Home Novel Cinta Hai Handsome! (Musuhku, Encik Pilot)
Hai Handsome! (Musuhku, Encik Pilot)
Dea Zoraya
10/2/2015 22:31:17
1,086,198
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Bab 8 - Tentang Hati

Malam itu ketika aku sedang bersantai-santai di atas katil, Farhin masuk ke dalam bilikku dan terus baring disebelahku.

“Maya kau tengah fikir apa tadi? Aku tengok kau termenung aje sejak balik semalam. Kenapa ni?” Farhin menyoalku.

Aku tersenyum. “Aku tak ada fikir apa-apa.” Balasku sambil aku menepuk-nepuk bantalku.

“Alah Maya...bukan aku tak tahu kau tu suka berahsia. Suka simpan masalah dalam hati tu. Bahaya tau.” Farhin merungut sambil dia menunjuk ke arah dadaku.

Memang betul kata Farhin tu. Aku tak berapa suka berkongsi masalahku dengan orang lain selagi aku mampu mengatasinya. Hanya beberapa orang yang aku percaya saja aku berani bercerita. Selalunya hanya pada Farhin dan Abang Bukhary saja.

“Aku teringat pada Adam.” Kataku perlahan.

Farhin memeluk pinggangku. Dia bersandar di bahuku. “Kau rindu pada Adam ya?”

Aku mengangguk.“Rindu sangat Ein. Sampai aku termimpi-mimpi kan dia.”

Aku mengetap bibirku. “Kadang-kadang aku terfikir kenapa Adam datang dalam hidupku cuma seketika? Dan walau hanya sekejap tapi aku sayang sangat pada dia. Aku masih ingat masa aku mengandungkan dia, aku tak pernah suka pada dia pun. Tak pernah nak ambil tahu pun keadaan dia. Pernah terdetik di dalam hatiku aku, alangkah bagusnya kalau anak dalam perut aku tu mati saja.” Aku melepaskan keluhan berat.

“Sekarang aku dah termakan dengan kata-kata sendiri Ein. Rasa sakit tu tak terkata rasa pedihnya bila setiap kali ingatan aku ini melayang ingat pada anak aku. Aku terkadang terfikir adakah aku yang bersalah? Salah aku kerana tak dapat protect diri sendiri dari lelaki yang mengambil kesempatan terhadap aku? Salah aku ke membenci Adam dan berharap dia lenyap dalam hidup aku?”

“Tapi yang paling pasti Adam tak pernah salah. Dia tak bersalah langsung. Bagi aku Adam suci, kejadian paling indah yang jadi dalam hidup aku walau pun sekejap. Sampai mati pun aku tak akan lupakan yang aku pernah miliki Adam.” Aku mengesat airmata di pipiku.

Farhin menepuk-nepuk tanganku. “Kau orang yang baik Maya. Aku selalu doakan kebahagiaan kau. Kau anggap apa yang kau lalui sebelum ni sebagai ingatan supaya kau jadi lebih kuat menempuhi hidup ni. Aku sayang kat kau tau. Walau kau tak ada boyfriend pun tapi aku tetap sayang....” Farhin cuba membuat aku ketawa.

Aku tak dapat menahan ketawa mendengar ayat Farhin sayang kat aku. “Kau pun tak ada boyfriend lah.” Kataku.

Farhin ketawa. “Hahahaha....ya lah kita kan sekarang ni single and available. Eh kejap! Kau tak available okay.”

“Eh kenapa pulak aku tak available?” Berkerut dahiku memandang kawan baikku itu.

Farhin tersenyum-senyum. “Sebab kau dah ada Mr. Pilot tu.”

“Hah? Apa pulak....tak ada kaitan langsung lah. Aku tak jumpa dia lagi pun. Aku lagi mintak tak nak terserempak dengan dia langsung.” Aku menggeleng tidak berminat.

Farhin mencebik. “Iyalah tu. Melepas kau karang, pilot tu Dia suka kat kau tak?”

Aku ketawa. Geli hati. “Sejak bila kau jadi penulis novel pulak ni? Mana datang idea tu?”

Bagi aku apa yang berlaku di Auckland tu dah cukup buat aku sakit hati. Aku dah tak nak ingat lagi apa yang terjadi di atara aku dengan Firqin dan juga bekas kekasihnya Amera. Aku mengaku aku yang buat salah pada lelaki itu dulu dan aku sudah tebus balik kesalahan aku tu dengan menyamar menjadi bakal isterinya.

“Ada gambar dia tak...bagi aku tengok.” Farhin masih lagi tidak berputus asa untuk mengorek rahsia yang dia sangkanya aku simpan dari pengetahuannya.

