Syarifah Rahimah masih mundar-mandir di ruang tamu. Penat berdiri dia duduk. Puas duduk dia berdiri dan melangkah ke pintu utama semula. Berita kehamilan cucu menantunya itu amat menggembirakan hati kerana penantiannya bakal berakhir. Harta peninggalan leluhur keluarganya itu akan menemui pemilknya yang baru. Dia telah memikirkan untuk meletakkan tanggungjawab pengurusan harta berkenaan kepada Azeem seperti yang dijanjikannya.
Dia mahu Azeem sendiri menjadi pentadbirnya nanti, dan dia sudah tak mahu masuk campur lagi. Walaupun tak pernah menyatakan secara lisan, dia sebenarnya sangat puas hati pada pencapaian Azeem selama ini cuma dia tak mahu cucunya itu mula besar hati dan lupa diri. Dia mahu Azeem menghargai dan mempunyai hubungan yang baik dengan semua kakitangan kerana mereka adalah aset penting syarikat yang bakal menentukan jatuh bangun sesuatu perniagaan.
Jam didinding dijeling sekali lagi. Bunyi pintu pagar automatik yang terbuka, jelas di pendengaran, serentak senyumannya menguntum, lalu berbunga ceria.
“Assalammualaikum.” tutur Azeem bila melihat opah yang sudah berada di muka pintu.
“Waalaikumussalam.” balas opah. Dia takkan dapat menyembunyikan kegembiraannya lagi. Kegembiraannya untuk kali kedua setelah agak lama dia tak merasakannya. Kali terakhir adalah semasa dia menyambut kelahiran Azeem cucu pertama sebelum anak tunggalnya, Muzaffar dan isteri dijemput Illahi.
“Masuk, masuk. Kenapa lambat sangat? Kata semalam nak datang pagi. Dah lama dah opah tunggu.” marah opah sebelum mereka beriringan ke ruang tamu.
“Betullah, kan pagi lagi ni. Baru pukul sepuluh lebih. Opah tu yang terlebih happy.” balas Azeem. Kegembiraan opah turut bersatu dengan kegembiraannya, bahagianya hanya Allah yang tahu. Hidup terasa langkap. Penantiannya berakhir, namun tadkala melihat wajah Dian yang tetap tenang membuatkan dia dihambat perasaan bersalah itu semula. Senyuman di wajah itu memang takkan pernah berputik untuknya.
“Dian duduk sini, duduk kat sebelah opah.” arah Syarifah Rahimah. Bahagianya rasa. Dia sangat berterima kasih pada Dian kerana cucu menantunya itu betul-betul telah membuat jasa.
“Dian rasa macam mana sekarang? Dian ada terasa nak makan apa-apa? Kalau ada yang Dian teringin nak makan, Dian cakap pada opah, nanti opah carikan.” tuturnya sambil menggenggam erat tangan Dian.
“Tak apalah opah. Dian tak ada rasa apa-apa lagi. InsyaAllah, kalau Dian ada teringin nak makan apa-apa, Dian bagitahu opah. Opah tak payahlah risau.” balasnya, menghargai keperihatinan yang diberi. Masih tak ada perubahan yang ketara pada dirinya. Kalau mual dan muntah-muntah tu sudah menjadi perkara biasa kerana penyakit yang dihidapinya itu turut memberikan gejala yang sama.
“Dian kena jaga diri elok-elok. Jaga kandungan tu. Takpun Dian pindah sini, duduk dengan opah. Lagi senang, boleh opah tengok-tengokkan.” cadang opah. Dian segera menggelengkan kepala.
“Tak apalah opah. Dian rasa lebih senang duduk kat rumah sekarang. Lebih mudah kalau nak ke kolej dari sana. Kalau pindah sini, jauh pulak nanti.” tuturnya segera menolak.
“Kalau pindah sini, susahlah nak jumpa ummi nanti.” bisiknya di dalam hati sambil mencongak keadaan yang bakal terjadi.
“Itu Dian tak payah nak fikirkan. Pak Sahak ada, nanti dia akan hantar dan jemput Dian daripada kolej. Dian tak payah nak buat apa-apa.” balas opah kerana dia bimbangkan keselamatan bakal cicitnya itu.
