Pak Samad sudah bersiap untuk keluar. Restoran mereka terpaksa ditutup hari ini kerana dia telah berjanji untuk bertemu dengan pemilik kedai yang bakal di sewanya itu. Dia berharap segalanya akan berjalan lancar. Biarpun terpaksa bermula semula, dia tetap akan berusaha untuk menjayakannya kerana hanya kemahiran itu yang dia ada dan kerja masak-memasak sudah sebati dengan jiwanya.
“Betul awak tak nak ikut saya sekali?” soalnya pada Mak Andak yang sedang duduk memerhati.
“Tak rasanya. Awak pergilah. Kalau dah selesai nanti, awak telefon bagitahu saya apa ceritanya. Jauh ke tempat tu dari sini?” balas Mak Andak pula.
“Jauh tu, tak adalah jauh sangat rasanya. Kalau dah lama-lama nanti, biasalah, lagipun ni saja pilihan yang kita ada. Kedai yang saya tengok semalam, kedai cina, lagilah banyak kerja yang perlu dibuat nanti.”
“Takpa, kita tengok yang ni dulu. Jauh tak jadi masalah kalau sewanya patut dan lokasinya elok. Awak doa-doalah untuk yang baik-baik. Saya nak keluar dulu.” tutur Pak Samad pada Mak Andak yang masih setia memerhati.
“Iyalah, awak tu hati-hati.” pesan Mak Andak kembali.
“InsyaAllah. Assalammualaikum.” balasnya menghargai keperihatinan yang diberi.
“Waalaikumussalam…”
Kepala yang terasa gatal digaru-garu perlahan bila keadaan tak berjalan seperti yang dia harapkan. Berdasarkan tinjauan, lokasi premis yang baru dilihatnya itu nampak tidak begitu sesuai untuk dijadikan kedai makan kerana terletak di kawasan yang agak tersorok dan terpencil, malah sewanya juga dirasakan tidak munasabah. Terlalu jauh bezanya dengan sewa kedai yang didiaminya sekarang. Sudah beberapa buah kedai yang dia lawati, tapi dia tetap tak puas hati. Dalam dia sedang sibuk berfikir-fikir, telefon bimbitnya berbunyi, dengan pantas dia menyeluk ke dalam kocek baju untuk mendapatkannya.
“Assalammualaikum, ya Li.” tuturnya pada Ramli, tuan punya kedai tempat dia berniaga itu.
“Waalaikumussalam. Kenapa tak buka kedai hari ni?” soalnya.
“Aku di Gombak ni, tengah tengok kedai yang nak disewa. Kenapa? Ada berita baik ke?” soalnya pula.
“Memang ada berita baik. Aku dah jual dah kedai ni, dah ada orang beli, tapi pemilik baru minta aku bagitahu yang dia nak kau terus menyewa kat situ. Sewa pun tetap sama macam yang lama. Nanti sewa kau masukkan terus ke dalam akaun dia. Tulah sebabnya aku nak jumpa, nak bagi nombor akaun dia yang ada pada aku ni.”
“Agak-agak bila kau nak balik? Aku rasa kalau kita jumpa lagi senang nak bincang.” cadang Pak Ramli pula.
“Alhamdulillah, baguslah kalau macam tu. Dalam sejam nanti kita jumpa kat tempat biasa. Dah sampai aku telifon balik.” balas Pak Samad dengan senyuman yang penuh kegembiraan. Memang berat rasanya hati untuk meninggalkan kedai makan tersebut kerana sudah berpuluh tahun dia menjalankan perniagaan di situ, tambahan pula pelanggan-pelanggan tetapnya selama ini pasti akan turut kecewa nanti.
“Ok, sampai nanti telifon aku. Assalammualaikum.”
“Waalaikumussalam.” balasnya penuh syukur sebelum bergegas mendapatkan kenderaannya.
Senyuman masih terukir di bibir. Tak sabar rasanya hati mahu memberitahu isteri tentang berita yang baru diterimanya tadi. Dia pasti isterinya itu akan turut gembira mendengarnya, malah mungkin melebihi kegembiraan yang dia sendiri sedang rasai.
“Assalammualaikum.” tuturnya tadkala menjengah ke dalam rumah. Mak Andak yang sedang melipat baju turut sama menunggu berita yang ingin dikongsikan oleh Pak Samad.
