Home Novel Cinta KAHWIN DENGAN SAYA?
Bab 20

KEPALA Dhia menggeleng lagi untuk ke sekian kalinya. Katalah apa pun, bagilah alasan panjang berjela pun. Tetap juga dia tidak setuju. Baginya, apa yang baru keluar daripada bibir Akid memang langsung tidak masuk akal. Macamlah tidak ada orang lain di dalam dunia ini.

“Abang Haq single, Qara pun single juga. Apa masalahnya kalau yang single tu kita jadikan double?”

“Tetap juga tak boleh!” Dhia tetap berkeras dengan pendiriannya.

“Lah... Qara pun belum tau apa-apa, Dhia yang lebih-lebih tolak. Entah-entah Qara tak kisah pun.”

“Qara mesti kisah punya, Dhia tahu.”

“Akid tak rasalah yang Qara tu kisah. Dia bukan jenis banyak kerenah pun.”

Bulat mata Dhia menikam Akid. Kurang setuju dengan kata-kata tersebut. Baik Akid mahu pun Haq, dirasakan terlalu mementingkan diri sendiri. Hanya disebabkan tidak ada pilihan, maka sepakat memilih Qara. Mereka bagaikan memilih kawan baiknya itu pada saat pilihan lain sudah tidak ada.

Adakah di mata mereka berdua, Qara itu benar-benar tidak ada harga?

Takkanlah jalan fikiran Akid dan Haq sama seperti segelintir masyarakat yang hanya memikirkan soal harta dan darjat?

“Kalau pun Qara tak banyak kerenah, perlu ke kita ambil kesempatan?”

Akid diam seketika. Lain yang dia cuba sampaikan, lain pula pemahaman Dhia. Memanglah isterinya itu jenis yang kurang sabar. Dia mengajak berbincang, tapi Dhia anggap dia sengaja mencari sebab untuk bertengkar.

“Dia nilah! Suka sangat fikir yang bukan-bukan,” rengus Akid sambil mengeluh.

“Apa pula? Akid yang kata Abang Haq hanya nampak Qara aje.”

“Memang abang cakap macam tu, takkanlah Akid nak tokok tambah pula?”

“Hah... dah betullah tu! Apa bezanya pun kalau pilih salah satu daripada calon pilihan umi? Irham tetap juga dapat ibu.”

“Calon pilihan umi?” Bibir Akid senget sedikit. Ngeri membayangkannya.

“Habis tu takkanlah calon pilihan Siti Nurhaliza pula, kan?”

Usai Dhia berkata, Akid sudah melambakkan ketawa. Dalam keadaan mereka serius, sempat lagi Dhia membuat kelakar. Memanglah isterinya itu tidak ketawa, tapi hatinya rasa digeletek. Banyak-banyak nama, kenapalah mesti nama isteri Datuk K itu juga yang disebut Dhia.

Macam kartun, detik hati Akid. Itu tidak berani dizahirkan. Bimbang muncung Dhia panjang sedepa.

“Calon umi semuanya tak menepati piawaianlah, Dhia.”

“Eh... memilih pula!” tempelak Dhia selamba.

“Abang tu nak cari isteri, ibu kepada Irham. Takkanlah nak tangkap muat aje. Karang kalau Irham dibaling keluar dari tingkap, Dhia nak bertanggungjawab?”

“Kenapa Dhia pula yang kena?”

“Sebab Dhia yang suruh abang pilih calon umi.”

“Habis tu takkanlah Qara kot?”

“Qaralah. Qara aje yang abang fikir paling sesuai untuk dia dan Irham.”

Dhia tarik muka. Bukannya dia tidak setuju Haq menjadikan Qara isteri. Tapi dia tidak mahu pisang berbuah dua kali. Dulu, dia beria-ia mahu Qara dengan Syahil. Sudahnya hubungan itu tidak ke mana. Qara kecewa dan dia sendiri bimbang kekecewaan itu akan menjejaskan persahabatan mereka. Mujur juga Qara jenis rasional.

Kini, sekali lagi? Jika ditakdirkan hubungan Qara dan Haq bermasalah, masih akan rasionalkah Qara?

“Tak bolehlah, Akid. Dhia tak setuju.” Nada suara Dhia turun sedikit.

“Dhia...” Akid nampak betapa Dhia cuba melindungi Qara.

“Cara Abang Haq macam sengaja nak gunakan Qara untuk jaga Irham aje.”

“Dhia pun nampakkan betapa Qara tu sukakan Irham? Senyum dia lebar sampai ke telinga kalau nampak Irham.”

Akid teringat ketika majlis perkahwinannya bulan lepas. Memang gempar sedikit keadaan rumahnya bila Haq muncul bersama-sama Qara seawal pukul 6.45 pagi. Muncung panjang bibir Hajah Yasirah. Tajam mata uminya menatap muka Qara. Sudahnya, Qara hanya duduk di dalam bilik tetamu sambil ditemani Irham. Makan pun dihantar Haq. Qara hanya muncul ketika sesi bergambar. Itu pun selepas jenuh dipaksa Haq.