“Susah nanti opah sebab sekarang dah dekat akhir semester, kelas biasanya tak tentu masa. Kalau duduk kat rumah Abang Azeem senang sikit, dekat kalau nak ulang-alik. Opah tak payahlah risau. Abang Azeem kan ada, dia boleh jaga Dian.” tutur Dian lagi, mahu meyakinkan sebelum dia mengalihkan pandangannya ke arah Azeem pula.
Dia mahu terus berbakti pada ummi dan kalau dia terpaksa berpindah ke situ pasti hidupnya sukar. Andai tak dapat bertemu ummi, dia akan rindu. Jika melibatkan Pak Sahak lagi haru, kerana sudah lama dia meninggalkan alam kolej dan kalau semua tahu, pasti penatlah dia bersoal jawap nanti.
Pandangannya masih tertumpu pada Azeem, minta bantuan. Azeem yang memerhati sejak tadi seperti dapat membaca kebimbangan di wajah Dian.
“Tak payahlah opah. Takkanlah sampai kena pindah ke sini. Betul apa yang Dian cakap tu. Susah nanti nak ulang alik ke kolej. Kalau ada kelas malam lagi susah. Azeem pun susahlah nanti nak balik ke sini hari-hari. Bukannya opah tak tahu macam mana sesaknya jalan di Klang ni.”
“Biarlah Azeem yang jaga Dian. Ke opah tak percayakan Azeem sebenarnya ni?” soal Azeem mahu mematikan niat murni opah itu. Dia tahu opah mahu membantu, tapi agak tak kena pada tempat.
“Bukannya opah tak percaya pada Azeem, cuma Azeem tu lelaki, manalah tahu hal-hal perempuan ni. Kalau nanti Dian perlukan apa-apa, dapat ke Azeem sediakan?” tuturnya perlahan. Wajahnya berubah dan hilang cerianya bila cadangan yang diberi tak diterima.
“Tak pun macam nilah. Opah akan ambil orang gaji untuk uruskan hal-hal rumah. Dian cuma perlu jaga diri dan jaga cicit opah ni.” cadangnya seketika kemudian sambil mengusap perut Dian sebelum senyumannya mekar kembali menghargai pemberian Illahi.
“Ok, kalau macam tu Azeem setuju. Dian pun setuju kan?” soalnya pada Dian pula. Pantas Dian mangangguk, hilang riak bimbang yang memenuhi wajahnya diganti senyuman tanda penghargaan. Dian gembira kerana usahanya untuk terus berbakti pada ummi telah dipermudahkan lagi. Azeem bangga bila memikirkan dia telah berjaya membantu Dian. Biarpun senyuman itu nampak terpaksa, tapi itu sudah cukup untuk membuatkannya gembira.
“Hari ni makan kat sini ya. Dian ada nak makan apa-apa? Dian suka makan seafood tak? Tadi opah ada suruh Mak Yam belikan ketam dengan sotong. Segar-segar semuanya. Jom ikut opah, kita tengok apa yang sedap untuk kita masak hari ni.” tutur opah sebelum menarik tangan Dian menuju ke dapur. Azeem hanya tersenyum melihatnya. Dia gembira bila melihat perubahan opah, hilang sikap pendesaknya malah pertuturannya juga lembut sejak adanya Dian.
Setelah agak lama duduk di sofa, dia menjengah ke dapur. Azeem dapat lihat opah masih becok bercerita dengan Dian yang hanya tersenyum mendengarnya. Sesekali Dian mencelah sebelum mereka ketawa gembira.
Dian yang ada dihadapannya ini nampak berbeza dengan Dian yang pertama kali ditemuinya. Dian dulu lebih yakin dan tetap pendirian, tak mudah mengaku kalah, tapi Dian yang hidup bersamanya itu lebih mudah pasrah, macam orang yang tak ada semangat. Lebih banyak senyap, dan tak suka bercakap, tapi hanya dengan dia, bila dengan opah lain pula. Bisiknya sendiri.
Sedang dia sibuk berfikir, Dian menoleh ke arahnya. Cepat-cepat dia mengalihkan pandangan sebelum segara beredar dari situ. Berdebar-debar rasa hati bila matanya bertentang dengan mata Dian. Walaupun sudah bergelar suami-isteri, namun mata itu sukar untuk ditatapi kerana setiap kali, Dian pasti akan mengelakkan ianya terjadi.
