Home Novel Cinta Hello Mr Freeze
Hello Mr Freeze
awa
18/6/2024 08:23:01
15,259
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 10

Salah percaturan aku. Yang disimbah itu adalah aku. Bukannya Raid. Tak sedar bila kemunculan Serina. Sedar-sedar saja, seluruh tubuh terasa sejuk.


"Kau memang tak guna! Perempuan perampas." Marah Serina.


"Seri! Apa you buat ni?" Raid selaku penyelamat mengheret Serina menjauh.


"I nak ajar dia ni! You tahu tak, dia ni memang dari dulu perampas." Kerasukkan Serina semakin menjadi-jadi.


Salah tuduhan Serina. Sejak dari dulu, tahta perampas itu jatuh kepada dia. Aku masih ahli baru. Belum pernah menang mana-mana persaingan berebut lelaki.


Beberapa keping tisu Raid hulurkan kepadaku tanpa peduli suara Serina yang sudah memekik. Suara Serina tidak sampai ke pendengaran. Yang sampai ke mata hatiku, pandangan simpati Raid. Baguslah. Daripada simpati, boleh jadi jatuh hati. Jadi, tiada masalah aku disimbah.


"Hei, perempuan!"


Aku pejam mata. Sedia menerima lemparan seterusnya. Anehnya, tiada apa yang terjadi. Tiada apa yang menyentuh tubuhku. Perlahan-lahan mata dicelik. Terkejut melihat keadaan Raid.

Lantas aku bangkit menuju ke kaunter. Sekembalinya aku, tangan mula bergerak laju di atas bajunya. Kesan-kesan merah mula merebak ke tubuhnya.


"Tuan..." Tersedar kekhilafan aku menyentuh dada dia tanpa sedar.


"Raid...Raid...I'm sorry...I nak ajar perempuan ni! Bukan you." Sempat bahu aku ditolak supaya menjauhkan diri dari Raid. Serina pula mengambil alih membersih segala kotoran pada baju tunangannya.


"Kita balik Heera." Ajak Raid.


Aku terkebil-kebil memandang dia. Begitu mudahnya Raid menyelesaikan masalah mereka berdua. Dengan cara melarikan diri dari masalah.


"Tapi tuan..." Bibir aku kelu. Raid tidak sepatutnya mengajak aku pulang bersama. Hal tersebut hanya menyemarakkan lagi kemarahan Serina.


"Raid!" Tempik Serina. Dan tempikkan Serina berjaya menghentikan langkah Raid, lalu dia menoleh.


"Kalau you masih sayangkan I, tolong berhenti buat perangai. I dengan Heera tak ada apa-apa. Cuma rakan kongsi perniagaan."

Ah! Raid masih mampu berbahasa. Jika aku di tempat Raid, sekarang juga aku ucapkan ayat keramat. Ayat-ayat yang menamatkan hubungan mereka terus.


"I terima apa juga penjelasan you pasal lelaki tu. Just text or call me. I tunggu." Kata Raid setelah itu.


MasyaAllah Raid. Aku syak Raid telah diguna-gunakan. Curang pun dia masih boleh terima dengan hati terbuka. Atau mata dan hati Raid telah dibutakan oleh Serina?


"Jom Heera." Jelingan Raid singgah pada aku. Hilang terus aura lelaki budimannya.


Raid terlebih dahulu mengorak langkah besar. Dia pergi tanpa menoleh lagi. Aku buka langkah lambat-lambat. Mujur tidak ramai yang menyaksikan kejadian campak-campak makanan. Mujur juga mereka semua segera bubar setelah Raid pergi.


"Kau!"


Langkah aku terhenti ketika selisih dengan Serina. Lengan aku juga disambar.


"Jangan berani-berani nak rampas Raid. Kau dah dengar kan? Dia cuma cintakan aku seorang." Berlaga-laga gigi Serina memberi ancaman.


Aku mengeluh. Lantas menoleh pada dia. Perlahan-lahan lengan digerak-gerakkan demi melepaskan diri dari cengkaman gila Serina.


"Raid tu satu dalam seribu. Sayang kalau aku tak berebut dengan kau. Mana tahu, kali ni tuah akan berpihak pada aku. Orang kata rezeki jangan ditolak."