“Buat apa aku nak simpan gambar dia? Tak kuasa lah. Banyak lagi benda aku nak fikir. Berlambak lagi kerja aku kat bengkel tu. Fikir pasal macam mana nak design furniture untuk client lagi bagus lah dari aku fikir perkara yang tak nyata.”

Farhin membetulkan duduknya dan dia menghadapku. Wajahnya kali ni nampak serius.

“Maya aku nak tanya kau sesuatu ni...tapi kau janji jangan nak marah pulak. Jangan nak kecil hati ke apa ya.”

“Apa dia? Kau belum tanya lagi dah suruh aku jangan marah. Memang aku tak marah lah cerita dia. Yang muka kau tiba-tiba serius ni kenapa Ein? Kau nak kenal sangat ke Encik Pilot tu...” Aku sengaja mengusiknya pula.

Dia menggeleng. “Maya....errr betul ke kau dah tutup pintu hati kau lepas Fakhrul kahwin dengan orang lain? Sebab tu jugak ke kau ambil keputusan lari dari majlis pernikahan dengan Abang Bukhary? Aku bukan apa Maya....sebab aku sayang kat kau lah, aku tanya soalan ni. Kau jangan marah aku pulak. Kau cantik. Kau baik. Kau berhak dapat lelaki yang baik yang boleh sayang kau. Aku nak kau bahagia tu je. Kita dah kawan lama. Aku nak tengok jugak kau bahagia, gembira macam perempuan lain kat luar sana tu.”

Aku tersenyum. Aku memandang wajah kawanku itu. Kawan yang paling rapat dan yang paling baik terhadapku. Aku masih ingat lagi saat kali pertama kami berdua berkenalan. Kami ditempatkan bersama di dalam satu bilik ketika sama-sama mula belajar di luar negara dulu. Pada mulanya aku kurang sukakannya kerana dia terlalu banyak bercakap dan selalu ingin rapat denganku walau pun kami masih lagi baru bersuai kenal. Namun lama-kelamaan aku semakin selesa dengannya. Malah aku sudah terikut-ikut dengan sifatnya yang sentiasa ceria, suka ketawa dan positif itu.

Farhin adalah orang luar pertama selain keluargaku yang tahu tentang latar belakang hidupku. Aku masih ingat, Farhin menangis dan memelukku ketika aku ceritakan padanya tentang peristiwa hitam yang berlaku terhadapku. Kejadian yang aku sendiri tidak mahukan iaitu abang iparku, suami Kak Long menyentuhku dengan tanpa kerelaanku. Tentang Adam yang lahirnya hanya seketika yang sampai bila-bila masih membuatkan hati aku rasa hancur luluh.

Kerana sebab itu jugalah beberapa bulan selepas aku kehilangan Adam, Abah terus menghantarku belajar ke luar negara dengan harapan Abah berharap aku dapat melupakan segala kepahitan yang aku alami dan memulakan harapan baru di negara orang. Namun aku tidak rasa begitu, kerana sampai bila-bila pun aku tak akan boleh lupakan semua itu. Membuang kenangan pahit seperti itu bukan semudah membuang sampah di dalam tong. Bukan semudah memetik jari. Sesungguhnya perlahan-lahan aku mula mengerti segala kenangan yang tidak manis itu, penawarnya hanyalah masa.

“Aku tak pernah tutup pintu hati aku. Ya...aku mengaku yang aku kecewa bila Abah aku tak merestui hubungan aku dengan Fakhrul dan aku bertambah sedih bila Fakhrul berkahwin dengan perempuan lain. Tapi lama-kelamaan aku anggap yang kami berdoa tiada jodoh. Malah aku doakan semoga dia bahagia dengan pilihan, dengan hidupnya.”

“Tentang Abang Bukhary pulak... bukan kau kata yang dia adalah lelaki paling baik yang kau pernah kenal ke? Tapi kenapa pula kau ambil keputusan tolak lamarannya?”

Aku mengangguk. “Betul. Abang Bukh adalah lelaki yang paling baik dalam hidup aku. Sejak dari aku kecil lagi dia selalu ada kalau aku perlukan dia.” Aku berhenti di situ sebelum melepaskan satu keluhan.

“Tapi....kalau aku terima Abang Bukh masa tu, kau tak rasa ke yang aku ni zalim? Aku ni jahat?”

Berkerut dahi Farhin memandang wajahku. “Aku tak faham...kenapa kau nak zalim, jahat pulak? Abang Bukhary tu sayang pada kau kan.”