Azeem menuju ke luar rumah, tangannya masih mengusap-usap dada yang masih terkejut. Entah apa yang ada pada Dian yang mampu membuatkan dia berperasaan seperti itu. Dengan Aida tidak pula, atau mungkin disebabkan perasaan bersalahnya itu lagi, ya mungkin. Dia mengeluh lagi setiap kali memikirkan tentang peristiwa lalu.
Sedang dia belajar menginsafi diri, hatinya tertarik untuk menjengah ke rumah sahabat lamanya itu. Razif yang sudah lama tak bertemu malah perkhabarannya juga langsung tak kedengaran. Dulu berjanji untuk tetap berhubung, tapi janji hanya tinggal janji. Segala kiriman e-mailnya langsung tak berbalas. Sudah lebih 10 tahun mereka tak bersua, rindunya tetap ada. Rupanya? Dia sendiri tak tahu bagaimana dan kalau berselisih di mana-mana sekalipun, pasti sukar untuk dia mengenalinya.
Setibanya di hadapan pagar, langkah kakinya terhenti. Kenangan bersama masih segar di dalam ingatan. Keseronokan ketika berteman, juga kegembiraan ketika berkongsi kasih menyayangi adik, yang sudah dianggap seperti adiknya sendiri sebelum kenangan-kenangan lama yang mula pudar, muncul kembali tanpa dipaksa.
Senyuman ummi dan keramahannya takkan dapat dilupa. Keperihatinan yang diterima sama seperti yang diberikan pada anak-anak sendiri dan Razif tak pernah mencemburuinya, begitu juga dengan adik. Mereka sama-sama berkongsi kasih sayang dengan gembira. Tiba-tiba dia seperti dapat melihat dirinya sedang menggenggam rekoder di tangan dengan wajah sedih. Kenangan terakhir yang dia ada, kenangan pada hari perpisahan yang menyedihkan.
Waktu yang dijanjikan telah tiba. Azeem masih menanti kedatangan Razif. Rekoder kesayangan, hadiah terakhir mama bakal bertukar tangan. Dia mahu memberikan rekoder itu pada adik sebagai hadiah perpisahan. Melihat adik yang sangat berminat dengan rekoder itu membuatkan dia tergerak hati untuk melepaskannya. Kata orang, hadiah yang terbaik adalah menghadiahkan sesuatu yang paling kita sayang dan itulah yang akan dilakukannya hari ni.
“Mana Razif ni? Dah pukul berapa dah. Kata kena bertolah pagi, tapi kenapa tak datang-datang lagi?” ngomelnya pada diri sendiri.
“Mana Razifnya Azeem? Kata nak datang.” tutur opah yang baru muncul dari tingkat atas.
“Dia janji dia datang sini opah. Takpalah, nanti Azeem pergi tengok kejap.” balasnya sebelum bergegas menuju ke rumah sahabatnya itu.
“Assalammualaikum…” tuturnya, tapi tiada sahutan.
“Assalammualaikum. Ummi…” tuturnya semula.
“Razif…Assalammualaikum.” panggilnya lagi, tetap juga tak bersahut kali ini. Suasana rumah yang sunyi sepi membuatkan hatinya mula rasa tak tenang ditambah pula dengan pintu pagar yang sudah dikunci membuatkan dia tambah sesak di hati.
“Assalammualaikum…Assalammualaikum.” ucapnya lagi, tak kenal putus-asa walaupun dia tahu yang dia telah ditinggalkan tanpa pesan.
“Mana semua?” soal opah yang baru tiba. Azeem segera menggelengkan kepala. Hatinya mula sedih. Walau tak berongsi darah, hibanya tetap terasa.
“Razif kata dia nak datang rumah dulu sebelum pergi.” tuturnya sayu.
“Takpalah. Dia tak sempat agaknya tu.” balas opah sambil menepuk-nepuk bahu cucunya itu. Hadiah yang masih sedia di tangan akhirnya tetap juga berada dalam simpanan.
“Abang Azeem.” tutur Dian seketika kemudian, menghilangkan segala kenangan yang menjelma.
“Abang Azeem, opah panggil makan.” tambah Dian. Serentak dia menyeka air mata yang terbit sebelum berpaling. Riak wajahnya jelas terkejut kerana dia seperti sedang melihat adik memandang kearahnya sambil tersenyum ceria.