Cengkam Serina itu semakin bertambah-tambah sehingga memaksa aku merentap tangan. Barulah cengkaman Serina terlepas.


Tanpa pedulikan amukkan dia, aku berlalu pergi. Tak elok biarkan Raid menunggu lama. Menunggu itu bukan sifat seorang lelaki. Gara-gara menunggu itu juga boleh tercetusnya perbalahan di antara lelaki dan perempuan. Perkara tersebut perlu dielakkan.


"Sorry...Saya pergi tandas." Bohongku sejurus meloloskan diri ke dalam perut kereta.


Aku jeling sebelah. Raid selesai menukai baju. Baju yang kotor dimasukkan ke dalam beg kain lalu dicampak ke kerusi belakang.


"Serina ada marah-marah awak?"


Mengeras sedikit tubuhku menerima soalan Raid. Nampak gayanya, dia sangat memahami Serina. Dia boleh menjangkakan kemarahan Serina.


"Tak ada tuan." Sekali lagi aku berbohong. Demi kebaikkan semua pihak. Demi melancarkan gencatan senjata supaya tidak tercetusnya lagi peperangan.


"Saya minta maaf bagi pihak Serina."


Baiknya Raid. Yang salah itu Serina. Yang sepatutnya meminta maaf itu Serina juga. Bukannya Raid.


"Saya okey tuan." Aku pamer deretan gigi. Menampakkan betapa tidak terkesannya serangan Serina terhadapku.


"You're not."


Perkara biasa, jarang-jarang Raid nak percayakan aku. Jarang-jarang juga Raid nak terima bulat-bulat pembohongan aku.


"Setakat air, saya tak akan mengalami luka-luka tuan." Aku berseloroh. Disimbah air saja. Bukannya disimbah dengan batu-bata.


"Cuma hati tuan..." Tergantung ayatku. Cuba menyusun ayat terbaik supaya hati Raid terjaga.


"Saya harap hati tuan tak terluka. Saya tak ada ubatnya." Kata aku setelah itu.


"Baju awak..."


Dan Raid akan sentiasa mengelak apabila sesi perbahasan mengenai tunangannya diketengahkan.


"Tuan jangan pendam...Ramai yang terkena penyakit sebab pendam masalah mereka." Aku berbesar hati mendengar sekiranya Raid mahu luahkan.


"Saya bimbang esok terpampang di dada akhbar Tuan Raid selamat ke syurga gara-gara terjun bangunan." Titip aku lagi.


Raid merengus.


"Awak jangan risau. Serina nampak je jahat. Tapi dia baik orangnya." Tanpa jiwa suara dia. Biarpun tanpa jiwa, hatinya masih berpihak pada Serina.


"Tuan dah kenal dia baik-baik?" Soalku. Payah bercakap dengan orang angau.


"Dah." Pendek saja jawapan balasnya.


"Tuan yakin?" Masih ragu dengan jawapan dia. Kali kedua Serina tertangkap curang. Tetapi Raid masih mampu pejam mata. Betapa tabahnya insan bernama Raid.


"Saya tak salahkan Serina. Saya punca Serina berubah. Sebab saya tak ada masa untuk diluangkan bersama. Terlalu sibuk bekerja sampai mengabaikan dia."


Tuan Raid ini memang sah-sah buta. Serina itu tidak pernah berubah. Memang sejak dari dulu lagi khabar angin perihal Serina banyak skandal tersebar meluas.


"Tapi saya janji akan berubah selepas kahwin. Perlahan-lahan saya akan didik dia. Dan saya yakin dia akan berubah."


Ya Allah...Kagum aku dengan Raid yang sanggup berubah demi kekasih hatinya. Lebih mengagumkan adalah semangat membara dia macam nak pergi berperang. Tolong semuanya, beri tepukan semangat buat dia.


"Untung Serina dapat tuan. Dapat terima baik dan buruknya dia." Aku mati ayat demi meraih perhatian dia, demi memesongkan hatinya kepadaku.


"Semoga tuan berbahagia sehingga ke jannah." Doaku.


Seharusnya Raid gembira ada yang baik hati mahu mendoakan kebahagiaannya. Sebaliknya jelingan sebanyak dua kali sebagai balasan menitipkan doa. Pakej jelingan maut lagi.


