“Maya tunggu!” Firqin memanggilku namun aku tidak mengendahkannya.
Aku segera keluar dari kafe tersebut dan masuk ke dalam keretaku. Firqin yang
telah selesai membuat pembayaran terus berlari keluar mendapatkanku. Dia mengetuk-ngetuk
tingkap keretaku sambil memanggil namaku.
“Maya please jangan
buat macam ni. Kita bincang dulu. Awak jangan bertindak terburu-buru dan buat
saya risau. Tolong Maya.” Firqin merayuku namun sedikit pun tidak terkesan di
dalam hatiku yang sudah remuk ketika itu.
Aku terus menekan pedal minyak dan destinasiku ketika itu
sudah tentulah untuk bersemuka dengan Izzaz Rayqal. Aku menghantar pesanan
ringkas kepada Izzaz untuk bertanya tentang keberadaannya. Izzaz membalas pesanan yang aku kirimkan itu dan katanya dia sedang berada di dalam pejabatnya. Tanpa berlengah lagi aku terus ke sana untuk
mendapatkan penjelasan darinya tentang apa yang Firqin katakan kepadaku sebentar tadi.
Sampai sahaja di hadapan pejabat Izaz, aku terus menerpa
masuk tanpa mengendahkan Azura yang menghalangku. “You jangan masuk campur!”
Aku memberi amaran kepada Azura yang
bagiku turut bersubahat dengan Izzaz untuk memperdayakan aku. Kalau Azura benar tidak
mahu melihat aku teraniaya, sejak awal lagi dia akan beritahu kepadaku tentang
rancangan Izzaz itu, ini tidak.
Izzaz bangun dari kerusi kerjanya dan mendekatiku. “Tak sabar
jugak kau ya nak fitting baju nikah
kita?” Izzaz senyum ketika aku masuk ke dalam biliknya.
Aku tidak tunggu lama, sebaik saja dia berada di
hadapanku tanganku spontan naik ke pipinya. “Itu untuk kau berani mempermainkan
aku!” Kataku menahan geram.
Izzaz memegang pipinya dengan wajah yang terkejut. “Apa
ni Maya?”
Aku rasa jengkel terhadapnya yang berpura-pura tidak
bersalah itu. “Aku dah tahu rancangan kau Iz. Aku tahu kau hanya gunakan aku
semata-mata untuk balas dendam pada Kin kan! Betul tak Iz? Kau cakap dengan aku
sekarang ni jugak betul atau tidak?” Kuat aku menengkingnya.
Wajah Izzaz nampak berubah. Dia jadi cemas. “Ma...Maya
aku...”
Aku yang sedang menanggung amarah terhadapnya terus
mencapai apa saja yang ada di hadapanku dan membalingnya ke arah
Izzaz. “Sampai hati kau buat aku macam ni? Apa salah aku Iz?” Aku mula
menangis.
“Siapa yang cakap semua ni Maya?” Soal Izzaz nampak serba
salah.
“Itu tak penting. Sekarang ni aku nak kau tahu yang aku
bukan perempuan yang boleh kau mainkan sesuka hati. Aku ada harga diri dan
maruah. Aku tak sangka Iz sejauh ni kau sampai hati mempermainkan aku kerana
dendam. Kalau kau atau aku mati pada malam kemalangan tu macam mana? Apa salah
aku untuk kau jadikan aku mangsa?” Ujarku yang terlalu kecewa dengannya.
“Maya kau dengar dulu penjelasan aku boleh.” Izazz cuba
memegang tanganku dari terus membaling barang-barang kepadanya.
“Apa? Apa lagi yang nak dijelaskan Iz? Sekarang ni kau
hanya perlu mengaku ya atau tidak saja!” Balasku.
“Maya duduk dulu. Kau jangan marah-marah, dengar apa yang
aku nak cakap.” Izzaz meraih tanganku, aku segera mengelak.
“Okay, jelaskan aku nak dengar apa yang kau nak bohongkan
lagi.” Sinis aku memerlinya.
Izzaz kelihatan resah, bagaikan tidak terkeluar perkataan
dari mulutnya. Di dalam hati aku mencemuhnya yang telah memperdaya dan mengecewakan
aku dengan tindakanya yang menipu aku selama ini. Aku rasa sedih dan kecewa dengannya
kerana aku sangka selama ini lelaki itu benar-benar ikhlas membantu Norzie dan
juga membantu menyelesaikan masalah-masalahku yang lain. Tapi ternyata itu semua hanya lakonannya
semata-mata! Aku tidak rasa aku boleh memaafkan kesalahannya kali ini.
