Home Novel Cinta Hai Handsome! (Musuhku, Encik Pilot)
Hai Handsome! (Musuhku, Encik Pilot)
Dea Zoraya
10/2/2015 22:31:17
1,085,369
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Bab 22 - Erti kawan

Aku tersedar ketika terdengar tangisan anak kecil yang kedengaran begitu dekat di telingaku. Perlahan-lahan aku cuba membuka mataku. Denyutan di kepala masih terasa. Aku tiba-tiba teringat akan sesuatu. Akmal! Laju aku bangkit dari pembaringan. Aku memegang kepalaku yang terasa semakin berdenyut kerana bangun terlalu laju. Aku memandang ke sisi katil. Norzie, Dania dan Adib setia menungguku. Perlahan-lahan aku turun dari katil dan terus memeluk rakanku itu.

“Jie...maafkan aku! Maafkan aku sebab terlambat jumpa kau. Aku tak sengaja Jie. Aku rayu pada kau tolong maafkan aku. Aku tak langgar pun janji aku untuk tolong kau. Aku hanya terlewat Jie.” Aku menangis semahunya. Aku tidak mahu Norzie membenciku dan menganggap aku mempermainkannya dengan janji yang aku sendiri ikrarkan.

Norzie meleraikan pelukan kami. Dia juga turut teresak-esak menangis. “Kau tak salah Maya. Maafkan aku sebab tuduh kau yang bukan-bukan tadi.”

“Tolong jangan benci aku Jie. Aku ada kau sorang aje sekarang ni. Akmal macam mana sekarang? Dia selamat kan?” Tersedu-sedu aku merayu.

“Dia dah tak ada. Sekarang kes ni polis tengah uruskan.” Norzie tersedu-sedu menangis sebelum menyambung.

“Aku tak sangka Akmal akan bertindak macam tu Maya. Aku terkejut. Aku masih tak percaya yang dia dah tak ada.” Rintihan Norzie itu semakin membuatkan rasa bersalahku bertambah.

Aku sendiri masih tidak percaya yang Akmal beritndak sebegitu. Aku tidak percaya Akmal bunuh diri kerana dia bukan seperti Akmal yang pernah aku kenal. “Jie apa yang dah jadi sebenarnya ni? Kenapa Akmal buat macam tu? Aku masih tak percaya dengan semua ni Jie.”

“Kami tunggu kau sejak pagi Maya. Akmal mula resah bila dah masuk tengah hari kau masih tak sampai. Lepas dia jawab satu call, dia mula berubah. Meracau dan menangis. Dia kata dia sayangkan aku dan anak-anak dan tak nak susahkan hidup kami lagi. Dia juga minta maaf pada kau sebab dah banyak susahkan kau. Pagi tu dia ada mengadu pada aku yang dia sakit belakang. Aku nak bawa dia hospital tapi dia tak nak sebab nak tunggu kau dan kawan kau tu. Aku beri dia makan ubat aje dulu. Masa kejadian aku turun ke bawah beli makanan untuk budak-budak. Aku dengar kecoh-kecoh kat bawah. Rupanya ini yang jadi.”

Aku yang mendengar pun tidak sanggup untuk membayangkan kejadian sebenar. Apatah lagi Norzie yang terpaksa menghadapi kejadian ini di hadapan matanya. Aku langsung tidak berniat untuk datang lewat. Aku menunggu Firqin sejak pagi untuk ke rumah mereka tapi lelaki itu tidak dapat menunaikan janjinya.

Aku mencapai bagasi di sisi katil dan meletakkannya di hadapan Norzie. “Dalam ni ada dua puluh ribu Jie. Baki tiga puluh ribu selebihnya aku akan beri esok. Aku janji akan langsaikan hutang untuk Akmal, jadi aku akan tunaikan juga. Kau jangan risau.”

“Tapi Akmal dah tak ada. Aku rasa duit ni dah tak ada nilainya lagi Maya.”

“Kita buat ni demi Dania dan Adib. Jangan biarkan anak-anak ni hidup sengsara lagi Jie. Aku akan jumpa Along tu nanti dan minta tempoh dua tiga hari lagi untuk aku jelaskan hutang tu.” Jelasku.

