenali mereka. Betapa hebatnya aturan Allah. Setelah ketiadaan ummi, dia kini dikurniakan dengan sahabat-sahabat baru yang sangat memahami, sama macam ummi. Hatinya bahagia dan hanya Allah yang tahu perasaannya sambil di dalam hati berdoa agar hubungan itu akan berkekalan selamanya. Perlahan-lahan Aimi menggenggam erat tangan Dian, dan Dian tak ketinggalan untuk membalasnya tanda menghayati lagu yang didendangkan.
“Dian, kau sayang aku tak?” soal Aimi tiba-tiba.
“Sayang.” balasnya tanpa ragu-ragu.
“Kau tu, sayang aku tak?” soal Dian pula. Mahu turut sama menguji kesetiaan dalam persahabatan.
“Mestilah sayang. Kaulah kawan perempuan pertama yang rapat dengan aku sejak aku jadi macam ni. Sepanjang tempoh ni, tak ada siapapun yang ikhlas nak kawan dengan aku.” balasnya sayu.
“Macam mana pulak kau tahu aku ikhlas dan yang lain tak? Ha, macam mana kau tahu?” soalnya perlahan, tetap mahu mendengar persembahan.
“Sebab, orang ikhlas tak suka mengaku yang dia ikhlas.” balasnya sebelum mereka berdakapan kemas. Kak Lela tersenyum bangga melihat hubungan yang dipamer Dian dan Aimi. Persahabatan yang sejati, dan dengannya segala dugaan pasti akan dapat diatasi.
Selesai mendendangkan beberapa buah lagu, antaranya termasuklah lagu Teratai nyanyian rocker tanah air Pak Ramli Sarip, Sesat di Kuala lumpur dengangan Kumpulan Kembara dan paling mengejutkan lagu Hotel Carlifornia, lagu berhantu Band Eagle, Nasir dan Adam akhirnya berhenti rehat kerana mereka sudah penat. Bunyi tepukan yang diterima tak segamat semalam. Adam tahu, pengunjung hari ini pasti tak sebanyak mana.
Azeem masih menjadi peneman Dian yang setia. Walau kemanapun Dian pergi, pasti dia akan turuti kerana dia telah berjanji pada diri untuk memastikan keselamatan Dian. Dia mengambil tempat yang agak tersorok, sambil bersandar di sebalik sebatang pokok untuk memudahkannya memantau keadaan.
“Dian, kau nyanyi nak? Ganti aku kejap sebab tekak ni dah kering.” cadang Adam seketika kemudian.
“Tak naklah, aku malu. Aku tak pandai nyanyi.” balasnya, segera menolak sambil menggeleng-gelengkan kepala. Tak sanggup merosakkan suasana kerana keasyikan lagu yang dinyanyikan Adam sebentar tadi masih terasa dan dia tak mahu merosakkannya. Malu jika dibanding-bandingkan, silap haribulan kena boo ada. Bisiknya di dalam hati.
“La, nyanyi je, nak malu apa? Kamipun bukanlah pandai sangat. Lagipun bukannya ada ramai orang hari ni. Betul tak Kak Lela, orang tak ramai kan?” balas Nasir pula mahu memberikan galakan. Seboleh-bolehnya dia mahu Dian mencuba dah alang-alang datang, joinlah sekaki baru rock!
“Memang tak ramai sangat. Dian nyanyilah, mak pun nak dengar.” pujuk Kak Lela pula.
“Apa? Mak?” tutur Aimi, Adam dan Nasir serentak, seperti tak percaya tiba-tiba gelaran Kak Lela itu berganti pula.
“Tengok, diorang pun terkejut. Dian dah cakap kan, mak yang tak percaya.”
“Takpa, anak-anak, mulai hari ni, Kak Lela nak perkenalkan anak angkat akak yang sorang ni, Dian namanya, tapi rasanya semua dah kenal sangat kan? Lepas ni harap tak terkejut lagi.” balas Kak Lela pula.
“Syukur, alhamdulillah, Dian kau dah ada mak lagi, sama macam kami.” tutur Aimi turut berkongsi kegembiraan, biarpun hanya sekadar gelaran. Dari segi hukum, keluarga angkat juga mempunyai pertalian yang tak kurang pentingnya berbanding keluarga sendiri kerana gelaran mak dan ayah tak akan berhenti di situ saja dan baktinya akan sentiasa teriring sepanjang masa.
