Home Novel Cinta Hello Mr Freeze
Hello Mr Freeze
awa
18/6/2024 08:23:01
15,248
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 4

Sekembalinya mereka bertiga, perbincangan yang tertangguh dimulakan. Sepanjang sesi kedua perbincangan tersebut, aku mengesan unsur-unsur tidak puas hati di pihak Raid. Terlalu ketara saat Raid melontarkan soalan-soalan terhadap Syafinaz. Setiap lontaran soalan disusuli dengan lirikan tajam padaku. Seolah-olah aku adalah dalang yang menyebabkan Syafinaz lebih yakin dan tenang menjawab setiap soalan dia.


"Awak cuba jadi batu api? Sebarkan hasutan, huh?"


Nah! Firasat aku tak salah. Raid sudah menuduh. Tuduhan yang tersangat tidak berasas.


"Dia buat keputusan salah dengan menarik balik laporan. Dia biarkan pesalah bebas tanpa sempat diberikan pengajaran?" Marah Raid lagi.


Ayat kedua Raid menaikkan satu graf kemarahan. Bibir diketap kuat supaya kemarahan bisa terkawal. Dan aku tidak akan membiarkan Raid mengucar-kacirkan emosi aku. Tidak sama sekali.


"Pesalah pun manusia. Layak diberi peluang untuk tebus dosa mereka. Jangan kita sebagai manusia pandai-pandai nak jadi Tuhan."


Kali ini aku pula merasa silau. Maha tajam sorotan Raid. Jelas dia tidak terima hujah ala-ala ustazah tak bertauliah aku.


"Dan awak juga bukan tuhan nak menilai keinsafan mereka. Boleh jadi mereka hanya berpura-pura demi kebebasan. Tak mustahil kes cabul dan rogol masih berleluasa...Inilah puncanya...Terlalu kasihan pada orang yang salah."


Hujah Raid buatkan bibir aku kelu sejenak. Terasa payah untuk menyusun ayat demi meraih kemenangan dalam berhujah. Dalam aku sibuk menyusun ayat, aku mula faham sedikit demi sedikit intipati laporan yang dibuat oleh Syafinaz.


"Cakaplah apa pun, yang penting sekarang ni kes selesai. Sya dah tarik balik report. Tuan dah boleh tutup kes. Tumpukan pada kes seterusnya."


Aku pandai-pandai menyusun atur kerja Raid. Tangan mengemas meja ala kadar. Berura-ura untuk beredar. Tak betah berdua-duaan dengan Raid yang sudah bertukar menjadi singa jantan gila.


"Mungkin kali ini saya perlu buat laporan. Heret awak ke balai atas tuduhan menghasut." Raid menyimpan laptop ke dalam beg. Sikit pun dia tidak pandang aku yang sudah besarkan mata.


"Tuan jangan nak merepek! Saya tak menghasut. Dan saya tak pernah mencelah sepanjang sesi soal siasat. Jadi encik tak ada bukti nak menuduh saya." Mata tidak lepas pandang Raid yang tenang mengemas barang-barangnya dan berdiri. Pandangan kami bertaut.


"Awak takut..."


Tak berkedip aku pandang Raid. Mula keliru dengan sikap dia yang berubah-ubah. Baru tadi dituduh menghasut, kini aku dikatakan takut pula. Mana satu sebenarnya?


"Awak takut reputasi syarikat tercemar. Awak lebih sanggup melihat pekerja-pekerja awak ditindas. Awak sebenarnya lanun. Awak sogok dia dengan harta demi melindungi seorang penjenayah."


Rahang aku hampir cecah lantai. Salah pemikiran Raid!


"Tuan!"


Aku buka langkah besar bila Raid dengan sengaja pekakkan telinga.


"Tuan Raid dah salah faham." Aku cuba perbetulkan pemikiran Raid. Tak nak salah faham kian menular.


"Tuan Raid!"


Susuk tubuh Raid hilang dalam perut lif. Tanpa pamit. Tanpa sedikit pun menoleh pada aku. Marah benar dia pada aku. Dia yang marah, tetapi kenapa aku pula merasa serba salah? Walhal aku dipihak yang benar.


Akhirnyanya aku merengus. Sebal!





ENTAH ke berapa kali aku mengeluh. Aku gagal untuk tidak ambil peduli. Sejak dari tadi, hanya Raid ada di dalam kepala. Sejak dari tadi juga aku sibuk mencari cara bagi mengusir jauh salah faham lelaki itu.


"You buat apa dekat sini?"


Aku berhenti mendadak. Lekas kepala berpusing melihat sekeliling. Jauh sangat mengelamun sampai tak sedar aku sudah jauh menyimpang dari ruangan parkir kereta.


Belum sempat menoleh, ada bayang hitam berdiri tegak di depan muka. Bayang yang tidak dialu-alukan kedatangannya. Jadi sebelum terjadinya sesi debat di tepi jalan, ada baiknya aku angkat kaki.


"Wait, Heera."


Kali ini aku gagal melarikan diri apabila bayang hitam di depan menerapkan sifat-sifat degil. Sengaja merapatkan diri hingga aku terpaksa mengambil selangkah ke belakang sebelum terpeluk dia. Maka terpaksalah aku berdepan dengan dia.


Dunia ini terkecil. Pusing-pusing, Si Buaya tembaga ini juga yang aku jumpa. Macam dah tak ada lelaki lain.


"Awak dah berubah." Rumus Hilman. Habis atas dan bawah aku ditilik.


