Bab 7
“Kenapa
asyik menangis ni Zue?” Puan Zuriah menangis teresak-esak selepas pemergian
anaknya. Dia tidak menyangka anaknya dan menantunya akan pergi selepas sahaja
mereka bersanding. Sedih betul dia. Sedih mengenangkan anak gadisnya yang
seperti dicuri orang. Baharu sahaja selesai menikah dan bersanding sudah dibawa
balik ke Kota Kinabalu.
“Sedih lah bang. Anak orang lain
lepas nikah, adalah ditengok-tengok dipandang-pandang. Anak kita apa? Bilik dah
kosong, pelamin tinggal nak bongkar esok! Sedihnya saya bang!” ratapnya
perlahan. Suaminya mana tahu kesedihannya. Mungkin suaminya juga sedih tetapi
tidak akan sama dengan kesedihan yang dihadapinya. Dia tahu perasaan lelaki
tidak sama dengan naluri seorang ibu sepertinya.
“Sudah-sudahlah tu, jangan terlalu
sedih. Anak kita dah ditakdirkan begitu. kalau tahu hari tu, tak payah kita
setuju kahwinkan dia dengan anak kawan abang tu,” kata Encik Abdul Malik dengan
wajah tegang melihat dia yang masih bersedih. Bukan begitu maksudnya.
“Abang memang gitu! Asyik-asyik
menyesali apa yang sudah kita buat. Saya sedih aje bang. Sedih melihat anak
kita yang seperti dicolek tu!” katanya membetulkan persepsi suaminya. Suaminya ketawa.
Mungkin kata-katanya agak lucu.
“Biarkanlah dia dicolek suaminya
sendiri.” Kata Encik Abdul Malik. Geram Puan Zuriah dengan sikap suaminya yang
sambil lewa itu. terkenang-kenang dia akan anaknya Salwa Maisara yang sudah
meninggalkannya secara tergesa-gesa bersama suaminya petang tadi. sayu merantai
hatinya saat ini.
“Tetamu kita masih ramai lagi di
luar tu sayang mak Salwa. Sepatutnya kita ke luar lah, jangan nak macam ni! Tak
lama lagi kita nak solat Maghrib lah pula. kenapa sayang nak menangis-nangis
lagi ni! Sudah-sudahlah tu sayang!” kata Encik Abdul Malik lagi. Dia faham dan
akur dengan arahan suaminya. Dia sendiripun menasihati anaknya agar menghormati
suaminya. Dia sendiri pun memberitahu anaknya betapa isteri yang baik itu
sentiasa di sisi suaminya. Itulah sebabnya anaknya Salwa Maisara itu memahami
akan apa yang telah dia katakan. Ah anak gadisnya memang ikut cakap. Syukurlah dia
kepada Allah kerana mendapat anak yang sungguh-sungguh mendengar cakap ibu
bapanya. Dia tidak menyesal.
“Ya bang, saya faham. Tapi saya nak
hubungi anak kita tu, dia sekarang dah sampai di mana,” katanya mengambil
telefon bimbitnya di dalam beg tangannya.
Suaminya
hanya menggeleng melihat gayanya. Dia bukan hendak mengingkari kata-kata
suaminya itu tetapi dia sangat prihatin kepada anaknya yang seorang itu. dia
berharap menantunya itu akan dapat menjadi suami yang terbaik kepada anak
gadisnya tetapi pada masa ini dia belum dapat menyerahkan harapan itu seratus
peratus kepada Syed Budriz.
Dia
menggeleng-geleng pula. bertambah sedih hatinya mendengar balasan di telefon
bimbitnya. Anaknya tidak dapat dihubungi. Sejam yang lalu anaknya ada
memberitahunya yang dia akan berangkat ke Kota Kinabalu dalam sejam lagi. Sekarang
dia tidak dapat dihubungi pula.
“Kenapa?
Tak dapat?” soal suaminya yang masih memerhatikannya di bilik itu. Dia angguk. Memang
anaknya tidak dapat dihubungi. Menantunya pula langsung dia tidak tahu apakah
nombor telefonnya. Ah, benar-benar dia beranggapan yang anaknya itu seperti
diculik oleh pengganas! Eh, minta dijauhkan malaikat 44.
“Tak
dapat bang!” kedengaran ketawa kecil suaminya.
“Mereka
masih dalam perjalananlah tu! Eh, sayang awak rehat-rehat lah dulu! Entah-entah
mereka sedang berehatkah, dan sengaja matikan telefonnya,” nasihat suaminya. Bertambah
sedih hatinya.
“Ya
lah bang! Mungkin Wawa penat lah tu! Suaminya tu pun nampak penat juga saya
tengok!” katanya sendiri. Suaminya mengangguk. Sebenarnya dia masih bersedih
lagi. Namun, terkenangkan saudara-mara yang datang dari jauh dan dekat dan
membantunya di rumahnya ini, dia segera keluar dari biliknya. Walaupun kepenatannya
tidak dapat dikira dengan tangan, namun dia harus melihat-lihat juga
saudara-maranya itu.
