Home Novel Alternatif Sfera
Bab 35

Bab 35: Kucing Babylon


Aku melangkah masuk ke KLCC. Seperti mana yang dijanjikan, Diana Sinclair akan menunggu aku di Dome untuk menyambung semula temubual yang terhenti di pertengahan jalan. Sebaik sahaja aku sampai di Dome, Diana Sinclair sudah berada di situ, sedang duduk di salah sebuah meja sambil membaca buku.


"Hai, Diana!"

"Hai, Marina."

"Sudah lama di sini?"

"Lebih kurang setengah jam."

"Awal sampai ya," aku mengambil tempat di hadapan Diana. Baunya cukup memikat. "Harum betul bau awak hari ini."

"Terima kasih," Diana tersenyum mendengar pujianku.

"Wow! Buku apa yang sedang awak baca?"

"Buku Johan Halid, tajuknya Orang Lain."

"Bagus isinya?"

"Ya. Jika awak suka psikologi."

"Oh. Jadi buku itu tentang psikologi?"

"Ya. Tetapi, tiada teori-teori yang kompleks di sini."

"Oh," aku hanya mengangguk.

"Okey. Berhenti bercakap soal ini," Diana menutup bukunya. "Marina. Maafkan saya atas apa yang berlaku tempoh hari. Sebenarnya fikiran saya agak berserabut. Terlalu banyak berfikir. Saya pening."

"Oh. Tidak mengapa. Saya pun hendak minta maaf jika saya menyinggung awak tempoh hari."

"Sebenarnya saya sudah biasa dengan semua itu. Saya boleh sahaja jawab soalan-soalan awak tempoh hari cuma saya..." Diana terkial-kial mencari ayat yang sesuai.

"Pening?"

"Ya, betul. Pening," Diana kemudiannya tertawa. Mungkin itu sahaja alasan yang ada dalam benak fikirannya. "Saya cuma tidak mahu awak sangka yang saya sengaja mahu mengenakan awak."

"Tidak. Tidak sama sekali," aku menggeleng-gelengkan kepalaku.

"Saya rasa, kita patut mulakan semula."

"Hai. Saya Diana Johari," Diana menghulurkan tangannya. 'Permainan apakah ini? Apa yang dia cuba lakukan? Layankan sahajalah,' kataku dalam hati. 

"Hai. Saya, Marina... daripada majalah Hey," kataku. Teragak-agak untuk memberi respons sambil mencari kata-kata yang tepat.

"Oh! Berhenti gunakan nama majalah awak sebagai identiti diri."

"Kenapa pula?"

"Tidak syoklah! Okey kita mulakan semula. Hai! Saya Diana Johari!" Diana nampak begitu bersemangat. Namun, kenapa 'Diana Johari'? Bukan Diana Sinclair? Dengan memperkenalkan dirinya sebagai Diana Johari, aku terus dapat menangkap yang dia mahu aku melayannya seperti aku tidak pernah mengenali wajahnya sebelum ini. Aku mengikut rentaknya. Ini bukan lagi satu permainan. Ini sudah jadi satu persembahan.

"Hai! Saya Marina Adam!"

"Ya! Begitulah caranya!" Diana tersenyum riang.

"Jadi, apa yang awak hendak tahu tentang saya sebenarnya Marina?"

"Bukankah nama awak sedang panas sekarang ini. Jadi saya mahu tulis tentang awak. Hasil kerja awak, buah fikiran awak dan macam-macam lagi untuk isu akan datang."

"Kalau itu yang awak mahu tahu, kita boleh sahaja berhubung melalui emel atau telefon"

"Begini lebih puas. Sekurang-kurangnya saya tahu jawapan semua daripada awak. Mungkin kalau emel atau telefon, orang lain yang tulis atau jawabkan panggilan untuk awak."

"Ya! Memang logik. Tetapi saya belum jumpa lagi orang yang bersuara seperti saya," Diana tertawa mendengar jawapan yang aku berikan.


Aku cuba untuk tidak melayannya seperti satu karakter dan cuba seboleh mungkin melupakan yang dia seorang yang dikenali ramai.

