Dian duduk di kerusi menunggu yang disediakan di luar bilik bedah. Akhirnya pembedahan ummi berjalan seperti yang dirancang. Dia tak putus berdoa agar segalanya dipermudahkan untuk ummi kerana hanya pada yang Esa tempat kita meminta. Kenangan masa lalu tiba-tiba muncul tanpa dipaksa. Semakin samar-samar, tapi tetap terkesan di dalam ingatan. Serentak itu dia jadi sedih kerana sememangnya hidup ummi tak pernah sunyi daripada dugaan.
“Awak merayap ke mana lagi tu ha? Saya dah kata, jangan keluar rumah. Awak pergi menjaja cerita rumahtanggga kita pada orang luar? Itu ke yang awak buat? Kan saya dah pesan, jangan keluar. Awak ni memang nak kena!” jerit Ehsan pada Azizah yang baru muncul di muka pintu. Dia benci untuk menjadi penunggu di situ.
Bukankah sepatutnya kepulangannya di sambut, tapi isterinya keluar berpeleseran tanpa kebenarannya. Paling membuatkan dia sakit hati bila memikirkan si isteri menjaja masalah rumahtangga mereka kepada jiran tetangga. Serentak dia mencengkam tangan Azizah sebelum mengheretnya ke dalam bilik.
Razif yang sedang mendandankan Dian pantas menutup telinga adiknya itu. Dia tak mahu Dian terkejut dan takut kerana sudah acap kali perkara seperti itu berlaku. Tindakan Abi yang selalu mengasari ummi membuatkan hatinya sakit dan pedih.
“Abang, Zizah cuma keluar ke kedai. Barang dapur dah habis, budak-budak lapar nak makan. Zizah tak jumpa dan bercakap dengan sesiapa pun.”
“Tadi Zizah dah cuba telifon abang nak minta kebenaran, tapi abang tak angkat. Abang tolonglah, jangan buat Zizah macam ni.” rayunya, namun tetap tak diendahkan. Kepala angin suaminya itu memang sukar untuk diubah. Sudah lama dia bertahan, tapi keadaan masih berkekalan.
“Abang tolonglah bang. Zizah sakit.” rayunya lagi. Muka merah suaminya itu dipandang, minta belas ihsan kerana sudah bertahun-tahun keadaan itu berlarutan. Keharmonian istana cinta tak bertahan lama. Hanya beberapa bulan diperlukan sebelum sifat sebenar suaminya itu muncul dan mendera jiwa. Sikap panas barannya tak tentu masa, pantang ada yang tak kena pasti tubuh itu yang menjadi mangsa.
“Kau jangan nak bohong la. Kau ingat aku tak tahu kau ke mana? Kau keluar jumpa dengan kekasih lama kau tu kan? Aku dah nampak semuanya. Aku nampak kau dengan dia tadi, bercakap kat kedai depan tu. Sekarang kau nak menipu lagi?” pekik Ehsan. Bayangan Azizah bersama seorang lelaki yang dilihatnya tadi masih melekat di fikiran. Serentak api cemburunya marak semula.
“Abang dah salah faham. Zizah tak buat apa-apa pun dengan dia. Kami cuma kebetulan bertembung tadi. Abang tolonglah bang. Zizah sakit.” rayunya lagi. Luka beberapa hari lepas masih tak sembuh, kini dia akan di hukum lagi? Itupun kerana salah faham? Ya Allah, bantulah aku ya Allah. Bisikya dalam hati berulang kali.
“Aku tahu, selama hari ni kau main cinta dengan lelaki lain kan? Memang dasar tak tahu diuntung. Kalau tak aku yang ambil dan kutip kau kat tempat tu, kau takkan dapat jadi macam sekarang.”
“Lepas semua yang aku buat, kau masih nak menggatal dengan jantan lain? Apa tak cukup semua yang aku beri selama ni? Kau memang nak kena!” marah Ehsan lagi. Segala kata-kata isterinya itu hanya memarakkan hati yang sedia terbakar. Tubuh Azizah dicampakkan ke atas katil sebelum dia membuka tali pinggang dan melibaskannya ke arah Azizah berulang kali. Tangisan dan rayuan Azizah langsung tak diendahkannya sehinggalah sampai di satu ketika bunyi esakan dan rayuan itu berhenti dengan sendirinya.
Razif mengetuk pintu bilik ummi lagi. Sudah beberapa kali dia cuba membuka pintu bilik tersebut, tapi setiap kali cubaan itu gagal, bila ummi menguncinya daripada dalam. Abi sudah keluar untuk ke tempat kerja awal tadi dan kini dia mahu memeriksa keadaan ummi kerana dia pasti ummi telah teruk disakiti. Perangai abi memang tak pernah berubah. Bila marah sampai naik kaki tangan. Serentak dia mengeluh menyatakan kekesalan.
