Home Novel Alternatif Sfera
Bab 15

Bab 15: Sapu Tangan Hermes yang Cantik


“Encik.... sapu tangan Encik jatuh...” aku separa menjerit.

‘Wow! Hermes’ kataku dalam hati. Lelaki itu kemudiannya menoleh. Kedudukannya ketika itu hanya sepuluh kaki daripadaku. Dia membuka cermin mata gelapnya dan segera mendekatiku.

“Oh! Terima kasih ya. Nasib baik awak yang jumpa. Terima kasih banyak-banyak,” katanya sambil tersenyum.

‘Bukankah dia yang aku jumpa tempoh hari di majlis pelancaran spa Michelle?’ Tanyaku sendirian. Namun, niat untuk menanyakan kepadanya soalan itu tidak kesampaian apabila dia berlalu dengan begitu cepat sekali.

'Biarkanlah dia. Barangkali dia sedang mengejar sesuatu,' aku memujuk diriku.


**********


“Pergi makan tengahari dahulu. Balik semula ke sini pukul dua petang nanti,” beritahu Mary kepada semua yang berada di pejabat.

“Jom pergi makan Marina,” ajak Rani yang duduk di sebelahku. 

“Jom!” Tanpa banyak soal, aku menukar kod pada sistem dan mengikuti Rani turun ke bawah menuju ke Capital Square untuk makan tengahari.

“Alamak!” Kata Rani. Dia menepuk dahinya. Kami terhenti seketika di lobi.

“Kenapa Rani?”

“Aku tertinggal dompet akulah Marina...”

“Lah... Ini mesti ada di dalam bakul buluh rotan yang kau letak atas meja tadi.”

“Ya. Aku pun rasa begitu juga. Kau tunggu di sini ya. Aku ke atas sebentar,” kata Rani. Dia mula berpatah balik.

“Baiklah. Aku tunggu di luar. Jangan lama sangat.”

Aku berjalan keluar meninggalkan lobi bangunan Multi Purpose itu. Tidak semena-semena, angin bertiup membawa habuk memasuki mataku. Aku menekup wajahku. Kemudian, aku menggenyeh-genyeh mataku yang mula merengsa.

“Awak menangis? '' seseorang menegurku. Wajahnya masih belum dapat aku lihat.

“Tidak. Mata saya masuk habuk,” jawabku sambil menggeleng-gelengkan kepalaku. Aku tahu alasanku kedengaran agak klise.

“Ambil tisu ini…”

Aku mengambil tisu yang dihulurkan. Dengan bantuan air mata dan tisu yang diberikan oleh lelaki itu, akhirnya penglihatanku kembali jelas. Aku terpegun seketika melihat orang yang sedang berdiri di hadapanku.

“Harry! Awak rupanya…” aku masih belum berhenti menggenyeh mataku yang merah.

“Awak seorang sahajakah Marina?”

“Ya. Eh. Tidak. Saya sedang tunggu kawan saya,” aku tiba-tiba sahaja menjadi gelabah. Maklumlah, aku tidak menduga yang Harry akan muncul di situ.

“Di mana dia?”

“Di atas. Dompetnya tertinggal,” terangku.

“'Tidak sangka kita dapat berjumpa lagi ya Marina.”

“'Ya. Terkejut juga saya lihat awak tadi, saya sangkakan mata saya yang menipu.”

“Selalunya, mata seseorang itu boleh menipu tuan badan apabila dia asyik terbayang-bayangkan sesuatu. Awak selalu terbayang-bayangkan saya?” kata Harry sambil mengukir senyuman yang sangat nakal.

“Marina!” Rani memanggilku dari jauh. 

'Terima kasih Rani! Kaulah penyelamat! Aku tidak tahu respon apa yang patut aku beri sekiranya kau tidak muncul.' kataku dalam hati.

“Oh ya! Itu pun kawan saya,” aku menunjuk kepada Rani yang sedang berjalan anggun sambil mengibaskan sarinya. Aku memperkenalkan mereka berdua antara satu sama lain.

“Kamu berdua hendak makan di mana?” Tanya Harry.

“Di Capital Square,” jawab Rani.

