Home Novel Cinta Hello Mr Freeze
Hello Mr Freeze
awa
18/6/2024 08:23:01
15,254
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 6

Langkah disusun santai menuju ke bangunan empat tingkat yang berada tidak jauh dari bilik guru. Tanpa sedar, bibir mengorak senyuman. Setelah sekian lama berkerja secara sambilan di syarikat keluarga sendiri, akhirnya aku mula bekerja di tempat baru. Baru dua minggu lepas aku mendapat tawaran. Dan hari ini merupakan hari ketiga aku mulakan kerja.


Tetapi itulah, ketenangan aku baru saja diragut dengan berita mengejut dari pengetua semalam. Berita perihal pelajar baru yang akan melaporkan diri pada hari ini. Dan pelajar tersebut bakal menjadi pelajar aku. Wajarlah merasa gugup, aku pun baru saja berkhidmat. Bak kata pepatah, baru setahun jagung.


Dalam hati sempat berdoa, semoga pelajar baru itu elok perangainya. Elok juga rupanya. Lebih elok jika orangnya berbahasa. Mudah kerja aku mencurahkan ilmu di dada yang tak seberapa.


“Semua bangun!”


Suara ketua kelas berbunyi sebaik saja aku jejak kaki dalam kelas.


“Tak perlu Irfan…Semua duduk.”


Memandangkan hari ini ada pelajar baru, sesi pembelajaran hari ini akan bertukar sesi perkenalan dan santai-santai saja. Biar pelajar tersebut biasakan diri. Supaya dia tidak merasa dipulaukan.


Satu persatu pelajar duduk di depan mata aku renung. Tercari-cari gerangan pelajar baru tersebut. Seminit berlalu, namun raut wajahnya belum aku temui. Hairan! Aku yakin tak salah dengar. Hari ini, bukan esok atau lusa.


“Saya lambat…” Muncul satu figura tinggi lampai dari pintu belakang. Sontak semua tertumpu kepadanya.


Tak tahu berapa besar bukaan mataku ketika ini. Bibir bergerak-gerak mahu bersuara namun tidak terluah. Akhirnya, aku hanya mampu memandang tindak-tanduknya. Sesekali nafas ditarik dalam-dalam. Cuba menenangkan diri.


“Saya, Raid Zubari melaporkan diri…Cikgu.” Cara Raid perkenalkan diri seolah-olah kami sedang berada di padang kawad. Terlalu formal.


Dua kali aku mengerdip mata, mengharapkan semua ini adalah mimpi. Kerdipan ketiga, Raid masih berdiri tegak di depan mata dengan kedua belah tangan lurus ke bawah. Makanya, aku tidak bermimpi disiang hari.


“Maaf…Motor saya rosak semasa dalam perjalanan.” Beritahu Raid tanpa dipinta. 


Raid sudah beralih ke bidang lakonan. Handal sekali lakonannya. Dalam diam aku merasa mahu beri tepukan paling gemuruh.


Sepi setelah itu. Sepanjang kesepian itu, aku berusaha sehabis baik untuk bereaksi biasa. Tidak terburu-buru menghukum. Tidak terlalu ikutkan emosi.


“Yang lain-lain, kenalkan diri.” Aku bersuara sekaligus mematikan suasana canggung. Dalam waktu yang sama, bibir mengukir senyuman tipis.


“Awak, habis sekolah jumpa saya.” Arahku perlahan. Cukup hanya didengari Raid. Balasannya, dia merenung aku tajam.


Aku duduk di meja tanpa peduli keriuhan mereka semua. Aku sibuk. Sibuk mengarang soalan-soalan untuk Raid nanti. Yang pasti, Raid wajib jawab semua soalan tanpa langkau satu pun. Atau aku bakal sediakan pembaris panjang untuk sebat dia.


Lama aku menunggu di dalam bilik guru usai sesi persekolahan. Daripada sepuluh orang, kini tinggal aku sendirian. Sehingga kini aku belum menemukan susuk tubuh Raid. Nampak gayanya pelajar baru ini sukar diurus.


Meja aku kemas. Sedia untuk pulang. Esok baru aku cari Raid. Esok tak jumpa, lusa ada. Sampai ke lubang cacing pun aku akan cari.


Ketika melewati pagar sekolah, aku menemukan Raid yang sedang tunduk di sisi motor Honda EX5 berwarna biru. Cepat-cepat aku berhentikan kereta ke tepi, lalu bergegas turun.


“Awak perlukan bantuan Raid?” Tegurku. Sempat mata melihat tangan Raid yang hitam. Ada rantai besi di tangannya.


“Maaf…Tadi saya memang nak jumpa cikgu, tapi lepas saya betulkan motor.” Raid berdiri mendadak, rantai motor dicampak tepi. Sontak kedua belah tangan disorok ke belakang.


“Saya kenal awak siapa Raid. Jadi tak perlu nak formal sangat. Ini pertemuan kita yang ketiga.” Kataku perlahan. Tak faham kenapa Raid nampak terlalu taksub dengan wataknya sebagai pelajar.


“Kita perlu duduk dan berbincang.” Putus Raid bila aku mula serius.


Ya. Itu sebaik-baiknya. Takut salah faham aku terhadapnya kian melarat. Bukan aku tak tahu Raid itu kerja apa.


“Depan sana ada bengkel…Kita makan dekat warung sebelah sementara tunggu motor saya siap.”


Biarpun hati memberontak, aku turuti jua arahan dia. Lima belas minit kemudian aku duduk berdepan dengan Raid yang tenang menyisip straw ke bibir. Tenang sekali lagaknya. Seolah-olah tiada apa pernah berlaku di antara kami sebelum ini.


