Home Novel Cinta Hai Handsome! (Musuhku, Encik Pilot)
Hai Handsome! (Musuhku, Encik Pilot)
Dea Zoraya
10/2/2015 22:31:17
1,080,292
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Bab 33 - Geram dengan Izzaz

Izzaz membuka pintu rumahnya untukku. Sebaik saja aku melangkah masuk, aku sudah jatuh cinta! Rekaan perabot dan hiasan dalaman yang bertemakan Inggeris nampak begitu sempurna di mataku. Semuanya serba putih. Anggun, kelas dan kemas. Itu definisi yang dapat aku gambarkan sebagai seorang yang cintakan dunia hiasan dalaman.

“Cantiknya!” Pujiku.

“Tengoklah rumah siapa.” Ujarnya bangga.

Seorang wanita menghampiri Izzaz yang aku rasakan mungkin wanita itu adalah salah seorang dari pembantu rumahnya. “Baru balik ke Iz? Bawak kawan ya.” Wanita itu menghulurkan tangan untuk bersalam denganku.

“Saya Maya.” Aku kenalkan diriku.

“Panggil Mak Piah aje. Cantik orangnya, Iz.” Puji Mak Piah pula. Izzaz sekadar mencebik. ‘Jeles lah tu ada orang puji aku. Mencebik aje kerjanya. Aku ketam mulut tu karang.’ Kutukku di dalam hati.

“Nak minum apa ni Iz?”Tanya wanita itu pula.

“Emm...apa-apa ajelah Mak Piah. Saya nak ice lemon tea extra ice. Yang dia ni Mak Piah bagi air kosong je. Nanti gemuk tak cantik pulak.” Eh tak pasal-pasal aku pula yang diusiknya.

Mak Piah memukul bahu Izzaz. “Kamu ni tak baik cakap dengan perempuan macam tu. Orang cantik macam ni diusik-usik. Tu dah merah padam mukanya.” Mak Piah senyum kepadaku. Aku membalas senyumannya.

“Dah. Mak Piah buat air dulu. Tu ada cucur udang kegemaran kamu, nanti Mak Piah hidangkan ya.” Izzaz mengangguk senyum.

Aku pelik. Dengan pembantu rumah baik pulak. Lembut aje bercakap. Kalau dengan aku bukan main lancang mulutnya. Sah! memang lelaki ni tak suka perempuan cantik. Cantik? Alamak aku terpuji diri sendiri pulak. Syukur sebab ada orang puji tapi itu tak bermakna aku bangga diri.

“Itu Mak Piah pembantu rumah ni sejak aku dari kecik. Dah macam mak aku dah. Nanti bila kau duduk sini kena hormat dan layan Mak Piah sama macam aku tau.” Ujar Izzaz.

Aku mengangguk faham.

Dekorasi dan susur atur di bahagian ruang tamu rumah itu menggamit mataku untuk terus terpaku. Perabot yang minimalis, ringkas tapi nampak elegan. Di satu sudut di letakkan bunga ros hidup berwarna merah sebagai penambah seri. Nyaman dan tenangnya aku rasa. Kalau duduk dalam rumah macam ni sepanjang hari tak keluar pun aku sanggup.

“Jom ikut aku ke bilik bacaan kat atas.” Pelawa Izzaz.

Aku masih berdiri tegak di tengah rumah. “Err...Iz kita bincang kat tempat terbuka boleh. Saya bukan apa, saya tak selesa kita duduk berdua dalam satu bilik. Saya harap awak faham.” Teragak-agak aku berterus-terang.

Memang aku tidak biasa duduk berdua-duaan dengan lelaki di dalam sesebuah ruang bersama. Kalau di tempat kerja juga begitu. Kalau Aaron memerlukan studio untuk melakukan kerja-kerjanya pada luar waktu bekerja, aku akan menyiapkan kerjaku pada waktu kerja atau pun meninggalkan kerja-kerjaku untuk di sambung esok. Aku bukan apa, aku tak selesa. Tak nak jadi perkara yang bukan-bukan. Aku tak minta, tapi benda tak elok kalau nak jadi kat mana-mana dan bila-bila pun boleh. Jadi bagi aku mencegah tu lebih elok. Itu prinsip aku.

