Home Novel Cinta Hai Handsome! (Musuhku, Encik Pilot)
Hai Handsome! (Musuhku, Encik Pilot)
Dea Zoraya
10/2/2015 22:31:17
1,080,303
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Bab 30 - Kontrak Izzaz

Agak lama aku memandang wajah Izzaz Hayqal sambil di dalam kepala tertanya-tanya macam mana dia boleh tahu yang aku ini anak angkat pula? Sedangkan aku baru kenal dia dua hari dan seingat aku, aku tidak pernah buka mulut pun bercerita tentang hal peribadiku kepadanya.

“Err...macam mana awak tahu yang saya ni anak angkat?”

Izzat ketawa. Berselera betul dia makan roti bakar yang dipesannya itu. “Kau cuba teka kat mana kau pernah nampak muka hensem aku ni sebelum ni?”

Berkerut dahiku mendengar kata-katanya itu. “Saya pernah nampak Iz? Maksud saya kita pernah berjumpa sebelum ini?” Aku minta kepastian.

Dia mengangguk. “Aku masih ingat sampai sekarang. Eh sedap pulak roti ni, aku nak order lagi lah. Adik bagi abang dua set roti yang sama macam abang makan ni.”

“Iz awak jangan main-main boleh tak?”

“Siapa main-main. Kali ni aku serius.” Balasnya.

“Saya tak nak jawab soalan awak tadi selagi awak tak beritahu kat mana kita pernah jumpa? Kat mana awak pernah nampak saya sebab setahu dan seingat saya kali pertama saya jumpa awak adalah tiga hari yang lepas, masa kemalangan tu.” Aku asah jugalah memoriku yang lama, ingat balik kalau-kalau aku memang pernah nampak wajah lelaki ini, tapi tak ada dalam data memoriku. ‘Dia ni sengaja lagi lah ni nak sakat aku.’

“Kau dah pandai ya ugut-ugut aku. Ish...macam ni lah cerita dia. Bukhary tu abang angkat kau kan?’ Soal lelaki itu.

Aku pantas mengangguk.

“Dia kawan aku. Kami kawan lama.” Ujar Izzaz selamba.

“Hah? Awak kawan Abang Bukh?” Aku menyoal di dalam keadaan terkejut.

Izzaz sekadar tersenyum. “Aku ada masa hari nikah kau dengan Bukhary. Aku jadi pengapit dia lagi masa tu! Hahaha...kau lari dari majlis nikah tu memang berani lah. Aku tabik kat kau.” Izzaz menunjukkan ibu jarinya di depan mukaku. Bukan main suka dia ketawakan aku.

Aku masih terkebil-kebil sendiri. Macam tidak percaya apa yang baru dengar sebentar tadi tentang lelaki itu yang merupakan kawan baik Abang Bukhary dan juga dia ada masa hari pernikahan aku dulu? Oh! tidak aku macam tak percaya.

“Jadi awak kenal siapa saya?’ Soalku panik.

Dia mengangguk tapi macam nak tak nak. “Nak kata tahu sangat tu tak lah. Tahu sikit-sikit aje. Aku tak pernah nampak kau sepanjang aku kawan dengan Bukhary sampailah masa hari nikah. Terus terang aku nampak dengan mata dan kepala aku ni kau keluar atau dalam kata lain kau lari melalui tingkap. Masa tu aku baru keluar dari kereta. Kau siap melintas sebelah aku lagi lepas tu bawak kereta Bukhary pergi. Aku terkedu jugalah sebab kali pertama nampak pengantin lari depan mata sepanjang hidup aku!” Dia ketawa mengejek.

Aku tak tahu nak letak muka aku kat mana masa tu. Mesti muka aku tengah merah sebab tengah tahan malu sekarang ni. Macam mana lah dia boleh ada kat majlis tu pulak? Kenapa aku tak perasan dia ada kat sana? Ah biarlah, benda dah berlalu. Biarlah orang nak cakap apa pun.

“Suka betul awak ketawakan saya kan?” Ujarku. Aku menyedut minuman yang baru diletakkan di hadapanku.

“Kelakar kot cerita tu. Boleh buat novel aku rasa. Ingat perkara tu selalu jadi dalam movie aje rupa-rupanya dalam realiti pun ada.” Tambahnya lagi.

Aku yang tadi serius turut tersenyum bila melihat lelaki itu ketawa. Ini kali pertama aku nampak dia ketawa, senyum dengan ikhlas. Nampak berseri wajahnya bila dalam keadaan begitu. Senyumannya menarik perhatianku. Manis sekali. Tapi kenapa wajah itu sentiasa masam ya sedangkan dia memiliki sebuah senyuman yang sangat menawan?

“Saya kan pelakon hebat. Sebab tu awak upah saya.” Tambahku pula.

