Home Novel Alternatif Sfera
Bab 18

Bab 18: Takut


Setiap orang pasti akan menghadapi detik-detik di mana dia perlu menghadapi permulaan baru dalam hidupnya. Menghadapi detik-detik itu semestinya sesuatu yang sukar. Membiasakan diri dengan sesuatu yang baru sememangnya mengambil masa. Begitu juga dengan perubahan yang aku hadapi. Bukan senang untuk aku menyesuaikan diri dengan segala-galanya yang serba-serbi baru. Apabila menghadapi saat-saat ini, kadang-kadang, aku berasa putus asa dan letih dengan kehidupan. Kadang-kadang, aku tertanya-tanya kenapa aku harus lakukan semua ini? Kenapa mesti bekerja? Kenapa perlu beli itu dan ini? Apa tujuannya? Ke manakah hala tujunya semua ini? 

Aku pasti ada jawapan tersendiri untuk soalan-soalan ini dan aku juga tahu sekiranya aku berasa takut akan sesuatu tanpa sebab yang munasabah, itu bermakna aku perlu tangani rasa itu dan cuba untuk melakukannya.

"Apa yang kau takutkan sebenarnya?" Tanya Ally. Ketika itu, aku dan Gina sedang bersarapan di Dr Love.

"Banyak yang aku takutkan. Berdepan dengan senior, tugas-tugas baru dan macam-macam lagi."

"Biasalah. Itu perasaan biasa bagi orang baru. Lama-lama nanti, kau biasalah."

"Satu lagi, aku takut kalau mereka harapkan sesuatu yang besar daripada aku."

"Maksud kau, kau takut kalau mereka mahukan yang terbaik daripada kau?"

"Ya."

"Mengapa kau perlu rasa takut?"

"Entahlah. Aku resah memikirkan tentang semua ini."


Namun, semua itu tidak menghalang aku untuk berkata 'ya' apabila aku ditawarkan untuk bekerja di Hey.

Chan yang memanggil aku datang ke temuduga telah menghubungiku semula dan memberitahu khabar gembira berkenaan dengan temuduga itu kepadaku. Aku dikehendaki datang melaporkan diri pada hari Selasa berikutnya dengan berpakaian kasual kemas.


*****


Tepat pada hari dan masa yang dijanjikan, aku datang ke Terry Lee Publication. Dengan semangat yang berkobar, aku bangun seawal pukul lima setengah pagi untuk bersiap. Pada hari itu, aku mengenakan baju merah pekat yang aku beli khas untuk dipakai pada hari pertama aku di Hey. Setibanya aku di sana, aku bertemu dengan Chan. Selepas menandatangani beberapa dokumen penting dan diberi serba sedikit penerangan tentang protokol, cuti tahunan, cuti sakit, gaji, pantri, bilik rehat dan bermacam-macam lagi perkara yang berkaitan dengan Hey dan Terry Lee Publication, aku dibawa oleh Chan ke bahagian editorial Hey atau pun menurut Chan, boleh sahaja dipanggil sebagai ‘Editorial’. Di situ, Chan memperkenalkan aku kepada semua yang bekerja di Editorial seperti Rushdee, Teresa dan Dee. Menurut Chan, ketiga-tiga mereka iaitu Rushdee, Teresa dan Dee adalah antara orang-orang yang penting di Hey. Mereka amat berbakat dan idea mereka sentiasa didengari oleh ketua editor dan pihak operasi Terry Lee. Aku juga dibawa berjumpa dengan Carmen dan Susan yang menemudugaku tempoh hari. Ketika bersemuka, mereka nampak gembira apabila dapat bertemu denganku. Mereka mengucapkan selamat dan berharap agar aku akan gembira sepanjang berada di Hey. 

