Home Novel Cinta Hai Handsome! (Musuhku, Encik Pilot)
Hai Handsome! (Musuhku, Encik Pilot)
Dea Zoraya
10/2/2015 22:31:17
1,080,297
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
-Teaser Bab 53- Heart to Heart


“Awak ni sejenis cacing ke?” Aku mula hilang sabar.

Hilang sabar kerana sudah lebih setengah jam aku menolak Izzaz yang sedang menunggang basikal tetapi masih tidak pandai-pandai itu. Tambahan pula lelaki itu begitu cerewet dengan berkata yang aku tidak tolak basikal itu dengan betul lah, basikal itu bermasalah lah malahan lebih parah apabila dia menyalahkan tiupan angin pula! Sedangkan hanya ada satu sebab sahaja mengapa dia tidak berjaya mengayuh basikal itu dengan betul iaitu Izzaz tidak pandai mengayuh basikal! Itu saja.

Izzaz berhenti mengayuh dan menoleh ke arahku. “Aku sejenis cacing?”

“Iya lah dari tadi awak tak pandai kayuh basikal ni dengan betul. Sama macam cacing lah, tak ada kaki macam mana nak kayuh.” Jawabku.

Izzaz memandangku geram. “Mana kau tahu cacing tak ada kaki?” Soalnya lagi.

“Cacing memang tak ada kaki kan?” Berkerut dahiku memikirkan soalan remeh tu.

“Kau pun tak pasti cacing ada kaki ke tidak kan? Aku ni mata pelajaran sains sentiasa dapat A tau masa sekolah dulu. Kau janganlah nak berani soal jawab dengan aku. Dah dah cepat tolak aku lagi.” Arah Izzaz.

Aku mencebik geram dengan perangainya yang tidak habis-habis dengan memuji diri sendiri itu. Aku melepaskan keluhan dan mengelap peluh di dahi sebelum aku menolak belakang basikal itu sekali lagi.

“Laju lagi! Laju lagi...tolak lagi Maya.” Izzaz ketawa riang bagaikan kanak-kanak yang baru kali pertama mengayuh basikal. Aku yang sudah hilang sabar dan juga telah kepenatan terus sahaja melepaskan belakang basikal itu.

Izzaz hilang imbangan dan basikal yang ditunggangnya itu tidak dapat di kawal lagi.

“Maya...Maya tolong aku!” Izzaz tiba-tiba menjerit.

Aku baru perasan yang aku melepaskan basikal itu betul-betul ketika ianya menuruni bukit.

“Izzaz!” Jeritku dan aku terus berlari mengejarnya.

Semuanya sudah terlambat apabila basikal yang ditunggang Izzaz itu berlanggar dengan sebatang pokok. Izzaz  jatuh berguling di atas rumput. Aku terus mendapatkannya yang terbaring di atas tanah itu.

“Iz awak okay? Sakit kat mana-mana ke?” Aku mula risau.

Izzaz mengerang kesakitan sambil dia memegang lengan dan kakinya. Aku mencapai tangannya dan aku terkejut apabila terlihat luka di bahagian siku dan telapak tangannya.

“Da...darah...” Aku tergagap-gagap. Mula takut melihat darah yang mengalir dari sikunya.

Aku menelan liur melihat luka di sana sini di badannya.

“Iz...saya minta maaf. Saya tak sengaja.” Pintaku.

Namun Izzaz buat tidak tahu saja. Wajahnya jelas kelihatan bengang. Hilang riak ceria seperti tadi. Aku benar-benar rasa bersalah kerana telah melepaskan basikal yang ditunggangnya itu. Aku tidak sengaja untuk berbuat begitu kerana aku memang tidak perasan yang ada jalan bercerun di hadapan tadi. Aku bertindak melepaskan pegangan tangan dari belakang basikal itu kerana aku mahu Izzaz mengayuhnya sendiri dan akan cepat belajar, aku tidak sangka begini pula jadinya.

Aku terkejut apabila Izzaz tiba-tiba menepis tanganku dari terus memegang lengannya. Wajah seriusnya itu membuatkan aku tiba-tiba rasa mahu menangis. Izzaz mengelak dari bertembung mata denganku. Dia perlahan-lahan bangun dan terus mencapai basikal yang terbaring di sisi pokok itu. Izzaz menyorong basikal itu dan berjalan pergi meninggalkan aku.

