Home Novel Cinta Hai Handsome! (Musuhku, Encik Pilot)
Hai Handsome! (Musuhku, Encik Pilot)
Dea Zoraya
10/2/2015 22:31:17
1,080,317
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Bab 10 The real Maya

Aku kembali meneruskan kerja-kerja di studio yang tergendala tadi. Selepas saja kejadian tengah hari tadi aku terus kembali ke pejabat. Deringan telefon yang bertalu-talu juga aku biarkan menjerit. Aku hanya fokus kepada kerjaku dengan harapan aku dapat melupakan apa yang telah Taufiq lakukan terhadapku tadi. Tapi gagal. Aku tetap tidak boleh melupakan bagaimana aku dimalukan tadi di hadapan orang ramai, terutama di hadapan Firqin.

Aku membuka faceshield dan meletakkan alat-alat tukangan dari tanganku. Aku mencapai telefon bimbitku. Enam belas missed call dari nombor Farhin dan juga satu nombor asing. Tanpa dapat aku kawal, aku kembali mengingati pada kejadian tadi.

Amar Taufiq. Nama itu memang tidak dapat aku lupakan. Aku masih ingat setiap perkara yang dilakukannya terhadapku. Dia adalah Si Pembuli sejak dari sekolah menengah lagi. Di sekolah dia adalah ketua kepada pelajar bermasalah yang sering terlibat dalam kes pergaduhan, membuli dan macam-macam kes lagi.

Aku masih ingat dia sering menggangguku semenjak aku mula pindah ke sekolah menegah itu. Aku bersekolah di sekolah berasrama penuh sebelum aku meminta Abah membenarkanku bersekolah di sekolah harian biasa ketika aku di tingkatan empat.

Taufiq sering mengganguku ketika setiap kali aku balik dari sekolah. Dia dan kawan-kawannya akan berkerumun di sekelilingku. Dia mengajak aku untuk keluar bersama dan memaksa aku memberi nombor telefonku kepadanya. Dia juga sering kali memandu keretanya dan berhenti di hadapan rumahku dan menungguku berjam-jam lamanya berharap aku akan keluar dengannya. Kadang-kadang aku tidak faham kenapa dia berperangai seperti itu sedangkan dia ada kehidupan yang mewah. Keluarganya sangat kaya. Perniagaan sana sini. Takkan dia tidak mendapat didikan yang baik sedangkan dia datang dari keluarga terhormat.

Apabila aku menolak pelawaannya dan menceritakan perbuatannya yang suka menggangguku itu kepada Abang Bukhary, Taufiq mula bertindak lebih kasar. Taufiq menyangka yang aku dan Abang Bukhary sedang bercinta. Kerana itu dia sanggup putus kawan dengan Abang Bukhary setelah mereka berdua saling tumbuk-menumbuk di kantin. Punca pergaduhan itu bermula ketika Taufiq merampas makanan aku dan memaksa aku duduk makan bersamanya. Aku memarahinya kerana aku tidak suka dipaksa-paksa. Apabila aku mula bangun meninggalkan meja, Taufiq bertindak menyadung kakiku dan membuatkan aku jatuh tersungkur ke lantai.

Abang Bukhary yang turut menyaksikan kejadian itu terus merentap kolar baju Taufiq. Mereka mula bertengkar dan saling tumbuk-menumbuk sebelum pelajar-pelajar lain yang juga kawan-kawan Taufiq turut masuk campur.

Aku cuba meleraikan mereka tapi apa daya aku ketika itu. Teruk juga kecederaan mereka berdua. Abang Bukhary terpaksa menerima jahitan di dahi akibat pergaduhan itu dan Taufiq pula lebam-lebam di bahagian mukanya. Aku ingatkan selepas kejadian itu Taufiq sudah insaf dan tidak akan mengganguku lagi. Ternyata aku silap, malahan dia semakin menjadi-jadi mengganguku.

Ketika trip yang dianjurkan pihak sekolah ke Melaka, Taufiq mengambil kesempatan untuk terus memaksaku menerima cintanya. Tiada Abang Bukhary bersamaku ketika itu. Aku masih ingat pada satu malam ketika dinner sedang berlangsung di ballroom hotel tempat penginapan kami Taufiq menarikku ke bahagian depan dewan itu. Dia merayu kepadaku supaya menerima dirinya. Katanya dia amat sayangkanku.