Selepas segala-galanya selesai, aku dibawa ke tempat di mana aku akan menghabiskan kebanyakan masaku iaitu meja tempat aku bekerja yang terletak bersebelahan dengan tempat masuk ke Editorial. Ketika itu, aku terfikir, selain daripada menjadi kerani, aku juga pasti akan menjadi penyambut tetamu untuk bahagian Editorial secara tidak rasmi. Meja yang diberikan kepadaku ialah sebuah meja bersaiz sederhana yang masih berbalut dengan kertas berwarna hitam. Terdapat beberapa pelekat Emily The Strange yang masih belum ditanggalkan dan gambar-gambar kucing hitam yang amat menyeramkan. Ingin sahaja aku bertanya siapakah agaknya yang duduk di meja itu dahulu. Namun, aku diamkan sahaja hasratku memandangkan itu merupakan hari pertamaku dan aku tidak mahu dilabel sebagai orang yang banyak kerenah.

"Marina, ini meja awak. Kemaslah apa yang patut," kata Chan kepadaku.

"Boleh saya tanggalkan pelekat-pelekat ini Chan?"

"Silakan... Bawalah bunga atau apa sahaja yang awak suka nanti," kata Chan sambil tertawa.

Sejurus sahaja Chan berlalu, tiga orang wanita bertubuh kecil datang mendekatiku. Aku tertanya-tanya siapa agaknya mereka semua. Semasa Chan membawa aku ke sekitar kawasan pejabat, tidak pula aku nampak kelibat mereka. Mataku terpukau dengan penampilan mereka bertiga yang nampak begitu menarik sekali. Ketiga-tiga mereka nampak begitu cantik dan mempesonakan. Masing-masing mengenakan pakaian dengan warna-warna yang berbeza iaitu kuning, hijau dan merah. Dari hujung rambut ke hujung kaki, semuanya nampak sempurna.

"Apa nama?" Tanya salah seorang daripada mereka yang mengenakan baju berwarna kuning.

"Saya Marina. Kamu semua pula?"

"Kami?" Tanya wanita itu. Mereka ketawa kecil sambil berpandangan antara satu sama lain.

"Kamilah The Urban Fruits!" Serentak mereka bertiga menjawab.

"The Urban Fruits?" Tanyaku hairan.

"Ya. Saya Miss Banana, ini Miss Durian dan itu Miss Rambutan," wanita berbaju kuning itu memperkenalkan dirinya dan dua lagi kawannya yang mengenakan baju hijau dan merah.

"Wow! Jadi semua orang panggil kamu semua Banana, Durian dan Rambutan di sini?"

"Ya. Tetapi jangan susahkan diri, panggil sahaja Miss B, Miss D dan Miss R."

"Oh. Okey! Comel! Sangat comel!" Pujiku ikhlas.

Aku berkenalan dan berbual pendek dengan mereka. Ternyata, mereka amat baik dan menyenangkan. Aku sudah dapat merasakan yang kami akan menjadi pasukan yang baik di Hey. Namun, aku tetap memberitahu diriku untuk sentiasa berhati-hati dan berjaga-jaga baik daripada segi perlakuan dan percakapan. Lebih-lebih lagi, itu merupakan hari pertamaku di situ. Masih terlalu awal untuk aku menilai dan meruntuhkan dinding privasiku.

Harry yang pada hari itu menyiapkan tugasan di luar sempat datang menjengukku. Namun, dia tidak naik ke atas. Kami hanya sempat berjumpa di Capital Square. Pada saat itu, aku sudah berkenalan dengan hampir semua orang di sana. Hanya seorang sahaja yang belum aku jumpa iaitu Daniel, ketua editor majalah Hey.

"Di mana Daniel agaknya ya? Saya tidak jumpa langsung dengan dia," tanyaku kepada Harry yang sedang asyik menikmati makan tengahari.

"Daniel ada tugasan di luar. Nanti dia akan pulang semula ke pejabat."

"Oh, begitu. Susah juga hendak berjumpa dengan dia. Semasa hari temuduga pun saya tidak jumpa dia."

"Kalau awak sudah kenal dengan Daniel nanti, awak kena berjaga-jaga. Jangan rapat-rapat sangat dengan dia," Harry seperti memberi amaran.

"Kenapa pula?"

"Dia lelaki yang penuh misteri dan merbahaya!" Kata Harry penuh dramatik. Namun, senyuman yang tidak pernah lekang daripada wajahnya jelas menunjukkan yang dia hanya bercanda.

"Misteri dan merbahaya? Dia makan orangkah? Luculah awak ini," aku tertawa kecil.