Izzaz tunduk memandang lantai. “Aku minta maaf, Maya. Aku
tak ada niat nak gunakan atau mempermainkan kau kerana dendam. Aku ambil tindakan macam tu sebab aku tidak boleh
berfikir masa tu. Maafkan aku Maya. Aku dah lama nak berterus-terang dengan
kau tentang hal ni tapi aku tak berani. Aku nak tunggu masa yang sesuai.”
Penjelasan Izzaz itu semakin menambahkan rasa marah dan benciku terhadapnya.
“Jadi memang betul kau perangkap aku? Tapi kenapa Iz! Kerana
dendam pada sepupu kau sebab rampas Amera? Tapi kenapa nak libatkan aku?” Aku
sudah hilang sabar.
Wajah Izzaz nampak suram. “Aku menyesal dengan tindakan
bodoh tu Maya. Aku sedar yang aku tak patut libatkan kau dalam hal ini sebab tu
dah banyak kali aku nak berterus-terang dengan kau tentangnya.” Izzaz
bersungguh-sungguh menyakinkan aku untuk mempercayainya.
“Dengan mempertaruhkan nyawa aku? Iz kemalangan malam tu
boleh membunuh aku atau kau tahu tak.” Aku mengesat airmata yang spontan mengalir dari
tubir mata.
Izzaz mendekatiku dan tanganku cuba diraihnya. “Don’t touch me!” Aku berundur setapak
ke belakang.
“Maya tentang kemalangan tu aku tak rancang Maya. Sumpah aku
tak akan main-main dengan nyawa orang lain. Aku tak tahu dari mana kau dengar
cerita ni, tapi dengan jujur aku akui kemalangan malam tu terjadi tanpa aku
rancang. Aku terkejut bila aku perasan orang yang terlanggar kereta aku
sebenarnya adalah kau, perempuan yang aku nampak menangis masa Firqin nak
bernikah dengan Amera.”
“Azura yang kata kau rancang kemalangan tu. Jadi betul
kau ekori aku?” Soalku yang masih tidak dapat mempercayai kata-katanya.
Izzaz menggeleng-geleng. “Azura cakap macam tu sebab dia
sukakan aku tapi aku tolak cinta dia.”
“Aku tak nak dengar cerita cinta kau lah Iz. Aku nak
penjelasan.” Balasku.
“Okay aku akan jelaskan kalau itu yang kau nak tahu
sangat. Aku akui Maya yang aku ikut kau sampai ke rumah kawan kau, ke hospital
dan juga ke Subang malam tu. Aku ikut kau sebab aku nak bercakap dan berbincang
dengan kau untuk pujuk Firqin batalkan pernikahan dengan Amera. Tapi bila aku
nampak kau pengsan masa kawan kau bunuh diri, aku tak sampai hati nak teruskan.
Aku batalkan niat untuk bercakap dengan kau. Entah macam mana dengan kemalangan tu telah membuatkan kau benar-benar berada di depan mata aku. Aku tak rancang kemalangan tu Maya, percayalah.” Izzaz merayu agar aku mempercayaik ata-katanya.
Aku berundur lagi menjauhinya. “Jadi betul lah kan kau buat
aku macam ni, libatkan aku dengan rancangan kau, kontrak kau semua tu sebab
dendam? Mula-mula jadi Kaisara, lepas tu jadi isteri pula. Iz kau sedar tak apa
yang sedang kau buat ni salah tau tak?”
Izzaz menggeleng. “Bukan macam tu Maya.”
Aku memotong percakapannya.“Habis kalau bukan dendam apa?”
“Listen Maya...aku
tahu aku salah sebab libatkan kau. Itu bukan niat aku...” Izzaz mula nampak
bengang.
“Apa? Kau nak kata kau tak sengaja buat macam tu. Atau kau
memang dah jatuh cinta dengan aku sejak kali pertama kau nampak aku dan sebab
tu kau ikhlas jadikan aku isteri kau? Macam tu?” Tengkingku lagi.
“Yes! Aku mengaku aku sukakan kau! Sebab tu aku
nak kau selalu ada dengan aku!” Pengakuannya itu benar-benar membuatkan aku
terkedu.
“Mengarut! Jangan nak menipu aku lagi Iz.” Balasku.
