Matanya tetap tertumpu di situ, lokasi terakhir dia terlihatkan Dian tempoh hari. Azeem masih setia menanti, biarpun sudah masuk hari ke 5 dia memerhati. Walaupun usahanya belum membuahkan hasil, tapi dia pasti itulah petunjuk terbaik yang ada untuk menjejaki Dian semula. Berjam-jam dia menunggu, sampailah dia yakin Dian takkan muncul hari itu, barulah dia meneruskan perjalanannya ke pejabat.
Selesai mandi dan bersolat, Dian ke dapur. Hajat hati ingin mengisi perut yang mula berkeroncong kerana dia tak sempat singgah ke kedai untuk membungkus makanan tadi. Akibat kesuntukan masa, dia terus bergegas pulang ke rumah, tak rela menqada’kan solatnya semata-mata kerana makanan. Pelanggan hari ini melebihi kebiasaannya, malah terdapat beberapa orang pelanggan baru yang mula mendaftarkan diri sebagai ahli.
Minggu ni sahaja sudah masuk dua hari dia kerja lebih masa, tak boleh tolak sebab itu kan rezeki. Maklumlah waktu cuti sekolah, ramai yang balik ke kampung, tapi itu tak seharusnya menjadi alasan meninggalkan kewajipan pada Yang Satu. Solat tiang agama. Tanpa solat, bagaimana mungkin agama dapat dibina dan tanpa agama, nescaya manusia akan binasa. Dia ingat lagi pesan ummi dulu, jangan tinggal solat. Amanah ummi itu sesekali takkan di nodai, dengan izinNya, insyaAllah kerana dia sayangkan ummi dan dia sayangkan segala ilmu yang dititipkan padanya.
“Nak makan apa ya hari ni?” tuturnya sambil membuka peti sejuk. Tangannya meraba-raba mencari bahan yang ada, sebelum sebiji telur dicapai dan dikeluarkan.
“Makan maggi jelah Dian, tambah telur sebiji. Oklah tu, ada jugak makanan. Saudara kau kat luar tu lagi ramai yang tak dapat makan. Syukurlah yang kau masih lagi dapat makan biarpun hanya maggi kari dengan telur sebiji.” ngomelnya sendiri.
Perkhabaran yang didengarinya semalam masih terkesan dihati. Dunia tetap tak berubah, dan masih sama macam dulu. Konflik kemanusian yang berlaku di serata dunia menerbitkan perasaan sedih di hati. Jutaan penduduk terutamanya kanak-kanak di Yaman sedang mengalami krisis kebuluran dan kekurangan zat akibat peperangan yang berpanjangan manakala saudara-saudaranya di Syria sedang turut sama diuji.
Airmatanya kembali bergenang memikirkan cabaran yang dihadapi mereka. Walaupun tak pernah mengenali, tapi doa tak lupa dikirimkan setiap hari agar mereka dapat mengecapi kemakmuran satu masa nanti. Serentak titisan air jernih itu disapu dengan belakang tangan.
“Ummi jangan marah ya. Dian dah lapar sangat ni. Kalau nak keluar hari dah gelap, bahaya. Kira halallah ya ummi.” tuturnya semula. Kali ini membutirkan sekuntum senyuman. Ummi memang tak menggalakkan dia makan makanan segera seperti itu, maggi terutamanya, tapi apa boleh buat. Itulah makanan paling pantas dan mudah untuk disediakan dalam keadaan darurat, ditambah pula dengan keadaannya yang sudah hilang upaya. Berhati-hati dia menuju ke dapur untuk menyediakan juadah makan malamnya itu.
“Ummi, esok Dian nak datang jumpa ummi. Ummi tunggu Dian tau. InsyaAllah pagi esok lepas subuh, eh silap…” tuturnya sebelum dia pantas menggeleng-gelengkan kepala.
“Kalau lepas subuh gelap lagi, takut pulak Dian. Siang sikit Dian datang.” tambahnya riang. Semalam Udin sudah berjanji untuk menghantarnya melawat ummi. Rasa tak sabar menanti hari esok kerana sudah berbulan dia tak menjengah pusara ummi.