Agak lama Izzaz merenungku bagaikan sedang memikir sesuatu. “Kita ke gazebo luar tu.” Lelaki itu terus melangkah keluar.

“Macam mana kau suka rumah ni ke?” Tanya Izzaz sebaik saja kami duduk di gazebo berwarna putih itu.

Aku mengangguk. “Suka. Cantik. Tenang aje orang yang duduk dekat sini kalau rumah dah cantik macam ni.” Balasku teruja.

“Err...Umi awak mana? Dia tahu ke awak bawa saya datang sini?” Soalku berani.

Izzaz menggeleng. “Umi kat rumah Mak Long kat Melaka. Minggu depan baru balik. Kenapa dah tak sabar nak jumpa Umi aku ke?”

“Tak lah. Saya tanya aje. Tapi bila jumpa Umi awak nanti saya nak cakap apa? Awak tak rasa ke Umi awak akan pelik bila tiba-tiba aje anak yang dia tunggu-tunggu selama ni balik rumah macam tu aje. Mesti Umi awak akan tanya saya macam-macam nanti contohnya macam mana kehidupan saya sebelum ni ke? Saya nak jawab apa?” Aku mula resah bila memikirkannya.

“Itu kau tak perlu risau. Sebelum kau fikir pasal ni, aku dah fikir benda ni awal-awal lagi. Kau dengar rancangan aku ni baik-baik...” Izzaz tidak jadi meneruskan kata-kata apabila salah seorang pembantu rumahnya mendekati meletakkan minuman dan cucur udang di hadapan kami.

“Terima kasih.” Ucap Izzaz baik bersama senyuman.

‘Dengan orang-orang dalam rumah ni memang Izzaz akan layan dengan baik ya? Tapi kenapa dia layan aku kasar pulak? Pelik betul mamat ni.’ Desisku.

“Apasal kau pandang aku macam tu? Kau dah jatuh cinta dengan aku ke?” Lelaki itu mendekatkan wajahnya denganku.

Aku menjauhkan wajahku darinya. “Jangan nak perasan ya. Tak ada keinginan sikit sebesar kuman pun.” Jawabku.

Izzaz mencapai gelas di depannya lalu diteguknya separuh. “Aku baru sergah sikit dah merah menyala pipi kau” Suka dia dapat mengusikku.

Aku menjelingnya geram. “Cepatlah cakap apa awak nak beritahu saya tadi.”

“Rancangan aku ni kau hanya perlu ikut saja tanpa bantahan. Pertama sekali Umi pasti akan terima kau sebagai Kaisara sebab selama ni Umi sangka aku masih meneruskan usaha arwah Baba mencari Kaisara walhal kami tak pernah pun cari Kaisara. Aku bukan berniat nak tipu Umi tapi arwah Baba buat macam ni sebab tak nak Umi makin teruk bila dapat tahu yang Kaisara dah meninggal dunia.”

Aku hanya mendengar apa yang dikatakan Izzaz ketika itu.

“Pertama bila Umi tanya kehidupan kau sebelum ni, kau jawab macam ni. Lepas kau diculik, van yang melarikan kau tu terlibat dalam kemalangan. Kau terselamat tapi kau hilang ingatan. Kau di hantar ke rumah anak-anak yatim sejak tu sebab tiada keluarga yang menuntut kau. Beberapa tahun kemudian, kau di ambil oleh keluarga angkat dari keluarga berada dan di bawa tinggal di luar negara. Di United Kingdom. Kau hidup senang kat sana, diberi pendidikan, hidup selesa, kau di didik dengan baik. Mak atau ayah angkat kau tu tak pernah pun naik tangan pukul kau ke apa. Memang di tatang macam minyak yang penuh. Kau juga di hantar ke kelas muzik dan hidup serba mewah. Yang paling penting keluarga angkat kau amat menyayangi dan menghargai kau. Maya kau kena cerita macam ni sebijik-sebijik tau bila Umi tanya nanti.” Aku rasakan apa yang direka Izzaz ini bagaikan satu fantasi yang tidak pernah aku lalui sepanjang menjadi anak angkat kepada keluarga Abah.