“Abang, adik lapar.” tutur Dian yang tiba-tiba muncul di sebelahnya. Sejak semalam mereka tak menjamah apa-apa. Perut hanya dipenuhi dengan air kosong dan begitulah keadaannya setiap kali ummi dan abi bertaki. Makan dah tak menjadi penting pada diri.
“Adik tunggu sekejap ya. Abang tengok apa yang ada kat dapur. Adik duduk depan dulu. Nanti abang masak.” balasnya sebelum beralih ke dapur. Usianya telah menjangkau 14 tahun dan dia sudah mampu untuk menguruskan hal-hal rumahtangga. Razif tahu dia perlu menjaga Dian, adik tunggalnya itu kerana dia takkan sampai hati melihat adiknya itu kelaparan. Segera dia memasak nasi dan mencapai beberapa biji telur yang dijumpainya di ruang tamu sebelum dia leka memasak di dapur.
Wajah adik yang makan dengan berselera dipandang ceria. Razif gembira kerana dapat menyediakan sesuatu untuk adik. Biarpun hanya berlaukkan telur goreng dan kicap, Dian tetap makan tanpa ada sebarang rungutan. Sesuap-demi sesuap nasi dihabiskan dengan jayanya sebelum dia tersenyum suka.
“Sedap ke dik?” soal Razif mahu minta pendapat.
“Sedap…pandai abang adik masak.” balas Dian dengan senyuman sambil mengangkat tinggi ibu jari.
“Kalau sedap, adik makan lebih sikit.” ujarnya lagi, pantas Dian mengangguk.
Dia rasa kecewa bila keadaan yang sama berulang dan berulang lagi. Makin lama, makin teruk. Sejak akhir-akhir ini, abi dilihat semakin tak terkawal. Pantang silap sikit, pasti ummi yang menjadi mangsa. Dia dan Dian hanya mampu melihatnya kerana abi dah tak segan silu menunjukkan taringnya pada semua.
Selesai menyiapkan Dian, Razif menyendukkan sepinggan nasi lalu membawanya ke bilik ummi kerana dia pasti ummi tentu takkan keluar bilik hari ini.
“Ummi…” tuturnya perlahan, sambil mengetuk pintu bilik.
“Ummi...” panggilnya lagi. Namun sama seperti tadi, ummi tetap sunyi.
“Ummi, abang ada masak, ummi makan ya. Abang tinggalkan nasi kat luar ni.” tuturnya sebelum beredar namun bunyi tombol pintu yang dipulas, merencatkan langkahnya. Matanya sempat terpandangkan bahagian tangan ummi yang dipenuhi kesan libasan, akibat tindakan abi yang keterlaluan.
Selang beberapa hari, barulah ummi keluar daripada kurungan yang diciptanya sendiri. Sepanjang tempoh itu, segala tugasan rumah tangga akan diuruskan oleh Razif. Tugas-tugas memasak, membasuh dan mengemas semakin sebati dengan dirinya kerana sudah bertahun-tahun keadaan itu berlarutan dan Dian turut tak ketinggalan menghulurkan bantuan. Tapi yang peliknya layanan buruk abi hanya pada ummi, tapi tidak kepada mereka berdua.
“Ehsan, pengarah nak jumpa. Ni mesti tentang kenaikan pangkat tu kan? Akak nak ucapkan tahniah awal-awal. Kami semua dah agak Ehsan akan dapat jawatan pengurus tu. Cepat pergi, nanti lama dia tunggu.” arah Kak Zaimah, merangkap setiausaha pengarah syarikat telekomunikasi tempat Ehsan bekerja.
“Betul ke kak? Sekarang?” soal Ehsan seperti tak percaya. Sudah lama dia mengimpikan jawatan tersebut. Segala kerja-kerja yang diberi dilakukan dengan bersungguh-sungguh untuk mendapat kepercayaan pegawai atasannya itu. Malah En. Bashar telah memberi bayangan awal tentang perkara tersebut.
“Iya la sekarang. Takkan esok pulak. Cepat sikit, nanti dia ubah fikiran baru Ehsan gigit jari. Cepat, dia dah tunggu tu.” arahnya lagi.
“Terima kasih kak, terima kasih.” balasnya sebelum menuju ke bilik pengarah.
Wajah En.Bashar ditentang tenang, namun dalam hati hanya dia yang dapat merasai geloranya.
“Saya ada hal yang nak dibincangkan dengan Ehsan.” tutur En.Bashar dengan wajah yang serius.