“Abang Azeem.” panggil Dian lagi. Kebisuan Azeem turut membuatkannya tak senang hati. Serentak Azeem tersedar. Dia sedar yang dia telah terleka dibuai kenangan lama.
“Hmm. Kenapa?” soalnya cepat-cepat mahu mendapatkan diri semula.
“Opah panggil makan.” balas Dian sebelum meninggalkan Azeem yang masih tercegat di situ.
Selesai membersihkan diri dan bersolat, Dian sudah bersedia untuk tidur. Sebiji bantal dipeluk sebelum dia mengambil tempat seperti biasa, kawasan yang paling digemarinya, ruang lapang di sebelah meja. Dia terkejut bila Azeem tetap mendatanginya seperti selalu. Serta merta wajahnya berubah. Dengan muka selamba Azeem merebahkan dirinya di atas katil biarpun dia tahu apa yang bermain di dalam fikiran Dian.
“Kenapa? Kau tak suka aku tidur kat sini?” soal Azeem pada Dian yang masih membisu. Wajah Dian yang kelihatan tak selesa turut membuatkan dia memikirkan kembali tindakannya itu. Serentak dia bangkit semula.
“Takpalah, kalau kau tak suka, aku tidur bilik atas.” tuturnya lagi, sebelum dia membuat keputusan untuk keluar semula. Dia cuma mahu menemankan Dian dan menjagakannya seperti yang telah diamanahkan oleh opah. Dia tak rela sesuatu yang tak baik terjadi pada Dian, pada anak yang dikandungkan, hanya itu niatnya, tapi bila melihat keadaan Dian yang tak gembira membuatkan dia pantas mematikan hasratnya itu.
“Abang Azeem, bukan macam tu.” balas Dian, kerana dia sendiri tak tahu apa yang harus dilakukan. Azeem mematikan langkahnya dan sekali lagi wajah Dian dipandang.
“Ini kan rumah Abang Azeem. Semua yang ada dalam rumah ni hak abang, tapi Dian cuma nak minta izin untuk tidur kat bawah ni sebab Dian tak biasa tidur kat atas katil, susah nak lena.” balasnya. Dia masih menanti persetujuan Azeem, tak rela menjadi seorang isteri yang ingkar. Azeem melepaskan satu keluhan berat sebelum melangkah menuju ke arah Dian.
“Kau buat semua ni sebab kau masih ingat apa yang aku cakap pada kau dulu?” soalnya sambil memandang tepat ke arah Dian. Dian bertambah tak selesa dibuatnya.
“Bukan, bukan sebab tu. Dian memang dah biasa tidur kat bawah sebab kat rumah pun memang macam ni, dekat asrama, masa kat rumah sewa pun sama. Abang izinkan Dian.” pintanya lagi namun Azeem segera menggeleng.
“Kalau tak biasa, biasakanlah daripada sekarang. Aku tak nak tengok kau dengan anak aku tidur kat bawah tu lagi. Aku dah tolong kau siang tadi. Sekarang masa kau yang kena tolong aku.” balas Azeem sebelum tangannya mendarat di bahu Dian dan serentak dengan itu mata mereka bertentang. Cuma sebentar sebelum Dian mengubah haluannya semula.
“Tolonglah ikut cakap aku.” arahnya pula.
Dian segera mematikan kata-kata, tak mahu memanjangkannya walaupun tahu dia takkan dapat tidur dengan lena. Kepanasan pada tilam membuatkannya mudah terjaga. Kalau dah tersedar, susah untuknya menyambung semula. Badannya yang minta begitu bukannya dia sengaja. Perlahan-lahan dia mengangguk. Azeem tersenyum melihatnya. Kepatuhan Dian berjaya mengusik hatinya. Dia mula tak mengenali diri sendiri. Dulu dia sangat yakin Dian takkan mampu menarik perhatiannya, tapi kini citarasanya macam dah berubah.
“Ada satu lagi.” tutur Azeem semula. Dian macam tak percaya, mendengarnya. Perubahan Azeem serta merta, lebih peramah dan dia masih berusaha untuk membiasakan dirinya.
“Tolong jangan padam lampu…aku tak biasa.” tambahnya sebelum melompat semula ke atas katil sedang Dian masih terkedu di situ.