"Jawapan-jawapan itu awak boleh dapat dalam mana-mana majalah yang lain," kata Diana.

"Jadi, berikan saya sesuatu yang berbeza."

"Okey, kalau itu yang awak mahu. Saya akan beritahu awak jawapan-jawapan itu nanti. Tetapi awak lapang malam ini?"

"Malam ini memang dikhususkan untuk awak Diana."

"Betul? Tiada apa-apa rancangan lain?"

"Ya!" Aku mengangguk-anggukan kepalaku. Teruja dan tertanya-tanya akan permainan yang sedang dimainkan oleh Diana.

"Okey. Kalau begitu, jom ikut saya jalan-jalan."

"Ke mana?"

"Sekitar sini sahaja. Bosan kalau hanya duduk-duduk berbual bukan?"

"Okey. Tiada masalah. Saya jadi pemandu pelancong awak malam ini."

"Tidak perlu. Saya yang akan jadi pemandu pelancong awak malam ini. Dan apabila saya kata jalan-jalan. Saya benar-benar maksudkannya. Jalan."

"Dengan kaki?" Aku mula terbayang bagaimana kami akan menempuh jalanan kota Kuala Lumpur pada malam itu. Aku sangkakan Diana mahu berjalan di taman yang berdekatan dengan KLCC. Namun, sangkaanku silap.

"Ya."

"Awak tahu selok belok bandaraya ini?"

"Awak serius bertanyakan soalan itu kepada saya? Bertahun saya tinggal di Lembah Klang sebelum saya berhijrah ke Amerika."

"Okey. Ke mana kita mahu pergi?"

"Awak ikut saya jalan-jalan, selepas itu ikut saya memanah pula."

"Memanah?"

"Ya. Seronok. Awak mesti cuba"

Diana membawa aku berjalan dari KLCC ke Jalan Imbi. Bukan satu jarak yang dekat. Nasib baiklah aku tidak memakai kasut tumit tinggi. Walaupun begitu, kakiku tetap berasa lenguh. Namun, aku tidak menunjukkannya kepada Diana yang kelihatan begitu bertenaga.

'Apa yang perempuan ini makan agaknya?' Hati kecilku berkata.

Dalam perjalanan, aku berbual-bual dengan Diana. Aku berusaha untuk mengawal rentak perbualan kami. Aku tidak mahu tergesa-gesa membawanya ke topik yang panas. Aku tidak mahu mengulangi kesilapanku yang lalu. Sepanjang perjalanan, kami bercakap tentang perubahan Lembah Klang dan hal-hal wanita. 

Apabila tiba sahaja di pusat permainan memanah yang hendak ditujui oleh Diana, kami berhenti bercakap. Tumpuan diberikan seratus peratus kepada panahan yang dibuat. Namun, Diana masih lagi menjadi prioritiku. Aku memerhatikan gerak-gerinya. Bertanya bagaimana gadis Kota Tinggi itu boleh menjadi satu fenomena dan berkuasa. Dia mengepalai Babylon Cat Inc. Aku banyak membaca tentang syarikat itu. Aku tahu potensinya dan cara syarikat itu beroperasi. Perkembangan yang ditunjukkan oleh Babylon Cat menarik perhatian ramai. Masing-masing tertanya-tanya bagaimana Babylon Cat boleh menjadi begitu dominan dalam masa kurang daripada sepuluh tahun. Masing-masing mahu tahu rahsia Si Kucing dari Babylon itu. Diana tidak mengurus syarikat itu secara harian seperti mana yang dilakukan oleh Ketua Operasi yang lain. Dia pemegang saham terbesar dan dia memberi arahan dari jauh. Aku pasti, untuk memastikan operasi berjalan lancar, ada banyak mata-mata yang 'dipasang' di Babylon Cat yang memberi laporan kepadanya dari hari ke hari.

"Jadi awak sukakannya sekarang?" Tanya Diana sebaik sahaja kami keluar dari pusat memanah itu.

"Ya! Saya sangat menyukainya! Segala-galanya tentang fokus!"

"Ya. Fokus amat penting."

"Dan memanah memang menyeronokkan!"