"Awak ingat saya main-main ya? Awak tengoklah nanti. Jangan cakap saya tidak bagi amaran," kata Harry lagi. Aku hanya mengiakan sahaja kata-katanya.


*****


Hari-hari berikutnya, aku mula melakukan tugas-tugasku sebagai seorang kerani. Bermacam-macam dokumen yang diberikan kepadaku. Perlahan-lahan, aku belajar dan bertanya kepada semua orang yang berada di sana. Semestinya, Google menjadi teman apabila aku kebuntuan. Nampaknya, tugas seorang kerani di Hey lebih daripada apa yang aku sangkakan. Jauh berbeza daripada tugas-tugas perkeranian yang pernah aku lihat di Nona Silk. Mungkin perbezaan fokus kedua-dua syarikat itu menjadikan bebanan kerja seorang kerani berbeza daripada segi tanggungjawab, skop kerja dan cabarannya. Walau apa pun, aku menyukai apa yang aku lakukan ketika itu dan aku amat gembira kerana dapat merasai pengalaman itu.

Pada hari Jumaat minggu pertama aku bekerja, Rani mengajakku ke Amcorp Mall. Rani menghubungiku beberapa jam sebelum masa kerjaku berakhir. Katanya, dia mahu mencari bahan-bahan jahitan. Aku bersetuju dan setelah menyelesaikan apa yang patut, kami berdua terus ke Amcorp Mall untuk menunaikan hajat Rani. Di sana, aku membantunya memilih bahan-bahan jahitan yang sesuai dengan apa yang diinginkannya. Menurut Rani, dia ingin menjahit langsir untuk pejabat. Itu ialah tanda ingatan kepada semua sebelum dia berhijrah ke TNS Kuching.

"Tidak sangka kau akan ke Kuching nanti," kataku dengan nada yang melankolik. Kami duduk sebentar di taman berdekatan selepas selesai mencari barang yang dicari.

"Alah Marina.... Aku hendak cari pengalaman."

"Tidak dapatlah jumpa kau lagi."

"Kuching dengan KL kalau naik kapal terbang sekejap sahaja Marina. Aku pun bukannya tidak balik. Kalau raya atau cuti nanti aku baliklah. Lagi pun memang kampung aku pun di KL. Aku memang akan balik juga nanti."

"Betul juga. Mungkin aku sahaja yang terlebih beremosi."

"Kau memang selalu begitu. Eh! Kau sudah berjumpa dengan ketua Editor? Apa nama dia? Daniel bukan?" Tanya Rani kepadaku.

"Belum lagi. Harry beritahu aku, Daniel kini berada di Jakarta untuk sesi pengambaran."

"Daniel bawa Harry bersama-sama dengannya?"

"Ya. Harry beritahu yang Daniel selalu membawanya ke mana-mana sahaja kerana dia percaya dengan pendapat dan pandangan Harry."

"Ini bermakna, sesiapa sahaja yang mempunyai hubungan dengan Harry perlu bersaing dengan Daniel nampaknya," kata Rani. Aku tahu dia cuba untuk melihat responku.

"Mungkin..." jawabku selamba.

"Bagaimana dengan rakan sekerja kau di sana Marina? Mereka semua okey?"

"Setakat ini masih okey lagi. Harap-harap tiada apa-apa yang berlaku nanti."

"Mesti ada sesuatu yang berlaku nanti. Pejabat mana yang tiada drama. Kau tunggu dan lihat Marina!"

"Ish! Kau ini Rani, buat aku takut sahajalah. Kau buat aku bertambah risau."

"Aku sengaja hendak tengok kau macam mana..." Rani ketawa terbahak-bahak. "Apa yang kau risaukan sebenarnya Marina?"

"Risau ada, takut pun ada. Sekali lagi aku terpaksa memulakan segala-galanya semula..." aku menyuarakan keresahanku kepada Rani .

"Ini satu permulaan yang baik Marina. Satu permulaan yang sangat baik,'' kata Rani sambil tersenyum.

"Harap-harap begitulah..." balasku kembali.

Previous: Bab 17
Next: Bab 19

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.