“Tapi takkanlah sampai nak kena kahwin kot Akid?”

“Biarlah mereka kahwin. Akid rasa tu lagi bagus daripada bercinta-cinta macam nak rak dan lepas tu kecewa.”

Dhia tahu, Akid menujukan kata-kata itu pada Syahil.

“Dhia rasa Qara boleh dapat orang yang lebih baik lagi.”

Akid mengeluh panjang. Kata-kata Dhia sedikit mengecilkan hatinya. Yang mereka sedang bualkan, Haq. Lelaki itu abangnya, satu-satunya abang yang dia ada di dalam dunia ini. Macam mana dia cuba bersikap tenang pun, bila ada yang mencubit Haq tetap juga dia terasa sama.

“Adakah Dhia rasa abang tak baik?”

Dhia terpanar. Terlalu mahu melindungi Qara buat dia terlupa hakikat bahawa Akid dan Haq itu abang dan adik.

Lalu tangan kasar Akid dicapai, dikucup sayang. Kesalnya datang menderu-deru. Inilah satu-satunya lelaki yang mampu bertahan melayan kerenahnya. Kurang dan lebih dirinya, diterima Akid seadanya. Marah dan rajuknya tidak pernah tidak dipujuk. Dia berbahagia menjadi isteri Akid. Malah dia selalu berdoa, biarlah hidup matinya bersama-sama Akid. Dia tidak mahu menjadi isteri Akid setakat di dunia, kalau boleh biarlah sampai bersambung di syurga kelak.

“Maaf... Dhia bukan nak rendah-rendahkan Abang Haq. Bukan itu maksud Dhia.”

Akid hanya mendengar. Hatinya terpujuk. Dhia memang keras kepala dan hati, tapi Dhia tidak pernah malu memohon maaf jika sudah melakukan kesalahan.

“Yang Dhia maksudkan, Abang Haq tu duda.”

Mata Akid membuntang. Ada gelakkan halus di bibirnya. “Apa masalahnya?”

“Qara tu anak dara lagilah.”

“Akid tak sangka Dhia yang nampak moden rupa-rupanya kolot juga ya? Zaman sekarang orang dah tak peduli dah sama ada duda atau bujang. Yang penting gembira dan bahagia. Janda pun laku tau sekarang ni?” usik Akid pada Dhia. Isterinya itu ada-ada saja!

“Ada anak lagi. Macam tak kena aje Dhia rasa...”

“Itu pun jadi masalah ke? Bukan abang nak kahwin dengan Dhia pun tapi dengan Qara.”

Pantas Dhia jeling Akid. Dia serius, suaminya itu main-main pula.

“Lagipun... dudalah bagus. Banyak pengalaman!”

Beberapa saat kemudian, bergema jeritan Akid. Perit lengannya gara-gara menerima cubitan berbisa Dhia. Tapi sedikit pun dia tidak terasa hati. Salah dia juga. Muka Dhia punyalah serius, masih ada hati hendak main-main. Kalau lengannya ini lebam untuk masa beberapa hari, memang padanlah dengan mukanya.

Namun jauh di sudut hati, dia berharap dan berdoa. Kalau memang jodoh Haq dengan Qara, biarlah segala-galanya dipermudahkan.

“Dhia tak sukalah Qara dengan Abang Haq...”

Terus Akid tepuk dahi. Dhia... alahai kenapa susah sangat?


HAQ terus melabuhkan punggung berhadapan dengan Dhia yang hanya duduk termenung di ruang tamu. Entah apa yang adik iparnya itu fikirkan, dia tidak tahu. Tapi dia benar-benar berterima kasih bila Akid bagaikan memberi ruang padanya untuk berbicara secara empat mata dengan Dhia.

“Akid kata, Dhia tak setuju kalau Abang Haq dengan Qara,” kata Haq tenang.

Dhia cuba tersenyum pada Haq. Namun senyumnya kelat tidak bergula.

“Abang Haq dah cakap pada Qara ke?” tanya Dhia ingin tahu.

“Abang Haq tak cakap lagi.”

“Abang Haq tak payah cakaplah. Biarkan cerita ni habis setakat ni aje,” pinta Dhia dalam nada perlahan.

Memang dia pernah marahkan Haq tempoh hari, tapi ketika itu Haq sudah melakukan kesalahan pada Qara. Hari ini Haq tidak buat apa-apa. Hanya sekadar mahu menyebut apa yang telah disebut Akid padanya. Makanya, tidak perlulah dia hendak melenting seperti perempuan meroyan.

“Kenapa?”

“Jangan ganggu Qara. Qara berhak tentukan apa yang dia mahukan.”

“Mana kita tahu Qara tak setuju jadi isteri Abang Haq? Kita tak pernah tanya dia.”