Norzie mengesat airmata di pipinya sebelum dia bercerita kepadaku tentang apa yang telah berlaku kepada Akmal. “Dalam pukul sebelas tadi Along tu datang rumah untuk tuntut hutang. Tapi kami tak ada duit. Mereka ugut untuk ambil Dania sebagai ganti. Aku takut sangat Maya dan tak tahu nak buat apa masa tu. Dania dah ada di tangan mereka Maya. Kasar mereka perlakukan anak aku.”

Aku memegang lengan Dania yang jelas nampak lebam. 

“Along tu kata kalau nak Dania selamat, duit tu mesti ada pada mereka dalam masa 24 jam. Kalau tak mereka akan ambil Dania. Atau pilihan kedua kata mereka Akmal tak dapat bayar, kena ganti dengan nyawa.”

Aku faham apa yang dikatakan Norzie tu. Maknanya Akmal memilih pilihan kedua gara-gara aku lambat membawa wang kepadanya. “Akmal.....maafkan aku. Aku yang salah. Aku gagal tunaikan janji aku pada kau. Tapi kenapa kau pilih jalan ni Akmal.” Aku merintih sedih. 

Airmata bersalah terus mengalir laju. Aku memandang Dania dan Adib silih berganti. Aku bersalah kerana telah buat Dania dan Adib menjadi anak yatim dalam sekelip mata. Aku bersalah kerana telah membuatkan Akmal terdesak dan memilih jalan membunuh diri untuk menyelamatkan anaknya.

“Kata pihak polis, arwah Akmal berada bawah pengaruh alkohol ketika dia terjun dari bangunan.” Tambahnya.

Aku tiba-tiba teringat pada lelaki itu. Sebenarnya lelaki itu lah yang paling bersalah dan perlu bertanggungjawab ke atas kejadian ini. Dia tidak dapat melunaskan janjinya untuk membantu kawan-kawanku. Oleh sebab dia memungkiri janjinya, Akmal menjadi mangsa keaadan! Lelaki itu yang harus dipersalahkan!

Saat itu juga aku rasakan dalam hatiku sudah penuh rasa benci dan dendam terhadapnya. Aku benci dia! Hilang terus rasa cinta dan sayangku terhadapnya. Kerana dia yang tidak tepati janjinya, Akmal pergi dari hidup kami. Norzie dan anak-anak kecil ini hilang tempat bergantung. Kalau dia tidak dapat menunaikan janjinya untuk membantu kami, mengapa sejak dari awal dia perlu berjanji dan memberi harapan kepada kami yang dia ikhlas untuk membantu Akmal keluar dari belenggu kesusahan dan kesengsaraan.

Gara-gara lelaki itu menaruh dendam terhadapku dan cuba mengenakan aku dengan memainkan hati dan perasaan aku, kawan baikku menjadi mangsa. Banyak ujian yang terpaksa aku hadapi hari ini dan jikalau aku tidak kuat, aku pasti akan hilang akal untuk menghadapi semua itu. Ya Allah.....sakitnya aku rasa.

“Firqin tak dapat bantu kita Jie. Dia tak tepati janjinya pada kau dan Akmal. Dia tipu aku Jie.” Aku mengesat airmataku dengan kain selimut. Aku tidak pernah sesedih ini sepanjang hidupku. Ini buat kali pertamanya. Hatiku rasa begitu pedih. Rasa dikhianati oleh orang yang dipercayai dan dicintai rupa-rupanya begitu menyakitkan.

Norzie mencapai tanganku. “Aku tak harapkan dia untuk bantu kami Maya. Jangan salah kan dia. Mungkin dia ada sebab tak dapat tunaikan janjinya untuk bantu kami. Jumlah wang tu terlalu banyak Maya. Aku faham.”

“Dia nikah dengan perempuan lain Jie. Aku sendiri nampak depan mata aku, dia dan rombongan keluarga ke rumah perempuan tu tengah hari tadi. Aku tunggu dia dan call berpuluh-puluh kali langsung tak berangkat. Akhirnya aku dapat tahu dia pilih orang lain jadi isteri. Dia permainkan aku selama ni Jie. Dia dekat dengan aku sebab nak balas dendam aje. Tolong aku Jie....sakitnya dalam hati aku ni. Aku tak kuat nak hadapi sema dugaan ni.” Aku memeluk erat kawanku itu.

