Home Novel Cinta Hello Mr Freeze
Hello Mr Freeze
awa
18/6/2024 08:23:01
15,244
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 3

Langkah kian perlahan ketika menghampiri bilik mesyuarat. Ada beberapa orang pekerja berdiri di depan pintu tunduk menekur lantai. Wajah masing-masing kelihatan sugul. Macam ada perkara buruk yang telah terjadi.


"Ada apa ni?"


Mereka semua menerpa ke arah aku. Nampak tak sabar-sabar nak mengadu nasib. Mata mengerling sejenak pada pintu bilik papa kemudian satu persatu wajah mereka ditatap.


"Tuan Azman ada dekat dalam." Salah seorang dari mereka buka mulut.


Naik tinggi kening aku. Pagi tadi sewaktu sarapan, papa ada menerima panggilan. Disebabkan panggilan tersebut papa tergesa-gesa meninggalkan rumah tanpa sebarang kata. Tanpa sempat aku bertanya lebih lanjut.


"Encik Mus pun ada sekali."


Ini Parah. Kalau abang Mus ada sekali, pasti hal besar sudah terjadi. Abang Mus itu merupakan penolong pengarah. Merangkap pembantu papa. Apa segala masalah dalaman syarikat, Abang Mus pasti akan turun padang untuk selesaikan bersama.


"Ada..." Tak jadi Raihan nak bersuara bila dia disiku kawan sebelahnya.


"Mungkin Tuan Azman dan Encik Mus ada urgent meeting. Siapa tahu ada berita baik tahun ni untuk semua." Aku cuba mengusir raut wajah gelisah mereka semua dengan ura-ura imbuhan yang bakal diumumkan dalam masa terdekat.


Usaha aku tidak membuahkan hasil. Mereka tetap juga tidak keruan. Lebih-lebih lagi Syafinaz yang sejak dari tadi tidak berani angkat muka. Dia lebih selesa tunduk dan bermain dengan sepuluh jarinya. Bahasa badannya menampakkan dia seperti seorang pesalah.


"Dah...Pergi buat kerja masing-masing. Nanti saya akan jumpa Tuan Azman untuk dengar sendiri apa khabar gembira tu."


Mereka semua patuh pada arahan. Seorang demi seorang mula bubar. Sempat jelingan mereka singgah pada Syafinaz yang masih enggan angkat kepala. Masih berdiri di satu sudut jauh dari kelompok mereka.


"Awak okey ke Sha?" Soalku sebaik saja berdiri dekat dengan dia.


Takut-takut Syafinaz panggung kepala. Tatkala sorotan dia bertembung dengan aku, cepat saja dia melarikan pandangan.


"Saya masih boleh berkompromi. Tapi bukan Tuan Azman ataupun Encik Mus." Tiada niat nak menakutkan Syafinaz, namun itu hakikat yang perlu dia telan. Aku faham cara papa dan abang Mus bekerja. Tegas dalam semua perkara. Kecuali aku.


"Saya...Saya..."


Panjang helaan nafas aku. Sulit nak buat Syafinaz buka mulut. Sulit juga juga nak jadi orang tengah demi menyelesaikan masalah dia. 


"Sya!"


Bukan main terkejut Syafinaz bila nama dia diseru. Resah-gelisah dia semakin teruk. Sesekali lirikan dia singgah padaku. Memohon pertolongan.


"Masuk sekarang." Arahan menyusul. Arahan daripada abang Mus sendiri.


Sempat aku menjeling kiri dan kanan. Mereka saling berbisik sesama sendiri. Tumpuan mereka masih lagi pada Syafinaz.


"Saya masuk dengan awak." Aku beri laluan. Menunggu Syafinaz mengorak langkah terlebih dahulu.


"Go Sha...Saya akan follow." Gesaku bila Syafinaz masih kaku.


Barulah Syafinaz mengatur langkah. Itupun masih takut-takut bila abang Mus bercekak pinggang menunggu di muka pintu. Abang Mus bergerak sedikit, memberi laluan kepada Syafinaz untuk meloloskan diri ke dalam bilik mesyuarat.


Belum sempat aku menyusul, Abang Mus berdiri di tengah-tengah laluan.


"Heera tak terlibat dan tak boleh terlibat dalam mesyuarat ni."