“Apa kata kalau saya belanja kamu berdua makan? Sebagai tanda terima kasih,” cadang Harry.

"Sebagai tanda terima kasih?” Tanyaku hairan.

“Alah… Awak sudah lupa tentang sapu tangan Hermes sayakah, Marina?”

“Oh. Itu hal kecil sahaja. Tidak perlulah sampai hendak belanja kami pula.”

“Marina! Jomlah! Perut aku sudah berbunyi-bunyi ini. Lagi pun tidak baik kalau kita hampakan hasrat Harry untuk belanja kita,” kata Rani. Dia tersenyum-senyum memandang Harry.

“Bagaimana? Awak berdua sudi makan dengan saya?” Tanya Harry.

“Eh. Mestilah! Di mana?” Rani nampak teruja.

“Di Capital Square. Bagaimana?”

“Alah... Capital Square sahaja?'' Rani mengeluh dengan nada yang bergurau. Namun, aku menjeling ke arah Rani yang bagiku keterlaluan. Takut - takut kalau Harry salah sangka atau tidak faham dengan lenggok gurauannya.

''Maaflah. Ini sahaja yang saya mampu,'' jawab Harry. Dia tertawa kecil dengan gelagat Rani.

''Capital Square pun bolehlah... Marina bagaimana? Setuju sahajalah. Bukan senang orang hendak belanja,” tanya Rani kepadaku.

“Mmm.. baiklah,” aku mengangguk perlahan. Sebenarnya aku kurang selesa untuk keluar makan dengan Harry. Tetapi apabila difikirkan. Apalah salahnya? Lagipun Rani ada bersama denganku. Sekurang-kurangnya dapat juga aku berjimat tengahari itu.

Sambil menikmati makan tengahari di medan selera, kami berbual-bual sedikit mengenai diri masing-masing. 

Persoalan tentang kerjaya Harry ketika di spa tempoh hari terjawab juga pada hari itu apabila Harry memberitahu kami yang dia bekerja di Terry Lee Publication yang berada beberapa tingkat atas dari TNS. Menurut Harry, dia banyak terlibat dalam fotografi. Dia juga ada menceritakan serba- sedikit tentang bosnya Daniel Lee, Ketua Editor majalah HEY yang terkenal itu apabila ditanya oleh Rani.

“Mesti seronok kerja dengan Daniel bukan?” Tanya Rani.

“Bolehlah…” jawab Harry ringkas.

“Awat hang nampak letih sahaja Encik Harry oi?” Rina menegur Harry yang nampak sedikit lesu. Beberapa kali dia menguap ketika sedang makan.

“Tidaklah. Saya cuma tidak cukup tidur semalam,” jawab Harry.

“Oh. Kesiannya…” jawab Rani. Sejak dari awal lagi dia tidak berkelip-kelip memandang Harry. Aku hanya memerhatikan mereka.

“Oh ya. Rani, awak dari Pulau Pinang?” Tanya Harry. Dia cuba meneka selepas mendengar Rani bermain dengan loghat utara.

“Eh. Tidaklah. Saya anak jati Kuala Lumpur. Saya suka-suka sahaja tadi berdialek.”

“Oh. Begitu. Awak pula Marina? Orang Kuala Lumpur juga?”

“Tidak. Saya dari Johor.” 

“Awak pula Harry?” Tanya Rani.

“Saya lahir di Melaka. Tetapi membesar di Singapura.”

“Jadi awak ini orang Malaysia atau Singapura sebenarnya?” Rani menyoal lagi.

“Saya orang Malaysia. Sebenarnya bapa saya berasal dari Johor. Ibu pula dari Singapura. Selepas berkahwin, mereka mengambil keputusan untuk menetap di Singapura. Ibu saya sebenarnya mahu melahirkan saya di Singapura. Akan tetapi, ibu saya tidak sempat pulang ke Singapura dan melahirkan saya di Melaka.”

“Lucu betul… Bagaimana boleh jadi begitu?” Tanya Rani.

“Mereka sebenarnya dalam perjalanan pulang ke Singapura. Mereka singgah sebentar di Melaka untuk melawat kawan. Mereka tidak menduga yang saya akan lahir pada waktu itu.”

