Home Novel Cinta Hello Mr Freeze
Hello Mr Freeze
awa
18/6/2024 08:23:01
15,248
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 7

“Saya tak dengar suara cikgu. Dah la saya duduk paling belakang sekali. Dengar pun, hujung-hujung je. Tolong prihatin sikit dekat saya yang dianiaya ni.”


Arahan diterima. Dengan besar hatinya, nada suara dinaikkan satu graf. Bila tiada suara berbunyi, maka suara aku boleh didengari oleh pelajar paling hujung sekali. Biarlah terkeluar anak tekak sekali pun, aku sanggup demi anak-anak murid tersayang.


“Cikgu, saya tak nampak. Tulisan cikgu macam kuman. Mata saya nak guna lama, takut ada penyakit rabun nanti.”


Jadi? Mahu aku bekalkan seorang demi seorang kanta besar? Banyak dia punya cekadak!


Biarpun hati mengomel, tetap juga permintaannya aku turuti. Selesai lagi satu masalah.


“Saya tak faham? Mana datangnya sungai-sungai yang panjang ni? Cikgu tahu tak sungai-sungai dekat Malaysia ni sebenarnya pendek, beraliran deras dan berliku-liku di bahagaian hilir.”


MasyaAllah! Kenapalah aku setuju menjadi guru ganti mengajar subjek geografi? Mana tahu rupanya dalam kelas ini sebenarnya ada pelajar yang berpotensi menjadi guru. Malah berpotensi juga menjadi pelajar yang hyper active. Mujurlah aku sememangnya sudah dididik supaya bertenang dalam segala hal.


Aku pusing, mencari punca arah suara yang dari tadi terlalu mendominasi kelas. Baru dua hari, sudah pandai mengadu domba.


“Raid...Apa yang saya lukis dekat depan ni, contoh. Bukannya sungai yang sebenarnya.” Terangku tatkala pandangan kami bertaut. Sengaja menekankan perkataan contoh. Dan penjelasan aku dibalas anggukan kepalanya.


“Kalau awak nak sangat tengok sungai, kita boleh buat lawatan sambil belajar di mana-mana sungai di Malaysia ni. Nanti saya usulkan pada pengetua.”

Raid picing mata. Marah mungkin. 


Tanpa pedulikan marahnya, aku sambung menulis di papan putih. Dalam hati berharap Raid berhenti merungut seperti anak kecil. Takut nanti ada yang tercium pemadam papan putih.


“Siap, hantar dekat saya sebelum habis kelas.” Arahku sebaik saja selesai menulis.


Sempat aku menjeling Raid yang nampak tekun menulis. Lebih ajaib, tiada lagi suara-suara rungutan di pihaknya. Sindiran aku sedikit sebanyak berjaya menjinakkan dia. 


Waktu mengajar berbaki lagi sepuluh minit. Separuh daripada pelajar telah pun mula menghantar kerja-kerja mereka. Sambil menunggu mereka siap, aku mengemas meja. Siap untuk menamatkan sesi pembelajaran hari ini. Kerja-kerja mengemas tergendala bila ada bayang hitam muncul di sisi.


“Ya, Raid? Dah siap, letak saja atas meja.” Hairan bila Raid hanya berdiri tegak.


Buku tulis dihulurkan padaku. Buruknya tulisan! Itu pandangan pertama aku. Kedua, Raid tiada bakat melukis. Bentuk sungai sudah menjadi bentuk peta air liur sedunia saja rupanya. Dan kerja Raid tidak siap sepenuhnya.


“Apa saya nak buat dengan awak, Raid? Kalau ada free shipping, saya akan hantar awak pergi bulan. Senang kerja saya. Dunia saya pun aman.” Omel aku perlahan. Masih sibuk belek hasil kerjanya.


“Kalau ada pakej couple, saya bawa cikgu sekali. Biar sama-sama mereput dekat sana.”


Aku ketawa perlahan. Raid dengar rupanya. Dan Raid handal juga melawak. Lawak Raid berhasil buatkan aku masih ketawa geli hati. Setelah ketawa reda, loceng berbunyi nyaring. Menandakan aku perlu angkat sauh. Selesai tugasan untuk hari ini.


“Okey. Waktu saya dah habis. Yang belum siap, hantar ke bilik guru sebelum balik.” Buku atas meja aku capai. Beg digalas atas bahu.


“Awak...Tolong saya bawa buku ni ke bilik guru.” Buku tulis yang beratnya tidak seberapa dihulur pada Raid. Berharap tiada rungutan dipihak dia.


“Saya seorang?”


Soalan mengundang sindiranku. Perlahan. Mujur pelajar lain sibuk berkumpul di penjuru belakang.


“Buku ni tak mampu patah riukkan tulang awak. Lainlah awak angkat saya. Bukan tulang, silap-silap...Jantung awak lari dari badan. Menunggu terbelah dua.”


Apa lagi, Raid sudah pandang aku setajam-tajam bilah pedang. Sedia nak bedah mulut aku yang tidak bertapis.


“Jom!” Ajakku sebelum Raid terbalikkan semua meja dan kerusi.


Perjalanan ke bilik guru mengambil masa terlalu. Tidak seperti selalu. Apalagi orang belakang sepi tanpa suara. Hanya derap kaki aku dan dia saling berbicara.


“Berapa lama kita akan begini, Raid.”


“Sampai kerja saya selesai.”


“Tapi awak sukar diurus.” Jujurku.


Pelajar lain, degil saja aku piat telinga mereka. Piat telinga Raid, sama aku tempah tiket ke penjara menggunakan laluan express. Tanpa surat waran.


“Saya bukan anak kecil yang minta diurus.”