"Nasihat saya...Belum terlambat sekiranya tuan nak buat pilihan. Pilihan terbaik itu perlukan usaha yang keras. Dan percayalah, hasil usaha tuan yang keras itu akan membuahkan hasil sangat lumayan. Tuan akan berbangga dengan pilihan tuan nanti."


Tiada apa yang dapat dibanggakan oleh Raid jika Serina masih menjadi pilihannya. Raid hanya menanti cemuhan masyarakat jika ada yang tahu sisi gelap bakal isterinya. Seterusnya menanti mahligai terbelah dua. Ketika itu, pakailah topeng kegembiraan setebal mana pun, tetap akan merasa malu.


"Macam mana dengan awak?"


Aku menoleh. Apa Raid bertanya pada aku?


"Saya?" Jari telunjuk menekan dada. Kurang faham dengan soalan dia.


"Maksud tuan macam mana apa?" Aku pulangkan soalan tersebut kepadanya.


"Boyfriend awak pun pernah curang. Awak masih boleh terima dia lagi?"


Kelat muka aku. Boyfriend yang dimaksudkan Raid siapa lagi kalau bukan Hilman.


"Dia bekas kekasih tuan. Saya dah putuskan hubungan kami."


"Kalau dia merayu-rayu dan janji nak berubah, awak akan bagi peluang kedua?"


Ada dua kemungkinan besar di sini. Sama ada Raid ingin menguji ataupun menyindir aku sebenarnya. Salah jawab, maka mengundang mautlah jawabnya.


"Peluang saya dah bagi banyak kali tuan, jadi tak salah saya buka peluang kepada orang lain. Lelaki dekat dunia ni bukan seorang je." Jawapan selamat. Dalam waktu yang sama nak buka mata dan hati Raid supaya maju ke depan.


Hujung mata aku nampak bibir merah dia mencebik.


"Tapi saya masih prefer setia."


Membazir air liur saja. Akhirnya Raid tetap dengan prinsip setia dia itu. Inilah contoh hero idaman wanita. Ini juga contoh lelaki naif, mudah diperdayakan wanita.


"Temujanji kita selesai. Saya akan hantar awak balik. Baju awak pun dah basah."


Salah pilihan ayat Raid. Temujanji dia dan Serina. Bukan kita.


"Kita tak bertemujanji tuan. Saya hanya menemani gergasi kelaparan. Dan gergasi tu dah pun kekenyangan. Hanya saya sempat makan dua suap." Aku buat aduan.


Aduan aku didengari. Ada ketawa perlahan datangnya dari sebelah.


"Awak nak apa? Saya bungkuskan." Tawar Raid.


"Saya dah tak ada selera tuan. Selera saya sudah putus."


"Awak jangan ambil hati dengan Serina. Dia tak sengaja."

Terjuih bibir aku. Lagi-lagi Raid menangkan tunang dia.


"Tuan, ni bukan jalan tadi." Aku pesongkan cerita. Bosan asyik bercerita tentang seteru aku itu. Lebih bosan bila Raid menyebelahi dia.


"Waktu begini, jalan bandar akan mula sesak. Kita ikut lorong tikus."


Turun naik kepala aku. Besar kemungkinan aplikasi waze sudah tetanam dalam kepala Raid. Sampaikan lorong tikus pun dia tahu.

Pandangan aku tebar ke luar tingkap ketika kereta di pandu Raid melewati deretan kedai. Ketika itu juga aku terpandang seorang makcik pertengahan usia sedang bergelut dengan dua orang lelaki yang menaiki motorsikal tidak jauh dari sini


"Tuan...Berhenti."


"Tuan!" Suara aku sedikit meninggi apabila tiada tanda-tanda Raid berhentikan kenderaan.


Suara aku berjaya membuatkan Raid berhenti secara mengejut. Cepat-cepat aku melepaskan tali pinggang keledar dan meluru keluar dari perut kereta.


"Makcik tak apa-apa?" Aku bertinggung depan dia.


Gelengan lemah dia menjawab pertanyaanku. Dua orang lelaki tadi sudah hilang entah ke mana sejurus kejadian percubaan meragut disedari orang ramai. Mujur mereka tidak sempat merompak.


"Mama?!"


Suara Raid buatkan aku terngadah. Dia sedang berdiri tegak di belakangku dengan muka berkerut seribu.


Previous: Bab 9
Next: Bab 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.