“Maksudnya awak lahir tidak cukup bulanlah ya?” soalku pula.

“Tidak cukup minggu. Saya dilahirkan tiga minggu awal dari tarikh yang dijangkakan.”

“Mungkin awak sendiri yang memilih untuk jadi orang Malaysia. Kesempatan yang ada awak gunakan untuk keluar di bumi Melaka,” kataku kepadanya.

“Ya. Mungkin juga...” Harry ketawa kecil. “Oh ya. Marina. Boleh saya tanya awak satu soalan?” Tanya Harry. Dia memandang tepat ke arahku. Sejak dahulu lagi, aku tidak sukakan soalan itu. Buat aku berdebar.

“Ya. Silakan,” aku berlagak tenang.

“Awak tahu bagaimana Jementah mendapat namanya?”

‘Jementah? Jementah itu di mana?’ Aku berusaha menyelak kembali memoriku. Manalah tahu kalau-kalau aku pernah mendengar mengenainya.

“Tidak. Awak tahu?” Jawapan yang aku beri kepada Harry mempunyai dua maksud. Satu, aku tidak tahu di manakah terletaknya Jementah dan yang ke dua, aku tidak tahu bagaimanakah Jementah mendapatkan namanya.

“Mestilah tahu. Jika tidak, bagaimana dia boleh terfikir untuk bertanyakan soalan ini. Ha! Ceritalah Harry. Kami berdua hendak dengar. Ceritalah cepat!” Kata Rani. Dia nampak begitu teruja sekali untuk mendengar jawapan Harry walaupun soalan itu ditujukan kepadaku.

“Ceritanya begini… Ehem!” Harry berhenti sebentar membetulkan tekaknya sebelum meneruskan ceritanya “Pada zaman dahulu, di sebuah daerah yang bernama Segamat…”

'Oh. Rupanya Jementah itu letaknya di Segamat. Patutlah Harry tanya aku soalan ini,' aku mentertawakan diriku sendiri dan kembali mendengar apa yang cuba disampaikan Harry.

“...ada sebuah tempat yang dipercayai tertanamnya emas yang banyak. Pada ketika itu, tempat itu masih lagi dipenuhi dengan pokok-pokok.”

“Emas-emas itu tersembunyi di dalam hutan?” Tanya Rani.

“Ya. Betul, Rani. Emas-emas itu tersembunyi dan tertanam di dalam hutan. Namun, tiada seorang pun yang pernah cuba untuk mencarinya. Pada suatu hari, muncul dua orang lelaki yang menyatakan hasrat mereka untuk mencari emas-emas itu. Begitu bersungguhnya mereka sehinggakan mereka sanggup menebang pokok-pokok yang tumbuh di situ satu persatu dari pagi hingga ke petang. Namun, pada keesokan harinya, sebaik sahaja mereka bangun daripada tidur, mereka terkejut kerana pokok-pokok yang mereka tebang telah tumbuh semula seperti sedia kala.”

“Jadi apa yang mereka lakukan selepas itu?” Tanya Rani lagi.

“Mereka tidak berputus asa. Sekali lagi, mereka cuba menebang pokok-pokok itu satu persatu. Namun, perkara yang sama berulang lagi.”

“Maksudnya, pokok-pokok itu tumbuh lagi?”

“Ya, Rani. Tetapi itu tidak sedikit pun melemahkan semangat mereka. Mereka terus mencuba sehinggakan orang-orang yang lalu lalang bertanya ‘tidak habis lagi menebang pokok-pokok itu?’.”

“Apa yang mereka jawab?” sekali lagi Rani bertanya.

“Mereka menjawab. ‘Jemu-jemu’ dan apabila ditanya bilakah agaknya mereka akan berjaya menerangkan tempat itu, mereka menjawab ‘entah’. Ini berlaku hampir setiap hari dan mereka dengan sabarnya menjawab ‘Jemu’ dan ‘Entah’ ”

“Biar saya teka. Akhirnya mereka memanggil tempat itu Jementah?” akhirnya aku bersuara.

“Ya. Betul, Marina,” jawab Harry sambil tersenyum.

