Serasanya sudah hampir sebulan dia tidak menghadirkan diri ke sekolah. Keterbatasan ayah untuk bergerak menyebabkan dia perlu berkorban sekali lagi. Ayah masih tidak biasa bergerak menggunakan sebelah kaki dan keadaan inilah yang menyebabkan pergerakannya sentiasa dipantau. Dia biarkan adik-adiknya meneruskan persekolahan seperti biasa. Dia tidak mahu apa-apa terjadi pada persekolahan mereka. Dia menerima segalanya dengan penuh redha...Dan seboleh mungkin diatidak mahu menyalahkan sesiapa dengan apa yang terjadi dalam keluarganya.
“Assalamualaikum”
Ada suara yang memberi salam.
Dia menjenguk ke luar tingkap. Saiful?
“Kenapa awak datang ke sini?”
Dia bersuara. Pelik dengan tingkah pelajar yang dikenalinya sewaktu dalam perpustakaan sekolah. Sewaktu ayahnya dimasukkan kehospital, barulah dia tahu yang Saiful merupakan pelajar baru di sekolahnya dan masih tidak tahu peraturan yang terdapat di perpustakaan sekolahnya.
“Kenapa? Awak tak suka saya datang?”
Ada senyuman diberikan. Ikhlas.
“Emm...Duduklah, saya tak boleh ajak awak masuk ke dalam. Ayah saya tidur...”
Dia mempelawa Saiful duduk di serambi rumahnya yang beralaskan tikar mengkuang.Saiful hanya menurut tanpa banyak bicara.
“Saya datang sini sebab saya dah banyak hari tak nampak awak di sekolah. Awak sihat Tini?”
Saiful membetulkan duduk. Berhadapan dan berbicara dengan orang yang telah mencuri hatinya membuatkan dia rasa tidak selesa. Dia tahu Hartini pasti bingung menerima kunjungan secara tiba-tiba. Selama ini bukan dia tidak pernah melawat Hartini tetapi dia seringkali datang bersama Adila ataupun rakan-rakan sekolah. Namun, hari ini dia beranikan diri untuk datang keseorangan. Dia sudah tidak mampu untuk menolak perasaan sayang yang hadir kepada gadis manis tersebut. Malahan,perasaan sayang dia pada Hartini makin bertambah semenjak Hartini berdepan dengan ujian berat.
“Saya sihat, insya-allah...Kalau tak ada aral melintang, saya akan ke sekolah minggu depan. Kenapa?”
“Saya rindu...”
Hartini terperanjat. Dia memandang tepat ke dalam anak mata Saiful yang kelihatan tenang menuturkan ayat tersebut. Saiful rindu? Diakah yang selalu mengirimkan salam? Diakah pemuda yang selalu menghantar surat-surat cinta buatnya?
“Awak yang...”
“Iya...Saya la orangnya...Yang menghantar salam pada awak, yang menulis surat-surat cinta dan yang selalu memberi buku-buku latihan SPM...”
“Kenapa?”
Dia kebingungan dengan pengakuan yang diluahkan Saiful kepadanya. Walaupun hatinya seringkali diterpa persoalan telah menjadi tenang kerana telah ketemui jawapan tetapi dia masih keliru...
“Sebab saya sayangkan awak Tini! Saya sayangkan awak sejak pertama kali jumpa awak di perpustakaan. Sudikah awak terima saya?”
Saiful bersuara penuhmengharap.
Hartini menarik nafas dalam-dalam. Dia merenung apa yang berlaku dalam kehidupannya sejak akhir-akhir ini. Dia sebenarnya tidak mampu untuk menidakkan perasaan bahagia yang hadir saat surat-surat daripada ‘pemuda misteri’ yang tidak diketahuinya itu berada di tangannya. Perasaannya juga bercampur apabila Adila seringkali meyampaikan salam daripada ‘pemuda misteri’.
“ Tini,saya janji akan ada dengan awak saat susah dan senang. Saya berterus terang sekarang bukannya untuk menambahkan tekanan awak tetapi untuk awak tahu yang saya sentiasa disamping awak dalam susah atau senang”
Saiful sedaya mungkin untuk menyakinkan Hartini tentang perasaannya.
“Bagi saya masa...Terlalu banyak perkara yang harus saya fikirkan sekarang. Lagipun SPM dah makin dekat. Kita tak seharusnya meletakkan perasaan dihadapan. Pelajaran kita lebih penting...Awak faham tak maksud saya Saiful?”
“Tapi,macammana dengan perasaan saya pada awak?”
“Kita ada banyak masa lagi kan? Awak tengok sendiri keadaan saya sekarang. Nak bagi ruang untuk diri sendiri tidak ada...Apatah lagi nak bagi ruang untuk awak. Ruang kehidupan saya dah terlalu sempit Saiful...Ruang-ruang yang ada sudah terisi dengan ayah, adik-adik dan SPM...”
Hartini memandang jauh pada beberapa ekor burung yang hinggap pada laman rumahnya.Tidak lama burung itu di situ dan selepas itu, mereka berterbangan bebas diudara.
“Saya faham...Maaf Tini sebab dah buatkan awak tertekan dengan luahan perasaan saya. Saya akan tunggu awak sampai kita habis SPM...Tapi awak boleh janji ngan saya?”
Hartini hanya menunggu apa yang ingin dikatakan oleh Saiful. Dia tidak mengangguk dan tidak juga menggeleng.
“Janji yang awak akan tunggu saya”
Dia hanya mampu tersenyum...Apalah yang mampu dia ungkapkan pada usia 17 tahun pada waktu itu. Dia mengusap perlahan surat daripada Saiful kepadanya. Serta merta perasaan rindunya pada pemuda yang setia menunggunya itu datang menerpa. Tanpa sedar, telah banyak tahun ukhwah mereka terbina....Dan, malam itu mimpinya sangat indah sekali. Mengharapkan yang dia dapat menatap wajah Saiful dalam mimpi....