Aku mencebik. Sebentar tadi itu apa? Roh Raid yang bersuara di dalam kelas? Oh, ya. Boleh jadi pendamping dia yang berbunyi. Tanpa sedar bibir tersenyum mengejek.


“Cikgu jangan cuba memperlekehkan kerja saya.” Tuduh dia.


Langkah terhenti. Raid juga berhenti. Memaksa aku menoleh belakang. Ikutkan hati, mahu saja aku hamburkan marahku. Tetapi itu hanya menyerlahkan lagi sisi tidak matangku. Pastinya teruk aku diejek dia.


“Saya dah bagi kerjasama sepenuhnya. Tunggu saja hasilnya nanti. Masa tu, tuan akan berterima kasih pada saya.” Aku bersuara tenang.


Jawapan balasnya, Raid jongket bahu.


“Tuan jangan lupa.”


Langkah Raid terhenti di sisi. Hujung mata, dia menjeling aku.


“Selagi tuan pegang status pelajar saya...Tuan wajib dengar dan patuh arahan saya. Atau rahsia tuan terbongkar nanti. Masa tu, tuan tanggung sendiri. Saya hanya akan jadi penonton melihat rahsia tuan dibogelkan depan semua.”


Dalam hati tersenyum kemenangan bila telinga Raid merah. Kemerahan tersebut merebak dengan pantas ke seluruh wajahnya. Dan Rahang dia bergerak-gerak. Raid marah.


“Cepat...Nanti ada yang ingat awak ponteng kelas.” Aku kembali ke mod berlakon semula. Tak baik riak selepas ugut-ugut orang. Nanti Allah hantar balasan secara tunai.


“Awak pelajar yang baik...Kalau awak dengar cakap, saya yakin tahap kerajinan awak pun semakin membaik.” Saja puji Raid sebaik tiba di dalam bilik guru. Sebagai ganjaran dia telah menghulurkan bantuan. Biarpun ada sedikit perbalahan di antara kami tadi.


“Saya belum berhasrat nak sandang gelaran pelajar terbaik sekolah.” Bidas dia.


“Usaha tangga kejayaan. Awak pasti boleh.” Aku titipkan semangat. Walhal, niat di hati cuma mahu Raid mendengar arahan. Nak kikis sedikit sifat melawan Raid biar senang dilentur.


“Tolong fokus pada misi, cikgu.” Raid ingatkan aku misi kami. Saja nak lari dari berbahas tentang dirinya.


“Saya tak nampak apa-apa mencurigakan. Sekolah aman dan bebas dari ancaman." Kataku hasil daripada penelitian selama beberapa hari. Tiada apa yang boleh menimbulkan syak wasangka. Keadaan di sekolah sama persis sebelum-sebelum ini.


“Teruskan memerhati. Ada yang apa-apa mencurigakan, maklum pada saya. Jangan bertindak sesuka hati.” Titip Raid nada berbisik. Takut ada yang mendengar.


“Arahan diterima, Tuan!” Poster duduk ditegakkan. Mata tepat merenung Raid yang masih berdiri. Beberapa kali dikerdipkan. Tanda faham.


Bibir atas dan bawah terpisah bila ada tekanan dihujung kasut yang menekan secara perlahan-lahan. Bebanan tersebut membuatkan aku gagal menggerak-gerakkan kaki.


“Amalkan sikap gedik seminima yang mungkin. Kalau boleh buang, lagi bagus.”


Spontan aku jegil mata. Lepas dah pijak kaki, Raid ada hati nak bagi nasihat? Boleh jalanlah dengan dia punya nasihat itu. Jangan ingat dia saja ada misi, aku pun ada misi yang perlu dilaksanakan. Misi melibatkan hati dan perasaan manusia.


Pulangnya aku dengan rasa marah tersisa dengan Raid selepas kejadian dia memijak kaki aku tanpa belas. Walaupun sakitnya tidak lama, namun sakit tersebut menjulang naik ke hati. Berbahang rasanya.


Sedang aku mengomel-ngomel perlahan, mata tertancap pada kertas bersaiz A4 yang elok melekat di depan cermin kereta. Langkah dipanjangkan, lalu kertas tersebut dicapai. Mata segera meneliti setiap coretan. Dalam waktu yang sama, jantung mula berdetak tidak keruan. Hanya satu nama yang ada di dalam fikiran ketika ini.


Lekas aku masuk ke dalam kereta. Jari laju menghantar mesej kepadanya. Tak lupa juga mengambil gambar coretan tersebut sebagai bukti. Kurang tiga saat, telefon berdering.


“Hello, tuan!”


“Jangan panik. Stay calm.”


Arahan dia diterima. Biarpun tangan sedikit mengeletar, namun rasa panik menyerang tadi berjaya ditepis.


“Tengok sekeliling. Ada sesiapa?”


Kepala terteleng ke kiri dan kanan. Tiada langsung kelibat manusia. Cermin pandang belakang turut dijeling. Negatif.


“Tak ada tuan.” Suaraku sedikit bergetar.


“Tunggu situ...Bantuan akan tiba tak lama lagi.”


“Tuan tak datang?” Lebih selamat jika Raid yang muncul. Dengan kemunculan dia, sedikit sebanyak meredakan segala rasa takut.


“Tuan...” Seruku bila sepi dihujung talian. Hanya deru nafas menyapa pendengaran.


“Tuan jangan diam macam ni tuan.” Baru tadi aku mahu tenang, kebisuan Raid menjemput semula serangan panik.


“Jawab tuan! Sekurang-kurangnya saya tahu tuan masih hidup.”


“Syhhh!”


Alhamdulillah, Raid masih hidup.


“Heera, keluar dari kereta sekarang.”


“Huh?!”


“Sekarang!”


Ketika itu barulah sayup-sayup aku terdengar bunyi bip secara berterusan. Semakin lama semakin laju.

Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.