“Sebab aku rasa kalau aku terima Abang Bukh sebagai suami aku masa tu, aku akan musnahkan hidup dia. Aku rasa aku mempergunakan dia Ein. Dia tahu tentang kisah hidup aku, tentang maruah diri aku. Aku juga tahu sebab Abang Bukhary terima aku masa tu pun salah satu nya kerana permintaan Abah.”

“Kau rasa macam tu ke? Aku tak rasa Abang Bukhary terima kau hanya semata-mata sebab Abah kau je. Mungkin sebab dia sayang, betul-betul cinta pada kau. Aku dapat tengok dari cara dia pandang kau, cara dia cakap, layanan pada kau. Semua nampak ikhlas. Macam layanan seorang lelaki kepada wanita yang dicintai. Kalau sayang seorang abang kepada seorang adik lain caranya. Aku dapat bezakan yang tu.” Farhin memberikan pendapat yang aku rasa ada betulnya itu.

“Aku anggap Abang Bukh tu sebagai seorang abang. Tak ada perasaan yang istimewa. Tapi bila Abah ambil keputusan untuk jodohkan kami, aku dah rasakan yang hal ini tidak patut berlaku. Aku tak nak Abang Bukhary menderita selepas kahwin dengan aku, sebab aku tak mampu nak beri apa yang perempuan lain mampu berikan. Aku tak boleh cintakan dia. Aku tahu Abang Bukhary sayang pada aku. Tapi aku terpaksa menolak.”

“Sayang nya Maya.....dah lah abang kau tu baik, pandai, hensem...Mungkin jodoh dia dengan orang lain lah kot.”

Aku mengangguk setuju. Aku hargai cinta Abang Bukhary terhadapku. Aku sangat berterima kasih padanya kerana sayangkan aku dan sediakan satu ruang untukku di dalam hatinya.

Tiba-tiba aku teringat kembali aku pernah terdengar perbualan di antara Abah dan Abang Bukhary. Beberapa hari sebelum majlis pernikahan berlangsung. Abah meminta abang menjagaku dengan memperisterikan aku. Kata Abah lagi, dengan perkahwinan ini kisah silamku sedikit banyak akan tertutup. Bukan aku tidak tahu saudara-mara dan kenalan mama masih lagi bercerita tentang peristiwa hitam yang berlaku kepadaku. Malahan sering kali juga mereka memerli dan mengataku. Macam-macam cerita aku dengar yang pastinya semuanya bukan yang baik-baik.

Abah takut tiada lelaki lain yang sanggup dan rela mengambil aku sebagai isteri apabila mengetahui tentang diriku yang pernah disentuh lelaki dan juga pernah melahirkan seorang bayi. Abah tak nak aku bersedih di kemudian hari kalau nanti aku sedar yang aku sudah tersalah membuat pilihan.

Kerana sebab ini jugalah Abah awal-awal lagi membantah hubungan aku dengan Fakhrul kerana Abah takut Fakhrul bukanlah lelaki yang sesuai yang dapat menerimaku dan menjagaku dengan baik. Maka bagi Abah, Abang Bukhary adalah calon terbaik yang boleh diharapkan.

“Bukh tak pernah anggap Maya ada kekurangan Abah. Di mata Bukh, Maya sempurna. Dia cantik. Malah gadis yang paling cantik yang Bukh pernah lihat. Dia baik. Terus-terang Bukh rasakan hati Bukh ni senang bila pandang dia. Abah pun tahu kan yang Bukh suka pada Maya dah lama.” Kata-kata Abang Bukhary tu membuat aku tersenyum. Aku terharu.

Namun senyumanku mati apabila terdengar suara mama mencelah. “Saya tak setuju abang nak satukan mereka. Perkahwinan ni hanya nak tutup aib Maya tu aje kan. Saya tak nak masa depan anak saya gelap sebab memperisterikan Maya tu.”

“Lia...apa lagi awak ni. Bukhary sendiri dah setuju dengan pernikahan ni. Dia cakap sendiri tadi yang dia sayangkan Maya. Saya rasa tak ada halangan, tak ada masalahnya.” Kata Abah.

“Abang...abang tak fikir ke apa saudara mara kita akan kata nanti. Kes yang dulu tu pun masih lagi mereka katakan. Yang ni karang dikatanya pula, kita nak tutup malu dengan jual anak sendiri.” Kata-kata mama itu membuatkan mataku terasa bergenang.

“Mama...Bukhary sedia terima Maya seadanya. Biarlah apa orang nak kata. Kita tak ada kuasa nak tutup mulut orang. Lama-lama diam juga nanti. Mama... Bukh harap mama restu perkahwinan kami. Dengan doa mama, moga berkat perkahwinan kami tu, siapa tahu kan mama.” Ujar Abang Bukhary.

