“Aku
terima nikahnya Salwa Maisara Binti Abdul Malik dengan maskahwinnya dua ratus
tunai...”
Itu
sahaja yang dapat didengar dengan jelas di telinga Salwa Maisara. Air matanya
tumpah laju mengiringi perkataan ‘sah’ daripada para saksi yang berada di dalam
rumah mereka itu. Walaupun dia tidak mengenali siapakah suaminya yang sebenar,
namun dia tetap bertekad akan menjadi seorang isteri yang baik dan
membahagiakan suami.
Selepas
sahaja pernikahannya, Salwa Maisara tidak keruan. Lelaki yang dinikahi pun
tidak cukup dikenalinya, dia bagaikan kahwin paksa walaupun kedua-dua mereka
telah pun bersetuju dengan pernikahan itu.
“Salwa,
kenapa air mata tu jatuh lagi? Dah sah kamu jadi isteri orang, sepatutnya kamu
dah senyum gembira,” mendengar bebelan mak andam itu, Salwa Maisara terpinga.
Mak andam sibuk menyapukan bedak di mukanya. Salwa Maisara hanya menutup
matanya.
“Kenapa
tak suka?” soal mak andam lagi mula hendak menyibuk. Emaknya pula tidak tahu di
mana. Salwa Maisara angguk.
“Suka
mak cik, saya gembira,” jawab Salwa Maisara sebak. Dalam hatinya hanya Tuhan
sahaja yang tahu. Mak andam mengerutkan dahinya. Percayakah mak andam itu
dengan kenyataannya?
“Jadi
kenapa nangis?” soal mak andam tidak puas hati dengan apa yang
dilihatnya.
“Sejak
tadi wajah pengantin murung. Jadi pengantin kena berseri, tak boleh bersedih!”
bebel mak andam lagi. Dia angguk. Memang benar kenyataan mak andam itu. Mak
andam tersebut ialah kawan baik emaknya. Salwa Maisara sudah lama mengenali mak
andam.
“Kalau
mak kamu tahu, tak tahu apa katanya,” katanya lagi. Dia diam dan kesat pipinya
yang basah oleh air matanya.
“Jangan
bagi tahu kat mak Salwa mak cik, nanti mak pun sedih,” pinta Salwa Maisara. Lagi
mak andam hairan dengan kenyataannya.
“Ha,
kalau macam tu senyum sikit! Pihak pengantin lelaki nak masuk dah tu! Senyum
tau!” arah Salwa Maisara pula. Salwa Maisara mengangguk. Dia cepat-cepat
bersedia walaupun dia tidak begitu suka.
“Salwa,
pengantin lelaki mahu masuk bilik tu batalkan air sembahyang, sal jangan masam
ya,” pinta Mak andam lagi. Kedengaran suara riuh-rendah apabila pengantin
lelaki sudah menapak masuk ke biliknya. Salwa Maisara pun berasa dadanya
bagaikan dipukul dengan pemalu gong.
Salwa
Maisara cuba buat-buat tenang walaupun hatinya tidak lah setenang mana. Ibu pengantin
lelaki Puan Norainah dan emaknya sendiri Puan Zuriah sudah mendekatinya. Tetamu
yang lain juga sudah menghurungi biliknya. Jurugambar yang dibayar dan tidak
dibayar juga sudah kelihatan di pintu biliknya. Ada yang sudah menyusup masuk
ke dalam.
“Hulurkan
tangan nak, pengantin lelaki nak sarungkan cincin,” bisik emak apabila
pengantin lelaki sudah berada di depannya. Salwa Maisara tidak sedar bilakah
emaknya masuk ke dalam biliknya itu.
Salwa
Maisara tidak berani hendak angkat wajahnya. Sekilas sahaja tadi dilihatnya
wajah lelaki itu masam semasamnya. Macam dipaksa kahwin dengannya. Entah benar
atau tidak dia dipaksa, tetapi dari wajah itu telah memberikan jawapannya. Ha,
Salwa Maisara malas mahu mengambil tahu hal itu. Bukan urusannya!
“Pengantin
perempuan, angkat sikit muka tu! Asyik tunduk sejak tadi,” suara ibu kepada
pengantin lelaki alias ibu mertuanya memberikan komen. Salwa Maisara terpaksa
mengangkat mukanya dan memaniskan wajahnya. Betapa berdebarnya dadanya saat
terpandangkan wajah tampan pengantin lelaki yang menjadi pasangannya. Sesusuk
tubuh tinggi tegap dengan pakaian sedondon putih dengannya.
Tidak
dapat dia gambarkan dengan kata-kata saat itu. Memang dia telah jatuh sayang
tetapi layakkah dia berbuat demikian? Huh, Salwa, jangan pula kau mudah perasan
dan jatuh cinta! Kau tak boleh buat begitu! Begitulah bisikan kata hatinya
membuatkan dia terasa hati sedikit.
Selesai
sahaja menyarungkan cincin, lelaki itu mencium dahinya. Syahdu terasa walaupun
antara mereka berdua tidak ada perasaan apa-apa. Agak lama juga bibir lelaki
itu berada di dahinya kerana hendak fokus kepada kamera. Agak lemas juga Salwa
Maisara dengan apa yang baru berlaku.
“Salwa,
cium tangan suami tu!” suara emak pula kedengaran setelah selesai lelaki itu
mengucupi dahinya. Dia akur dengan arahan emaknya itu. Dia mencapai tangan
pengantin lelaki lalu menciumnya. Sesaat, dua saat, sudah selesai. Ada
kedengaran suara-suara nakal dan berdehem-dehem. Muka Salwa Maisara menjadi
merah mendengar usikan itu.
“Ha,
macam tu lah menantu mama, gadis yang manis,” kata suara tadi. Sah, memang dia
adalah ibu mertuanya. Salwa Maisara hanya tersenyum manis dengan pujian itu.
Bertambah-tambah manis senyumannya dengan lesung di pipi kanannya.
“Lepas
ni salam dengan saudara mara di luar ya, Budriz, kamu pun sama,” arah Puan
Norainah, ibu kepada pengantin lelaki. Dia mengangguk.
Selesai
segala yang wajib, jamuan makan diadakan. Majlis persandingan akan diadakan
pada waktu petang. Ayah sudah menguruskan semuanya untuk menjimatkan waktu.
Esok dia akan dibawa bertandang ke rumah pihak lelaki pula. Lusa pula mereka
akan balik ke Kota Kinabalu. Lelaki yang baru menikahinya mempunyai urusan yang
tidak dapat dielakkan di situ. Salwa Maisara akur juga dengan arahan itu. Dia
sudah menjadi isteri kepada lelaki itu.
Dia
menerima mesej daripada Rosnah yang dia tidak dapat hadir ke majlis
pernikahannya. Sedih pula dia seketika.