Home Novel Cinta Teriring Doa
Bab 67

Matanya dipiat-piat dengan belakang tangan. Masa dah tiba untuk dia bangun dan menjalankan rutin hariannya itu. Dia bersyukur kerana sepanjang tempoh ini, kebiasaannya itu tetap dapat dilaksanakan dengan bantuan daripada Allah dan diharap di masa depan usahanya itu akan terus dipermudah.

Dia ingat lagi pesan ummi, elok diamalkan solat sunat di awal pagi sebab banyak kebaikannya. Antara kebaikannya adalah, ia dapat membantu mempermudahkan sesuatu doa itu diterima. Dia ingat lagi, dulu masa ummi ada, ummi takkan pernah lupa bangun awal untuk menunaikannya sampai dia sendiri jadi terbiasa dan turut sama seronok melakukannya.

Mula-mula tu memang susah, tapi bila dah lama biasalah. Kena gunakan sifir tidur. Tidur awal untuk bangun lebih awal. Serentak dia tersenyum sendiri bila mengingatkan tentang ummi.

Sekali lagi dia meregangkan badan untuk meluruskan pinggang sambil menikmati kesunyian pagi. Suasana yang paling digemari, awal waktu pagi yang sunyi kerana tak ada banyak bunyi, juga waktu yang terbaik untuk mengulangkaji. Maklumlah hidup di bandar besar yang dipenuhi manusia, suasana siang harinya meriah sepanjang masa.

Beberapa ketika kemudian dia akhirnya bersedia untuk bangkit daripada perbaringan. Namun belumpun sempat dia mengorak langkah, pinggangnya terlebih dahulu dirangkul daripada belakang.

“Dian nak pergi mana?” soal Azeem yang masih mamai dengan mata yang belum mampu untuk dibuka. Tanpa disengajakan, tindakannya itu turut sama mengejutkan Azeem yang masih terlena.

“Dian nak bangun kejap. Abang tidurlah, lagipun belum subuh lagi. Nanti bila dah dekat waktu, Dian kejutkan abang.” balasnya lembut kerana niatnya bukan untuk mengganggu sesiapa.

“Kenapa tak ajak abang sekali? Abang nak sembahyang sama.” balasnya pula sedang matanya masih tetap terpejam.

“Abang pun?” soalnya tak percaya.

“Kenapa? Tak percaya?” balasnya dengan suara yang masih serak, sengaja mahu bergurau senda di awal pagi. Serentak Dian ketawa mendengarnya.

“Kan Dian yang ajar abang semua ni. Jangan buat-buat lupa pulak.” tambahnya lagi.

“Dian yang ajar? Bila?” soalnya terkejut. Sepengetahuannya, selama mereka berumahtangga, nak bercakap pun payah, inikan pula nak bersyarah.

“Ada masa tu, dah lama dah. Masa Dian masih belum sayang abang. Masa tu abang selalu nampak Dian sembahyang waktu-waktu macam ni.” tuturnya lagi dan Dian hanya mampu tersenyum sendiri.

“Macam mana abang tahu yang Dian tak sayang abang?” balas Dian pula.

“Hmm? Maksud Dian apa?” soalnya kembali dalam keadaan kepala yang baru berusaha untuk mendapatkan diri. Dian hanya menjonketkan bahu tanda tak tahu.

“Hish Dian ni, dahlah, bangun cepat, nanti lambat.” arahnya tegas, tak mahu berlama-lama mengenang kisah silam. Biarlah yang lepas dijadikan pengajaran atas nama pengalaman, kerana perjalanan mereka masih jauh dan kehidupan di masa depan sudah tak mahu lagi dipersia-siakan.

“Abang ni kan…garang. Mengalahkan guru besar.” balasnya dengan senyuman. Gembira kerana kini dia sudah mendapat teman yang sudi berkongsi minat dan amalan.

“Apa Dian cakap?” tutur Azeem geram. Pantas tangannya mahu menjatuhkan hukuman, namun belumpun sempat pipi Dian diicubit, isterinya itu terlebih dahulu hilang di sebalik pintu bilik air. Senyuman bahagia itu takkan dapat disembunyi. Dia bersyukur pada llahi kerana dengan izinNya Dian telah kembali.

 

Razif yang sedang memerhati menggeleng-gelengkan kepala berkali-kali. Gelagat Dian dan Azeem yang memendam perasaan sendiri, betul-betul membuatkannya berasa geram di dalam hati.

Rancangan Azeem yang memintanya membawa Dian ke Kanada langsung tak pernah dipersetujui kerana dia ada rancangannya sendiri. Tujuannya membawa Dian ke lapangan terbang hari ini cumalah sekadar lakonan. Lakonan yang diciptakan hanya untuk menyatukan hati dua insan.

