Home Novel Cinta Hello Mr Freeze
Hello Mr Freeze
awa
18/6/2024 08:23:01
15,262
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 20

Cincin di jari manis entah ke berapa kali aku renung. Beberapa kali itu jugalah mengundang keluhan demi keluhan. Tak terhitung banyaknya. Dalam waktu yang sama, ada rasa menyesal mula datang bertandang. Rasa yang menguli sebati semua emosi. 


Sedang sibuk meratapi nasib, bunyi telefon menyedarkan aku ke alam nyata. Kepala segera menoleh melihat nama si pemanggil. Melihat nama yang tertera buatkan aku was-was mahu jawab. Secara tiba-tiba badan merasa seram sejuk biarpun cuaca panas berdenting tengahari buta ini. 


Dalam sangsi, telefon tersebut diraih. Jari meleret ikon hijau lalu telefon di bawa melekap ke telinga.


“Lambat jawab?”


Memang aku sengaja jawab lambat. Sengaja nak mengelak. Sengaja nak dia putus harapan. Tetapi itu perkara yang sangat mustahil. Boleh jadi si empunya suara muncul di depan mata dalam masa beberapa minit jika aku terus-terusan melancarkan provokasi. Perkara itu pernah terjadi dua hari yang lepas.


“Sejak bertunang, awak kerap mengelamun.”


Aku tarik nafas panjang. Apa kata dia benar belaka. Perbualan kami selalunya lebih kepada sebelah pihak. Di pihak aku lebih banyak diam dan mendengar. Akhirnya, aku terlepas semua minit mesyuarat.


“Seminggu pun agak payah saya nak dengar suara awak.”


Memanglah payah pun. Sejak bergelar tunang Raid, aku masih belum dapat sebarang petunjuk mahupun jawapan berkenaan Raisha. Wajarlah aku melancarkan perang psikologi.


“Tentang Raisha…” Aku masih belum jemu mengingatkan dia agenda sebenar kami. Punca kami sepakat untuk bertunang dan berkahwin dalam waktu yang singkat.


“Saya ada kerja dekat luar kawasan.”


“Tu kerja awak, bukan kerja saya.” Seperkara yang aku sedar sejak menjadi tunangan Raid, aku jadi baran. Jadi tidak menyabar. Paling teruk, segala percakapan Raid itu hanya menjemput amarah. Sadis sungguh.


“Saya faham…Dan saya tak marah. Saya anggap ini dugaan orang bertunang.”


Dia memujuk demi meredakan marah. Demi mengusir jauh segala aura negatif di antara kami. Begitulah Raid sejak kami bertunang. 


“Sorry.” Pinta aku bila sedar diri. Bila sedar bahawa marah itu tidak seharusnya mengetuai perbualan.


“Kalau awak tak ada apa nak cakap lagi, saya letak dulu.” Suara aku kembali mengendur. Mula bercakap santai biarpun masih ada sisa rasa memberontak.


“Sayang…”


Jeda.


Tanpa sedar aku menggenggam kuat telefon. Sebutan itu terlalu lancar. Terlalu sedap didengari. Mengalahkan orang angau bercinta.


“Saa…”


“Raid.” Pangkah aku sebelum Raid terbang jauh ke bulan bintang, ada baiknya aku sedarkan dia.


“Awak tak nak pergi bercuti? Boleh jadi awak mengalami tekanan layan anak murid awak yang macam-macam perangai.” Usul Raid.


Murid-murid aku elok saja perangai. Yang tidak elok itu adalah disebabkan Raid. Dia pencetus segala yang tidak elok. Itu gara-gara dia yang paling bermasalah di antara mereka semua.


“Saya bukan jenis yang suka bergaduh hal remeh, Raid. Tapi part sayang tu…” Hujung ayat aku mengeluh. Masih tercari-cari ayat yang mampu menyedarkan Raid dari alam ghaib. Yang mampu sedarkan Raid dari mimpi ngeri.


“Ada apa dengan sayang? Saya okey je.” Suara Raid mula menunjukkan gejala orang sedang kepanasan. Boleh demam jika dibiarkan.


“Terpulang.” Mengalah merupakan ubat paling mujarab bagi mengekang sakit Raid dari menular.


“Abang nak jumpa sayang.”


Aku hela nafas panjang. Hari ini Raid benar-benar sedang menguji kesabaran. Kita orang baru seminggu bergelar tunangan Raid. Belum masuk ke frasa berkahwin lagi. Maka dengan ini, aku isytiharkan Raid bakal menjadi penghuni hospital sakit jiwa.


“Saya sibuk Raid. Ada banyak program. Pagi sampai petang jadual penuh. Belum lagi kelas tambahan.” Berderet tentatif aku senaraikan. Program dua bulan akan datang pun tersenarai demi Raid batalkan hasrat untuk berjumpa.


Terdengar panjang helaan nafas di hujung talian. Tanda-tanda orang putus harapan. Tanda-tanda aku bakal kecapi kemenangan besarz


“Sorry, Raid." Aku tak jemu mohon maaf asalkan emosi sendiri terpelihara. Biarlah emosi Raid nak koyak rabak sekalipun. Pandai-pandailah dia jumpa doktor nanti untuk cantumkan semula.


“Bila program tu?”


Aku gigit dinding bibir. Was-was untuk jujur. Dibuatnya Raid nak ikut macam mana?


“Sebab esok abang kerja luar. Mungkin ahad petang baru balik. Isnin kita boleh jumpa.”


Sekalung pujian harus diberikan kepada Raid. Begitu lancar gelarkan dirinya abang. 


“Sama!” Ya, kebetulan esok aku perlu sertai program perkhemahan untuk pantau murid-murid selama empat hari tiga malam.


