Panjang leher Hajah Yasirah,
mencari Dhia kalau-kalau ada di belakang Akid yang baru masuk ke rumah. Tidak
ada. Jangankan Dhia, bayang-bayang menantunya itu juga tidak ada. Hatinya pelik
kerana dia melihat Akid dan Dhia keluar bersama-sama, tapi yang balik hanya
anaknya seorang.
“Mana Dhia?” tanya Hajah Yasirah
pada Akid yang sudah duduk di sisi Haq.
“Kat rumah Qara,” balas Akid dalam
nada suara yang biasa-biasa saja.
“Qara kawan rapat dia tu?”
“Dhia ada satu aje kawan nama
Qara. Rasanya Akid tak pernah dengar dia ada kawan nama yang sama tapi orang
yang berlainan,” spontan Akid menjawab. Dia tergelak-gelak sendiri. Bila Haq
hanya angkat kening, makin galak dia ketawa. Gembira dapat mengenakan umi
mereka yang kadang-kadang langsung tidak tahu bergurau senda. Asyiklah
mempamerkan air muka serius.
“Umi betul-betul, Akid main-main
ya!”
Kan... umi mereka itu memang tidak
sah kalau tidak marah dalam satu hari. Mujur saja dia dan Haq sudah biasa.
Kalau tidak, lama dulu mereka berdua cabut dari rumah. Siapa tahan kalau
hari-hari harus menadah telinga mendengar leteran yang tidak sudah. Buat salah,
kena marah. Tak buat salah pun marah juga.
Itulah dia, Hajah Yasirah. Umi
mereka!
“Umi ni, sesekali cubalah jangan
marah-marah. Nanti umi dapat darah tinggi baru tahu.”
“Pandailah Akid nak nasihatkan
umi.”
“Senyum tu sedekahlah umi. Tak
rugi pun kalau umi selalu senyum.”
Hajah Yasirah merengus. Tidak puas
hati dengan keselambaan Akid menegurnya.
Tidak seperti Haq yang lebih pendiam, Akid memang selalu membangkang
kata-katanya. Tapi sependiam-pendiam anak sulungnya itu, dia dan Haji Lukman
ditikam daripada belakang. Tanpa pengetahuan mereka, Haq berkahwin di London.
Sampai ke hari ini pun rasa kecil hatinya tidak pernah hilang. Lantaran itu,
dia kini hanya bersikap acuh tidak acuh saja terhadap Haq.
“Kenapa Akid biarkan dia ke rumah
Qara tu?’
“Kenapa tak boleh pula? Dari dulu
Qara tulah kawan Dhia. Takkan bila dah kahwin terus putus kawan kot?”
Haq sudah berhenti membaca surat
khabar. Perbualan Akid dan uminya lebih menarik minatnya. Nama Qara yang meniti
di bibir Akid dan Hajah Yasirah terasa lembut di telinganya. Kalau boleh dia
mahu mendengar nama itu disebut terus walaupun nada adiknya sangat berbeza
dibandingkan umi mereka.
Aduhai... ada apa sebenarnya
dengan aku ni? Nama Qara aje kot. Yang aku nak sangat dengar apa hal?
Sungguh-sungguh Haq tidak faham
dengan diri sendiri sejak akhir-akhir ini.
“Bila dah kahwin tu kena buat cara
orang dah kahwin, Akid. Suami mesti diutamakan berbanding kawan. Ni... baru
kahwin beberapa hari, dah kena tinggal dengan Dhia sebab Qara tu,” sinis Hajah
Yasirah.
Akid pejam mata rapat-rapat. Bila
uminya sudah serius begitu, dia malas mendengar.
“Umi cakap dengan Akid nilah!”
bentak Hajah Yasirah.
Mata, Akid buka perlahan-lahan
dengan rasa bosan.
“Mana ada Dhia lebihkan Qara, umi.
Janganlah fikir yang bukan-bukan.”
“Kalau tak lebihkan, kenapa dia
ada kat sana? Bukan kat sini?”
“Umi ni... Dhia dah minta izin
pada Akid. Akid juga yang hantar dia ke sana. Bukannya dia pergi tanpa
pengetahuan Akid,” balas Akid datar. Uminya selalu saja prasangka pada setiap
apa yang berlaku. Jarang benar mahu bersangka baik.
“Umi tak suka Qara tu!”
Terus Haq pandang Hajah Yasirah.
Berpuluh-puluh tahun menjadi anak uminya itu, dia tetap gagal memahami sikap
umi kesayangannya itu. Uminya boleh suka dan tidak suka pada seseorang itu
tanpa sebab. Kini, Qara yang tidak ada salah apa-apa pula yang menjadi mangsa
uminya.
Qara baik, umi... puji Haq dalam
hati.
“Qara ada buat salah apa-apa ke
pada umi?” tanya Akid sedikit geram.
“Tak ada.”