“Sebut pasal lakonan, ni aku ada bawak kontrak dan syarat-syarat yang perlu kau patuhi sepanjang jadi adik aku.” Izzaz menghulurkan kepadaku satu sampul surat berwarna coklat bersaiz A4.

Aku mengeluarkan beberapa helai kertas dari dalam sampul itu. Aku baca tajuk muka hadapan kertas tersebut. KONTRAK MENJADI ADIK MOHD IZZAZ RAYQAL UNTUK SETAHUN. Aku memandang Izzaz sekali lagi sebelum aku menyelak halaman seterusnya dan membaca syarat-syarat yang tertulis dengan teliti.

“Ambil masa baca dan fahamkan kontrak tu. Kalau tak faham boleh tanya aku.” Izzaz bangun menuju ke rak buku berhampiran.

Aku membaca satu-persatu syarat-syarat yang tertulis. Sambil membaca sekejap-sekejap aku toleh kepada Izzaz yang sedang membelek majalah di hadapanku. Selesai membaca sampai habis, aku memandang wajahnya kembali.

“Awak pasti ke dengan syarat-syarat yang awak tulis ni?” Soalku tidak puas hati.

“Kenapa? Ada yang kau tak puas hati ke dengan syarat aku tu?” Dia menyoal aku pula.

Aku melepaskan satu keluhan. “Ini awak panggil kontrak? Ini main-main Izzaz. Contohnya syarat nombor 9. Maya kena selalu puji Izzaz depan Umi yang baik-baik saja. Ini bukan syarat namanya wahai Abang Izzazku.” Perliku.

“Oh...yang nombor sembilan dengan sepuluh tu syarat aku tambah untuk genapkan sampai sepuluh. Tapi itu pun kau kena ikut tau, tak boleh elak.” Jawabnya selamba. Rasa tak bersalah langsung. Ish...perasan nak aku puji dia depan Umi dia pulak. Nak puji apa? Nak kata anak lelaki Umi ni garang macam singa? Yang itu aku boleh lakukan.

“Yang ni pulak nombor 5. Maya dilarang melawan, menjeling, mengutuk dan memarahi Izzaz? Apa pulak ni? Awak syarat ni memang berat sebelah tau. Sepatutnya syarat ni kenalah sangkut paut dengan kerja saya untuk jadi adik awak. Bukannya syarat mengarut macam ni.” Aku memberikan pendapatku. Tidak puas hati dengan syarat yang lelaki itu berikan.

“Eh kau ni...sekarang ni aku ke atau kau bos? Aku kan. Jadi kau ikut ajelah syarat aku tu.”

“Tak adil betul!” Bentakku tidak puas hati.

Bulat matanya memandangku. “Melawan? Melawan? Baru aje baca syarat jangan melawan aku, kau dah berani buat ya.”

Aku mencebik geram.

“Syarat nombor 1. Maya harus membuat Umi bahagia walau cara apa sekali pun. Tunaikan semua permintaan Umi. Syarat ni paling penting yang wajib untuk kau laksanakan. Aku mahu Umi aku gembira dan bahagia, jadi kau kena berusaha bersungguuh-sungguh jalankan tugas kau.” Izzaz memberi penjelasan.

“Tunaikan permintaan Umi walau apa saja?” Soalku kembali.

Izzaz mengangguk. “Apa saja.”

“Yang nombor 2. Maya kena tinggal bersama Umi, Rayqal dan Adam di rumah banglo. Tidak boleh pindah keluar dari rumah selagi belum tamat kontrak. Namun begitu Maya akan diberikan sebuah bilik.” Aku dengar Izzaz membaca kembali syarat-syarat yang terkandung dalam kontrak kami. Semuanya sudah ada dalam kepalanya.

Kali ni aku pula yang membuka mulut membaca syarat nombor 3. “Maya harus pulangkan wang sebanyak tiga puluh ringgit kepada Izzaz jika perjanjian ini bocor dan diketahui orang lain.”

“Betul tu. Kalau sampai hal ni bocor dan sampai ke pengetahuan Umi, kau akan didenda. Pulangkan duit aku balik dan kena keluar dari rumah serta merta.” Tambah lelaki itu.

“Kalau awak yang bocorkan rahsia ni Iz, awak pun kena keluar dari rumah tu jugaklah. Baru adil kan?” Ujarku berani.

“Okay! Setuju.”

Lelaki itu kemudian menjelaskan kepadaku syarat-syarat yang selebihnya iaitu 1 hingga 10 kecuali syarat nombor 4 yang perlu aku patuhi. Aku tiba-tiba rasa segan apabila membaca syarat tersebut.