Dia menepuk-nepuk bahuku dan membisikkan kata-kata semangat kepadaku.

“Kenapa dia buat aku macam ni Jie? Aku benci dia! Aku benci! Sampai bila-bila pun aku tak akan maafkan dia. Kerana dia dan dendamnya, kita semua jadi mangsa. Aku tak akan maafkan lelaki itu.” Luahku penuh dendam.

Wajah Norzie nampak terkejut ketika dia memandang wajahku. “Maya...jangan berdendam. Aku tak salahkan kawan kau kerana tak dapat tolong kami. Tentang kau kata dia tipu dan mempermainkan kau, aku harap kau dapat bersabar dan akan maafkan dia. Ingat Maya dendam akan makan diri. Jangan sekali-kali cuba menanam dendam dalam hati, nanti jadi duri.”

Aku mengesat airmata di pipi. Aku berhenti menangis. “Dah terlambat untuk aku maafkan dia. Dalam hati aku penuh rasa benci kat dia. Aku harap dia akan terima balasan yang setimpal dan akan rasa kesakitan yang sama seperti yang aku rasakan sekarang ni! Mulai saat ini dia bukan sesiapa di dalam hidup aku dan aku dah buang dia jauh dari hati aku. Lelaki itu kini musuh aku! Musuh yang paling aku benci.”

Norzie berisgtifar panjang. “Maya aku tak pernah nampak kau marah macam ni. Ini bukan diri kau Maya. Kau bukan pedendam. Jangan berubah jadi pendendam gara-gara kami Maya. Aku pun sedih kerana hilang suami dalam keadaan tragis macam ni. Aku kesian pada anak-anak aku tapi aku tak berdendam pada sesiapa pun Maya. Pada kau atau pun Firqin.”

Aku mengetap bibirku. Menahan geram dan amarah yang menggunung di dalam hati terhadap lelaki itu. “Dia kini umpama racun di dalam hidup aku.”

Norzie memegang kedua-dua belah bahuku. “Maya kau dengar betul-betul apa yang aku nak katakan ni. Akmal buat pilihan tu kerana dia sendiri yang buat pilihan. Walau pun dia suami aku dan aku sedih dengan pemergiannya, aku tetap akui yang pilihannya itu salah. Bunuh diri tu berdosa. Berdosa pada Allah. Akmal bertindak begitu atas kehendaknya sendiri. Dia mabuk Maya. Akalnya cetek untuk buat keputusan. Jadi jangan salahkan orang lain Maya. Akmal yang cari masalah dengan berhutang dan bila tak dapat selesaikan masalah ini dia jadi buntu. Bukan salah orang lain Maya. Jangan kau letak kesalahan kematian Akmal atas bahu Encik Firqin. Aku mohon pada kau jangan bertindak yang bukan-bukan pada dia. Apa yang paling baik kita boleh buat sekarang ialah berdoa. Berdoa untuk arwah suami aku. Dan juga berdoa agar kawan kau tu berubah dan sedar pada kesilapannya.”

“Jadi macam mana dengan urusan pengkebumiaan arwah Akmal?” Soalku. Kata-kata Norzie tadi tentang Firqin langsung tidak masuk ke dalam kepalaku. Persepsiku terhadap lelaki itu tetap sama.

“Insya Allah aku dah minta ahli surau kawasan flat untuk uruskan. Aku berdoa agar semuanya berjalan lancar. Kata doktor mungkin pagi esok boleh bawa jenazah untuk urusan pengkebumian.”

Aku bangun dan mencapai barang-barangku. “Jom aku hantar kau balik untuk uruskan apa yang perlu. Kau bagi aku nombor telefon Along tu. Aku akan uruskan.” Kataku.

Aku tidak mahu Norzie rasa terbeban dengan hutang arwah suaminya. Kesedihannya kerana kehilangan Akmal masih belum hilang dan jika ditambah dengan masalah hutang suaminya, aku tahu pasti Norzie tidak mampu untuk menghadapinya. Kasihan kawanku itu nanti. Jadi aku ambil keputusan untuk mengalas tanggungjawab menanggung hutang tersebut. Ketika itu juga terdetik di hatiku jika aku tidak dapat mencari wang selebihnya dalam masa 24 jam, aku nekad untuk menjadi pengganti Akmal dan membayar secara ansuran.

