Home Novel Cinta Hai Handsome! (Musuhku, Encik Pilot)
Hai Handsome! (Musuhku, Encik Pilot)
Dea Zoraya
10/2/2015 22:31:17
1,080,341
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
- Sedutan Bab 44 - Firqin vs Izzaz

“Maya tunggu!” Firqin memanggilku namun aku tidak mengendahkannya. Aku segera keluar dari kafe tersebut dan masuk ke dalam keretaku. Firqin yang telah selesai membuat pembayaran terus berlari keluar mendapatkanku. Dia mengetuk-ngetuk tingkap keretaku sambil memanggil namaku.

“Maya please jangan buat macam ni. Kita bincang dulu. Awak jangan bertindak terburu-buru dan buat saya risau. Tolong Maya.” Firqin merayuku namun sedikit pun tidak terkesan di dalam hatiku yang sudah remuk ketika itu.

Aku terus menekan pedal minyak dan destinasiku ketika itu sudah tentulah untuk bersemuka dengan Izzaz Rayqal. Aku menghantar pesanan ringkas kepada Izzaz untuk bertanya tentang keberadaannya. Izzaz membalas pesanan yang aku kirimkan itu dan katanya dia sedang berada di dalam pejabatnya. Tanpa berlengah lagi aku terus ke sana untuk mendapatkan penjelasan darinya tentang apa yang Firqin katakan kepadaku sebentar tadi.

Sampai sahaja di hadapan pejabat Izaz, aku terus menerpa masuk tanpa mengendahkan Azura yang menghalangku. “You jangan masuk campur!” Aku memberi amaran kepada Azura yang bagiku turut bersubahat dengan Izzaz untuk memperdayakan aku. Kalau Azura benar tidak mahu melihat aku teraniaya, sejak awal lagi dia akan beritahu kepadaku tentang rancangan Izzaz itu, ini tidak.

Izzaz bangun dari kerusi kerjanya dan mendekatiku. “Tak sabar jugak kau ya nak fitting baju nikah kita?” Izzaz senyum ketika aku masuk ke dalam biliknya.

Aku tidak tunggu lama, sebaik saja dia berada di hadapanku tanganku spontan naik ke pipinya. “Itu untuk kau berani mempermainkan aku!” Kataku menahan geram.

Izzaz memegang pipinya dengan wajah yang terkejut. “Apa ni Maya?”

Aku rasa jengkel terhadapnya yang berpura-pura tidak bersalah itu. “Aku dah tahu rancangan kau Iz. Aku tahu kau hanya gunakan aku semata-mata untuk balas dendam pada Kin kan! Betul tak Iz? Kau cakap dengan aku sekarang ni jugak betul atau tidak?” Kuat aku menengkingnya.

Wajah Izzaz nampak berubah. Dia jadi cemas. “Ma...Maya aku...”

Aku yang sedang menanggung amarah terhadapnya terus mencapai apa saja yang ada di hadapanku dan membalingnya ke arah Izzaz. “Sampai hati kau buat aku macam ni? Apa salah aku Iz?” Aku mula menangis.

“Siapa yang cakap semua ni Maya?” Soal Izzaz nampak serba salah.

“Itu tak penting. Sekarang ni aku nak kau tahu yang aku bukan perempuan yang boleh kau mainkan sesuka hati. Aku ada harga diri dan maruah. Aku tak sangka Iz sejauh ni kau sampai hati mempermainkan aku kerana dendam. Kalau kau atau aku mati pada malam kemalangan tu macam mana? Apa salah aku untuk kau jadikan aku mangsa?” Ujarku yang terlalu kecewa dengannya.

“Maya kau dengar dulu penjelasan aku boleh.” Izazz cuba memegang tanganku dari terus membaling barang-barang kepadanya.

“Apa? Apa lagi yang nak dijelaskan Iz? Sekarang ni kau hanya perlu mengaku ya atau tidak saja!” Balasku.

“Maya duduk dulu. Kau jangan marah-marah, dengar apa yang aku nak cakap.” Izzaz meraih tanganku, aku segera mengelak.

“Okay, jelaskan aku nak dengar apa yang kau nak bohongkan lagi.” Sinis aku memerlinya.

Izzaz kelihatan resah, bagaikan tidak terkeluar perkataan dari mulutnya. Di dalam hati aku mencemuhnya yang telah memperdaya dan mengecewakan aku dengan tindakanya yang menipu aku selama ini. Aku rasa sedih dan kecewa dengannya kerana aku sangka selama ini lelaki itu benar-benar ikhlas membantu Norzie dan juga membantu menyelesaikan masalah-masalahku yang lain. Tapi ternyata itu semua hanya lakonannya semata-mata! Aku tidak rasa aku boleh memaafkan kesalahannya kali ini.