"Ya, memang pun!"

"Jadi Diana. Awak selalu memanah?"

"Ya. Saya selalu lakukannya di rumah. Saya ada set lengkap."

"Selain daripada memanah. Apa lagi yang awak suka?"

"Saya suka main tenis."

"Lagi?" 

"Saya juga suka lumba kereta dan tinju?"

"Awak sukakan lumba kereta dan tinju?" Aku bagaikan tidak percaya dengan apa yang diberitahu Diana.

"Ya. Kenapa?"

"Saya tidak dapat bayangkan awak berlumba dan bertinju."

"Bukan. Maksud saya, saya suka tonton lumba kereta dan tinju. Kedua-duanya nampak bahaya, tetapi seronok untuk ditonton. Kita sentiasa berlumba untuk buktikan diri kita, bukan?"

Kami meneruskan perbualan kami sehinggalah kami kembali ke KLCC.

"Saya rasa seronok sangat malam ini Marina."

"Saya pun begitu. Terutama sekali apabila dapat memanah dengan awak. Ini kali pertama saya memanah. Selepas ini kalau saya memanah lagi, saya mesti akan teringatkan awak."

"Awak adalah antara orang yang tidak terkejut atau berasa janggal apabila mengenali saya dengan lebih dekat," kata Diana sambil menepuk-nepuk bahuku.

"Maksud awak?"

"Sesetengah orang, mereka sangkakan yang saya ini bodoh-bodoh alang sahaja."

"Orang tidak akan jadi kaya jika mereka bodoh."

"Date ini bukan kerana duit bukan?"

"Apa?" Aku melihat Diana dengan penuh tanda tanya. Terus aku teringatkan fantasi Diana yang aku baca dalam Taman Rahsia.

'Oh. Janganlah jadi apa-apa malam ini,' kataku dalam hati.

"Ya. Kenyataan itu perlu ditukar kepada orang tidak akan kekal kaya jika mereka bodoh," kata Diana. Dia kemudiannya tertawa.

"Tetapi, saya tidak sukakan perkataan bodoh. Kurang enak," kataku jujur.

"Ya. Sebab mereka bukan bodoh. Cuma tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Mungkin juga taktik yang digunakan tidak kena dengan caranya atau pun mereka tidak bernasib baik."

"Jadi apa rahsia awak? Rahsia bagaimana awak memiliki segalanya?”

"Saya tidak memiliki segala-galanya."

"Alah Diana. Jangan buat tidak faham dengan soalan saya. Awak punyai segala yang orang lain tidak miliki."

"Saya hanya bekerja seperti mana orang lain. Saya gunakan daya kreativiti saya dan saya tidak pernah bosan dengan apa yang saya lakukan."

"Itu sahaja? Itulah yang saya lakukan. Namun, pada usia saya sekarang ini, awak sudah memiliki apa yang saya belum miliki sekarang. Tentu awak tahu apa yang orang lain tidak tahu."

"Mudah sahaja Marina. Awak kena rajin dan sentiasa berusaha. Tiada jalan pintas. Tetapi awak juga perlu tahu membezakan aset dan liabiliti. Itu ialah sesuatu yang awak perlu tahu. Orang-orang di peringkat umur awak kebanyakannya gagal membezakan kedua ini. Mereka hanya tahu membezakannya apabila mereka sudah termasuk ke dalam perangkap," terang Diana.

"Oh. Jadi resepi awak ialah kreativiti, rajin dan tahu menilai aset dan liabiliti? Begitu?" Aku cuba merumus.

"Awak betul-betul hendak tahu?"

"Ya! Sudah semestinya!"

"Okey. Bagaimana kalau kita jumpa lagi esok?"

"Boleh. Tiada masalah."

Setelah aku mengatur janji temu dengan Diana, aku segera aku menelefon Daniel. Dia gembira tidak terkata apabila aku memberitahunya apa yang terjadi.

"Dia ajak awak keluar lagi?" Tanya Daniel.

"Bagus!"

"Sukar dipercayai bukan?"

"Buat yang terbaik esok okey!"

"Okey, bos!"

Previous: Bab 34
Next: Bab 36

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.