Aku mula membezakan kehidupan realitiku dengan cerita fantasi rekaan Izzaz. Jauh benar bezanya. Pernahkan aku ditatang bagai minyak yang penuh oleh Mama dan Kak Long? Watak Kaisara yang bakal aku pegang ini tidak pernah dipukul atau dilukai oleh keluarga angkatnya, tapi aku sering kali menjadi mangsa tempat Mama dan Kak Long melepaskan geram apabila Abah tiada di rumah. Aku memegang pipi kananku, bagaikan masih terasa peritnya apabila pipi ini ditampar berulang kali oleh Mama ketika aku tidak menjawab pertanyaannya kenapa aku terlalu rapat dengan Abang Bukhary dan ketika Mama dan Kak Long tahu yang aku sedang mengandung anak suami Kak Long. Mama atau Kak Long bukan mempertahankan aku bila aku menjadi mangsa pemuas nafsu Abang Amran, malahan mereka lagi menyalahkan, menyeksa dan memaki hamun aku sepuas hati mereka. Tanpa aku sedari, airmata mula mengalir keluar.

“Kenapa kau nangis pulak ni? Sedih sangat ke cerita rekaan aku tu?” Suara Izzaz kedengaran mengambil berat.

Aku menggeleng. Aku kesat airmata yang mengalir di pipi. “Tak ada apa-apa. Cerita awak tu okay. Kisah hidup Kaisara yang bahagia. Untung hidup saya kalau apa yang awak cerita tadi itu saya mengalaminya. Tapi bukan semua orang boleh dapat bahagia kan.”

Wajah Izzaz nampak jelas berubah. “Sukar ke hidup kau bergelar anak angkat? Maaf kalau aku buat kau terkenang benda-benda yang tak elok ke. Aku tak bermaksud nak lukakan hati kau ke apa.”

“Tak Iz. Saya cuma teringat kisah lama itu aje. Saya nak cakap apa ya, sebagai seorang yang tak ada mak dan ayah saya bersyukur masih ada orang lagi yang sudi ambil dan bela saya. Walau sesukar mana kehidupan saya ketika di besarkan keluarga angkat, saya tak akan merungut kerana saya yang sepatutnya berterima kasih kerana ihsan mereka terhadap saya tidak terbalas oleh saya.” Jujur aku kata dari hati.

“Awak tak bahagia sepanjang tinggal dengan keluarga Bukhary? Aku tengok mereka tu dari keluarga baik-baik.” Izzaz bertambah minat untuk tahu kisah hidup aku sebagai anak angkat.

Aku senyum hambar. “Saya dah bersyukur kerana dibesarkan dan diberi pendidikan sampai saya boleh berdikari. Tapi saya tak boleh paksa orang untuk sayang saya. Saya mengerti yang saya hidup ni menumpang kasih dengan orang lain jadi saya tak boleh cerewet dan banyak songeh. Saya terima apa yang diberi, itu pun dah cukup buat saya.”

Izzaz mengangguk-angguk. “Aku dapat kesan kau tengah sorok rahsia hidup kau dari aku. Tapi tak apa, kita ada masa setahun lagi untuk bercerita. Kau carik aku bila kau dah bersedia untuk kongsi cerita tu dengan aku. Aku dengan telinga, tangan dan hati terbuka bersedia untuk jadi pendengar setia kau.” Suara lembutnya mencairkan hatiku. Ini buat kali pertamanya dia menggunakan nada, ekspresi dan senyuman yang sama diberikan kepada Mak Piah kepadaku.

Aku sekadar tersenyum. “Jadi rancangan awak yang seterusnya apa?”

“Kerja kau sebagai pereka perabot tu kekal. Kalau Umi tanya pasal keluarga angkat kau, kau kata lah mereka menetap di London, pesara. Kau tinggal di Malaysia ni dengan kawan yang kau kenal masa belajar di Universiti di London.” Tambah Izzaz lagi.

“Kalau Umi tanya macam mana kita boleh kenal macam mana?” Soalku lagi.