“Tapi isnin saya ada mesyuarat dengan pengetua sampai petang.” Memadai Raid tahu betapa sibuknya aku. Tak perlu aku senarai intipati mesyuarat itu nanti. Raid bukan lagi warga sekolah kami.


“Okey.” Dia mengalah.


“Ada masa abang video call.” Pinta Raid.


“Bergantung pada line.” Dalam hati sempat berdoa semoga tiada liputan sepanjang berada di sana. Tak perlu aku susah payah cipta berdozen alasan untuk mengelak.


“Miss you.”


“Assalammualaikum.” Aku terlebih dahulu memberi salam dan segera menamatkan perbualan sebelum aku cair dengan segala madah-helah dia.


Ikutkan hati, aku mahu berjumpa empat mata dengan Raid. Ada hal yang ingin aku bincangkan. Memandangkan satu wayar otak Raid terputus, aku pilih untuk tunda. Biar kewarasan Raid pulang ke tempat asal terlebih dahulu, baru kami bincang semula. Baru adil. Baru tiada isu berbangkit kelak.


Aku kembali ke bilik. Banyak benda yang perlu disiapkan. Tak nak tertinggal satu pun. Sebab aku akan berkampung di dalam kawasan perhutanan. Jauh dari bandar. Jauh dari hiruk pikuk manusia.


Empat hari tiga malam merupakan peluang keemasan aku lupakan masalah di antara Raid. Aku akan sibukkan diri biar tiada ruang langsung untuk bayang Raid datang menyelit. Selepas itu barulah aku fikirkan ke mana arah tujunya hubungan kami. 


Ya. Itu rancangan aku buat sementara waktu ini. Rancangan untuk kesihatan mentalku. Biar tidak berjangkit dengan penyakit gila Raid.


 


ESOK pagi aku tiba awal di perkarangan sekolah. Menanti ketibaan pelajar-pelajar yang lain. Setelah memastikan semua pelajar yang turut serta mencukupi, bas membawa empat puluh pelajar dan empat guru pengiring mula bertolak menempuh perjalanan selama tiga jam menuju ke tapak perkhemahan.


Namun segala tentatif hari pertama terpaksa dirombak semula. Ada beberapa aktiviti tidak dapat dilaksanakan gara-gara bas kami mengalami kerosakkan ketika dalam perjalanan. Dua jam juga kami terpaksa berpanas sementara menanti bas dibaiki. Mujur tiada kerosakkan teruk sehingga memerlukan pertukaran bas. Jika tidak, besar kemungkinan malam baru kami akan tiba.


“Cepat, solat dulu. Nanti kumpul semula, kita makan.” Aku beri arahan sebelum turun bas. Kesian pula mereka semua hanya makan roti dan jajan saja untuk mengalas perut.


Selesai solat jamak, aku bersiap ala kadar untuk aktiviti riadah petang sebelum malam berlabuh. Kata Puan Rosnah selaku ketua program, malam akan adanya sesi team building. Sesi suai kenal antara pelajar.


“Semua berkumpul.”


Suara datangnya dari alat pembesar suara menggamit. Dari sini, aku nampak beberapa pelajar mula berkumpul. Ada yang berlari-lari anak setelah digesa berkumpul dalam kiraan sepuluh. Tak cukup tanah mereka semua berlari.


Tepat kiraan sepuluh, aku sudah pun berdiri paling belakang sekali di dalam kelompok semua pelajar. Dari belakang, aku boleh nampak ada yang teruja menanti apa aktiviti mereka petang ini. Ada yang masih terkial-kial mencari teman. Ada yang sibuk mengorat orang sebelah. Macam-macam ragam.


Disebabkan sesi mengorat itulah, mereka semua dibahagikan. Lelaki di depan, perempuan di belakang. Baru semua boleh fokus. Tak sibuk mencari cinta yang kononnya sejati.


Niat di hati mahu hapuskan bayang Raid itu sekadar angan-angan. Aku sibuk mengelamun. Sibuk memikirkan keadaan Raid. Sihatkah dia? Apa Encik Tunangnya itu cukup makan? 


Nampak sangat aku sedang menipu diri sendiri. Mulut kata tak nak, tapi dalam kepala sudah beribu nama Raid terpahat. Sampaikan payah nak dibuang.


"Awak yang belakang sekali tu, dengar tak?"


Aku terpinga-pinga bila lengan dicuit. Sempat kepala menoleh orang sebelah.


"Kenapa?" Kalut aku bertanya. Takut ada yang perlukan rawatan kecemasan.


"Bukan saya...Tapi Encik tu panggil." Bibir pelajar perempuan itu terjuih ke depan.


Kepala berpusing mengikut arah yang ditunjuk. Tercari-cari empunya suara sebentar tadi.


"Awak ingat siapa? Boyfriend?"


Ada ketawa tercetus dari setiap penjuru. Ketawa yang berjaya naikkan suhu wajah aku ketika ini.


"Saya sibuk baca karangan, awak sibuk mengelamun dekat belakang."


Suhu wajah aku sampai ke tahap maksima. Tiada bezanya aku dengan buah tomato. Sama-sama merah demi menahan malu.


"Cikgu pun tak terkecuali kena marah kalau buat salah. Sebab saya kena adil dengan semua peserta."


Aku mendengus perlahan. Adil ke kalau malukan aku depan semua?


"Dah ada tunang?"


Gara-gara soalan itulah, mereka beri sepenuh tumpuan pada aku. Mengalahkan artis Malaysia.


"Tolong jawab kuat-kuat ya. Biar saya dapat dengar dengan jelas." 


Liur ditelan. Rasa berpasir. Mata tajam merenung si pencetus masalah.

Previous: Bab 19
Next: Bab 21

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.