“Saya tak suka pada awak Taufiq. Saya harap awak faham. Sekarang ni saya masih belajar. Kita sama-sama masih belajar. Saya tak nak bercinta. Saya nak fokus pada pelajaran. Dan...saya anggap awak macam kawan saja tak lebih pun.” Luahku padanya.

Taufiq tidak mahu melepaskan tanganku. Dia melutut sambil mengeluarkan sebentuk cincin dari poketnya. Aku tergamam.

“Apa ni Taufiq? Bangun. Malu lah saya kawan-kawan kita tengok tu.”Aku memandang ke arah rakan sebaya kami yang ketika itu sedang bertepuk tangan bersorak dengan tindakan berani Taufiq.

“Tak nak. Saya buat macam ni sebab saya sayangkan awak Maya. Biarlah kawan-kawan kita tengok sekali pun.” Taufiq tersenyum lebar. Malahan dia siap melambai-lambai ke arah kawan-kawan lain.

“Sudi tak awak terima saya Maya?” Teriaknya.

Sorakan dari teman-teman semakin membuatkan jantungku berdegup kencang. Aku keliru. Jika aku menolak permintaannya sekarang dan beredar begitu saja, aku pasti akan memalukannya. Memanglah Taufiq sering mengganguku tapi tidaklah sehingga aku terlalu bencinya. Salahnya hanyalah dia terlalu suka padaku.

“Taufiq!” Aku menyebut namanya.

Wajah Taufiq mencerminkan harapan. Dia terlalu berharap aku akan menerimanya.

“Saya nak awak janji beberapa perkara dulu boleh? Saya janji lepas awak tunaikan semua janji-janji tu saya akan terima permintaan awak tu, kita keluar bersama. Saya akan cuba berkawan dengan awak.” Kataku.

Dia bangun. Tersenyum lebar. “Saya setuju apa saja syarat awak.”

“Pertama...awak kena janji pada saya yang awak akan berubah. Awak tinggalkan perangai suka membuli pelajar lain, suka ponteng kelas dan semua perbuatan-perbuatan yang tak elok tu. Kedua, tahun ni kan awak akan ambil SPM, jadi saya nak awak fokus pada pelajaran dan cuba dapatkan 9A. Ketiga awak janganlah setiap hari berpuluh-puluh kali lalu depan kelas saya dan buat poster besar-besar tulis ‘I LOVE MAYA’. Saya malu lah depan kawan-kawan yang lain.”

Dia ketawa. “Itu aje? Kalau yang semua tu saya janji yang saya akan tunaikan demi awak Maya.” Taufiq betul-betul angau cinta padaku.

“Awak janji akan terima saya lepas saya buat semua tu?”

Aku mengangguk. Cuba memberi peluang kepadanya. “Saya janji...lepas saja kita dapat keputusan SPM saya akan terima awak. Lapan bulan saja lagi. Tak lama tempoh tu untuk awak tunaikan semua tadi.”

Aku akui sepanjang lapan bulan aku cuba mengenali Taufiq, aku dapati sebenarnya dia seorang yang baik. Cuma dia berperangai suka menggangu orang lain disebabkan hidupnya yang sunyi. Sebagai anak tunggal yang sering ditinggal oleh ibu dan ayahnya yang sibuk berniaga dan ke luar negara Taufiq selalu terabai.

Dia pernah bercerita kepadaku yang dia hanya dapat berjumpa ibu dan ayahnya hanya sebulan sekali. Itu pun kalau sempat dan kalau mereka tidak sibuk. Di rumah dia hanya tinggal bersama orang gaji.

Aku berpendapat dia sunyi. Kerana kesunyian itu dia cuba meraih perhatian orang lain dengan menggangu, membuat hal-hal yang tidak disukai supaya orang lain sedar akan kehadirannya.