“Yang itu aku akan cakap dengan Umi nanti. Bagaimana aku boleh temui kau, Kaisara. Tapi kau cakaplah yang kau memang dah lama nak cari keluarga kandung kau dan bila kau dah habis belajar kau mulakan misi untuk cari mereka. Kat situ lah kita berdua berjumpa! Hebat tak sinopsis yang aku reka ni? Puas aku fikir berhari-hari nak cari jalan cerita yang nampak logik di mata Umi.”

“Apa yang membuktikan saya Kaisara di mata awak? Sebab awak bawak saya balik ke sini?’ Soalku lagi.

“Banyak tanya lah kau ni. Dah macam pegawai penyiasat. Penat aku nak menjawablah.” Omel Mr. Lion King.

“Iyalah nanti saya salah jawab, awak marah saya. Bila Umi dengar dan nampak awak marah-marah saya nanti, bocorlah rahsia kita nanti. Kan susah.” Balasku.

“Pandai kau menjawab kan!” Izzaz nampak geram. Dia menyumbatkan secebis cucur udang ke dalam mulutku.

Aku yang tak sempat mengelak terpaksa menelan cucur udang itu dengan kutukan di dalam hati. ‘Suka hati dia aje main suap-suap aku. Nanti aku balas balik, aku sumbat cili api kat mulut dia, baru macam beruk kena belacan nanti.’ Aku senyum apabila terbayangkannya. Rasa seronok walau pun hanya berangan!

“Mestilah saya pandai menjawab. Siapa abang saya? Awak kan? Awak kan ‘Raja Menjawab’ jadi mana tak tumpahnya kuah, kalau tak ke nasi. Saya belajar dari awak lah.” Aku sengaja mempermainkannya.

“Suka kau ya dapat sakat aku.” Izzaz tahan senyuman. Aku nampak itu.

“Kau tak perlulah risau sangat. Tahu lah aku uruskan semuanya nanti. Aku yakin rancangan kita ni akan berjalan lancar nanti. Oh ya, yang paling penting aku akan kenalkan kepada kau penghuni rumah ni. Jom aku tunjuk gambar keluarga aku.” Izzaz bangun dari kerusi untuk masuk kembali ke dalam rumah.

Aku telan liur. Ini yang aku takutkan. Berkenalan dengan ahli keluarganya yang lain-lain. Rasa tak sanggup pula rasanya aku nak tipu orang yang tak bersalah. Ini idea Izzaz lah ni, aku nak patah balik pun dah tak boleh. Confirm kena aku dengan Izzaz nanti. Kalau tak kena saman, aku kena bayar duit dia tunai dengan bunga sekali. Tapi kat mana aku nak dapat duit sebanyak tu? Nak tarik diri pun dah terlambat sebab aku dah sain kontrak dan syarat-syarat. Maya....apa yang dah jadi dengan hidup kau ni?

“Cepatlah! Kau duduk situ lagi buat apa. Ikut aku.” Izzaz memanggilku.

Telefon bimbitku berbunyi. Farhin yang menelefonku. Aku segera angkat dan mengucapkan salam.

“Kau kat mana Maya? Kerja lagi ke?” Soal Farhin. Suaranya dengar lain macam.

“Aku dah habis kerja. Sekarang kat rumah kawan aku ni.” Balasku.

“Oh iya ke....err kawan yang mana satu ye? Aku tahu tak rumah kawan kau tu kat mana?” Soal Farhin lagi. Aku rasa pelik dengan nada suaranya yang terketar-ketar itu.

‘”Pelik lah kau ni. Lain macam aje aku dengar. Kau dah kenapa? Kawan aku yang ni kau tak kenal. Ada apa kau macam risau semacam ni?”

“Ni...Firqin ada kat depan rumah ktia. Lama dah dia kat luar tu. Aku risau apa jiran kata bila nampak dia berdiri lama kat luar pagar tu. Nasib baik ada Azam sekali baru datang ni, kalau tidak naik segan aku.”

Aku melepaskan keluhan. “Dia nak apa lagi? Kau suruh aje dia balik sekarang. Cakap dengan dia aku dah tak ingin nak tengok muka dia lagi.” Tegasku.

