Home Novel Cinta Hello Mr Freeze
Hello Mr Freeze
awa
18/6/2024 08:23:01
12,649
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 16

Setelah puas soal siasat Hilman, aku bingung sendiri. Terlalu banyak cerita-cerita yang lompong. Yang tidak berapa nak memuaskan hati selepas serangan demi serangan. Yang meresahkan hati kerana mengenangkan diri masih terdedah dengan bahaya di luar sana.


Dua orang menjadi suspek utama. Salah seorang bangkang sekeras-kerasnya tuduhan aku. Penafian Hilman, buatkan rasa curiga aku cenderung kepada suspek kedua, iaitu Serina. Namun aku masih tetap belum berpuas hati. Masih mahu soal siasat dia.


“Saya tahu banyak yang awak tak puas hati dengan saya, Hilman.” Aku cuba selami isi hati dia. Cuba heret dia ke dalam perbincangan yang damai.


"Saya akui perkara tu.”


Telefon pintar aku pindahkan dari telinga kiri ke kanan. Panasnya tidak sepanas hati aku. Terlalu mudah Hilman mengakui tanpa sedikit pun rasa bersalah.


“Awak tahu kan, dah tiga kali saya hampir kehilangan nyawa.” Dengan Hilman, bercakap perlu berhati-hati. Perlu juga berhemah dan lembut tutur bicara. 


“Then?”


Aku tahan nafas. Nyawa aku tak bernilai di mata Hilman. Malah, tak penting juga. Kalau aku mati, tak hairanlah jika Hilman bakal mengadakan pesta meraikan kematianku.


“Saya rasa, ada yang merancang nak bunuh saya.” Luahku. Sengaja nak pancing reaksi dia.


“Mungkin orang tu nak saya mati baru dia puas hati. Baru hidup dia aman.” Kataku lagi bila pihak Hilman tiada suara.


“Jadi, awak nak tuduh saya?”


Sehabis baik aku bertenang walaupun suara Hilman mula menunjukkan tanda-tanda awal kemarahan. Tanda-tanda mahu bertengkar dengan aku. Boleh jadi sebentar lagi akan berlaku perang mulut.


“Saya tak tuduh awak, Hilman.”


“Tapi cara awak macam menuduh saya. Macam saya sengaja cetuskan kemalangan supaya awak mati. Tak begitu?” Turun naik suara Hilman.


Mujur saja Hilman tiada di depan mata. Boleh jadi kami berdua bakal terlibat kemalangan buat kali ke dua. Hilman bukan boleh dicuit. Pantang cuit, dunia boleh terbalik.


“Dengar…Saya tak nak libatkan polis. Kalau saya libatkan polis, benda ni boleh cetuskan kekecohan. Dan semua orang terdekat dengan saya akan jadi suspek. Termasuk awak.”


Sepi di hujung talian. Kemudiannya terdengar Hilman merengus. Sistem pernafasannya juga tidak teratur.


“Look…” Suara Hilman mula mengendur. Deru nafasnya juga tidak sekencang tadi. Besar kemungkinan dia akan berikan kerjasama penuh selepas ini.


“Saya mengaku, saya salah…"


Mengaku juga Hilman. Kenapa nak jadi jengkaut yang mengorek marah aku sedikit demi sedikit?


"Tapi saya dah menyesal. Kalau saya kaya sekali pun, tak guna kalau hidup tak tenteram.”


Apa maksud Hilman? Kaya? Apa kehidupan Hilman tidak cukup kaya sekarang ini? Kereta mewah dua biji. Rumah ada dua biji. Belum kira lagi aset-aset lain. 


Bukan aku tak tahu kekayaan dia kecapi. Ramai yang menjaja kisah kekayaan dia. Sayangnya, aku tak pandang kekayaan tersebut. Kaya tapi miskin dengan adab tak mendatangkan keuntungan pun.


“I’m sorry, Heera.”