“Kalau tak ada, umi mana boleh
benci dia. Lainlah kalau dia ada kacau hidup umi atau ada buat benda-benda yang
tak betul. Rampas walid daripada umi ke? Tolonglah umi... jangan hukum orang
yang tak buat salah.”
Ikutkan hati, Haq mahu menyokong
kata-kata Akid yang tidak ada salahnya itu. Namun mengenangkan hubungan dia dan
Hajah Yasirah masih dingin selepas berbulan-bulan masa berlalu, dia mengunci
mulut. Keadaan yang masih belum pulih tidak mahu dikeruhkan terus.
“Eh... suka hati umilah!”
“Suka hati Dhia jugalah kalau nak
terus berkawan dengan Qara. Akid tak ada masalah sebab Qara pun memang kawan
Akid sejak kat universiti lagi,” jawab Akid selamba. Dia tahu dia tidak patut
melayan Hajah Yasirah begitu. Uminya itu telah bersusah payah mengandung dan
melahirkannya ke dunia ini. Tapi dia tidak dapat menerima sikap uminya yang ada
masa-masanya agak keterlaluan.
Sudahlah memboikot Haq, kini
dengan Qara pun mahu diboikot sama.
Kalau abangnya nak kahwin dengan
Qara, macam mana?
Menyedari yang dia sudah berfikir
terlalu jauh, terus diketuk perlahan kepala sendiri.
“Degil benar ya Akid ni.”
“Kalau yang umi buat tu betul,
Akid tak akan bangkang. Tapi umi mana boleh kata Qara macam tu.”
“Dia tu bukannya budak baik!”
Panas saja hati Akid. Nasib
uminya, kalau orang lain sudah lama agaknya menerima maki-hamun daripadanya.
“Akid kenal Qara tu bertahun-tahun umi. Kalau umi nak tahu, Qara tu jauh lebih
baik daripada Dhia dan Dhia sendiri akui hakikat tu. Umi kena kenal Qara dulu,
lepas tu baru umi boleh nilai sama ada Qara tu memang betul-betul baik atau
jenis pijak semut tak mati.”
“Umi tak nak kenal dia!”
Akid mengeluh. Inilah yang
susahnya dengan Hajah Yasirah. Tahunya hendak menang sendiri.
“Dia pun tak nak kenal dengan
umi.”
Mahu saja Haq melambakkan ketawa
mendengar nada selamba Akid. Kalau dengan adiknya itu, uminya selalu mati
hujah. Kalau dengan orang lain, lebih-lebih lagi dia, Hajah Yasirah tidak akan
mengaku kalah.
“Umi tak suka dia!” ulang Hajah
Yasirah sekali lagi.
“Tak penting pun.”
“Yang Akid ni bela dia sangat kenapa?
Budak tu pertama kali umi tengok pun umi dah tak berkenan. Kata Datin Jalilah,
selama ni Qara tu selalu control
hidup Dhia. Tak cukup dengan Dhia, dengan Syahil sekali nak dikendeng. Mujurlah
Syahil sedar dan pilih Elma. Tapi Dhia, sampai ke hari ni tak sedar-sedar. Esok
kalau rumah tangga Akid porak-peranda dikerjakan Qara tu, jangan salahkan umi.
Umi dah ingatkan Akid supaya jauhkan Dhia daripada Qara. Tapi Akid yang degil!”
Kurang ajar betul Datin Jalilah
tu, desis hati kecil Haq. Orang tua itu lebih kejam daripada uminya.
“Eleh, Mak Datin tu bukannya bagus
sangat pun.”
Usai berkata-kata, Akid pandang
belakang. Manalah tahu Dhia tiba-tiba saja muncul. Sejahat mana pun Datin
Jalilah, orang tua itu tetap ibu kepada Dhia. Sebagai menantu dia tidak patut
berkata begitu. Namun sikap Datin Jalilah memang tidak ada yang dapat
dibanggakan.
“Qara lagi tak bagus!”
Dengan langkah kasar dan
panjang-panjang, Hajah Yasirah meninggalkan ruang tamu yang tiba-tiba saja
terasa panas membahang. Mulutnya tidak henti-henti membebel sendiri. Tidak
percaya kata-katanya dibangkang Akid hanya disebabkan Qara. Kalau sebab orang
lain, dapat juga diterimanya.
“Umi kau tu kenapa bang?”
Haq senyum lebar. “Umi aku umi kau
juga. Dan umi kita tu perangai memang macam tu. Nak hairan apanya?”
“Dia benci Qara.”
Mendengar nama Qara disebut, Haq
nampak wanita itu ada di mana-mana.
“Umi benci Qara,” ulang Akid
sekali lagi.
Semakin banyak Haq nampak
bayang-bayang Qara. Qara yang tersenyum. Qara yang ketawa. Qara yang menangis.
Qara yang becok membalas setiap kata-katanya. Pendek kata, Qara tidak mahu
pergi daripada mata dan fikirannya.