Abang Mus berhak menghalang aku masuk. Tetapi dengan kuasa veto aku selaku anak lembaga pengarah, Abang Mus tak akan boleh halang biarpun aku cuma menyandang jawatan sementara sebagai ketua di unit HR. Menggantikan Kak Leha yang sedang cuti bersalin.


"Why? Bukan senang Heera nak join meeting besar-besaran macam ni." Aku kerling bilik mesyuarat. Tanpa pedulikan Abang Mus, selangkah aku mara. Selangkah itu jugalah menyebabkan Abang Mus bersuara lagi. Lebih keras.


"Don't!" Nekad benar Abang Mus nak halang aku masuk. Pasti ada orang-orang penting di dalam.


"Abang nak Heera buat kecoh dekat sini? Heera yakin sesi mesyuarat akan bertukar sesi kaunseling antara Heera, papa dan abang." Ugut aku dengan cara halus.


"Sebab tu abang tak nak Heera join. Heera akan malukan abang dengan papa nanti." Potong Abang Mus.


"Heera takkan malukan papa dengan abang. Heera akan buang semua sikap negatif dekat luar. Heera akan jadi profesional. Trust me!"


Mengecil sepasang mata Abang Mus. Kurang percaya dengan kata-kataku mungkin.


"I promise!" Janjiku sungguh-sungguh.


Barulah Abang Mus buka jalan. Sempat aku menjeling dia kerana memperlekehkan kematangan aku. Sebaliknya, ada amaran pada soroton Abang Mus supaya aku pegang pada janji.


Sejurus masuk saja ke dalam, tumpuan papa diberikan sepenuhnya padaku. Ada raut kerisauan di wajah tuanya. Sepuluh jarinya terkait di atas meja. Jelas-jelas kehadiran aku memberi impak kepada semua yang ada di sini. Lebih-lebih lagi papa.


"Teruskan...Abaikan saja saya." Aku bersuara bila beberapa pasang mata masih tertumpu padaku.


Tanpa menghiraukan mereka semua, aku labuhkan punggung selang tiga kerusi dari papa. Bersebelahan dengan Syafinaz. Elok saja punggung cecah kerusi, keyakinan aku goyah bila terpandang orang depan. Rasa kekok ditutup dengan deheman perlahan. Pura-pura pandang ke tempat lain biarpun orang depan langsung tidak terkesan dengan kehadiranku.


"Boleh kita teruskan?" Dia bersuara. Sekali gus mengusir jauh suasana kekok disebabkan aku.


Buat sekian kalinya aku kerling Syafinaz. Masih begitu. Lebih selesa tunduk mengira sepuluh jarinya. Gaya dia tidak ubah seperti seorang pesalah yang menunggu dijatuhkan hukuman.


"Saya cuma jalankan tugas."


Suara Raid menarik perhatianku. Sesiapa saja melihat penampilan Raid, pasti memikir hal yang sama. Penampilan Raid itu gambaran jelas dia sedang pikul tugas yang sangat besar.


"Bagus juga Cik Heera ada. Sekurang-kurangnya tak timbul fitnah."


Bagus Raid jaga iktilat. Tapi kenapa Raid nampak macam terpaksa menutur ayat tersebut? Pandang aku pun tidak. Dia lebih selesa pandang komputer ribanya. Jari dia mula berlari di atas papan kekunci.


"Boleh kita mulakan Tuan Azman?" Raid mencari Tuan Azman.


"Silakan."


Serius Raid buatkan aku gagal mencelah. Aku pandang dia sebelum meneroka seluruh ruang bilik mesyuarat. Takut tertangkap dek ralit merenungnya.


"Laporan Cik Syafinaz saya dah terima semalam. Kurang daripada 24 jam kami dah serbu rumah suspek. Dan suspek ditahan reman selama tiga hari untuk bantu siasatan."


Takut-takut Syafinaz, berani juga dia buat laporan polis.Timbul rasa kagum. Cuma aku ingin tahu apa intipati laporan yang telah dibuat oleh dia? Kalau papa dan abang Mus dah diheret, mesti laporan itu ada kaitan dengan orang-orang dalam syarikat.


"Setakat ni masih belum ada sebarang pengakuan direkodkan. Pendek cerita, suspek menafikan."


Tak tahu kenapa mesti aku yang berdebar-debar. Sedangkan Syafinaz yang menjadi tumpuan Raid. Terasa seperti aku yang menjadi perhatian mata hati dia.