“Aku akui memang aku marah dan berdendam dengan sepupu
aku tu sebab pernah rampas Amera dari aku. Malah dia juga dipilih untuk
bernikah dengan Amera dan bukan aku. Aku bertambah bengang bila dia batalkan
pernikahan tu dan Amera kembali kepada
Danial, lelaki tak guna tu. Sebab tu aku dah buat keputusan untuk tetap
teruskan rancangan untuk membalas pada Firqin melalui kau, sebab aku tahu dia
sayangkan kau. Pagi tu di hospital
rancangan aku bermula untuk menyakiti Firqin dengan gunakan kau. Tapi beberapa
hari lepas tu aku menyesal dengan tindakan aku dan aku memang batalkan terus rancangan tu. Aku sedar
aku tak patut gunakan kau. Aku menyesal Maya. Aku minta maaf. Dan aku memang
ikhlas untuk memperisterikan kau sebab aku dah mula jatuh sayang pada kau Maya.”
Jelasnya lagi.
Turun naik nafasku menahan rasa marah yang telah pun
memuncak terhadapnya. Airmataku mula mengalir laju.
“I
hate you! I hate you!”Aku
memukulnya dengan beg tanganku berulang kali. Kali ini Izzaz tidak mengelak dan
hanya membiarkan aku memukulnya semahuku.
Firqin menerpa masuk ketika itu dan terus menghalangku
dari terus memukul Izzaz. “Maya bawa bertenang. Jangan macam ni.” Firqin
mengambil beg dari tanganku dan menarik lenganku menjauhi Izzaz.
“Lelaki tak guna! Aku tak akan maafkan kau sampai bila-bila
pun.” Aku menengkingnya.
“Maya...tolong jangan hukum aku macam ni.” Izzaz seakan
merayu.
Aku menepis tanganku dari diterus pegang Firqin. “Sekarang
korang berdua dah berdepan kan? Apa lagi sila selesaikan apa pun masalah cinta
tiga segi ke, dendam saudara ke, atau nak rebut Amera sekali pun. Suka hati
korang lah nak buat apa tapi jangan sesekali libatkan aku lagi. Kerana dendam
korang berdua, aku jadi mangsa dan aku rasa tiada maaf untuk kau Izzaz. ”
Ujarku sambil aku mengambil semula begku dari Firqin dan berpusing untuk keluar.
Firqin dan Izzaz nampak terkejut dengan kata-kataku. Mereka
berdua saling berpandangan di antara satu sama lain. Wajah masing-masing nampak
bersalah.
“Maya perkahwinan kita tetap akan berjalan kan?” Soal
Izzaz yang membuatkan aku berpaling semula memandang wajahnya.
“Berani kau cakap pasal kahwin lagi dengan aku? Iz kau
tak faham lagi ke, ini semua hanya rancangan kau. Jadi bila aku dah tahu semuanya
tak mungkin lagi Iz untuk aku teruskan. Perkahwinan tu batal dan aku tak akan
terima kau sampai bila-bila. Ingat tu Iz.” Kataku geram.
“Tapi macam mana dengan Umi aku Maya? Abah kau? Keluarga kita
dah berjanji kan. Tolonglah fikir baik-baik Maya. Kalau bukan untuk kita, kau
fikir demi keluarga kita Maya.” Izzaz merayu kepadaku.
“Iz kau tak ada hak nak paksa Maya. Dia kata tak nak
dengan kau kan, jangan paksa-paksa boleh.” Firqin mencelah. Mungkin bengang
kerana Izzaz bercakap tentang perkahwinan di hadapannya.
“Kau nak masuk campur kenapa? Ini antara aku dan Maya.”
Izzaz membalas.
“Sebab Maya istimewa bagi aku. Aku kenal dia dulu dari
kau Iz dan juga kerana aku nak protect
dia dari terus jadi mangsa dendam kau tu!” Jawab Firqin tegas. Aku hanya memerhati dua
saudara ini bertegang urat.
“Aku dah minta maaf pada Maya. Dan aku menyesal dengan
tindakan aku tu. Aku sekarang ikhlas nak jadikan dia isteri aku!” Izzaz
bertentang mata dengan Firqin.
Aku terkejut apabila Firqin tiba-tiba menerpa ke arah
Izzaz dan menggengam kolar sepupunya itu. Izzaz membalas dengan menepis tangan
Firqin dan mula menggengam kolar baju Firqin. Kini masing-masing tidak mahu
mengalah dan bertentang mata dengan perasaan marah dari diri masing-masing yang
kalau aku tidak masuk campur mahu mereka bertumbuk di situ juga.
“Aku tak tahu sebab korang mencengkam kolar masing –masing
sekarang ni. Kalau sebab Amera baguslah sebab korang boleh selesaikan dendam
masing-masing hari ni juga. Tapi kalau kerana aku, lupakan sajalah sebab aku
akan keluar dari sini dan tak akan jumpa korang berdua lagi sampai bila-bila.”
Ujarku dan terus melangkah keluar.
“Maya tunggu!” Firqin memanggilku.
“Maya tolong maafkan aku!” Ujar Izzaz.