“Maya kau jangan lah keras hati sangat. Kesian aku tengok dia. Serabai, tak terurus aje aku tengok.”

“Biarlah dia nak buat apa pun Ein. Dia nak serabai ke, serabut ke bukan hal aku. Lelaki tu serabut sebab pernikahan dia tak jadi, bukan sebab aku pun.” Aku rasa meluat tiba-tiba.

“Maya...kau bagilah Firqin peluang untuk dia beri penjelasan. Dia dapat jumpa kau sekali pun tak apa lah. Dia merayu mintak aku pujuk kau.” Suara Ein memujukku.

Aku bengang. “Ein kau ni berpihak pada siapa? Aku ke dia? Kau sendiri dengan Azam bawa aku pergi tengok dengan mata kepala aku sendiri Firqin tu bernikah dengan Amera. Sejak tu hati aku dah remuk Ein.” Aku mula sebak.

“Aku dah tak boleh percayakan dia lagi. Kerana dia dan janjinya yang tak dapat ditunai tu, Norzie hidup susah dan kini aku terpaksa berhadapan dengan satu lagi masalah akibat dari kesalahan lelaki itu. Kalau Firqin pujuk aku macam mana sekali pun, aku belum rasa aku akan maafkan dia Ein. Jadi jangan paksa aku.” Luahku.

“Maya...kau dengar dulu lah penjelasan dia. Mana tahu hubungan korang boleh pulih. Firqin batalkan majlis pernikahan tu sebab kau tau tak. Dia terima Amera pun sebab kesian, sebab Amera rayu padanya untuk ganti Danial yang hilang masa majlis pernikahan. Untuk elak malu keluarga, Firqin terpaksa jadi galang gantinya. Dia tak rela Maya.”

Aku mengesat airmata yang tidak mahu berhenti-henti keluar. “Apa pun semuanya dah terlambat Ein. Dia boleh saja tolak untuk nikah Amera pada hari tu. Dia sepatutnya buat keputusan tanpa perlu dipengaruhi sesiapa. Tak kisahlah pernikahan mereka batal ke apa kerana aku kini sedar yang aku tak pernah ada pun dalam hatinya, dia suka aku hanya sekadar suka-suka saja. Itu aje yang aku boleh cakap. Dia hanya mempermainkan aku saja selama ni.” Aku terus mematikan talian.

Aku perasan Izzaz berada di sebalik langsir. Aku tahu dia mencuri dengar perbualanku. Setelah mengesat airmata, aku mendekati Izzaz. “Iz bilik air kat mana?” Tanyaku. Aku tidak pandang wajahnya. Takut dia terkesan mataku yang masih merah berair itu.

“Arah dapur, sebelah kiri.” Ujarnya. Aku meletakkan beg tangan dan telefon bimbitku di atas meja bersebelahan Izzaz sebelum aku ke bilik air.

Selesai saja urusan aku di bilik air, aku kembali mendapatkan Izzaz. Aku terpana tatkala melihat Izzaz sedang berbual dengan seseorang melalui telefon bimbitku. Aku mempercepatkan langkah mendapatkannya. Aku cuba rampas telefon bimbitku itu dari tangannya, tapi lelaki itu lebih cepat mengelak.

“Awak cakap dengan siapa?” Soalku tegas.

“You nak kahwin dengan Maya? Mana boleh, I ni kan bakal suami dia. I yang lebih layak.” Selamba Izzaz berkata begitu dengan seseorang yang mungkin kenalanku.

“Iz awak jangan buat gila. Bagi balik telefon saya tu!” Marahku.

Izzaz mengelak-elak dariku. Dia ketawa. “Oh! Tadi I dengar you dah nikah dengan perempuan yang bernama Amera, sekarang nak Maya pulak. Mana satu ni Bro? Tak baik mainkan hati perempuan. Lagi pun apa you nak risau lagi, Maya dah tak nak dengan you. Dia kini ada I sebagai kekasih yang paling disayangi di hatinya.”

“Izzaz!” Jeritku. Aku mula menangis apabila aku sedar yang Izzaz sedang bercakap dengan Firqin.