“Waalaikumussalam. Dah balik dah? Awak tunggu sekejap, biar saya ambilkan air.”
“Takpayah, saya baru lepas habis minum dengan Li tadi.” balasnya pantas.
“Degan Ramli? Apa ceritanya?” soal Mak Andak tak percaya pada Pak Samad yang baru duduk di sofa bersebelahan, sedang tangannya masih tetap pada kain yang menanti giliran untuk dikemaskan.
Mujurlah Udin sentiasa ada untuk mengurangkan bebannya itu. Walaupun lelaki, tapi sikap ringan tulang anaknya itu sangat menyenagkan hati. Kerja-kerja mengemas rumah dan membasuh akan dilakukannya tanpa perlu disuruh. Malah penyediaan bahan-bahan masakan yang dijual di kedai, turut sama mendapat sentuhannya.
“Saya ada berita nak bagitahu awak ni.”
“Berita baik ke, berita tak baik?” soalnya pula. Sejak suaminya keluar dia tak henti memikirkan tentang kedai baru yang bakal mereka sewa itu. Betul ke dapat? Sewanya macam mana? Ramai ke pelanggan di sana? Boleh untung ke nanti atau buat habis modal lagi? Kegagalan perniagaan pertama mereka dulu masih tetap diingati dan dia tak mahu pisang berbuah dua kali kerana dalam usia sebegitu, mereka tak mampu untuk menanggung kegagalan lagi.
“Berita baik. Kita tak payah pindah daripada kedai tu. Pemilik baru suruh kita terus berniaga di situ. Cuma dia minta kita kosongkan bilik stor kat atas. Dia nak sewakan katanya.” tutur Pak Samad menerangkan keadaan.
“Alhamdulillah. Jadi kita tak payah pindah la ni?” soalnya pula tetap mahu memastikan.
“Iya, tak payah.” balas Pak Samad pula.
“Kalau tentang bilik, tak jadi masalah. Bilik belakang tu, banyak lagi kosongnya. Elok juga kalau ada orang lain yang menyewa kat situ, tak adalah Dian duduk sorang-sorang lagi, adalah jirannya nanti.” balas Mak Andak dengan senyuman. Gembira kerana mereka akhirnya tak perlu berpindah. Segala kegusaran akhirnya lenyap dalam sekelip mata. Allah sentiasa ada, buktinya doa mereka telah diterima dan mendapat perkenan dariNya.
“Alhamdulillah, selesai masalah. Saya ingat kita betul-betulah kena pindah. Kedai yang saya tengok tadipun tak sesuai juga. Sewanya mahal sangat, tempatnya pun tersorok, tak ada ramai orang, tak sama macam tempat sekarang. Awak sendiri pun tahu macam mana susahnya kita nak mulakannya dulu.” serentak Mak Andak mengangguk.
“Tadi saya sampai dah terfikir, kalau tak dapat juga kedai, saya nak ajak awak berniaga di pasar malam je, tapi syukurlah rezeki kita dimurahkan. Lagipun kita dah ada ramai pelanggan tetap kat sini. Semuanya kita dah kenal, sedih juga rasa kalau kena pindah betul-betul.” ucap Pak Samad lega.
“Sebelum saya terlupa. Ni nombor telefon dan nombor akaun tuan kedai. Awak simpanlah. Dia suruh kita masukkan duit sewa setiap bulan dalam akaun tu. Awak bukan tak tahu, kalau saya yang menyimpannya, entah kemanalah hilangnya nanti. Bila nak guna, mulalah mencari. Nanti suruh Udin masukkan dalam telefon, selamat sikit.” arahnya pula.
“Iyalah, nanti saya suruh dia masukkan. Siapa pemilik barunya tu? Orang kita ke?” soal Mak Andak ingin tahu.
“Orang kita. Namanya kalau saya tak silap, Syed...lupa pulak saya, sebab pelik sikit bunyinya.”
“Orang Syed?” balas Mak Andak pula.
“Hmm, orang syed. Ha, baru saya teringat. Syed Azeem Zulkarnain. Panjang sangat namanya, ada tulis kat kertas tu. Takpalah, saya nak masuk solat dulu.” tutur Pak Samad sebelum berlalu.
“Iyalah.” balas Mak Andak masih meneliti kertas tersebut, sebelum mencari Udin yang sedang berada di dalam bilik.