Bunyi telefon bimbit yang diletakkan di meja kopi membuatkan dia terkejut. Serentak dia bertindak untuk mendapatkannya.
“Assalammualaikum akak, Emma ni.” tutur Emma ceria.
“Waalaikumussalam. Emma, akak ingat siapalah tadi.” balasnya, juga dengan wajah ceria.
“Akak, esok akak cuti kan?” soalnya kerana ada perkara yang dia mahu bincangkan.
“Hmm, esok akak cuti, tapi kenapa?” soal Dian pula menyedari ada sesuatu yang bermain di fikiran Emma, sukarelawan muda di pusat orang cacat penglihatan yang disertainya itu.
“Akak, Emma dah carikan info berkaitan dengan Al-Quran Brillle tu.”
“Betul ke Emma dah cari?” soalnya teruja.
“Dah, Emma dah kumpulkan. Ingat esok nak discuss dengan akak. Akak free tak esok? Kalau free, datanglah pusat, Emma tunggu sebab minggu ni tak ada program.” tuturnya mencadangkan, turut sama teruja dengan maklumat yang diperolehi dan dia mahu membantu selagi termampu. Hanya itu yang dia boleh lakukan kerana dia tak punyai harta kekayaan untuk didermakan. Ilmu dan sokongan emosi menjadi satu-satunya bantuan yang boleh dihulurkan buat masa ini kerana rezeki kan milik Ilahi.
“InsyaAllah esok akak datang. Ikutkan minggu ni Adam dengan Nasir ajak pergi tengok diorang perform kat CM, tapi last minit ada hal kat kampung, tu yang postpone ke minggu depan, tapi lambat sikit boleh? Dalam pukul 11.00 ke macam tu, sebab pagi akak ada hal sikit.” balasnya.
“Takpalah lambat pun, janji akak datang. Tapi elok jugak, nanti boleh terus lunch sekali, temankan Emma. Sejak Kak Ton cuti bersalin, tak ada kawan. Setiap hari Emma kena makan sorang-sorang je, huhuhu.” tuturnya sedih.
“Takpa, esok akak temankan Emma makan.”
“Ok, seronok lah kalau macam tu. Akak tengah buat apa? Dah makan ke?” soalnya pula.
“Emma ni macam tahu-tahu je. Akak tengah masak la ni, masak maggi.” tiba-tiba dia tersedar.
“Alamak alapak, air akak kat atas dapur, mesti dah menggelegak. Nasib baik Emma ingatkan.” balasnya sebelum menuju semula ke dapur.
“Makan maggi je? Tak baiklah selalu makan maggi. Mak Emma kalau tahu Emma makan maggi, mesti berleter, adoi, pening kepala. Tapi akak suka yang mana? Emma suka tomyam, pedas, baru ada kick.” balasnya kerana dia juga kadangkala tak dapat menolak untuk memakannya, terutama bila mahu cepat. Namun jumlah pengambilannya sentiasa akan dijaga, tak mahu terlalu bergantung padanya. Dian hanya mampu ketawa, setelah sedar Emma juga tak ketinggalan menikmati makanan tradisi pelajar-pelajar universiti.
“Biasalah dinner untuk sorang, maggi kari dengan telur sebiji. Mujur ada, kalau tak kena makan telur rebus je lah gamaknya malam ni. Tadi tak sempat nak bungkus, itupun dah nyaris-nyaris terkucil solat Asar. Kalau tak, menyesal tak sudah.” balasnya sambil membuka paket maggi berkenaan dan memasukkannya ke dalam periuk.
“Takpalah kalau macam tu. Akak masaklah, Emma tak nak ganggu. Selamat menjamu selera, esok jangan lupa janji kita.” pesannya mengingatkan.
“InsyaAllah, esok kita jumpa. Assalammualaikum.” balas Dian mengakhiri perbualan.