“Tapi sebelum tu, saya nak minta maaf awal-awal dengan Ehsan. Saya harap Ehsan tak kecil hati.” katanya lagi. Ehsan resah mendengarnya, serentak hatinya mula rasa tak tenteram.
“Jawatan yang saya janjikan pada Ehsan, terpaksa saya beri pada Zailani. Saya harap sangat Ehsan dapat faham masalah saya. Syarikat ni isteri saya yang punya dan Ehsan sendiri tahu kan yang Zailani tu adik dia. Saya rasa bersalah sebab beri harapan, tapi berita baiknya, ada satu lagi kekosongan jawatan yang sama di cawangan kita yang baru di buka di Kanada. Ehsan berminat?” soalnya. Ehsan mula rasa tak gembira dan dia hanya diam saja.
“Saya yakin, dengan pengalaman yang Ehsan ada, Ehsan mampu untuk memajukan anak syarikat kita di sana.” tambahnya lagi dengan harapan cadangannya itu diterima kerana dia sendiri meyakini kebolehan Ehsan, pekerja terbaik syarikatnya itu.
“Maksud tuan ke Toronto?” soal Ehsan tak senang hati. Hal seperti itulah yang ingin dielakkannya. Dia tak mahu ditugaskan ke luar negara kerana banyak perkara yang bakal terlibat sama. Tentang pembelajaran anak-anak terutamanya dan ia memakan masa dan tenaga.
“Ya, ke Toronto. Kalau Ehsan setuju, hujung bulan ni Ehsan dah kena pergi. Saya harap Ehsan tak tolak tawaran ni. Ehsan setuju?” soalnya semula. Ehsan tetap teragak-agak untuk menjawap kerana dia masih belum dapat membuat keputusan.
“Tak apa. Kalau macam tu, Ehsan fikirkanlah dulu. Lepas dah ada keputusan Ehsan beritahu saya, tapi saya harap Ehsan tak akan menghampakan saya.” tambahnya lagi, yakin yang dia takkan dihampakan kerana Ehsan sangat berdedikasi dalam pekerjaan. Perlahan-lahan Ehsan mengangguk faham.
Berkat bantuan daripada En.Bashar, proses pertukaran itu menjadi lebih lancar. Segala urusan dokumentasi diri dan keluarga telah berjaya diuruskan. Tinggal beberapa hari saja lagi sebelum mereka berempat beranak akan bertolak ke luar negara.
Razif dan Dian ke rumah opah, jiran sebelah rumah untuk menghantar juadah yang ummi telah sediakan. Azeem rakan sekelas Razif menyambut kedatangan mereka dengan senyuman lebar sehingga boleh ternampak gusinya.
“Nah. Ummi suruh hantar.” tutur Razif sambil menghulurkan bekas mangkuk tingkat.
“Wah, kau bawa apa ni? Ummi masak apa pulak hari ni?” soalnya gembira. Seronok dapat merasa air tangan ummi, kerana dia sudah lama ditinggalkan sendiri.
“Ummi masak gulai lemak ayam, tapi pedas sikit la. Kau kan suka makan pedas. Ummi kata nanti lama tak jumpa, tu yang dia nak masak untuk kau.” tutur Razif sambil mereka beriringan menuju ke dapur.
“Korang dah makan ke belum?” soal Azeem pula. Tak seronok pula makan sendiri.
“Kami belum lagi. Ingat nak makan sekali dengan ummi dengan abi nanti. Kejap-kejap lagi abi aku baliklah tu. Kau makanlah dulu.” balasnya. Azeem tak tunggu lama, sebelum dia segera mengambil pinggannya.
“Lupa aku nak tanya, opah mana?” soal Razif seketika kemudian.
“Entah. Aku pun tak tahu. Sejak pagi tak nampak. Kat pejabatlah tu agaknya. Kau bukan tak tahu opah aku tu macam mana, sibuk memanjang.” balas Azeem, malas ambil pusing. Kalau opah tak ada lagi best, dapatlah dia rehatkan telinga. Kalau opah ada, penat rasa nak melayannya. Sepanjang masa menceritakan tentang asal usul keluarga dan pewarisan, sampai dia dah bosan.
“Nek Yam?” soalnya lagi.
“Nek Yam cuti hari ni. Aku boring gila duduk sorang-sorang kat rumah. Keputusan SPM tak keluar lagi, tapi opah dah daftarkan aku dengan macam-macam kelas, pening betul kepala. Sampai nak keluarpun tak boleh.” “Macam nilah hidup aku, sama macam katak kat bawah tempurung. Terasing dari dunia luar. Nasib baiklah ada kau dengan Dian selalu datang temankan, kalau tak, tak tahulah apa yang aku nak buat.” tuturnya menyatakan kekecewaan.