Namun mama tetap membantah. “Bukhary, Maya tu dah tak ada apa-apa lagi yang nak diberikan pada kamu. Asal-usul dia sendiri pun entah dia tahu entah tak. Kita kenal ke siapa emak ayah dia. Entah anak siapa...mama tak nak nanti kalau ada cucu dari asal keturunan yang entah apa-apa.”

“Marlia...jaga mulut awak tu. Nanti Maya dengar pulak. Saya tak pernah ajar awak jadi macam ni. Suka bersangka buruk pada orang lain. Maya tu bukan orang luar, dia anak kita juga. Kita besarkan dia kan. Fikir dulu Marlia, sebelum bercakap. Saya tak suka awak cakap macam tu lagi. Dari awak sibuk fikirkan apa yang orang nak kata, lebih bagus kalau awak fikir macam mana nak aturkan majlis resepsi bulan depan. Walau apa pun, walau awak tak setuju sekali pun saya peduli apa. Yang saya tahu hanya Maya seorang saja yang akan jadi menantu saya.” Suara Abah dengar sangat tegas.

“Memang saya tak ada hak nak bagi pendapat dalam rumah ni kan. Saya semuanya salah. Kalau Maya tu semua betul. Baiklah kalau itu yang abang nak kita ikutkan saja. Tapi ingat saya tak akan sesekali terima dia sebagai menantu setelah apa yang jadi pada Along. Anak saya bercerai sebab dia, along lari sampai ke Jepun tu sebab kecewa. Ini semua sebab perempuan tu. Sampai bila-bila pun saya tak akan maafkan dia.” Mama menangis teresak-esak.

Aku tidak mahu membuat mama bertambah sedih lagi. Lalu ketika itu juga aku membuat satu keputusan demi kebahagiaan semua orang. Aku tak boleh pentingkan diri ketika itu dengan terus bersetuju menerima Abang Bukhary sebagai suami.

Aku tak pernah berniat untuk membuat Kak Long bercerai dengan suaminya. Aku juga tidak bersalah dalam hal itu. Abang Amran yang salah. Lelaki tak guna tu yang bersalah, melarikan diri selepas apa yang berlaku dan kemudian kesalahan itu diletakkan di atas bahuku seorang. Aku bertekad lelaki itu tidak boleh dimaafkan walau pun dia bersujud di kaki aku. Aku benci. Benci sangat.

Aku berharap satu hari nanti mama akan dapat memaafkan aku walau apa pun salah yang telah aku lakukan terhadapnya. Aku tak pernah berdendam pada mama dan membencinya sedikit pun walau pun mama tidak pernah sekali pun melayaniku dengan baik. Aku berdoa moga suatu hari nanti mama akan faham dan sedar yang sebenarnya aku tidak bersalah.

Aku tidak pernah berniat untuk memecah belahkan keluarga ini. Walau sebanyak mana pun mama membenciku, sebanyak itu jugalah aku sayang padanya. Dia ibuku. Itu yang aku sematkan di dalam hati. Walaupun bukan mama yang melahirkan aku, namun secara tidak langsung kerana mama juga, aku dipelihara dan dibesarkan dalam keadaan yang serba mewah. Aku patut bersyukur kerana ihsan Abah dan Mama aku dapat belajar tinggi hingga ke luar negara, diberi kehidupan selesa yang mungkin tidak dapat dikecapi oleh orang lain yang juga senasib denganku di luar sana.

Suara Farhin mematikan lamunanku. “Maya....kau suka lelaki yang macam mana? Macam mana ciri-ciri lelaki idaman kau?Prince Charming macam tu?” Farhin tersengih-sengih mula mengusikku.

Aku ketawa. “Prince Charming dalam cerita Shrek tu ke? Kalau putera yang tu aku ketawa okay, putera yang sangat annoying. Ein...ini bukan cerita dongeng lah . Mana ada wujud prince charming dalam dunia ni. Kalau kita semua dah tetapkan mahukan ciri-ciri lelaki idaman yang sesuai dengan kehendak diri, itu bukan prince charming namanya. Itu namanya kita mengubah seseorang tu untuk jadi watak dan karakter yang kita sukakan. Bagi aku terima seseorang tu seadanya sudah mencukupi. Paling penting mempunyai hati yang baik cukup. Luaran tu nombor dua.” Ujarku lebar.

Farhin ketawa mencebik. “Eleh kata kau memang lah macam tu. Habis itu kalau jodoh kau lelaki yang tak hensem, yang kontra dengan kau yang cun melecun ni. Kau nak ke?”