Haq sedar, meyakinkan Akid tentu saja tidak sesukar meyakinkan Dhia. Namun selagi mampu dia akan cuba berusaha. Dia sudah berfikir panjang sebelum membuat keputusan. Baik dan buruk juga sudah dipertimbangkan. Kesimpulannya, hatinya yakin hanya Qara yang dia mahu. Memang rasa cinta dan sayang untuk Qara tidak pernah ada dalam hatinya, tapi Qara selalu ada dalam fikirannya.

“Tak adil untuk Qara, Abang Haq.”

“Abang Haq bukan nak aniaya hidup dia, Dhia...”

“Qara tu dah tak ada sesiapa dalam dunia ni.” Dhia cuba menyedarkan Haq.

Senyuman Haq melebar. Rasa sayang Dhia pada Qara membuatkan hatinya tersentuh. Sungguhlah, ALLAH itu tidak kejam! Diambil seluruh ahli keluarga Qara, tapi digantikan dengan seorang Dhia yang tentunya mampu menceriakan hidup Qara. Jika Dhia tidak kisah, dia juga mahu menjadi orang penting dalam hidup Qara.

Tapi kalau diterangkan, mahukah Dhia percaya?

“Salah satu sebab Abang Haq nak Qara, sebab itu juga.”

Dahi Dhia sedikit berlapis-lapis. Bukannya dia tidak tahu sebab sebenar. Adakah Haq cuba menipunya demi mendapatkan sokongannya?

“Bukan sebab Irham?”

“Itu mungkin sebab utama. Tapi Abang Haq nak Dhia tahu, bukan cuma sebab Irham, Abang Haq nak jadikan Qara isteri. Abang Haq pun jadi sebab juga. Abang Haq fikir dah sampai masa Abang Haq mulakan hidup baru. Bina keluarga sempurna, ada isteri dan anak. Umur Abang Haq dah makin banyak,” terang Haq jujur.

Tahun hadapan, umurnya genap 31 tahun. Tapi dalam usia ini, sudah banyak yang dapat dicapai. Pelajarannya boleh dibanggakan. Kerjaya juga tidak ada masalah kerana dia bekerja di Sutera Printing Sdn. Bhd. yang dimiliki Haji Lukman. Sampai satu masa kelak, dia dan Akidlah yang akan menjadi teraju utama syarikat percetakan itu.

Dia bersyukur dengan pencapaiannya. Namun dalam pada bersyukur, dia harus memikirkan soal keluarga juga. Benar kata walidnya, sampai bila dia hendak membesarkan Irham sendiri. Lambat-laun Irham tentu mahu punya seorang ibu. Dia sendiri, sampai bila hendak begini?

Kadang-kadang fikiran nakalnya menerawang ke satu destinasi yang tidak sepatutnya dilawati. Dia inginkan jari-jemari halus memicit-micit lembut bahu dan kepalanya jika terasa letih. Mahukan kepulangannya daripada kerja disambut dengan senyuman manis. Mahukan pelukan erat pada saat hatinya tidak tenteram. Malah lebih jauh lagi, dia mahu malam-malamnya ditemani seorang perempuan bergelar isteri.

Untuk semua fikiran nakal itu, dia hanya nampak seraut wajah dengan lesung pipit di kiri dan kanan.

Ya... dia hanya nampak Qara Nisa!

Jadi salahkah jika dia mahu Qara yang ada di fikirannya, benar-benar ada di sisinya?

“Kenapa mesti Qara?”

“Sebab Qara ada semua kualiti yang Abang Haq nak. Dan lagi, bila Qara jadi isteri Abang Haq, dia tak mungkin akan sambung pelajaran ke luar negara. Takkah itu berita baik untuk Dhia?”

Akhirnya, setelah beberapa minit masa berlalu, senyuman yang benar-benar ikhlas terbit juga di bibir Dhia. Mungkin memang ini jalan yang telah ditetapkan untuk Qara. Bercinta dengan abang kandungnya, tapi mengakhiri zaman bujang dengan abang iparnya. Hidup ini memang benar-benar misteri!

Haq yang melihat senyuman itu, menarik nafas lega. Tahu, Dhia sudah yakin pada kesungguhannya. Selepas ini dia perlu meyakinkan tuan punya diri pula. Kalau Qara tidak mahu? Entahlah! Malas dia hendak berfikir hal yang negatif. Dia percaya, bila memikirkan yang baik-baik, mengharapkan yang baik-baik, yang didatangkan akan baik-baik juga.

“Abang Haq janji tak akan sia-siakan Qara?”

“Insya-ALLAH... kawan Dhia tu akan gembira dan bahagia di sisi Abang Haq.”

“Tak niat nak buat apa-apa kontrak kan lepas kahwin?”

Terkedu sesaat dua, akhirnya Haq ketawa perlahan. Kontrak perkahwinan dengan Qara? Melayari mimpi asing-asing? Tidak mungkin! Qara harus bermimpi bersama-samanya.

Previous: Bab 19
Next: Bab 21

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.