Aku akui aku tidak pernah bercinta. Namun sejak kehadiran Taufiq dalam hidupku, aku dapat rasakan sesuatu di dalam hati. Kenakalannya, senyumannya dan gurauannya membuatkan hari-hari aku sentiasa ceria. Aku dapat lihat akan perubahannya dari hari ke hari. Dia semakin rajin mengulang kaji pelajaran malahan kami sering belajar bersama, dia melayani rakan-rakan dan guru di sekolah dengan baik, dan mula mengikuti aktiviti amal dan kebajikan bersama yang lain-lain.

Taufiq penuh dengan kejutan. Dia suka meluahkan cintanya terhadapku. Melalui surat, bunga, hadiah, poster dan macam-macam yang dilakukannya. Yang pasti katanya, dia mahu aku tahu yang dia benar-benar suka dan sayang padaku. Perbuatannya itu sering membuatkan aku sering tersenyum sendiri. Kini aku akui yang aku sudah jatuh cinta padanya.

Apabila aku ceritakan perasaanku itu pada Abang Bukhary, aku pula yang dmarahinya. Kata Abang Bukhary dia tidak suka aku dekat dengan Taufiq. Dia takut aku akan diapa-apakan oleh Taufiq nanti. Dia kenal sangat rakannya. Itu kata Abang Bukhary. Tapi sebenarnya aku tahu itu bukan satu-satunya sebab Abang Bukhary menghalang aku terus berkawan dengan Taufiq. Sebab yang lain adalah aku tahu yang dia juga menaruh perasaan terhadapku. Aku tahu tentang itu kerana Abah juga pernah bersuara yang kami berdua akan dijodohkan kelak. Namun aku tetap dengan keputusanku. Aku sudah berjanji dengan Taufiq dan aku tak boleh berhenti separuh jalan dari membantu Taufiq dari terus leka.

Dia pintar. Tapi kepintarannya itu tidak dipamerkan dengan betul. Aku sudah lihat perubahan pada dirinya. Aku tak nak lah dia kecewa kelak dan dia akan tinggalkan usahanya selama ini begitu saja.

Selepas keputusan peperiksaan diumumkan, Taufiq begitu gembira kerana akhirnya janji yang dia tuntut selama ini akan aku tunaikan. Kegembiraannya itu melebihi keterujaan mendapat keputusan cemerlang 9A.

Namun harapannya itu punah. Musnah kerana aku memungkiri janji. Aku menolak cintanya dengan alasan aku akan menerima Abang Bukhary. Aku tidak tahu untuk lakukan apa ketika itu. Mahu aku katakan padanya yang aku sangat suka akan dirinya. Aku sayang padanya. Aku mahu terima dirinya. Aku akan tunaikan janji kami dulu. Namun aku tidak berdaya. Aku tidak mahu dia kecewa bila mendapati yang aku sudah sudah dikotori lelaki lain dan sedang mengandung.

Jadi aku terpaksa ambil keputusan sebegitu walau pun hatiku rasa begitu remuk. Aku katakan pada Taufiq yang aku akan berkahwin dengan Abang Bukhary. Taufiq tidak dapat menerima keputusanku itu. Dia bagaikan hilang akal. Dia tidak percaya yang selama ini aku mempermainkannya.

“Awak dah janji pada saya Maya. Jangan buat saya macam ni.” Taufiq merayu padaku.

Aku bertemu dengannya malam itu. Aku bawa Abang Bukhary bersama. Aku minta Abang Bukhary membantuku menyakinkan Taufiq yang sebenarnya kami berdua ada hubungan istimewa iaitu kami bercinta selama ini tanpa pengetahuannya.

“Saya tak sukakan awak. Saya tak pernah rasa perasaan istimewa pada awak Taufiq.” Aku terpaksa meluahkannya walau aku sendiri tidak rela.

Taufiq merapatiku. Dia cuba meraih tanganku. Aku mengelak.

“Kami akan bertunang tak lama lagi. Aku minta kau jangan ganggu Maya lagi.” Kata Abang Bukhary pula.

Aku nampak mata Taufiq berair. Dia mengepal penumpuknya. Merah wajahnya menahan amarah.

“Saya tak akan mengalah. Awak milik saya Maya. Awak bagi harapan pada saya selama ni dan sekarang ni senang saja awak kata nak tinggalkan saya dan bertunang dengan orang lain macam tu saja. No way Maya!. Saya tak akan benarkan.” Taufiq meninggikan suaranya.