Mata jatuh pada bibir merahnya. Bukti Raid belum lagi mendaftarkan diri sebagai ahli perokok tegar. Irisku naik meneliti lengannya yang terdedah pula. Negatif. Tiada cacahan tatu. Bermakna, Raid tidak terjebak dengan mana-mana kumpulan gangster. 


Kata Raisha, abangnya sudah berubah. Di mataku Rais masih sama seperti dahulu. Yang berubah hanya bahasanya.


“Cikgu tak takut kalau ada yang nampak kita berdua?”


Soalan Raid buatkan angkat muka. Merah-merah muka aku bila tertangkap meneliti seluruh tubuh dia. Bukan niat menggoda. Hanya mahu mencari tahu punca mengapa dia dikatakan telah berubah.


“Pandangan mereka semua tak penting.” Kataku bersahaja.


“Siapa cakap?” Potong Raid.


Panjang helaan nafasku. Bila difikir-fikirkan, ada betulnya kata Raid. Mulut orang bukan boleh percaya. Ada saja cerita ditokok tambahnya nanti. Kesudahannya, bakal viral di media sosial. 


“Kita tak buat benda salah. Kita hanya duduk dan berbincang. Buat apa nak takut?” Aku ingatkan dia tujuan kami duduk semeja.


Gelas kosong diletakkan atas meja.


“Sebelum tu…” Belum sempat Raid buka mulut, aku mencantas.


“Berhenti panggil saya cikgu…Kita bukan di dalam kawasan sekolah.”


Turun naik kepala Raid sebelum matanya mengecil.


“Kita perlu bekerjasama.”


“Huh?!” Kening aku terkait.


“Saya dengan awak?” Jari telunjuk lurus ke dada sebelum menunding ke arah Raid.


“Ermm…” Dua kali Raid angguk kepala.


“Saya bukan Serina, awak kena faham perbezaan tu. Jadi, tolong fikir baik-baik."


“Saya tahu…Awak Zaina Baheera anak Tuan Azman.”


Timbul rasa kagum bila Raid dengan lancar sebut nama aku. Tak perlu cari tahu, aku tahu siapa dalang yang memberitahu namaku kepada Raid.


“Awak tahu apa akibatnya kalau kita bekerjasama?” Sebelum menerima segala tawaran Raid, ada beberapa isu yang perlu dititikberatkan supaya tiada isu berbangkit dikemudian hari.


“Ada banyak mata yang melihat, ada cerita yang akan bertiup…Tak hairan kalau ada gosip yang menular melibatkan kita berdua.” Ini penting. Raid perlu beri jaminan bahawa tiada sebarang cerita murahan tersebar.


Raid dekatkan tubuh pada meja. Mata terus merenung aku tanpa berkedip.


“Tentang itu, awak tak perlu risau selagi awak berikan kerjasama penuh. Serina tak akan tahu. Dan kalau Serina tahu sekalipun, awak selamat. Saya akan uruskan dia.”


Bercantum kening aku. Yakin benar Raid yang aku akan bekerjasama dengan dia. Aku pun belum berikan kata putus lagi.


“Jadi, awak boleh cerita pada saya. Saya sedia untuk dengar.” Enggan mendesak biarpun banyak persoalan yang belum terjawab. Aku memilih ketenangan supaya tiada adegan tomoi antara aku dan Raid.


“Tunggu call saya malam ni. Bahaya kalau cerita dekat sini.”


Bibir mencebik. Baru sekarang Raid sedar. Bahaya itu ada di mana-mana. Bukan di sini sahaja.


“Dik! Motor siap.” Jeritan mekanik dari depan.


“Saya belanja.” Sekeping not sepuluh di letak atas meja. Lalu Raid angkat punggung meninggalkan aku sendirian.


Dari jauh aku perhatikan Raid pergi sebelum hilang dari pandangan. Nafas dihela panjang. Maka, bermulalah ribut taufan berskala besar melanda hidupku. Dan aku perlu cari jalan bagaimana mahu mengelak ribut taufan tersebut supaya tidak menghancurkan hidupku. Ribut taufan yang melibatkan abang dan adik. Harap-harap, tiadalah berita mengenai aku yang menjadi punca mereka saling bertingkah.



Malam itu, tepat jam sembilan setengah malam aku terima panggilan daripada Raid. Sehabis baik aku lembutkan suara. Dia ada misi, aku juga ada misi. Misi aku menendang Serina dari hatinya. Semoga misiku berjalan dengan lancar.


Berbalik pada Raid, aku tekun mendengar setiap susur galur rancangannya. Aku mencelah apabila diseru, itupun gara-gara aku sepi di talian. Dan setelah mendengar keseluruhan rancangannya, hanya satu rumusan yang berlegar di dalam kepala. Meneruskan rancangan bersama Raid sama persis aku mempertaruhkan nyawa sendiri.


“Saya gedik orangnya, Raid. Sikit, tak banyak. Bila overacting, risau gedik saya yang sedikit itu jadi banyak.” Aku beralasan. Mana tahu Raid tarik balik kerjasama kami.


Diam dipihak Raid. Kebisuan dia merupakan kemenangan bagiku. Dia pasti tidak suka perempuan tipikal menggeletis. 


“Saya bekas tenaga pengajar di PULAPOL…Yang garang pun saya boleh jinakkan, apa lagi ulat bulu miang.”


Terasa pipi aku ditampar sedas. Merah-merah mukaku.

Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.