“Izzaz...sorry.” Ucapku lagi. Namun Izzaz buat tidak tahu sahaja. Jauh sekali untuk menoleh ke arahku. Aku memandang belakang badannya dan luka di kedua-dua belah tangannya dengan rasa sayu. Aku benar-benar dibebani dengan rasa bersalah sampaikan aku rasa yang kali ini aku telah keterlaluan mengenakannya walaupun aku tidak bermaksud untuk membuatkan dia tercedera.

“Iz saya minta maaf. Saya tak bermaksud nak buat awak cedera sampai berdarah macam tu.” Aku mula menangis meraung dan terus duduk di atas rumput. Aku menutup kedua-dua belah mataku dengan tangan yang aku letakkan di atas lutut. Aku menangis kerana rasa menyesal dan rasa bersalah terhadap Izzaz yang tercedera akibat perbuatanku yang aku rasa agak keterlaluan itu.

“Maya...” Aku terdengar namaku dipanggil.

Aku mengangkat wajahku dan memandang Izzaz yang turut duduk di sebelahku.

Izzaz mengesat airmata di kedua-dua belah pipiku dengan jarinya. “Kenapa kau menangis pulak ni? Kau tahu kan aku tak suka tengok orang menangis?”

Aku mengangguk.

“Habis kenapa kau nangis?” Soalnya lagi.

“Sebab awak marah saya, sebab awak tak hiraukan saya dan juga sebab awak serius dan tak pandang saya langsung.” Aku mengelap sisa airmata di pipiku.

Izzaz memicit hidungku yang membuatkan aku terkejut. “Kau ni memang cengeng betul lah. Siapa kata aku marah kau pulak ni? Aku tak marah lah. Tadi tu sebenarnya aku sengaja berlakon berpura-pura merajuk sebab aku nak kau pujuk aku. Tapi sekarang ni nampaknya terbalik pulak, aku yang kena pujuk kau.” Izzaz ketawa.

Aku memukul lengannya melepaskan geram. “Jahat!” Marahku.

“Aduh!” Izzaz mengadu sakit sambil dia memegang bahagian sikunya.

“Mana yang sakit?” Soalku prihatin.

Izzaz tersenyum nakal. “Sakit kat sini. Tuh di sini dong.” Dia memegang bahagian dadanya.

“Mengada-adakan awak ni.” Aku mencubit pipinya.

Izzaz segera memegang tanganku dan terus membiarkan tanganku berada di pipinya.

“Kau janji jangan nangis-nangis macam ni lagi lepas ni. Aku tak ada apa-apa. Sikit aje luka ni. Aku tahu kau tak sengaja pun tadi. Aku tahu kau tak akan sampai hati nak cederakan aku sebab aku kan suami kau, hahahaha. Don’t worry my dear. Aku tak akan pernah salahkan kau atas apa-apa sebab pun sebab aku kan sayangkan kau. Aku sayang kau seorang saja, tak ada orang lain.” Ucapnya yang terus membuatkan hatiku terasa cair buat kali pertama!

Thump! Thump! Thump! Kalau lah Izzaz boleh mendengar degupan jantungku ketika itu, sudah tentu dia akan melompat gembira kerana akhirnya dia telah berjaya membuatkan jantungku berdegup kencang kerana dirinya. Aku rasa tak selesa dengan perasaan yang baru lahir di hatiku itu. Sejak dua tiga ini juga perasaan yang sama ini terus mengganggu diriku. Perasaan itu hanya hadir apabila Izzaz mendekatiku, Izzaz melemparkan senyuman paling manis buatku dan juga ketika Izzaz meluahkan kata-kata indah seperti tadi. Kini aku sudah dapat mengenal pasti perasaan yang sedang aku rasakan itu namanya adalah cinta!

‘Oh Maya, apa yang akan jadi seterusnya?’ Aku bertanya kepada hati.

“Saya nak minum, rasa haus sangat. Penat tolak basikal tu tapi awak tetap tak pandai-pandai.” Aku mengalih topik perbualan kami berdua.

Izzaz ketawa “Aku rasa jodoh aku dengan kenderaan bernama basikal ni memang tak ada lah. Aku suka kapal terbang lebih. Dah, aku pun haus, jom kita cari air.” Balas Izzaz lalu dia menghulurkan tangannya kepadaku untuk membantuku berdiri.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.