“Buat apa tu? Dah solat ke belum?” tutur Mak Andak pada Udin yang sedang leka membaca surat khabar.
“Mak ni…terkejut Udin. Mesti lah dah. Udin bukan budak-budak lagi lah.” balasnya sedikit tak puas hati sebelum sedar niat sebenar mak yang tak mahu melihatnya leka melayan keseronokan sendiri.
“Tahu…aik? Tanya pun tak boleh?” balas Mak Andak pula sebelum menghampiri anaknya itu.
“Bukan tak boleh, cuma terkejut.”
“Ni, mak nak minta Udin tolong masukkan nombor tuan kedai yang baru dalam telifon ayah, dengan no akaun banknya sekali. Takut hilang nanti.” tambahnya sambil menghulurkan kertas dan telifon berkenaan.
“Kedai baru kita ke? Dekat mana?” soal Udin pula sebelum mencapai kertas yang dihulurkan.
“Bukan kedai baru, pemilik kedainya yang baru, kedainya masih sama. Kita tak jadi pindah. Tuan punya kedai bagi kita terus menyewa kat situ, sewapun sama, macam yang lama, tapi dia minta kita kosongkan stor, sebab dia nak sewakan bilik tu.”
“Tolong masukkan nombor dia dalam ni, mak tak pandai.” arah Mak Andak pada Udin yang masih terkejut mendapat berita tersebut.
“Serius ke mak? Jadi kita tak payah pindahlah maksudnya ni? Alhamdulillah, memang dah rezeki kita agaknya. Nasib baik tak bagitahu dengan Kak Dian lagi kan? Kalau tak mesti dia dah susah hati.” tuturnya sambil meneliti kertas yang diberikan, sebelum matanya bulat memberi perhatian. Seketika kemudian dia tersenyum setelah mengetahui gerangan pemilik baru kedai berkenaan.
Keadaan pagi dilalui seperti biasa dan hari ini dia perlu berjumpa dengan Emma kerana ada hal yang perlu diselesaikan berkaitan dengan Al-Quran Braille yang telah diusahakannya itu. Mungkin memakan sedikit masa, tapi dia akan tetap berusaha untuk menjayakannya.
Bunyi tren yang semakin menghampiri membuatkan hati berasa lega. Agak lama dia menanti di situ bila jadual tren dikhabarkan terganggu akibat masalah teknikal yang berlaku. Natijahnya, sudah ramai yang berkumpul di platform menanti kehadiran tren yang ditunggu-tunggu dan bila saat pintu tren terbuka dia dapat merasa tubuhnya diasak daripada bahagian kiri dan kanan sampai tongkatnya pun dah tak mampu untuk membukakan laluan.
Azeem yang berada di belakang Dian mula jadi terkilan. Dia kasihankan Dian. Kasihan dengan cara Dian dilayan kerana semua dilihat hanya memikirkan tentang diri sendiri dan tiada siapa yang mahu menghulurkan simpati. Serentak sebelah tangannya mencapai tangan Dian dan sebelah lagi berusaha untuk membukakan jalan.
“Terima kasih.” ucap Dian menzahirkan kelegaan bila sedar ada juga insan yang menyedari kehadirannya di situ. Azeem tersenyum mendengarnya, sambil mata tetap tekun mencari ruangan yang masih kosong untuk diduduki, namun hampa kerana semuanya sudah berpenghuni, malah tempat duduk yang dikhaskan juga telah diambil oleh mereka yang sempurna fizikalnya. Serentak dia menggeleng-gelengkan kepala, menzahirkan kekesalan.
“Sini.” tuturnya sebelum meletakkan tangan Dian pada pemegang yang terdapat pada pintu tren. Namun saat wajah Dian disapa mata, kesedihan mula terkesan di jiwa. Senyuman itu masih tetap ada walaupun hidupnya perlu sentiasa lebih berusaha.
“Dian…ni Abang Azeem Dian, Abang Azeem...” rintihnya sayu, tapi hanya di dalam hati kerana dia tak cukup berani untuk menyatakan isi hati. Serentak dengan itu kelopak matanya mula terasa hangat saat mata mereka bertemu erat. Walaupun dengan jarak begitu, Dian masih tak dapat mengesan kehadirannya. Tiba-tiba hatinya mula rasa pedih sebelum wajah Dian digunakan sebaiknya untuk melepas rindu yang sudah terlalu lama tersimpan di kalbu.