“Abang!” bentak Akid tiba-tiba.
“Apa?”
“Umi tak suka Qaralah!”
“Jadi?” Haq cuba bersikap selamba
meskipun hatinya terasa berdebar-debar. Masih terkejut dengan sergahan Akid.
“Macam mana kau nak kahwin dengan
dia nanti?”
Terkedu seketika sebelum tangannya
menolak perlahan kepala Akid. Kemudian dia tergelak-gelak perlahan demi menutup
hati sendiri. Dia mungkin selalu teringat pada Qara. Tapi dia tidak pernah ada
hati pada wanita itu. Berkahwin dengan Qara, lagilah tidak pernah ada dalam
bayangannya.
Betul ke tak ada Haq?
Sudah, sudah... jangan nak
menderhaka pada tuan sendiri! Marah Haq pada hatinya yang kadang-kadang sangat
degil.
“Kau sejak dah kahwin ni dah jadi
tak betul ya?”
Akid hanya ketawa besar. Menjadi
suami kepada Dhia dalam masa beberapa hari ini, tidak ada apa-apa yang berubah
dalam hidupnya. Kecuali setiap kali bangkit daripada tidur, Dhia ada di sisinya
dan masanya kini lebih banyak dihabiskan dengan isterinya itu. Lain daripada
itu, rutin hidupnya masih sama.
“Kau kata Qara lebih baik daripada
Dhia tadi. Kenapa kau tak pilih Qara? Kenapa kau pilih Dhia?” Haq ingin tahu.
Setiap orang tentu mahukan yang
terbaik, tapi Akid agak berbeza.
“Sebab Qara sangat baik dan aku mungkin
tak cukup baik untuk dia. Dia perlukan lelaki yang lebih baik daripada aku,”
balas Akid tenang. Dia tidak mengada-adakan cerita kerana memang Qara sangat
baik. Wanita itu selalu ringan tulang membantu sesiapa saja yang memerlukan
bantuan. Dimarahi dan dicaci-maki pun Qara hanya tenang. Cuma yang musykilnya,
dengan Haq, wanita itu jadi cepat melatah. Qara di sisi Haq bagaikan orang
lain.
“Syahil?”
Bibir Akid mencebik meluat.
“Awal-awal lagi aku dah kata yang Syahil tu tak sesuai untuk Qara. Mereka nampak
tak serasi. Tapi Dhia yang beria-ia kata yang pandangan aku tak mesti betul.
Sudahnya apa jadi? Syahil mainkan hati Qara,” luah Akid kesal.
“Habis tu siapa yang layak untuk
Qara?”
“Manalah aku tahu, bang. Tapi
siapa pun untuk Qara, aku harap lelaki itu boleh terima Qara seadanya. Nak
hidup memang perlukan duit, tapi duit bukanlah segala-galanya dalam hidup ni.”
Haq sedikit kecewa dengan jawapan
Akid. Hatinya di dalam seperti berharap Akid akan berkata dialah yang layak
untuk digandingkan dengan Qara. Tapi
bila difikirkan kembali, perlu ke dia berharap begitu? Dia tidak nampak di mana
kelogikannya.
“Kau tak nak carikan Irham ibu
ke?” Akid meluruskan kaki ke hadapan. Lenguh.
Keluhan Haq kedengaran perlahan.
“Sekarang ni bukannya mudah nak dapat perempuan yang sanggup kahwin dengan
lelaki yang ada anak kecil.”
“Tak cuba mana tahu,” sanggah
Aidil.
“Aku malaslah!”
Bila Haq kembali membuka surat
khabar, Akid tergelak-gelak sendiri. Sesuatu melintas di kepalanya. Teringat
soalan Haq tentang siapa yang layak untuk bergandingan dengan Qara. Dia nampak
Haq, tapi dia takut hendak meluahkannya. Abangnya seperti tidak punya apa-apa
perasaan pada Qara.
“Yang kau ketawa tiba-tiba
kenapa?”
“Aku rasa lebih baik kau kahwin
ajelah dengan Qara, bang,” usul Akid. Kalau Haq kahwin dengan Qara, Qara tidak
mungkin akan menyambung pelajaran ke luar negara. Dhia tentu tidak akan sedih.
Dia yakin yang isterinya itu tidak akan tenang jika Qara pergi. Dalam masa yang
sama, dia memberi peluang pada Irham untuk mendapatkan kasih sayang seorang
ibu. Haq dapat seorang isteri yang boleh menjaga makan pakai. Qara pula dapat
keluarga yang selama ini sangat-sangat diinginkan.
“Kau gila!” Sekali lagi Haq tolak
kepala Akid perlahan. Jantungnya seakan-akan luruh daripada tangkai dengan usul
tidak dijangka itu. Jadi suami Qara. Qara jadi isteri dia. Jadi ibu Irham.
Kenapa macam terasa ada rama-rama di dalam perutnya? TUHAN...