Sikit lagi aku merengus. Permohonan maaf Hilman itu tidak laku ketika ini. Apa dia tahu, hanya meminta maaf tanpa sebarang penjelasan. Dalam rasa geram pada dia menggunung, aku sabarkan jua hati dengan bicara dia yang seterusnya.


“Saya mengaku…Saya memang sengaja langgar belakang treler supaya awak kemalangan.”


Sikit lagi rahang aku jatuh dengar pengakuan berani mati hilman. Telefon aku genggam kuat. Menahan segala rasa yang sedang bergolak hebat. 


“Sebab saya awal-awal dah letakkan nama saya sebagai suami awak…"


MasyaAllah! Bilanya kami berjanji mahu berkahwin? Tak pernah wujud pun cerita alam perkahwinan di antara kami sebelum ini.


"And yes, kalau awak meninggal hari tu, semua duit pampasan awak akan jadi milik saya. Saya akan kaya, Heera.”


Bibir aku mengetap kuat. Jika Hilman bersuara sekali lagi, memang berbakul makian aku hadiahkan pada dia. Percakapan dia serupa orang tidak siuman.


“Sumpah saya menyesal! Itu yang pertama dan yang terakhir saya buat kerja bodoh.”


Rasa marah aku sedikit beransur bila Hilman bersungguh-sungguh nafikan serangan pertama dan ketiga. Ada kesalan pada suaranya. Bahkan, lelaki itu telah pun hapuskan nama aku sebagai pewaris dan aku dipelawa ke pejabatnya untuk kepastian.


Kata Hilman lagi, aku berhak buat keputusan untuk melaporkan kejahatannya ke pihak polis. Dia sememangnya layak dipenjarakan. Itupun belum cukup untuk tebus kesalahannya.


“Nasihat saya, jangan terlalu percayakan orang di sekeliling awak. Ingat tu Heera. Untuk keselamatan awak juga.”


Selepas meminta maaf, Hilman sempat menitipkan pesan. Pesan yang berjaya dengan cemerlang memeningkan kepala. Mujur tidak meletup kepala memikirkan hal tersebut.


“Cikgu…”


Habis bertempiaran semua perbualan antara aku dan Hilman semalam. Yang ada di depan mata adalah susuk tubuh Azim selaku ketua kelas. Di tangannya juga ada kertas. Bibir auto tersenyum tipis. 


“Ada apa Azim? Apa yang awak tak faham?” Aku bertanya. Mereka semua sengaja aku biarkan untuk selesaikan modul latihan sebagai persediaan menjelang peperiksaan tidak lama lagi.


“Saya yang tak faham, cikgu.” Tubuh kecil milik Azim ditolak ke tepi. Sekali tolakkan saja, Azim sudah terhuyung-hayang. Sikit lagi nak cium bucu meja.


Renungan tajam aku berikan pada si pelaku. Memiliki tubuh tegap bukan sebagai tiket dia memotong barisan. Kemudiannya buli yang lain-lain. Boleh saja dia menunggu giliran.


“Awak duduk dulu Azim, nanti saya datang.” Arahan aku menyusul bila si pelaku enggan berikan kerjasama. Masih berkeras walaupun dijeling berkali-kali. Takut sebentar lagi berlakunya tragedi berdarah pula.


“Apa yang awak tak faham?” Mata jatuh pada kertas yang diletak atas meja. Mula teliti bahagian mana yang buatkan dia jadi tidak sabar sangat. 


“Satu pun awak tak jawab Raid. Awak terlalu sibuk  bersukan sampai awak lupa nak belajar.” Aku mula lancar serangan mulut bila sedar ada banyak mata memerhati.


“Sukan, sukan juga. Bila masa belajar, tolong fokus.” Raid antara pelajar yang tidak fokus sepanjang sesi PDP. Apa aku nak tulis dalam laporan nanti?