Ketika kami bertanyakan tentang perkembangan kes Akmal, pihak polis memberitahuku yang mereka akan menjalankan proses bedah siasat terlebih dahulu dan ianya mungkin akan memakan masa. Aku mahu menghantar Norzie pulang ke rumah tapi dia enggan. Katanya dia mahu tunggu di hospital sampai segala urusan suaminya selesai. Norzie minta aku titipkan anak-anaknya ke rumah kawannya yang terletak di Subang. Dia berikan alamat kawannya itu kepadaku dan memohon kepadaku untuk menghantar anak-anaknya ke sana dengan selamat dan kawannya itu akan menjaga anak-anaknya dalam waktu kritikal ini.

“Aku tak nak anak-anak aku terlibat lagi dalam masalah ini. Aku trauma Maya. Aku tak boleh bayangkan apa yang akan jadi pada aku kalau lintah darat tu mengapa-apakan anak-anak aku. Jadi aku minta kawan aku jagakan mereka buat sementara waktu ni. Mujur dia baik dan memahami masalah aku.” Adunya kepadaku.

“Kau jangan risau Jie. Aku akan buat apa saja untuk kau dan anak-anak. Aku tak akan tinggalkan kau seorang hadapi semua ni. Kau ada aku.” Aku menyakinkannya. Kami berpelukan seketika. Menyuntik semangat dan kekuatan buat diri masing-masing bagi menghadapi dugaan yang diberikan Allah kepada kami.

Aku membawa Dania dan Adib ke rumah kawan Norzie berpandukan alamat yang diberikan kepadaku. Aku disambut mesra ketika sampai di rumahnya. Puan Aziah adalah kawan baik Norzie ketika mereka bekerja di tempat yang sama dua tahun yang lalu. Selepas berkahwin dia mengambil keputusan untuk berhenti dan menolong perniagan  suaminya. Boleh tahan juga rumah dan keadaan kehidupannya dan aku rasakan anak-anak ini akan selesa tinggal di sini buat sementara waktu.

“Saya kasihan tengok Norzie. Jadi saya tolong apa yang saya mampu. Insya Allah kalau setakat menjaga dan memberi anak-anak ini makan, tak ada masalah buat saya. Lagipun suami saya dah beri kebenaran. Meriah sikit rumah ni dengan adanya budak-budak ni. Rezeki kami untuk ada anak sendiri belum ada lagi.” Lembut wanita bertudung itu berkata-kata.

Melihat kepada personaliti wanita itu aku yakin yang dia boleh membantu menjaga anak-anak ini dengan baik. Aku akan cuba cari jalan penyelesaian secepat mungkin. Tapi dalam masa 24 jam ini di mana harus aku dapatkan wang sebanyak tiga puluh ribu ringgit? Dari Firqin? Ah! Tidak mungkin kerana lelaki itu lah punca tragedi ini berlaku. Kerana janjinya yang tidak ditepati itulah yang membuatkan kehidupan keluarga ini semakin sengsara. Aku tidak marah jika sejak dari awal dia tidak berjanji untuk membantu membayar hutang-hutang Akmal, kerana aku masih ada masa untuk mencari jalan atau minta bantuan orang lain untuk membantuku. Tetapi apabila Firqin telah menyakinkan aku yang dia sudi membantu, aku memberikan seluruh kepercayaanku kepadanya lalu aku tidak mencari jalan penyelesaian lain. Bila sudah jadi begini, siapa lagi yang harus aku percayakan lagi?

Setelah meminta izin pulang dari Puan Aziah aku sempat mencium Dania dan Adib. Aku berpesan mereka menjadi anak yang baik dan dengar kata. Aku menghulurkan sedikit wang kepada Puan Aziah tetapi dia enggan menerimanya. Katanya dia ikhlas membantu menjaga anak-anak ini. Syukurkah kerana masih ada lagi orang lain yang prihatin dengan nasib Norzie dan anak-anaknya.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.