Dia hanya mahu kedua-duanya menyatakan hasrat hati yang tersimpan kerana dia pasti mereka sebenarnya saling memerlukan. Kalaupun Azeem tak mahukan adiknya itu lagi, Sofia tetap memerlukannya. Tak tergamak rasanya hati mahu melihat anak buahnya itu dibesarkan tanpa kasih sayang daripada seorang ibu kerana dia sendiri pernah mengalaminya dulu. Dia tak mahu sejarah lama berulang dan cukuplah sekali perkara seperti itu terjadi. Serentak fikiranya melayang mengingati ummi, watak terpenting di dalam hidupnya itu.

 Sudah agak lama dia menanti, tapi pengunguman yang baru didengari membuatkannya sedar dia perlu segera menghampiri kerana masa semakin suntuk dan dia tak boleh bertangguh lagi.

“Ya-Allah…tak selesai-selesai lagi?” soalnya sambil meghampiri keduanya. Serentak pergelangan tangan Dian dicapai sebelum disatukan kembali ke tangan Azeem. Dian dan Azeem nyata terkejut diperlakukan begitu.

“Azeem, kau dengar baik-baik. Ini amanah aku pada kau!” tuturnya tegas.

“Aku nak kau jaga adik. Aku tahu kau sayangkan adik kan?” soal Razif mahu segera menyelesaikan segalanya. Berhati-hati Azeem menganggukkan kepala mengesahkannya, sambil memerhatikan tindak balas Dian pula.

“Adik pun sama kan?” soalnya pada Dian, namun Dian tetap membatu tak rela memberitahu.

“Adik cepatlah, abang dah lambat ni. Adik sayang Abang Azeem tak?” gesanya. Sempat juga dia membuang pandang ke arah terminal pelepasan yang sudah semakin usai.

“Adik cepat!” tambahnya, semakin gusar tadkala melihat kebisuan Dian. Serentak Dian mengangguk perlahan, menyatakan hasrat hati yang tersimpan. Malunya rasa hati digesa begitu.

“Kalau dah suka sama suka, buat apa nak buang masa? Buat apa nak berpisah? Kau pun Azeem, dia isteri kau dan dia dah jadi tanggungjawap kau  sebab kau dah janji dengan Allah, jadi jagalah.” ucapnya kesal sambil menghela nafas panjang. Dia sedar kehidupan tak seharusnya disia-siakan kerana hidup bukannya lama.

“Untuk pengetahuan adik abang yang tersayang, tiket ni hanya ada untuk abang.” tuturya lagi. Berubah riak wajah Azeem dan Dian, terkejut mendengar perkara berkenaan.

“Tiket adik tak ada, sebab abang tak pernah setuju untuk bawa adik ke sana. Abang tak nak adik habiskan masa di sana dan tinggalkan Sofia di sini.”

“Sofia masih kecil, dia perlukan adik. Abang taknak jadi punca adik dan Sofia terpisah, dan lagi teruk bila abang kena tengok adik bersedih sepanjang masa nanti. Abang tak nak tengok semua tu.”

“Cukuplah sekali perkara macam tu jadi, tolonglah jangan ulanginya lagi.” pintanya mengharap.

“Boleh adik janji dengan abang?” soalnya kembali. Perlahan Dian mengangguk dan serentak dengan itu Azeem menghela nafas lega.

“Azeem, please. Jaga adik baik-baik. Kalau aku tahu kau buat hal lagi, kau tengoklah apa jadi. Assalammualaikum.” ucapnya sebelum meninggalkan Azeem dan Dian dalam keadaan berpegangan tangan.

“Waalaikumussalam…” jawap keduanya yang masih berada dalam kerunsingan. Runsing untuk berhadapan antara satu sama lain setelah curahan hati yang baru dilafaskan.

Bila mata mereka bertaut, perasaan malu itu bercambah semula. Bahangnya boleh dirasa sampai ke telinga. Azeem sedar dia perlu segera membuktikan kata-kata cintanya sebentar tadi. Tanpa membuang masa genggamannya tangannya dieratkan. Dia mahu Dian tahu betapa dalam cintanya pada isteri yang paling dikasihi, dan buat pertama kali, sepanjang tempoh mereka bergelar suami isteri, genggaman tangan itu akhirnya mampu untuk dimengerti.

Razif gembira kerana rancangannya berjaya dan dia tidak perlu lagi melihat air mata. Begitulah indahnya takdir Allah kerana adakalanya kita sering terkeliru antara suratan atau kebetulan bila perbezaan antara keduanya hanya dipisahkan oleh satu garisan dan hakikatnya terlalu sukar untuk dipastikan.

Previous: Bab 66
Next: Bab 68

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.