Kertas sudah berpindah tangan. Setiap helaian aku belek, belum pun sampai ke helaian terakhir aku sudah tutup gara-gara kertas dia suci dari noda dakwat. Tandanya, dia memang tiada hati nak menjawab. Tapi aku yang payah nak menjawab jika ada pelajar lain bertanya. Lebih payah bila timbul cerita aku terlalu berikan lebih perhatian kepada dia dalam segala hal.


“Saya dah nak pindah sekolah.”


Kelip-kelip aku pandang dia. Tak percaya pun ya. Tak ada angin, tak ada ribut. Tahu-tahu saja ada guruh sedang berkelahi dengar ayat dia.


“Bila?” Dalam bingung, sempat aku bertanya.


“Mungkin dalam minggu ni.”


Aku jeling kalender meja. Berbaki beberapa hari saja lagi. Pengetua sekolah pun tak ada maklumkan perihal perpindahan Raid pada aku.


“Kerja awak dah selesai?” Harap Raid faham maksud soalan tersirat aku.


“Dah.”


Tanpa sedar aku mengeluh. Dikala masalah semalam belum selesai, perasan sedih pun datang bertandang bila mengenangkan aku bakal kesunyian tanpa Raid. 


“Cekap awak buat kerja. Tak ada pun suara orang berperang mulut, tak ada aksi kejar mengejar, tak ada juga sesi soal menyoal. Tahu-tahu saja dah siap.” Aku berkata tanpa pandang muka dia. Tangan sibuk menulis bagi pihak dia. Tahu sangat, dia tak akan dapat jawab semua soalan ini.


“Orang bijak akan buat kerja dalam diam.”


Bibir aku spontan melengkung. Raid bab menjawab memang juara. Dia juga juara berdebat. Siapa mental tak kuat, boleh koyak sehingga cebisan kecil. Tak percaya, cuba ajak dia bergaduh.


“Lepas ni, semua mesti rindukan awak.” Tidak hanya aku, pelajar lain juga pasti merasakan hal yanga sama. Masing-masing senang dengan Raid biarpun lelaki itu terkadang liar mengalahkan lembu jantan.


Sepi. Raid sengaja kunci mulut bila aku sebut rindu. Faham sangat dengan perangai dia. Rindu lelaki itu sangat terhad. Hanya Serina yang bertuah kerana dirindui.


Aku selak helaian terakhir. Tangan yang tadinya lincah menulis terhenti. Terkejut kerana Raid itu tidak malas seperti yang aku sangkakan. Ada juga hasil tulisan tangan dia biarpun tidak kemas. Tulisannya macam cacing kerawit yang sakit perut. Barangkali gastrik.


"Apa ni?" Lima minit membaca, aku gagal teruk. Pen mula bulat-bulatkan karya tulisan Raid.


"Awak kena asah lagi skill menulis. Atau awak sebenarnya minat bidang kedoktoran?" Tebak aku. Doktor menulis jarang-jarang lambat. Semuanya laju kerana ada ramai pesakit yang perlu dirawat.


"Tangan saya tak pandai nak rawat orang. Saya hanya pandai bertumbuk."


Mata naik merenung Raid. Senyuman tipis menyusul di hujung ayat. 


"Raisha ada dekat bawah. Dia nak jumpa cikgu."


Aku pandang dia tak berkedip. 


"Ni...Raisha nak jumpa cikgu dekat bawah sekarang." Jari telunjuk Raid lurus terhala pada tulisan tangannya.  Dia membaca persatu perkataan yang dia tulis. 


Tak tahu berapa teruk kerutan di wajah aku sekarang ini. Apa yang aku baca jauh bercanggah dengan ayat Raid.


'Raya nak jumpa cikgu dekat rumah sayang.'


Beginilah bacaannya dari pandangan aku sekilas.


MasyaAllah, Raid. Merah-merah muka aku dibuatnya. Mujur saja loceng berbunyi sebagai penyelamat keadaan.

Previous: Bab 15
Next: Bab 17

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.