Dia
terbayang lagi akan anak gadisnya itu. Kononnya suaminya ada hal penting di
sana, hal kerja katanya. Kalau ikutkan hati tuanya yang sangat menyayangi anak
gadisnya itu dia tidak mahu melepaskan anaknya itu mengikuti suaminya ke Kota
Kinabalu. Dia mahu sahaja anaknya itu mengikut kemudian. Bukan hari ini, bukan
saat tadi itu. Sekarang dia hanya memandang bilik pengantin berwarna putih dan
merah yang sudah kosong, pelamin berlatar belakangkan putih dihiasi bunga-bunga
putih dan merah yang sudah tinggal sebagai kenangan. Kenangan anaknya pernah
duduk di kerusi pelamin indah itu bersama menantunya yang duduk bagaikan tunggul
dan kaku bagaikan ais batu.
Ah,
susah dia hendak mengata, lelaki yang bernama Syed Budriz itu anak menantunya
juga, suami kepada anaknya dan kelak ayah kepada cucunya. Namun, nalurinya
selalu tidak berbohong, dia tidak begitu berkenan dengan sikap menantunya yang
agak keras macam kayu di hadapan para tetamu yang meraikan hari bersejarah
mereka tadi. Nasib baik bukan anak lelakinya.kalau anak lelakinya sudah
dipicit-picitnya dagu berbelah cantik itu agar tersenyum manis kepada tetamu. Namun
apakan dayanya, Syed Budriz itu hanya menantunya. Menantunya yang pertama. Jadi
dia hanya mampu memandang tanpa mampu bersuara.
“Kan
bagus kalau keluar berbual-bual dengan saudara mara, taklah abang risau!“ kata
Encik Malik. Dia geram dengan suaminya. Namun dalam diam dia berdoa agar
anaknya itu akan selamat. Selamat dunia akhirat.
“Abang
ni pandai je tau!” katanya perlahan ketika dia sudah di ambang pintu bilik
mereka.
“Memang
pandai! Kasihan lah saudara mara kita. Berikanlah makanan atau masakan apa yang
patut. Kasihan mereka penat membantu kita!” kata Encik Malik. Dia angguk. Dia juga
faham akan orang-orang yang telah membantu meringankan tugasnya semasa majlis
pernikahan dan persandingan anaknya ini.
***
“Budriz
dah balik?” soal besannya, Hajah Fauzianah di hujung talian. Kebetulan dia
keluar, telefon rumahnya berbunyi.
“Ya Allah Kak Hajah, memang Budriz
dah pergi ke Kota Kinabalu lepas bersanding tadi. lepas mereka solat Asar
mereka pergilah!” jawabnya.
“Laa, awalnya. Ingatkan kami nak
pergi sana semula nak lawat dia. rupanya dia dah balik ke KK tadi.” kata Puan
Hajah Fauzianah.
“Kalau Kak Hajah nak datang,
silakanlah, rumah kami ni masih terbuka,” katanya berbasa-basi.
“Salwa ada tak?” bulat matanya.
mungkin menantunya tidak menghubungi
ibu bapanya.
“Salwa ikut sama kak Hajah. Itu yang
sedih sikit tu!” katanya berterus-terang dengan besannya. Ada ketawa kecil di
hujung talian.
“Sabarlah Zue, nanti-nanti kita
lawatlah mereka di KK tu. KK bukannya jauh. Terbang dua jam sampailah kita.” Kata
Hajah Fauzianah seperti memujuknya pula. Dia turut ketawa kecil. Memang dia
berjanji akan melawat anaknya itu nanti. Namun dia belum tahu bilakah dia akan
pergi ke Kota Kinabalu. Belum terbayar
rindunya kepada anak gadisnya itu.
“Ya Kak Hajah, nanti kita pergi ke
KK sama-sama. Saya ni pun risaukan anak saya tu! Maklumlah dia tu muda lagi. Masak
nasi pun tak berapa nak pandai!” Puan Hajah Fauzianah ketawa kecil lagi.
“Sabarlah Zue. Ada masa nanti kita
akan sampai di depan pintu rumah mereka,” kata Puan Hajah Fauzianah seperti
memujuknya.
“Ya kak. Sama-sama kita berdoa agar
panjang umur kita dapat kita berjumpa anak menantu kita tu!” katanya pula.
“Elok kalau kita pergi sana selepas
sebulan lebih mereka kahwin, jadi dapat lah kita tahu, kita dah dapat cucu atau
belum!” pakat Puan Hajah Fauzianah perlahan seperti berbisik-bisik dengannya.
“In sha Allah kak Hajah. Mudah-mudahan
ada berita gembira untuk kita dalam sebulan dua ni! Nanti kita rancang dulu perjalanan
kita kak hajah,” katanya perlahan.
“Kalau macam tu esok-esok lah kami
ke situ Zue. Zue pun mesti penat,” kata Hajah Fauzianah.
“Bila-bila aje kak hajah nak datang
sini, pintu rumah kami ni sentiasa terbuka untuk kak hajah!” katanya perlahan. Setelah
bersalaman di talian dia meletakkan gagang telefon rumahnya. Dia berharap dan
berdoa agar anaknya dan menantunya akan memberikan khabar gembira nanti.