“Hmm.” balasnya sepatah tapi dia sendiri masih belum dapat menerima keadaan itu sepenuhnya.
Hatinya gembira, namun masih ada kebimbangan di situ. Mungkinkah kerana dia bimbang ummi akan diganti, dan dia takut akan melupakan ummi nanti? Tapi entahlah, dia sendiri tak tahu mengapa kerana makin difikir makin sakit kepala. Bisiknya dia dalam hati sambil menghela nafas panjang.
Kak Lela perasan riak wajah Dian itu, dan kini dia telah memikirkan cara untuk memberitahu tentang hubungannya dengan Azizah supaya Dian dapat diyakinkan.
“Cantik la tu Dian. Sempena menyambut hari yang baik ni, kenalah belanja satu lagu. Kau pilih je yang mana satu, nanti kami akan iringkan.” tutur Adam berkongsi keterujaan dan mereka sentiasa siap untuk memberikan persembahan.
“Betul tu Dian. Haritu aku dah try, tak ada orang yang boo. Tak payahlah malu, kami kan ada. Lagipun bukannya nampak pun kan?”
“Cubalah, buat release tansion. Buat macam nyanyi kat karaoke. Sekali je, aku pun nak dengar kau nyanyi. Please, sekali je. Tadi kata sayang.” tutur Aimi, mula nak merajuk. Dia mahu Dian turut serta dalam acara hari ini. Tambah pengalaman, tak lupa juga keyakinan kerana nyanyian merupakan salah satu kaedah berkomunikasi yang berkesan.
“Seganlah. Suara aku tak sedap.” balasnya, masih menolak. Bukan dia tak sudi, cuma tak mahu menjadi perosak industri.
“Nak segan apanya? Buat je macam rumah sendiri. Cubalah dulu. Dian nak nyanyi lagu apa?” sampuk Nasir pula. Akibat tak tahan dengan desakan, Dian akhirnya menurut kerana jauh di sudut hati, dia juga terasa mahu mencuba, cuma keberaniannya yang tak ada, namun setelah mendapat galakan daripada semua dia mara ke depan akhirnya.
“Ok aku nyanyi, tapi korang kena janji, kalau tak sedap jangan gelak. Senyum pun tak boleh.” tuturnya memberi syarat.
“Ok kami janji!” jawap semua serentak. Gembira rasa di hati kerana dapat melibatkan Dian sekali dalam aktiviti.
“Lagu apa?” soal Adam mahu memastikannya terlebih dahulu. Berharap lagu yang pernah mereka bawakan, mudahlah nanti kerana mereka tak mahu Dian rasa terkilan.
“Lagu Pergi, Aizat Amdan. Biasa bawa tak?” soalnya pula.
“Itu lagu tu kegemaran aku. Cayalah Dian, kita minat lagu yang sama. Kalau macam tu senanglah. Boleh kata hari-hari aku nyanyi lagu ni kat rumah, tapi kenapa pilih lagu sedih?” soal Adam semula.
“Sebab lagu tu buat aku ingat pada ummi dan sebab lagu tu jugalah aku jadi bersemangat untuk teruskan hidup ni.” balasnya perlahan.
“Oklah kalau macam tu. Bila kau dah ready bagitahu.” arahnya sebelum mengambil mood. Note dan key lagu yang telah lama dihafalnya itu terpamer di minda. Perlahan dan mampu menenangkan hati dan telinga pendengarnya.
Kak Lela terharu mendengar. Wajah Azizah segera muncul di mata. Serentak kenangan ketika bersama menjelma semula.
“Ok, aku dah sedia.” tuturnya setelah menarik nafas untuk menenangkan diri dengan kedua-dua belah tangan memegang erat alat pembesar suara yang disediakan sambil menunggu muzik dimainkan. Azeem seperti tak percaya bila Dian dilihat kehadapan. Tanpa disedari kakinya melangkah dan terus melangkah sehinggalah dia berdiri betul-betul bertentangan dengan Dian, dibelakang beberapa susuk tubuh yang masih menunjukkan minat dan memberi perhatian.