Aku menarik tangannya. Tapi dia masih enggan untuk melepaskan telefon bimbit itu. “You nak bawak Maya duduk oversea? Tak mungkin kot sebab Maya sekarang ada di rumah I dan dia akan duduk dengan I tak lama lagi.” Bulat mataku mendengar kata-kata yang keluar dari mulut Izzaz.

Apa sebab Izzaz berkata seperti itu dengan Firqin? Walau pun aku ada masalah dengan Firqin sekali pun, siapa dia untuk masuk campur dan cakap bukan-bukan tentang aku pada Firqin? Izzaz bagaikan mahu memalukan aku di hadapan Firqin saja, apa motifnya? Apa anggapan Firqin terhadapku pula nanti? Izzaz sudah melampau kali ini!

Aku menumbuk perutnya. Hilang sabar. Tahap kesabaran aku sudah sampai ke penghujung. Izzaz yang sedar akan perubahanku terus mematikan talian. “Kan aku dah kata kalau aku tahu kau sorok pakwe siap kau kan? Tadi kau tipu aku kata kau tak ada boyfriend tapi ni siapa?” Soalnya.

Aku menahan geram. “Tapi siapa pulak awak untuk salah guna barang peribadi saya? Apa hak awak cakap dengan dia macam tu!” Teriakku. Kuat.

“Kau hilang akal ke apa jerit kuat-kuat ni? Gila? Apa? Salah ke apa yang aku cakap? Dia tinggalkan kau sebab orang lain, itu yang aku dengar. Kau tak nak dengan dia lagi kan. Salah ke cakap aku bila aku ulang semua yang aku dengar dari mulut kau sendiri tadi. Aku pantang orang menipu aku tau! Kau dah menipu aku!” Tegas Izzaz melawan kata-kataku.

“Awak yang gila! Apa hak awak malukan saya depan kawan saya tu? Awak kata saya ada kat rumah awak! Nanti apa dia fikir?” Marahku lagi. Telefon bimbit itu segera aku rampas dari tangannya.

“Aku tak tipu apa. Kau memang betul ada kat rumah aku sekarang dan akan duduk dekat sini tak lama lagi. Kau dah jadi milik aku bila aku bagi kau tiga puluh ribu tu lah!”

Pang! Pipi kanannya aku tampar. Aku sudah hilang sabar sepenuhnya. Aku mengetap bibir menahan geram.

Izzaz menggengam tanganku. Matanya tajam menikam wajahku. Wajah dan mata bengisnya aku balas dengan berani. “Kali ni awak dah melampaui batas Iz. Siapa pun dan apa pun hubungan saya dengan lelaki itu langsung tak ada kena-mengena dengan awak.”

Tanganku dilepaskannya. Diusap-usap pipi kanannya. “Kau milik aku. Ingat tu. Jalankan tugas kau dengan sempurna, kalau tidak bayar balik duit aku tu dua kali ganda.” Kali ini dia mengugutku pula.

Aku pelik dengan kelakuannya. Tadi elok saja dia berbual, senyum dan ketawa sebelum aku ke bilik air. Tapi kini bila dia menjawab panggilan Firqin, wataknya berubah seratus -peratus. Aku tiba-tiba jadi takut untuk meneruskan rancangan ini. Aku kini terhimpit dalam kebuntuan yang tiada jalan keluar.

“Kau kena bayar harga sebab berani tampar Izzaz Hayqal. Tak pernah ada perempuan naik tangan ke muka aku seumur hidup aku, kau orang pertama yang berani cari pasal!” Mata tajamnya kembali menikamku.

Mak Piah yang terkocoh-kocoh datang dari dapur mematikan tingkahnya. “Kenapa ni Mak Piah dengar dari tadi. Terjerit-jerit. Bergaduh ke? Apa ni Iz? Tak elok lah dah besar-besar macam ni bergaduh. Tak elok.”

“Tak ada apa lah Mak Piah. Iz dengan Maya ni bergurau aje lah. Kami saja-saja berlakon. Tiru aksi lakonan drama Akasia petang-petang yang Mak Piah selalu tengok tu.” Bijak Izzaz berlakon. Lelaki itu sepatutnya yang pandai berlakon lebih hebat dariku. Tak guna! Aku sudah merangka di dalam kepala untuk tidak lagi meneruskan rancangan gila ini.