"Kita dah putus tiga tahun, Hilman. Bukan tiga hari." Aku cuba sedarkan Hilman. Tiga tahun itu macam-macam boleh terjadi. Wajarlah aku berubah.


"Tiga tahun saya masih belum mampu lupakan awak, Heera."


Tanpa sedar aku tergelak kecil. Lucu sekali ayat Hilman. Ayat sarkastik dari mulut buaya darat.


"Hilman...Awak nak saya senaraikan semua kekasih awak? Sepuluh nama ada dalam senarai saya. Itu yang saya tahu, yang saya tak tahu? Jadi, tolong lupakan saya."


Hilman tarik nafas panjang.


"Saya dah insaf..."


"Tapi manusia hatinya bolak-balik Hilman." Pangkahku.


"Saya sunguh-sungguh, Heera."


"Saya pun sungguh-sungguh dah lupakan awak Hilman. Dah beribu peluang saya bagi. Beribu tu juga saya dibodohkan. Kesian kan?


"Look..."


"Nope!" Sepuluh jari aku angkat. Berharap Hilman berhenti mengulas hubungan lalu kami. Tak guna nak tegakkan benang yang sudah lencun. Membazir air liur saja.


"Dengar Heera." Hilman mara beberapa langkah.


Tiga langkah aku berundur. Silap aku kerana memilih berhadapan dengan Hilman. Mana tahu Hilman punya sikap mendesak tidak pernah berkurang. Malah semakin teruk.


"Cukup Hilman. Saya perlu pulang. Antara kita dah tamat. Tak ada apa nak dibincangkan lagi."


"Bagi saya hubungan kita masih belum tamat, Heera. Kita boleh mula dari awal semula. Betulkan mana jalan-jalan yang rosak. Saya akan baiki jalan cinta kita semula. Biar rata. Biar lancar."


Hilman melancarkan ayat-ayat lelaki jiwang karat. Ayat yang penuh dengan racun. Dalam diam racun itu bakal membunuh hati seorang wanita dikemudian hari. Perkara itu yang pernah aku lalui satu ketika dahulu. Hanyut dengan ayat manis, kemudiannya dibiarkan lemas terkapai-kapai sendirian.


"Baliklah Hilman. Kita bawa haluan masing-masing." Aku cuba pendekatan memujuk pula.


"Kita pergi makan, saya dah lapar. Kemudian, kita sembang dari hati ke hati."


MasyaAllah! Panjang helaan nafas aku. Bahasa apa lagi perlu aku guna supaya Hilman faham? Atau perlu aku angkat heels dan tampar muka dia?


"Saya tak lapar. Saya nak balik. Assalammualaikum!"


Kali ini, aku nekad. Pusing, kemudian angkat kaki dan pergi dari sini. Demi emosi aku yang sedang dalam proses pemulihan.


Sepuluh langkah, tiada bayang dari sisi. Tiada tanda-tanda Hilman mengejar aku dari belakang. Barulah aku mampu menarik nafas lega. Awal-awal aku larikan diri, kan senang.


Berbaki beberapa langkah, alarm kereta ditekan. Pintu sebelah pemandu dibuka. Mata sempat singgah pada tayar kereta dibahagian pemandu. Spontan bukaan mata membesar. Tak jadi masuk ke dalam kereta semula. Mata tidak lepas dari memandang tayar kereta yang sudah kempis. Kosong. Tiada angin langsung.


"Siapa busuk hati sangat ni?" omel aku saat terpandang kesan torehan yang sangat jelas. Sengaja buat khianat terhadap kaum lemah.


Jatuh ke dua belah bahu. Kepala diangkat. Kiri dan kanan aku pandang. Menagih bantuan dari kaum Adam.


Namun, hampa. Tiada langsung kelibat kaum-kaum Adam. Mulalah merasa kesal kerana tinggalkan Hilman sebentar tadi. Kalau aku tahu begini kejadiannya, sudah tentu aku turuti permintaan Hilman. Kemudiannya, setelah tenaganya pulih selepas makan, aku minta dia tukarkan tayar yang pancit.


"Apa boleh buat..." Keluh aku seraya melempar beg tangan ke dalam kereta.


"Terpaksalah aku turun padang." Lengan baju disinsing sedikit. Sedia untuk mengerah tenaga yang tidak seberapa. Moga-moga, dipermudahkan urusanku menukar tayar kereta buat pertama kalinya.


Peluh renik mula tumbuh di sekitar dahi. Sesekali terdengar bibir aku mengeluh. Entah kali ke berapa percubaan aku membuka nat tayar gagal. Jika begini kejadiannya, maka tak hairanlah aku bakal berkampung semalaman di sini.


Lug wrench aku campakkan ke tanah. Mula berputus asa. Dalam kepala aku sudah memikirkan Abang Mus. Dialah satu-satunya harapan aku ada ketika saat ini. 


"Typical woman..."


Mujur aku tidak terpelecok terdengar suara datangnya dari sebelah. Suara yang kedengaran seperti merendah-rendahkan kelemahan kaum wanita. Rasanya, aku tahu siapa empunya suara.


"Hilman!" Sepantas kilat aku menoleh. Semoga tangan kanan aku tidak pantas juga menampar mulut Hilman yang celupar.


"Let me help you."


Kelu sesaat dibuatnya melihat figura di depan mata. Tangan yang ringan, tiba-tiba merasa berat.


"Awak?!" Jari telunjukku naik turun. Tak percaya dia sedang menawarkan bantuan.


"Give me ten minute...Mula kira dari sekarang."


Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.