Hatinya lega dan kegusarannya terubat. Rancangan untuk mempelajari Al-Quran Brille itu dibuat bila menyedari dia tak akan dapat membaca Al-Quran yang biasa lagi. Sudah tiba masanya dia mencari alternatif lain untuk memastikan amalan itu dapat diteruskan. Buta bukanlah kekangan yang akan menjarakkan dia dengan agama dan Al-Quran.
Masih terdapat cara dan kaedah untuk dipraktikkan dan terima kasih pada yang sanggup mendermakan masa dan kepakaran. Dia sedar hidup hanya sementara dan dia tak mahu membuang masa. Biarpun masih tak tahu bagaimana caranya, dia bersedia untuk berusaha sehabis daya, asalkan ilmu itu dapat terus dipelajari dan dihidupkan kembali. Al-Quran sumber kekuatan, dikala sunyi dialah peneman, ubat terbaik bagi hati yang mendambarkan ketenangan.
Tangannya dipimpin oleh Mak Andak menuju ke pusara ummi. Dia jadi makin tak sabar kerana bukan selalu mereka dapat bertemu. Rindunya pada ummi tak dapat digambarkan dengan kata-kata kerana semenjak matanya begitu, dia tak lagi mampu pergi sendiri ke situ.
Pernah satu ketika dia mencuba, tapi sudahnya dia berlinangan air mata kerana dia nyata hampa. Pusara ummi tak berjaya untuk ditemui dengan berbekalkan tongkat dan fokus penglihatan yang terhad. Kawasan perkuburan yang luas dan semakin bertambah hari demi hari menyukarkan dia untuk mengenalpasti lokasi.
Sudah puas dia mencari, namun pusara ummi tetap tak dapat dijumpai. Akhirnya terpaksalah dia membacakan Surah Yasin dan doa dari tempat itu saja. Dia tak mahu sesat lagi, cukuplah sekali, dan untuk itu dia terpaksa juga meminta pertolongan daripada Udin kali ini.
“Dian dah sampai.” tutur Mak Andak pada Dian setelah agak lama mereka berjalan.
“Betul ke dah sampai Mak Andak?” balasnya dengan senyuman.
“Dah, kita dah sampai, tapi sekejap, biar Mak Andak bentangkan tikar dulu.” tuturnya sebelum membuka tikar lipat yang dibawa.
Bahagianya hanya dia yang rasa. Dapat berpeluang ke pusara bonda yang tercinta, kerana sudah berbulan-bulan dia menantikannya. Dia tahu kalau diminta, pasti Udin tak keberatan untuk membantunya, cuma dia tak mahu terlalu banyak menyusahkan Udin dan keluarga kerana sudah terlalu banyak yang dia terima.
“Udin ambil air sembahyang tak tadi? Kalau tak, pergi ambil air sembahyang kat paip sana tu.” tutur Mak Andak pada Udin yang sedang berdiri dibelakangnya.
“Dah, Udin dah ambil sebelum keluar tadi. Tapi kenapa? Bukan ke mak yang nak imamkan kita?” balasnya pula.
“Budak ni? Kat sini pun masih nak main-main lagi? Cuba hormat sikit.” marah Mak Andak pula.
“Sorry, sorry. sorry. Nak bergurau pun tak boleh? Mestilah Udin yang akan imamkan sebab Udin kan lelaki.” balasnya pula menyesali perbuatan yang dilakukan sebelum segera dia mengambil tempat. Bukannya sengaja, tapi tak dapat nak menahan diri untuk bergurau senda.
Dian tersenyum gembira dibuatnya. Udin memang tak pernah mahu berubah. Suka sangat menyakat maknya itu. Bila ditanya kenapa, dia kata suka. Suka bila tengok maknya marah. Katanya kan marah tu tanda sayang. Kenangan ketika bergurau senda bersama ummi terpamer jelas di mata. Dia mengakuinya, dia juga begitu semasa ummi masih ada. Serentak setitis air matanya menitis juga.
“Assalammualaikum ummi. Dian dah datang ni. Dian datang nak tengok ummi.” tuturnya sambil mencari kedudukan batu nisan ummi sebelum mengusap-usapnya lembut. Perkara yang terlalu sukar dilakukan setakat ini, mengunjungi pusara ummi seorang diri kerana tanpa bantuan, mereka pasti tak akan dapat dipertemukan.
