Home Novel Alternatif Sfera
Bab 33

Bab 33: Diva


Sebaik sahaja mengetahui akan kehadiran Diana Sinclair di Kuala Lumpur, Daniel menghubungi tim pengurusan Diana dan menyatakan hasrat kami untuk berjumpa dengannya. Kami menunggu selama tiga hari dan akhirnya mereka bersetuju. Mereka mengaturkan perjanjian di Hotel Vistana. Tetapi dua jam sebelum janji temu itu, pengurus Diana menghubungi kami untuk membatalkan janji temu ini kerana Diana terpaksa ke Pulau Pinang atas urusan peribadi (?) dan menukarnya pada hari berikutnya. Namun, sekali lagi kami dikecewakan kerana mereka membatalkannya sekali lagi kerana Diana ingin ke Singapura atas urusan peribadi (?). Namun, aku dijemput untuk ke sana. Apa yang peliknya, mereka meminta pihak Hey untuk memberikan biodata penuh orang yang akan menemuramah Diana (akulah orangnya) berserta dengan gambar (mereka tidak mahu gambar berukuran pasport). Daniel tidak menolak. Dia menyerahkannya kepada mereka. Beberapa jam selepas biodata dan gambar itu diserahkan, mereka mengajak aku ke Singapura. Daniel berjanji akan menemaniku. 

Seorang yang diupah Diana diarahkan untuk menyerahkan tiket penerbangan kami ke Singapura dan janji temu kemudiannya dibuat di sebuah hotel. Namun, setibanya kami di Singapura, pasukan pengurusan Diana menghubungi kami dan mengatakan yang mereka terpaksa membatalkannya kerana Diana perlu segera ke Johor Bahru. Mereka meminta maaf dan kami dijemput oleh orang-orang Diana untuk berjumpa dengannya di Hotel Sri Malaysia Johor Bahru. Aku mengeluh. Daniel cuba menenangkan aku. 

“Jangan bila sampai Sri Malaysia nanti dia batalkan sekali lagi. Geramnya!” Kataku

“Jangan putus asa Marina. Semakin banyak cabaran, semakin banyak yang kita belajar.”

“Dan diharapkan, ada banyak bahan yang boleh kita dapat daripada dia...”

“Dan banyak juga Hey yang terjual nanti.”

Aku dan Daniel ketawa kecil. Dua jurugambar yang mengikut kami tertidur di dalam kereta. Membosankan. Melalui Tambak Johor yang sesak bukanlah satu perkara yang menyeronokkan.

Kereta yang kami naiki tiba di Sri Malaysia. Di lobi, pembantu Diana sedang menunggu.

“Hi! Saya Aaron,” dia memperkenalkan dirinya. “Mari ikut saya, Diana sedang menunggu anda di bilik hotel. Oh, ya. hanya dua orang sahaja yang dibenarkan masuk ke bilik ya.”

Aku memandang Daniel dan dua jurukamera yang mengikuti kami.

“Bagaimana Daniel?”

“Awak dan Rushdee. Bagaimana? Boleh?”

Kami hanya mengangguk. Kami mengikut Aaron menuju ke bilik Diana. Entah kenapa, aku berasa berdebar-debar untuk berjumpa dengan Diana. Aku tidak tahu bagaimana untuk berhadapan dengannya.

“Semasa temu bual nanti. Jangan menggelabah. Anggap sahaja dia macam kakak awak. Dia sukakannya,” Aaron berpesan kepada aku.

Aku melangkah masuk ke bilik hotel tempat Diana menginap.

“Hello!” ucap Diana. Dia sedang terbaring di atas katil sambil memicit-micit telefon Blackberrynya.

“Hello!” Aku membalas sambil tersenyum. aku menghulurkan tanganku untuk bersalam.