"Jadi saya datang untuk semak cctv masa hari kejadian. Saya harap pihak Tuan Azman dan Encik Mus tiada masalah."


"Ini masalah serius. Menjadi tanggungjawab saya untuk berikan kerjasama penuh supaya keadilan pekerja saya terbela." Tuan Azman bersuara. Tegas.


"Mus..." Seru Tuan Azman.


Abang Mus faham makna disebalik renungan papa. Sedia mainkan cctv untuk tontonan semua. Sedia bongkarkan kejahatan yang berlaku menyebabkan Syafinaz nekad membuat laporan polis.


Belum pun bukti dimainkan, ada suara yang mematikan hasrat Abang Mus. Suara itu milik Syafinaz.


"Saya nak tarik semula laporan polis semalam."


Jangan kata mereka semua, aku pun sama ikut terkejut. Setelah siasatan dilakukan sekerat jalan, semudah ini Syafinaz mahu berhenti? Apa dia fikir laporan itu semudah main pondok-pondok?


"Awak yakin Sya? Fikir baik-baik. Untuk awak juga." Aku sentuh tangan dia. Menyalurkan semangat jika semangatnya hilang.


"Saya yakin."


Aku mengeluh.


"Cik Syafinaz fikir masak-masak. Jenayah seksual di pejabat boleh berulang memandangkan Cik Syafinaz bekerja satu bumbung dengan suspek."


Besar bukaan mata bila dengar jenayah yang sedang menular di kalangan pekerja tanpa pengetahuan aku. Sekarang, aku memilih sekapal dengan Raid. Si pelaku wajar diberi hukuman setimpal. Syafinaz tak sepatutnya beri muka pada dia. Tarik laporan bukanlah satu keputusan yang bijak.


"Emosi Cik Syafinaz tak stabil. Saya akan keluar sementara dan beri ruang Cik Syafinaz berfikir dahulu. Selepas lima belas minit, kita sambung semula." Putus Raid.


Raid bangkit meninggalkan ruangan bilik. Disusuli papa dan abang Mus. Meninggalkan aku berdua dengan Syafinaz.


"Heera temankan Sya." Sempat Abang Mus titipkan pesan. Mata mengerdip sekali sebagai tanda arahan dia diterima.


Sepi mengusai. Aku beralih pada Syafinaz. Tak tahu mengapa Syafinaz mesti tunjukkan dirinya seperti seorang pesalah. Sebaliknya, dia perlu melawan. Tunjukkan dirinya tidak lemah sama sekali.


"Awak tak perlu takut Sya. Saya ada."


Sentuhan kedua aku berjaya membuatkan dia panggung kepala. Pandangan kami bertaut. Bibir aku tersenyum tipis.


"Mungkin dia terlepas hukuman di dunia, tapi bukan di sana. Awak kena ingat tu. Biar dia meringkuk dalam penjara. Biar dia insaf. Biar dia tahu negara ada undang-undang." Aku yakin, ini yang Raid mahukan. Bukannya sesenang itu melepaskan penjenayah.


"Saya masih ada hati perut. Apa Cik Heera nak buat kalau isteri dia datang dengan anak-anak merayu supaya tarik semula laporan? Dia ada anak yang nak dibesarkan. Ada perut yang nak dijaga. Kalau saya berkeras juga, sama saya bunuh ayah mereka. Saya sekat rezeki mereka anak beranak."


Aku terkesima. Mula memikirkan baik buruknya. Dan aku meletakkan diriku di tempat Syafinaz. Tentunya aku melakukan hal yang sama kerana aku juga perempuan. Ada rasa simpati.


"Lagipun, dia tak sempat buat apa-apa. Tak salah kalau saya bagi dia peluang."


Hati perempuan milik Syafinaz terlalu murni. Dia sanggup ketepikan maruahnya demi insan lain.


"Cik rasa saya buat keputusan yang betul?"


Bibir aku bergerak-gerak saat diajukan soalan. Suara bagaikan tersekat. Gugup mahu menjawab. Sudahnya, aku hanya mampu mengangguk kepala. Tangan dia digenggam kemas. Balasannya, aku menerima senyuman lebar Syafinaz bersama pandangan berkaca.


Ah, Syafinaz! Sekejap lagi, Raid pasti akan mengheret aku ke balai polis. Atas tuduhan menghasut!

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.