Aku mengetap bibir. Menahan emosi. “Saya benci pada awak sejak dulu. Awak suka ganggu saya. Jadi macam tu saja cara saya supaya awak berhenti ganggu saya.” Aku terpaksa menipunya.

Taufiq merentap tanganku untuk mengekorinya. Abang Bukhary lebih pantas menghalang. Dia menolak tubuh Taufiq.

Wajah Taufiq nampak tidak tenang. Aku nampak jelas dia mengalirkan airmata. “Salahkan saya sayangkan awak Maya? Kenapa awak buat macam ni pada saya? Kenapa awak mainkan perasaan saya? Saya sayang pada awak sepenuh hati Maya. Saya merayu pada awak jangan buat saya macam ni. Saya janji yang saya akan berubah. Saya akan jadi apa saja yang awak mahukan tapi tolong jangan tinggalkan saya.” Taufiq terus merayu yang membuatkan aku mengalirkan airmata.

Aku membelakangkannya. Aku tidak sanggup memandang wajah kecewanya itu. “Awak cakap lah apa pun Taufiq. Yang pasti saya tak akan pernah terima awak. Kita tak sesuai bersama. Saya tak pernah suka awak. Faham tak!” Aku meninggi suara memarahinya.

Taufiq meluru ke arahku. Namun Abang Bukhary menghalang. Mereka bergelut. Aku panik. Aku takut berlaku sesuatu kepada mereka berdua. Taufiq menumbuk Abang Bukhary bertubi-tubi. Kemudian dia terus meluru ke arahku dan mencengkam kuat tanganku.

Aku meronta minta di lepaskan. “Lepas Taufiq. Saya tak suka awak faham tak. Nak saya cakap macam mana lagi baru awak faham. Awak tak ada harga diri ke!”

Dia berhenti dari terus mengheretku. Aku lihat nafasnya turun naik menahan marah. Tajam matanya menikamku. Matanya penuh rasa benci. “Saya akan benci pada awak sampai saya mati!” Dia terus menolak tubuhku ke dalam kolam renang.

Aku tergapai-gapai di dalam air. Dia tahu aku tidak boleh berenang. Taufiq hanya memandangku tenggelam timbul di dalam air. Aku dapat lihat ketika itu dia sedang menangis. Bahunya terenjut-enjut. Aku tahu yang dia benar-benar kecewa denganku.

Abang Bukhary terjun ke dalam kolam dan membantuku keluar dari kolam itu. Aku sempat melihat belakang Taufiq pergi dari situ. Dia tidak lagi menoleh memandangku. Saat itu aku sedar, tiada lagi kisah cinta yang bakal tercipta di antara kami.

“Maafkan saya Taufiq. Saya terpaksa. Maafkan saya.” Aku meraung menangis saat itu.

Itulah kali terakhir aku melihatnya sehinggalah selepas beberapa tahun. Kami bertemu di United Kingdom di dalam satu acara yang dihadiri kebanyakkan orang Malaysia. Dia yang hanya mulanya memerhatiku dari jauh mula mendekati untuk berbual-bual apabila ada di antara rakanku yang rupa-rupanya adalah rakannya juga.

Dia tidak lepas memandangku bersama Fakhrul ketika itu. Aku tahu banyak persoalan di benaknya ketika itu terutamanya tentang mengapa aku bersama lelaki lain bukan rakannya, Bukhary?

Ketika Fakhrul berbual bersama rakannya di meja lain, Taufiq duduk di sebelahku.

“Hai Maya...how are you?”Dia memandangku tepat.

Aku sudah tentu masih lagi diselubungi tasa bersalah padanya.

Dia memandang ke arah Fakhrul. “I tengah tengok apa istimewanya lelaki tu pada you? Nak kata dia sesuai dengan you, I dont think so. Dia budak kampung, ayahnya hanya pekebun. Rasanya level I jauh lebih tinggi dari dia. Emmm....I sebenarnya kan masih curious kenapa you tinggalkan Bukhary ya? Adakah kerana sebab yang sama you beri pada I?” Dia ketawa mengejek.

Aku diam. Cuba tidak memandang wajahnya. “I baik-baik saja.”