“Assalammualaikum ummi. Udin pun datang jugak. Mak pun ada sekali.” ucap Udin pula yang sudah bersedia di tempat yang sepatutnya. Sempat dia memandang ke arah Kak Dian yang ceria walaupun ditemani air mata. Dia tumpang gembira melihatnya malah bangga kerana dapat membuat jasa bila hajat Kak Dian itu akhirnya berjaya ditunaikan.
“Kita mula lah ya.” tutur Udin tak berapa lama kemudian. Serentak Dian dan Mak Andak mengangguk dan dimulakan dengan bacaan Al-Fatihah, diikuti pula dengan Surah Yasin lalu diakhiri dengan bacaan tahlil kepada arwah ummi yang terlebih dahulu dipanggil menghadap llahi.
Sudah lebih dua jam dia menunggu, tapi dia masih setia di situ. Seminggu sudah berlalu, namun penantian tetap tak menemui penghujungnya. Semalam dia ada menghubungi Razif, tapi jawapan yang diperolehi tetap sama. Dia tak tahu Dian dimana. Melalui cara Razif bercakap, dia sudah dapat mengagak rakannya itu sengaja mahu berahsia. Mana mungkin dia boleh setenang itu jika dia tak tahu di mana Dian berada. Dia juga tahu Razif sekadar mahu menjaga hatinya. Kenyataan yang sebenar, Dian sudah tak mahu bersua dengannya lagi, itu yang pasti kerana hatinya sudah terlalu parah dilukai.
“Terimalah Azeem. Dia dah tak nak jumpa dengan kau lagi. Dia dah bencikan kau. Kau buat dia tak dapat jumpa dengan ummi.” tuturnya sebelum menghela nafas panjang.
“Kau punca segala-galanya. Kau yang buat dia merana.” tambahnya lagi setelah sedar sudah terlalu banyak hati itu disakiti, tapi dia tetap ingin bertemu semula dengan Dian walaupun hanya sekali. Agar dia perpeluang memohon maaf dan mengakui segala kesalahan serta merayunya untuk kembali. Biarpun kepastianya nyata, namun dia tetap mahu mencuba buat yang terakhir kalinya.
Dalam pada dia memikirkan kemungkinan yang bakal berlaku, dengan izinNya, usaha itu dipermudah. Kini yang lama dinanti benar-benar telah berada di hadapannya. Dian dilihat sedang menuruni anak tangga menggunakan escalator yang telah disediakan. Debaran didada semakin terasa dan gegarannya mula menyesakkan jiwa. Lidahnya jadi kelu untuk bersuara setelah hampir setahun mereka tak bersua. Azeem cuba mengumpulkan segala kekuatan yang ada sambil di dalam hati tak putus berdoa agar hasratnya itu akan diterima.
Namun, perkara yang berlaku selepas itu lebih memeranjatkannya. Denyutan jantungnya seakan terhenti tadkala terlihat Dian menggenggam erat sebatang tongkat di tangan. Gelap, itulah gambaran mindanya saat itu. Kakinya rasa terpasak ke bumi, tak mampu untuk melangkah lagi sebelum segala kekasaran yang dilakukan pada Dian pantas memunculkan diri. Perasaan bersalah itu datang lagi lalu meleburkan segala kekuatan yang telah dikumpulkan sebentar tadi.
“Ya-Allah Azeem…apa yang kau dah buat pada dia?” bisiknya perlahan. Air matanya sudah mula bergenangan. Namun, biarpun dalam keadaan begitu, dia dapat melihat Dian seperti sangat bahagia. Dian masih mampu tersenyum malah senyumannya itu manis dan penuh ikhlas, berbeza ketika waktu bersamanya dulu. Senyuman yang takkan pernah dapat dimilikinya sampai bila-bila dan tanpa sedar dia mengekori langkah Dian dengan perasaan hiba yang tak tertahan, sambil menyesali segala kesalahan yang pernah dilakukan.