“Kalau dah jodoh..aku sayang kat dia. Aku terima dia seadanya. Sebab nya Ein....bagi aku mempunyai sekeping hati yang baik lebih mahal harganya daripada mempunyai paras yang kacak, rupawan tapi hati tak cantik.” Aku memberi pendapat yang ikhlas dari hati.

Farhin ketawa. “Kau memang pandai cakap kan. Muka macam kau ni, petik sekali ramai yang datang beratur. Kalau yang datang beratur tu semua hensem-hensem tipulah kau tak nak terima kan.”

Aku turut ketawa mendengar kata-kata Farhin. Sengaja lah tu nak mengusikku. “Kau pernah dengar tak lagu putih putih melati...merah merah delima.... siapa yang baik hati.... pasti aku terima....macam itu lah apa yang ada dalam hati aku ni.” Aku siap menyanyi di hadapannya.

“Tapi kan Maya......kalau yang datang beratur tu semuanya dah tua kerepot, kau nak terima ke?” Farhin semakin menjadi mengusikku.

“Ein....ke situ pulak kau usik aku ya.” Aku mencubit lengannya geram.

Kalau aku fikirkan, aku tidak pernah ada persepsi ataupun sudah menetapkan ciri-ciri lelaki yang macam mana aku mahukan. Bagi aku lebih baik seseorang tu hadir dalam hidupku secara naturally, tidak dipaksa-paksa.

Sesebuah perkenalan tu nanti perlahan-lahan sendirinya akan menerbitkan rasa ingin mengenali seseorang itu dengan lebih mendalam lagi. Yang paling penting beri diri sendiri peluang untuk kenali seseorang itu. Beri peluang padanya tapi jangan cepat judge. Mungkin ada sesuatu pada dirinya yang boleh buat kita jatuh cinta. Aku berpegang pada prinsip ‘kalau tak kenal, macam mana nak cinta’, ‘kalau tak beri diri peluang, macam mana nak tahu rupanya ada orang yang sayang dan hargai diri kita. Paling penting sekali, jangan pernah tutup pintu hati walaupun pernah kecewa seteruk mana pun. Beri peluang pada diri sendiri untuk cari kebahagiaan.

Mungkin ada seseorang di luar sana yang boleh memberi kebahagiaan dan kegembiraan yang kita sendiri tidak sedar dengan kehadirannya kesedihan kita yang lalu itu akan lenyap. Malahan diganti dengan rasa yang indah. Siapa tahu bukan?

Tiba-tiba aku teringat pada Firqin dan ceritanya dengan Amera. Tentang reaksi wajahnya ketika Amera memarahinya malam itu. Memang nampak kecewa betul Firqin ketika itu.

“Kesian jugak Encik Pilot tu sebenarnya bila Amera buat dia macam tu. Kalau dari apa yang dia cerita kat aku hari tu, dia dah lama dengan kekasihnya itu..dekat tujuh tahun. Tapi Amera tinggalkan dia sebab lelaki lain.Tapi bagi aku lah, aku rasa dia kenalah move on. Cuba terima yang Amera tu mungkin bukan untuk dia.” Kataku sambil aku memandang gelang di tanganku.

Aku menepuk dahi. Kenapalah aku lupa nak serahkan gelang ni pada Adam hari tu. Padahal masa dalam kapal terbang hari tu, aku memang berniat nak pulangkan gelang ni balik pada Firqin melalui sepupunya. Boleh terlupa pula.

“Simpan aje lah. Kot-kot nanti aku tersempak balik dengan Encik pilot tu ke, aku bagilah kat dia.” Kataku sendiri sambil aku membuka laci di sisi katil lalu aku letakkan gelang itu di dalam sebuah kotak kecil.

Aku hanya memandang Farhin mengambil telefon bimbitku dan memasang pemain MP3. Lagu Babak Cinta nyanyian Tengku Adil kedengaran.

‘Semoga sesiapa pun yang mendengar lagu ni boleh membuka pintu hatinya untuk ‘seseorang’ di luar sana yang sebenarnya boleh beri kegembiraan dan kebahagian pada diri kita. Memberi peluang kepada ‘seseorang’ itu dan juga pastinya kepada diri sendiri untuk kembali bercinta. Termasuk juga kepada orang seperti aku dan juga seperti Encik Pilot tu.’ Kataku sendiri di dalam hati.

Engkaulah cahaya dalam hidup yang penuh kegelapannya

Rasa kesakitan dalam dada menghilang pabila kau berada

Cintamu kepada aku tak pernah ku rasa sebegitu

Engkau meringankan hati ini

Engkau menenangkan jiwa sepi...


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.