Aku berjalan ke arah ruang rehat. Menjauhinya. Lagi panas hatiku bila lama-lama memandang lelaki gila yan sakit jiwa tu. “Sejak bila pulak aku ni milik dia! Dengan lelaki macam ni tak boleh nak buat baik. Tak guna!” Omelku geram.

Mataku terpandang akan beberapa buah bingkai gambar bersaiz besar yang tergantung di dinding. Gambar besar keluarga lelaki gila ini. Aku amati beberapa bingkai gambar yang tergantung kemas di satu sudut ruangan rehat itu.

Aku terpana. Terkejut dengan satu penemuan yang aku tidak sangka. Aku menerkup mulutku dari terjerit di situ. Mataku spontan kembali berair. Badanku terasa menggigil menatap sebuah foto dua orang lelaki yang tersenyum gembira dengan kedua-dua mereka memakai pakaian lengkap juruterbang. Yang sebelah kiri adalah Izzaz dan yang lagi seorang adalah Firqin!

Aku hampir rebah. Rasa macam nak pitam. Cepat-cepat aku memegang meja bagi mengimbangi badanku. Aku masih waras dan aku pasti aku tak salah lihat. Sekali lagi foto itu aku pandang lama, masih tetap sama macam tadi. Izzaz ada jawapan untuk persoalan ini. Aku segera menoleh ke arahnya.

“Iz siapa awak sebenarnya? Siapa lelaki bersama awak dalam gambar tu?” Soalku mendesak.

Izzaz menjelingku. Masih marah denganku. Soalanku itu langsung tidak dijawabnya.

“Jawab lah Iz!” Tengkingnya.

Izzaz mahu menerpa ke arahku namun segera di halang Mak Piah. “Apa ni Iz. Sabar sikit. Elok perangai tu. Nak cepat meradang aje. Dah banyak kali Mak Piah pesan kan.”

Mak Piah kembali memandangku. “Izzaz ni pilot. Tapi tak lama lagi dah nak berhenti sebab bisnes arwah ayahnya tak ada siapa nak jaga.” Mak Piah memberikan jawapan.

“Siapa lelaki yang satu lagi tu?” Soalku tidak sabar.

“Kin. Sepupu Iz.” Jawapan Mak Piah itu membuatkan badanku rasa terketar-ketar. Aku tidak percaya apa baru aku dengar itu. Sekali lagi aku menoleh memandang foto itu. Aku menggeleng-geleng tidak percaya dengan penemuan yang baru aku temui itu.

“Kau dah kenapa? Hilang akal? Aku tengok menggelebah semacam aje. Kau sakit ke?” Izzaz mula mendekatiku.

Aku sedang dipermainkan atau secara kebetulan sedang dipermainkan oleh takdir? Memang tak masuk akal langsung kebetulan ni. Aku pasti apa yang sedang terjadi sepanjang beberapa hari yang lalu adalah rancangan mereka berdua. Aku mahu sedapkan hati namun aku memerlukan satu kepastian.

“Izzaz, awak tahu atau awak kenal dengan siapa awak bercakap tadi?” Desakku.

Muka Izzaz nampak pelik. “Apasal kau lain macam aje ni lepas kau tanya soalan bukan-bukan tadi. Sibuk tanya pasal sepupu aku pulak kenapa?”

“Jawab aje boleh tak.”

“Mana aku tahu. Aku tak kenal. Aku jawab aje bila telefon kau bunyi. Kat skrin keluar nama pemanggil ‘Musuh Aku’. Aku angkat lah. Lepas tu pakwe kau tu cari gaduh dengan aku. Memang salah orang lah.” Izzaz memeluk tubuhnya.

Aku terkedu sekali lagi.

“Gila. Awak gila. Dia gila. Saya pun rasa saya yang dah gila sekarang ni.” Ujarku.

Izzaz nampak terkejut mendengar kata-kataku itu. “Maya...are you okay?” Dia mula risau.

“Saya nak balik.” Kataku bagaikan hilang rasa.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.