Izzaz tunduk memandang lantai. “Aku minta maaf, Maya. Aku tak ada niat nak gunakan atau mempermainkan kau kerana dendam. Aku ambil tindakan macam tu sebab aku tidak boleh berfikir masa tu. Maafkan aku Maya. Aku dah lama nak berterus-terang dengan kau tentang hal ni tapi aku tak berani. Aku nak tunggu masa yang sesuai.” Penjelasan Izzaz itu semakin menambahkan rasa marah dan benciku terhadapnya.

“Jadi memang betul kau perangkap aku? Tapi kenapa Iz! Kerana dendam pada sepupu kau sebab rampas Amera? Tapi kenapa nak libatkan aku?” Aku sudah hilang sabar.

Wajah Izzaz nampak suram. “Aku menyesal dengan tindakan bodoh tu Maya. Aku sedar yang aku tak patut libatkan kau dalam hal ini sebab tu dah banyak kali aku nak berterus-terang dengan kau tentangnya.” Izzaz bersungguh-sungguh menyakinkan aku untuk mempercayainya.

“Dengan mempertaruhkan nyawa aku? Iz kemalangan malam tu boleh membunuh aku atau kau tahu tak.” Aku mengesat airmata yang spontan mengalir dari tubir mata.

Izzaz mendekatiku dan tanganku cuba diraihnya. “Don’t touch me!” Aku berundur setapak ke belakang.

“Maya tentang kemalangan tu aku tak rancang Maya. Sumpah aku tak akan main-main dengan nyawa orang lain. Aku tak tahu dari mana kau dengar cerita ni, tapi dengan jujur aku akui kemalangan malam tu terjadi tanpa aku rancang. Aku terkejut bila aku perasan orang yang terlanggar kereta aku sebenarnya adalah kau, perempuan yang aku nampak menangis masa Firqin nak bernikah dengan Amera.”

“Azura yang kata kau rancang kemalangan tu. Jadi betul kau ekori aku?” Soalku yang masih tidak dapat mempercayai kata-katanya.

Izzaz menggeleng-geleng. “Azura cakap macam tu sebab dia sukakan aku tapi aku tolak cinta dia.”

“Aku tak nak dengar cerita cinta kau lah Iz. Aku nak penjelasan.” Balasku.

“Okay aku akan jelaskan kalau itu yang kau nak tahu sangat. Aku akui Maya yang aku ikut kau sampai ke rumah kawan kau, ke hospital dan juga ke Subang malam tu. Aku ikut kau sebab aku nak bercakap dan berbincang dengan kau untuk pujuk Firqin batalkan pernikahan dengan Amera. Tapi bila aku nampak kau pengsan masa kawan kau bunuh diri, aku tak sampai hati nak teruskan. Aku batalkan niat untuk bercakap dengan kau.  Entah macam mana dengan kemalangan tu telah membuatkan kau benar-benar berada di depan mata aku. Aku tak rancang kemalangan tu Maya, percayalah.” Izzaz merayu agar aku mempercayaik ata-katanya.

Aku berundur lagi menjauhinya. “Jadi betul lah kan kau buat aku macam ni, libatkan aku dengan rancangan kau, kontrak kau semua tu sebab dendam? Mula-mula jadi Kaisara, lepas tu jadi isteri pula. Iz kau sedar tak apa yang sedang kau buat ni salah tau tak?”

Izzaz menggeleng. “Bukan macam tu Maya.”

Aku memotong percakapannya.“Habis kalau bukan dendam apa?”

Listen Maya...aku tahu aku salah sebab libatkan kau. Itu bukan niat aku...” Izzaz mula nampak bengang.

“Apa? Kau nak kata kau tak sengaja buat macam tu. Atau kau memang dah jatuh cinta dengan aku sejak kali pertama kau nampak aku dan sebab tu kau ikhlas jadikan aku isteri kau? Macam tu?” Tengkingku lagi.

“Yes! Aku mengaku aku sukakan kau! Sebab tu aku nak kau selalu ada dengan aku!” Pengakuannya itu benar-benar membuatkan aku terkedu.

“Mengarut! Jangan nak menipu aku lagi Iz.” Balasku.