Hidup seorang diri di bawah pengawasan ketat opah sangat merimaskan. Semua yang ingin dilakukan perlu dibincangkan dan dilaporkan terlebih dahulu. Rasa macam jadi tawanan rumah pun ada. Satu-satunya sahabat yang dia ada hanyalah Razif. Itupun hanya untuk seketika. Tinggal sehari dua saja lagi masa yang dia ada kerana selepas ini mereka akan jarang sekali berjumpa.
“Adik nak makan sekali tak? Adik teman Abang Azeem makan boleh?” soalnya pada Dian yang sedang galak memerhati.
“Tak nak. Adik nak makan sekali dengan ummi.” balasnya, sebelum memeluk tubuh Razif. Mereka memang tak boleh berenggang. Kemana ada abangnya tu, pasti dia akan ada bersama. Dia sayangkan abang Razif sama seperti dia sayangkan ummi.
“Makan sikit je. Abang Azeem suap nak?” pujuk Azeem lagi. Sambil menyuakan sesudu nasi ke arah Dian.
“Tak nak, adik nak makan dengan ummi.” tegasnya lagi. Azeem mula mencebik kecil hati.
“Adik makan la sikit. Kesian abang tengok Abang Azeem tu.” tutur Razif, menghargai keperihatinan sahabatnya itu.
“Tapi ummi tak makan lagi. Adik nak makan sekali dengan ummi.” balas Dian pula sambil memandang ke arah abangnya.
“Makan satu je takpa. Nanti balik rumah kita sambung makan dengan ummi.” tambah Razif lagi. Dia gembira kerana Dian disayangi semua sedang Azeem masih menanti, menunggu Dian berubah hati.
“Ok, tapi satu je. Satu je.” tuturnya sambil mengangkat jari telunjuknya yang halus itu. Azeem gembira. Seronoknya rasa punya saudara, dapat bersenda gurau dan ketawa bersama, tak sepertinya yang hidup sebatang kara dan tanpa berlengah-lengah, dia mula menjamu selera.
“Wah sedapnya ummi masak, kalah masakan Nek Yam.” tuturnya gembira. Hatinya riang bertemankan Razif dan Dian.
Jadual harian yang padat, membuatkannya terasa lemas dan penat. Malah kehidupannya hanya berkisar antara sekolah dan rumah. Dari sekolah kerumah, kemudian dari rumah ke sekolah. Itu sajalah kerjanya kerana Opah melarang dia keluar sesuka hati dan kekebasannya disekat. Sejak papa dan mama pergi, opahlah yang menjaganya. Dia tak berani membantah kerana dia tahu yang dia tak punya sesiapa, selain daripada opah.
“Kau anggaplah macam jamuan perpisahan kita. Kami dah kena bertolak hujung minggu ni. Dah tak tinggal beberapa hari je lagi kami kat sini. Aku harap sangat yang persahabatan kita takkan terhenti.” sayu kedengaran suara Razif mengungkapkannya.
“Apalah kau ni. Happy la sikit. Macamlah kita tak boleh berhubung. Internet kan ada. Lepas ni jangan lupa kirim khabar. Kau tak pernah ke sana lagi kan? Aku dah pernah, lama dulu. Masa tu aku pergi dengan papa dan mama. Seronok. Aku yakin, bila kau dah kat sana, mesti dah lupa nak balik sini.” balas Azeem yakin.
“Ada-ada je lah kau ni, tapi itu kan negara orang. Elok macam manapun takkan sama dengan negara sendiri. Takpa, kau sambunglah makan. Kami balik dulu. Nanti sebelum bertolak aku datang jumpa dengan kau.” ucapnya sebelum bangun daripada kerusi yang diduduki.
“Ok. Tapi jangan lupa pulak nanti sebab aku nak hantar kau pergi. Datang, jangan tak datang. Kaulah satu-satunya kawan yang aku ada.” ucap Azeem pula.
“InsyaAllah, aku datang. Aku balik dulu. Adik jom cepat. Ha, sebelum aku terlupa, malam ni jadi tak kau ikut aku ke masjid?” soal Razif pula.
“Jadilah. Nanti dah time kau datang dulu kat sini jemput aku.” jawap Azeem pula.
“Ok cantiklah tu, nanti aku datang. Assalammualaikum.” tuturnya sebelum berlalu pergi sambil memimpin tangan Dian. Dian melambaikan-lambaikan tangan ke arah Azeem tanda perpisahan, dan Azeem segera membalasnya, terhibur dengan kehadiran Dian yang sudah dianggap seperti adik kandungnya itu.