“Tolong tarik saya... Penat betul. Bangun pun tidak larat…” katanya sejurus sahaja menyambut tangan yang aku hulur. Tanpa banyak soal. Aku menarik tangan Diana dan dia bangun dengan perlahan. Pembantunya Aaron ketika itu berada di bilik mandi.

Diana menjemput aku duduk di atas sofa. Aku dapat menghidu wangiannya yang menikam itu. Dia memakai scallop-detailed dress berwarna merah jambu. Amat berbeza sekali imejnya daripada apa yang aku lihat sebelum ini di internet. Dia nampak sangat feminin malam itu.

“Maafkan saya Marina. Saya terpaksa membatalkan janji temu kita sebelum ini,” kata Diana.

“Tidak mengapa, Diana.”

"Apa yang dia buat di sini?" Diana menunjuk kepada Rushdee yang sudah bersiap sedia dengan kameranya.

"Dia akan merakam temubual kita," terangku ringkas.

"Oh! Kamu pasti kamu daripada syarikat majalah? Bukan stesen televisyen?" Tanya Diana. Dia kemudiannya membisikkan sesuatu kepada pembantunya. Dia seperti mengadu sesuatu.

"Ini majalah pertama yang melakukannya and I am not happy with this," kata Diana kepadaku. Aku hanya mampu memberikan satu senyuman yang dipaksa. Jika Daniel ada di situ bersama-sama denganku, pasti aku akan memberikannya jelingan maut! Sebenarnya aku dari awal-awal lagi tidak bersetuju dengan cadangan Daniel untuk merakam temubual ini secara visual.

“Bergurau sahaja...” Diana kembali tersenyum. Aku menarik nafas lega walaupun aku sendiri tidak pasti dengan keikhlasannya.  “Okey. Mulakan...” Diana memetik jarinya sebagai tanda dia sudah bersedia.

“Okey, Diana. Seperti mana-mana temubual yang Hey lakukan. Pada saat ini, boleh awak terangkan apa yang awak dapat lihat dalam diri awak sekarang?”

Dari riak wajahnya, aku dapat menangkap yang dia merasakan soalan itu agak pelik, tetapi dia tetap menjawabnya.

“Saya sukakan duit. Saya sukakan lelaki. Saya suka minum kopi.  Saya seorang yang rajin dan kreatif.”

Semestinya aku tidak berpuas hati dengan jawapan Diana dan aku mahukan lebih lagi.

"Bagaimana pula dengan sesuatu yang tidak dapat awak lihat dalam diri awak?"

"Saya tidak dapat melihat itu. Saya tidak berkemampuan untuk melakukannya."

"Oh. Begitu," melihat reaksi wajah Diana yang seolah-olah bosan dengan soalan itu, aku seperti hilang kata-kata.

“Kita tidak boleh memiliki segala-galanya dalam dunia ini,” kata Diana sambil tersenyum.

Aku terus bertanyakan soalan-soalan yang telah pun aku dan Daniel rancangkan. Sepanjang temubual, aku menyedari satu perkara. Ini bukanlah Diana Sinclair yang aku kenal. Dia kelihatan agak gementar. Dia seperti kurang pasti dengan jawapan yang diberikannya. Ini bukanlah wanita kaya dan berpengaruh yang aku lihat di dada-dada akhbar.

"Awak pandai memasak?" Tanya Diana kepadaku.

"Bolehlah. Sikit-sikit," jawabku sambil tertawa kecil. Aku rasakan soalan itu agak lucu.

"Mungkin awak boleh buatkan saya risotto sebelum awak balik ke rumah."

"Tidak ada masalah. Asalkan awak ada bahan-bahannya."

"Ha…ha…ha…" Diana ketawa panjang. Lagaknya seperti seorang lanun.

"Jadi apa kena mengena perkara ini dengan filem terbaru saya?"

"S.O.S?" Tanyaku. Berusaha sedaya upaya untuk menyembunyikan kekosongan mindaku tentang S.O.S.