“Aku akui memang aku marah dan berdendam dengan sepupu aku tu sebab pernah rampas Amera dari aku. Malah dia juga dipilih untuk bernikah dengan Amera dan bukan aku. Aku bertambah bengang bila dia batalkan pernikahan tu dan Amera kembali kepada Danial, lelaki tak guna tu. Sebab tu aku dah buat keputusan untuk tetap teruskan rancangan untuk membalas pada Firqin melalui kau, sebab aku tahu dia sayangkan kau. Pagi tu di hospital rancangan aku bermula untuk menyakiti Firqin dengan gunakan kau. Tapi beberapa hari lepas tu aku menyesal dengan tindakan aku dan aku memang batalkan terus rancangan tu. Aku sedar aku tak patut gunakan kau. Aku menyesal Maya. Aku minta maaf. Dan aku memang ikhlas untuk memperisterikan kau sebab aku dah mula jatuh sayang pada kau Maya.” Jelasnya lagi.

Turun naik nafasku menahan rasa marah yang telah pun memuncak terhadapnya. Airmataku mula mengalir laju.

“I hate you! I hate you!”Aku memukulnya dengan beg tanganku berulang kali. Kali ini Izzaz tidak mengelak dan hanya membiarkan aku memukulnya semahuku.

Firqin menerpa masuk ketika itu dan terus menghalangku dari terus memukul Izzaz. “Maya bawa bertenang. Jangan macam ni.” Firqin mengambil beg dari tanganku dan menarik lenganku menjauhi Izzaz.

“Lelaki tak guna! Aku tak akan maafkan kau sampai bila-bila pun.” Aku menengkingnya.

“Maya...tolong jangan hukum aku macam ni.” Izzaz seakan merayu.

Aku menepis tanganku dari diterus pegang Firqin. “Sekarang korang berdua dah berdepan kan? Apa lagi sila selesaikan apa pun masalah cinta tiga segi ke, dendam saudara ke, atau nak rebut Amera sekali pun. Suka hati korang lah nak buat apa tapi jangan sesekali libatkan aku lagi. Kerana dendam korang berdua, aku jadi mangsa dan aku rasa tiada maaf untuk kau Izzaz. ” Ujarku sambil aku mengambil semula begku dari Firqin dan berpusing untuk keluar.

Firqin dan Izzaz nampak terkejut dengan kata-kataku. Mereka berdua saling berpandangan di antara satu sama lain. Wajah masing-masing nampak bersalah.

“Maya perkahwinan kita tetap akan berjalan kan?” Soal Izzaz yang membuatkan aku berpaling semula memandang wajahnya.

“Berani kau cakap pasal kahwin lagi dengan aku? Iz kau tak faham lagi ke, ini semua hanya rancangan kau. Jadi bila aku dah tahu semuanya tak mungkin lagi Iz untuk aku teruskan. Perkahwinan tu batal dan aku tak akan terima kau sampai bila-bila. Ingat tu Iz.” Kataku geram.

“Tapi macam mana dengan Umi aku Maya? Abah kau? Keluarga kita dah berjanji kan. Tolonglah fikir baik-baik Maya. Kalau bukan untuk kita, kau fikir demi keluarga kita Maya.” Izzaz merayu kepadaku.

“Iz kau tak ada hak nak paksa Maya. Dia kata tak nak dengan kau kan, jangan paksa-paksa boleh.” Firqin mencelah. Mungkin bengang kerana Izzaz bercakap tentang perkahwinan di hadapannya.

“Kau nak masuk campur kenapa? Ini antara aku dan Maya.” Izzaz membalas.

“Sebab Maya istimewa bagi aku. Aku kenal dia dulu dari kau Iz dan juga kerana aku nak protect dia dari terus jadi mangsa dendam kau tu!” Jawab Firqin tegas. Aku hanya memerhati dua saudara ini bertegang urat.

“Aku dah minta maaf pada Maya. Dan aku menyesal dengan tindakan aku tu. Aku sekarang ikhlas nak jadikan dia isteri aku!” Izzaz bertentang mata dengan Firqin.

Aku terkejut apabila Firqin tiba-tiba menerpa ke arah Izzaz dan menggengam kolar sepupunya itu. Izzaz membalas dengan menepis tangan Firqin dan mula menggengam kolar baju Firqin. Kini masing-masing tidak mahu mengalah dan bertentang mata dengan perasaan marah dari diri masing-masing yang kalau aku tidak masuk campur mahu mereka bertumbuk di situ juga.

“Aku tak tahu sebab korang mencengkam kolar masing –masing sekarang ni. Kalau sebab Amera baguslah sebab korang boleh selesaikan dendam masing-masing hari ni juga. Tapi kalau kerana aku, lupakan sajalah sebab aku akan keluar dari sini dan tak akan jumpa korang berdua lagi sampai bila-bila.” Ujarku dan terus melangkah keluar.

“Maya tunggu!” Firqin memanggilku.

“Maya tolong maafkan aku!” Ujar Izzaz.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.