“Syarat nombor 4. tu aku tak paksa kau untuk buat kalau kau tak suka. Aku letak dalam syarat pun bila aku fikirkan Umi aku. Kalau boleh aku nak Umi aku sentiasa gembira dan tak nak dia susah hati. Aku tak nak lah bila aku bawa kau balik rumah nanti Umi akan kecewa bila nampak kau macam ni. Sejuk hati Umi nanti bila nampak kau bertudung dan tutup aurat. Aku kenal sangat dengan Umi. Umi tentang bab-bab agama ni dia tegas. Lagipun kan hukum tutup aurat tu wajib.” Ujar lelaki itu lembut penuh berhemah. Hilang Izzaz yang berlagak tadi.

“Kau jangan salah faham. Aku bukan perli kau ke apa ya. Kau anggap ajelah apa yang aku katakan ni sebagai satu nasihat kita sesama Muslim. Tapi ilkhlas aku cakap aku doakan semoga terbuka hati kau untuk menutup aurat dengan ikhlas.”

Aku tunduk. Rasa malu pun ada juga bila ditegur depan-depan begini. Bukan tidak pernah aku memasang niat untuk memakai tudung dan menutup aurat, dah banyak kali kesedaran itu datang, cumanya... macam Izzaz cakap kan tadi lah hati belum terbuka walau pun aku sedar itu hanyalah alasan. Mungkin inilah masa terbaik untuk aku belajar menutup aurat. Ada sebab juga Izzaz meletakkan syarat ini sekurang-kurangnya ianya boleh melatih aku untuk menjadi seorang Muslimah yang lebih baik.”

Aku senyum kepadanya. “Insya Allah. Terima kasih dengan nasihat awak tu.”

Dia mengangguk.

Tiba-tiba terbit sesuatu di dalam kepalaku, lalu aku ajukan terus soalan itu kepadanya. “Saya boleh setuju dengan syarat awak kalau awak boleh terima satu nasihat saya ni. Setuju?”

Berkerut dahinya memandangku. “Apa dia tu?”

“Awak setuju ke tak?”

“Aku setuju lah. Cakap aje lah. Nak buat suspen pulak. Ish!”

“Buang sikap awak yang inilah, yang macam sekarang ni. Yang suka bercakap tinggi suara, suka marah-marah, sinis, sombong, angkuh dan berlagak tu. Boleh?” Kataku selamba.

Izzaz bagaikan terkedu. “Maksud kau apa?” Dia bagaikan sedang keliru. Tidak faham mungkin.

“Awak sedar tak yang awak ni suka marah-marah tau. Sejak dari kemalangan hari tu sampai lah sekarang ni awak tak pernah cakap baik-baik dengan saya. Perkataan-perkataan yang awak gunakan semuanya sinis. Saya rasa tak selesa. Saya bukan nak buat awak marah atau tegur awak Izzaz. Anggap ini sebagai nasihat agar orang lain akan lebih menghormati awak.” Terus-terang aku bagi depan muka dia.

Pucat mukanya bila aku cakap macam tu. Lidah dia terus kelu. Agak lama Izzaz diam bagaikan memikirkan sesuatu. Dia capai air di dalam cawan di hadapannya. Aku dah risau masa tu, aku takut juga dia simbah air dalam cawan tu kat muka aku! Cuak jugak.

Perlahan air kopi itu dihirupnya. Setelah meletakkan cawan itu kembali, dia memandangku. “Aku macam tu ke? Semua yang kau cakap tadi tu aku buat ya? Aku sendiri pun tak sedar yang aku teruk macam tu kalau kau tak cakap terus-terang dengan aku. Kenapa orang lain macam pekerja aku ke tak pernah tegur tentang sikap aku ya.” Kali ini nada suaranya pernuh rasa bersalah.

“Err...mungkin sebab mereka takut atau pun hormat pada awak kan. Iyalah tak akan mereka berani nak tegur sikap bos kan? Karang silap-silap boleh hilang kerja dan punca pendapatan pula.” Aku memberikan jawapan yang terlintas di minda.

“Tapi kenapa kau tak takut dengan aku, malah kau berani tegur aku?”

“Sebab saya bukan pekerja awak. Saya kan adik awak.” Aku senyum.

Tergaris sebuah senyuman di bibirnya. Tapi seketika sebelum lelaki itu membuang pandangan ke arah luar. Bagaikan ada sesuatu perkara berat yang sedang difikirkannya.

Aku kembali memandang makanan di dalam pinggan. Rasa bersalah pula kerana aku tegurnya sebegitu. Terlalu terus-terang sangat ke?

“Aku mintak maaf kalau aku buat kau terasa. Aku mungkin tak sedar kesalahan aku. Lagipun ini sebahagian dari diri aku. Ini cara aku bercakap. Aku akui yang aku ni kasar tapi itu tak bermakna aku jahat. Nanti lama-lama kau kenal aku, kau tahulah aku ni macam mana.” Lelaki membuat satu pengakuan yang aku sendiri tidak percaya yang ianya keluar dari mulutnya.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.