“Maya...apa jadi dengan anak you ya? I dengar you mengandung anak Bukhary. Apa ni? Teruk juga you ya. Ada anak dengan lelaki lain tapi sekarang dating dengan lelaki lain. Perempuan jenis apa ya you ni?”

Kata-katanya itu membuatkan telingaku terasa berdesing. “Itu bukan masalah you.” Aku menjelingnya.

“Oh bukan masalah I ya...tapi masalahnya sekarang I jadi mangsa penipuan you. You tak rasa I berdendam pada you. Dengan perbuatan you yang mainkan perasaan I?”

Aku memandangnya. “I am sorry taufiq.”Ucapku ilkhlas. Bersungguh.

Dia ketawa. “Woo! Senangnya cara you minta maaf.”

Dia mendekatkan wajahnya denganku. “Dont you think I can forgive you. Never ever. Ingat tu.” Dia tersenyum sinis sebelum dia beredar.

Aku tersedar dari terus menggelamun bila lampu bengkel tiba-tiba terpasang. Aku memandang ke arah pintu.

“Maya you tak balik lagi ke?” Sarah mencapai pelan rekaan di atas rak di sebelahku.

Aku tersenyum. “I nak balik dah ni. You jalan dulu lah.”

“Okay Maya. Nanti you tutup lampu dan kunci pintu depan ya. Aaron dah balik awal tadi.” Pesannya sebelum dia hilang di sebalik pintu.

Aku mengemas barang-barangku peribadiku ke dalam beg galas. Aku terus menutup lampu dan mengunci pintu. Aku memandang jam di pergelangan tangan yang menunjukkan angka lapan.

Aku terus menuju ke tempat letak motorsikal. Aku terkejut bila tiba-tiba bahuku disentuh dari belakang. Aku menepis tangan itu sebelum menoleh.

“Awak!” Aku sedikit terjerit.

Firqin senyum kepadaku. Dia berdiri sambil kedua-dua belah tangannya diletakkan di atas, seperti ditahan pihak polis lagaknya.

“Sorry. Saya tak sengaja sergah awak macam tu.” Katanya.

Aku melepaskan keluhan. Aku memang sangat terkejut ketika itu. Mahu tidaknya apabila tiba-tiba saja aku disergah dari belakang malam-malam begini.

“Awak buat apa kat sini? Terkejut betul saya tahu tak. Bahaya malam-malam macam ni awak sergah dari belakang macam tadi.” Aku memarahinya.

Sorry Maya. Saya tak sengaja. Tapi awak janganlah marah saya. Lama tau saya tunggu awak kat luar ni. Dah lah sejuk.” Dia tersengih-sengih.

“Kenapa pulak awak nak tunggu saya? Saya tak mintak pun.” Kataku sambil aku menuju ke arah motorsikalku dan membuka safety lock di bahagian tayar hadapan.

Dia mendekatiku. “Lagi bahaya awak tunggang motorsikal sorang-sorang malam-malam macam ni. Ingat awak tu perempuan.” Dia mula membebel.

“Awak jangan jadi mak nenek boleh tak. Menyibuk aje.” Geram aku dengannya yang tiba-tiba saja muncul itu.

“Siapa mak nenek? Betul lah cakap saya. Oh kena sergah dari belakang takut, tapi naik motor malam-malam macam ni tak pulak takut.” Omelnya.

Berkerut dahiku berfikir. Apa yang lelaki ini mengarut. Tiba-tiba datang depan aku lepas tu bagi ceramah tentang keselamatan pulak.

“Encik Firqin....saya dah naik motor ni bertahun tau. Tak ada apa pun. Awak nak sibuk tu kenapa?” Aku menjelingnya geram.

“Itu dulu...sekarang dah tak selamat. Dah...dah dengar cakap saya. Mulai esok naik kereta aje.” Selamba saja dia mengambil kunci motorku dan dimasukkan ke dalam poket seluarnya.

Bulat mataku memandang tindakan spontannya itu. “Hei awak ni dah kenapa? Suka hati aje ambik kunci saja. Bagi balik!”

“Tak nak.” Balasnya yang membuatkan aku terus hilang sabar.

“Awak nak saya ketuk helmet ni kat awak ke baru awak nak bagi kunci tu?”