"Ya. Jangan kata awak tidak pernah mendengar apa-apa mengenai S.O.S."


Sejujurnya, di saat itu, aku belum lagi menonton S.O.S. Hanya pernah membaca ulasan tentang filem itu di majalah. Aku menjadi sedikit tidak keruan. Langsung tiada apa-apa idea dalam kepala ketika itu. Aku hanya ada soalan-soalan yang tertulis di atas helaian kertas. Namun, aku cuba untuk fokus dan berlagak tenang.

Aku mula bercakap tentang perkara-perkara am yang pernah aku baca tentangnya seperti beberapa perkara sedih yang pernah diperkatakannya dalam Taman Rahsia.

"Awak sedang membuat satu cerminan yang Diana Sinclair merupakan seorang yang hidup dalam kesedihan."

"Oh. Bukan begitu, Diana. Sebenarnya saya cuba untuk..."

"Ramai yang cuba memperlihatkan kepada masyarakat yang saya seorang wanita yang gila. Tetapi saya sebenarnya tidak.”

"Awak tahu. Orang takut untuk mendekati saya kerana kedudukan saya sebagai seorang yang berpengaruh dan terkenal. Itulah dilema yang terpaksa dilalui orang-orang seperti saya."

Aku membiarkan Diana melayan perasaannya untuk seketika. Perbualan itu kemudiannya berjaya membawa kami untuk bercakap mengenai bekas suaminya, Mirza Adam Sinclair. Kemudian, aku memintanya menyambung untuk bercakap dengan lebih lanjut lagi tentang seks, ekonomi dan politik. Namun, dia nampak tidak berminat.

"Bosanlah. Apa kata kalau kita cakap tentang topik lain?"

"Awak pernah berkarya dengan menggunakan topik-topik ini dan sekarang awak kata topik-topik ini membosankan?" Kataku berseloroh.

Dan bermula dari situ, suasana temubual berubah. Diana tidak menyembunyikan perasaan bosannya terhadap pertanyaan-pertanyaanku.

“Apa kata awak pula yang tanya saya soalan?" Aku memberi cadangan.

“Boleh juga....” kata Diana mengangguk. Tiba-tiba dia menjadi begitu bersemangat.

"Awak ada teman lelaki?"

"Saya baru berpisah."

"Sebabnya?"

"Dia yang memutuskannya."

Aku tidak tahu apa yang difikirkan oleh Diana pada ketika itu, dia mengajukan soalan bertalu-talu kepadaku. Semuanya mengenai diriku, keluargaku, kehidupanku dan soalan-soalan yang aku rasakan sulit untuk diperkatakan. Di saat itu, terdetik dalam hatiku untuk memberikan Diana jawapan palsu, atau dalam kata lain, menipu. Tetapi apabila memikirkan yang aku ini bukan orang terkenal sepertinya, aku memutuskan untuk berlaku jujur. Kerana jika benar dia ingin mendedahkannya, siapa pula yang berminat untuk membacanya?


********************

“Apa yang awak tanya pada Diana semalam?” Tanya Daniel sejurus sahaja diberitahu oleh pengurus Diana yang wanita itu tidak suka dengan sesi temuramah yang dijalankan.

“Apa yang kita bincangkan tempoh hari. Soalan-soalan yang kita rasakan sesuai untuk ditanya kepada Diana.”

“Hmm.... pelik,” kata Daniel. Keningnya berkerut. Dia memikirkan sesuatu.

"Kalau awak pelik. Saya lagilah pelik. Apabila sesi temuramah berakhir. Saya bersalaman dengan Diana, dia tidak pula masam mencuka. Katanya pada saya, dia tidak sabar untuk berjumpa dengan saya lagi. Tetapi hari ini lain pula jadinya."

"Nampaknya kita perlu cari strategi yang lain Marina," kata Daniel. Dia mengeluh.

"Ya. Nampaknya begitulah"

Previous: Bab 32
Next: Bab 34

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.