Home Novel Cinta Hello, Encik Tulang Rusuk!
Hello, Encik Tulang Rusuk!
Eisya Azra
23/2/2021 11:26:35
30,840
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 5

Hartini tergopoh gapah mengemaskan buku-bukunya dengan memasukkan kesemuanya ke dalam beg sandangnya. Hatinya berdengup kencang! Cikgu Rosmaini masih setia menantinya untuk dibawa ke hospital. Air mata sekan mahu menitik tetapi sedaya upaya ditahannya. Dia tidak mahu cepat mengaku kalah. Lagipun, dia masih tidak tahu apa yang terjadi pada ayah. Namun, dia juga tidak dapat menipu perasaan sendiri, hati kecilnya sudah berentak sendu!


“ Tini…Kuatkan semangat ye…”


Dia hanya mampu mengangguk. Langkah kakinya bergerak pantas untuk bersaing dengan langkah kaki Cikgu Rosmaini, Cikgu Kaunselor yang amat prihatin dengan kebajikan pelajar di sekolahnya. Dengan menaiki kereta Proton Waja berwarna biru lembut, ia meluncur laju menuju ke arah Hospital Kuala Berang. Sepanjang pejalanan, dia hanya diam membisu. Tidak ada kudrat untuk menuturkan sebarang kata. Kerisauan yang bersarang menambahkan lagi bebanan perasaan yang dihadapinya.


“Nurse, Mohd Hanafi Zainal wad mana?”


Buru-buru dia bertanya.


“Sekejap. Saya cek…”


“Dia baru dimasukkan tadi…” Hartini seperti mahu menangis.


“Saya tahu…Tunggu saya cek sekejap ye…”


Dia terdiam. Mungkin dia tidak seharusnya bersikap begitu kepada nurse yang bertugas di kaunter pertanyaan tersebut.


“ Tini,sabar…Jangan stress macam ni...Insya-allah, ayah awak tak apa-apa”


Dia mengangguk.


“Mohd Hanafi Zainal…Emm, boleh saya tahu apa hubungan Cik dengan pesakit?”


“Saya anak dia!”


“Pesakit bernama Mohd Hanafi Zainal sudah dipindahkan ke Hospital Sultanah NurZahirah, Kuala Terengganu…Sepuluh minit yang lalu”


Ya Allah!


Lutunya terasa lembik. Tangannya menggeletar.


“Ke…kenapa dengan ayah saya?”


“Ayah cik memerlukan pembedahan segera. Saya rasa elok cik ke sana segera” Hartini terasa mahu pitam. Dia sempat memegang tangan Cikgu Rosmaini sebelum Cikgu Rosmaini mengheretnya keluar daripada Hospital Kuala Berang dan kembali memasuki kereta untuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.


“Ayah saya cikgu…” Dia sudah tersesak.


“Sabar Tini, cikgu yakin ayah Tini tak apa-apa. Mungkin pembedahan dilakukan untuk mengelakkan sesuatu yang buruk berlaku. Sebelum kita tahu keadaan sebenar, Tini tak perlu menekan perasaan sendiri…Simpan air mata tu. Tini kena kuat untuk adik-adik Tini”


Lembut suara Cikgu Rosmaini untuk memujuknya. Dia bagaikan terubat seketika tetapi perasaanya kembali bercelaru apabila memasuki wad empat. Wad yang menempatkan ayahnya di situ.


“Emm..Kamu berdua ada hubungan dengan pesakit?”


Seorang doktor berjambang yang membawa fail memerhatikan dia dan Cikgu Rosmaini dengan pandangan yang sukar untuk dia tafsirkan.


“Saya anak dia” Dia bersuara lemah.


“Sain di sini…Kami perlu melakukan pembedahan ke atas kaki ayah cik…”


“Pembedahan untuk apa doktor?” 


Cikgu Rosmaini mengambil alih tempatnya untuk bertanya.


“Kaki kiri pesakit perlu dipotong kerana kaki tersebut tidak dapat diselamatkan lagi. Sudah hancur teruk…”


Ya Allah! 


Ujian apakah ini…Hatinya meraung kuat.


“Cikgu…” Dia bersuara dalam tangisan yang ditahan. Seperti ada batu yang tersekat di kerongkongnya.


“Sabar Tini, kuatkan semangat. Cikgu tahu Tini kuat. Sain sayang…Jangan biarkan ayah Tini menderita kat dalam sana…”


Dia mengambil pen yang dihulurkan oleh Doktor yang sedari tadi setia menunggu tindakannya. Dengan kekuatan semangat yang bukan sedikit, dia gagahkan jua jemari tangannya untuk menggores tandatangannya di atas kertas putih yang diberikan. Selepas doktor itu berlalu semula ke dalam bilik pembedahan, dia terjelepok jatuh di hadapan kaki cikgu Rosmaini. Tangisan yang ditahannya tumpah di situ…


Dia kembali teringat peristiwa pagi tadi sebelum dia keluar rumah mahu ke sekolah. Ayah sempat berpesan padanya dan adik-adik agar belajar dengan rajin. Seperti biasa juga, tangan dan pipi ayahnya dicium lembut. Sejak kematian ibunya beberapa tahun lalu, ayahlah ketua keluarga dan ayah jua ibunya. Tidak sampai beberapa jam dia di sekolah, dia dikejutkan dengan perkhabaran yang ayahnya ditimpa kemalangan dan terpaksa ditahan di Hospital Kuala Berang. Terlalu cepat semuanya berlaku...Dan sekarang, dia perlu menerima hakikat bahawa kaki ayahnya telah tiada....

            ............................................................................................................

 

 

 

 

 

 

 

Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.