Dia senyum. "Amboi garangnya cik adik ni. Saya bukan apa..saya cuma nak pastikan keselamatan awak terjamin. Itu saja. Kot-kot lelaki siang tadi tu ganggu awak lagi ke...siapa tahu. Agaknya dia ada di sini ke, tu kat celah-celah lorong tu atau dia ada kat dalam kereta tepi-tepi tu ke...yang bila –bila masa aje tarik awak masuk kereta. Siapa tahu.”

Aku memegang dahiku. “Eh apa awak membebel ni? Apa yang awak mengarutkan ni? Awak ni gila ya? Paranoid tak tentu pasal.”

Dia buat-buat terkejut. “Kalau saya gila tak lah saya jadi pilot. Tak dapat lah saya borak dengan awak macam ni. Saya normal. Saya waras. Awak tak perlu risau.” Dia ketawa.

Aku merengus. Tapi aku pelik. Personaliti lelaki berbeza dengan Firqin yang aku jumpa di Auckland dulu. Macam orang yang berbeza. Yang di hadapanku ini seorang yang ceria di mataku. “Whatever. Bagi balik kunci saya.”

“Tak boleh...kan saya dah kata tadi. Bahaya. Nanti Taufiq cari awak.”

“Eh awak ni siapa nak campur hal saya!” Aku menengkingnya.

“Apa sebabnya? Saya tak mintak lah awak lindungi saya. Saya tak susahkan awak pun. Tentang siapa lelaki tadi tak ada kaitan dengan awak pun.” Tambahku.

Agak lama dia diam. Namun matanya masih lagi memandangku. Bibirnya masih tersenyum sebelum dia mengeluarkan kata-kata yang membuatkan aku terpaku.

“Ada. Saya risaukan awak sebab saya rasa saya dah mula jatuh cinta pada awak.”

Dia senyum. Nampak ikhlas di mataku. “Saya ulang sekali lagi Maya....saya cari awak sampai jumpa sebenarnya adalah kerana saya rasa saya sukakan awak.”

Aku memandangnya. Aku rasa pelik dengan situasi ini. “Gila.” Itu saja yang terkeluar dari mulutku sebelum aku beredar menuju ke perhentian teksi berdekatan.

“Maya...Ariana...Maya Ariana.” Firqin memangil-manggil namaku.

“Maya saya hantar awak balik. Tu kereta saya.” Kata lelaki itu yang sudah berjalan seiring denganku.

Aku menoleh ke arahnya. “Awak memang gila kan Encik Firqin. Datang sini tiba-tiba lepas tu terus kata jatuh cinta pada saya. Sangat tak logik.”

Aku berhenti dari terus berjalan. Aku memandang ke arah sekelilingku.

“Awak tengok apa tu? Cari apa?” Dia menyoal.

“Saya cari hidden camera. Awak tengah berlakon kan? Oh....atau pun ada Amera kat sini?” Bertubi-tubi persepsi di dalam kepala aku luahkan.

Dia berhenti di hadapanku. Dekat betul denganku. Aku berundur setapak ke belakang.

“Tak ada. Saya tak berlakon ke...apa ke. Betul lah apa yang saya cakap tadi.” Kata lelaki itu.

Aku memejam kedua belah mata. Cuba mengenal pasti realiti ini. Tiba-tiba aku teringat akan sesuatu. Moga-moga Firqin sedar pada realiti itu.

“Awak dengar kan apa yang Taufiq cakap siang tadi. Saya ni ada anak. Anak luar nikah lagi kata dia. Awak tak takut ke? Boleh senang-senang awak kata awak suka pada saya.”

Dia memandang wajahku. Riak wajahnya kini serius. “Sebab saya tahu semua itu bohong. Lelaki itu tipu dan mereka cerita untuk malukan awak. Farhin dah ceritakan semuanya pada saya tadi. Taufiq tu berdendam sebab awak tolak cinta dia. Sebab tu dia buat macam tu tadi.”

“Awak rasa apa yang Taufiq kata semua tu bohong?” Soalku serius.

Dia mengangguk. “Sebab saya rasa awak bukan macam tu.”

Dia tersenyum lagi. Aku hanya mampu terdiam.



Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.