“Apa yang berlaku pada mereka selepas itu?” Tanyaku lagi.

“Akhirnya, keajaiban berlaku pada suatu hari apabila mereka mendapati, pokok-pokok yang telah mereka tebang tidak lagi tumbuh,” jawab Harry. Kemudian dia menyedut minumannya. Aku dan Rani menunggu Harry bersuara menyambung ceritanya. Namun, Harry mengalih perhatiannya kepada makanan yang belum dihabiskannya.

“Itu sahaja?” Tanyaku dengan wajah yang berkerut.

Harry memandang kami berdua dengan wajah yang bingung. "Ya," dia  mengangguk.

“Bagaimana pula dengan emas-emas itu?” Tanya Rina.

“Ya. Adakah mereka menjadi orang kaya?” Tanyaku pula.

“Saya pun kurang pasti,” kata Harry. Kemudian dia tertawa.

Aku dan Rina berpandangan. Aku tidak menyangka cerita Harry sebegitu teruk, jika Harry punyai kebolehan telepati, dia pasti dapat mendengar aku sedang mentertawakannya ketika itu. Lain pula dengan Rani, dia ketawa bersama-sama dengan Harry.

“Awak luculah Harry! Awak ini betul-betul luculah!” Rani seolah-olah baru sahaja menonton rancangan Raja Lawak. Harry memandang aku yang hanya tersenyum. Aku tidak tahu sama ada dia sedar bahawa ceritanya itu gagal membuatkan kami ketawa atau berasa kagum walaupun sedikit dan tawa Rani itu hanya dibuat-buat.

“Rani. Sudah pukul dua setengah petang. Jom!” Aku mengajak Rani yang masih belum puas ketawa.

“Kamu berdua hendak balik semula ke pejabat?” Tanya Harry.

“Ya. Gerak sekali dengan kami?” Pelawa Rani.

“Tidak mengapa. Saya akan terus buat kerja luar selepas ini. Jadi biarlah saya duduk dahulu di sini,” jawab Harry.

“Kalau begitu, kami pergi dahulu ya. Terima kasih kerana belanja kami hari ini!” Ucap Rani.

“Terima kasih ya Harry…” ucapku pula.

“Sama-sama. Harap kita dapat berjumpa lagi nanti ya,” kata Harry sebelum kami berlalu. Aku hanya mengangguk dan tersenyum apabila mendengar kata-kata Harry itu.

“Marina. ‘Kita’ yang dia maksudkan itu ‘saya, awak dan dia’ atau pun ‘awak dan dia’ sahaja?” Tanya Rani.

“Rani... jangan mula...”

“Saya tidak perlu mulakan apa-apa Marina.  Sesuatu telah pun bermula....”

“Amboi... dalam maksud awak itu Rani...”

Sejak hari itu, kami selalu sahaja makan bersama. Selalunya aku dan Rani akan sampai dahulu di Capital Square. Kemudian, Rani akan memanggil Harry untuk makan bersama sebaik sahaja dia ternampak kelibat lelaki itu. Di meja makan, Harry akan berterusan bercerita mengenai kisah-kisah klasik. Sesetengahnya lucu dan sesetengahnya tidak menyentuh hati langsung. Rani pula bersungguh-sungguh mendengar cerita-cerita itu.

“Apa contoh cerita yang dia pernah beritahu kau?” Tanya Ally apabila aku bercerita tentang Harry di Dr Love.

“Macam-macam. Tentang Teluk Sengat, Tuan Puteri Si Helang Bakau, Si Jambul, Tasik Garu.…”

“Hah! Lorong Garu?” soal Gina.

“Heh! Tasik Garu lah, Gina,” aku mencubit lembut Gina yang sengaja menyamakan nama Tasik Garu dengan sebuah kawasan 'panas' di Pulau Pinang.

“Oh. Telinga aku memang sensitif bila dengar perkataan 'garu' itu,” kata Gina sambil ketawa.

“Daripada manalah agaknya Harry dapat tahu tentang cerita-cerita itu semua agaknya ya?” fikir Gina.

Previous: Bab 14
Next: Bab 16

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.