Home Novel Alternatif Sfera
Bab 28

Bab 28: Jennifer


''Fuh! Penat betul hari ini. Tidak sabar rasanya hendak merebahkan diri ke katil,'' kataku kepada Daniel ketika kami sedang jalan beriringan dari bilik pejabat Daniel menuju ke lif.

''Perut saya ini pula sudah berkeroncong sedari tadi. Kesian dia..." kata Daniel sambil mengusap-usap perutnya.

Hampir sepanjang hari, kami menghabiskan masa pada hari itu untuk berjumpa dengan beberapa penaja berkenaan dengan konsep iklan yang akan dimuatkan dalam Hey.

Bercakap tentang iklan mengingatkan aku kembali akan apa yang pernah aku tulis untuk laman web sekolah berkenaan dengan sisi gelap iklan. Ketika itu, aku menulis tentang pengaruh negatif iklan dan impaknya kepada dunia.

''Dan kini awak bekerja dengan syarikat yang mana sebahagian besar pendapatannya bergantung kepada iklan,'' kata Daniel tertawa dengan ceritaku.

''Ya. Sungguh ironis bukan?''

"Marina. Apa kata kalau kita pergi makan?"

"Boleh juga. Awak hendak makan di mana?"

"Kita pergi ke Asia Cafe?"

"Hmm. Cadangan yang baik. Lama juga saya tidak ke sana."

"Okey. Jom kita pergi!" Kata Daniel. Begitu bersemangat sekali untuk mengisi perutnya yang kosong.

Sampai sahaja di sana, kami berterusan bercakap tentang kriteria iklan yang akan dimuatkan dalam Hey sambil menikmati makan malam kami.

''Sebelum ini, sejujurnya saya tidak pernah tahu awak mempunyai prinsip tentang iklan yang dipilih untuk dimuatkan dalam Hey.''

''Sekarang awak sudah tahu bukan?''

"Ya," aku mengangguk.

"Tetapi kenapa ya? Ramai yang terkejut apabila saya katakan tentang prinsip saya ini. Mereka fikir saya akan bersetuju sahaja untuk segala jenis iklan dimasukkan ke dalam Hey."

"Mungkin awak nampak seperti seorang mata duitan."

"Apa? Mata duitan? Saya?" Ranya Daniel. Dia tidak menyangka itu yang akan keluar daripada mulutku. Namun, tetap tertawa kerana baginya itu satu gelaran lucu yang pernah diberikan kepadanya.

"Janganlah serius sangat. Saya bergurau sahaja. Jadi Daniel, beritahu saya, kenapa awak tetapkan peraturan sebegitu untuk iklan-iklan yang dimuatkan dalam Hey?"

''Iklan hanya agen untuk memberitahu. Itu tugasnya dan itulah yang saya mahukan dalam Hey dan satu kenyataan yang perlu kita tahu, kita tidak akan jadi seperti pelakon iklan walaupun kita menggunakan produk yang sama. Lagi pun Marina, saya tidak mahu pembaca Hey terperangkap dan fikir mereka perlukan sesuatu yang sebenarnya tidak diperlukan apabila mereka membaca iklan yang kita muatkan,'' terang Daniel kepadaku.

''Tetapi, katakanlah satu hari nanti ada wartawan yang menanyakan hal ini kepada awak. Apa yang awak akan jawab? Saya tidak fikir jawapan tadi 'cool' terutama sekali bagi mereka yang bersikap sinis.''

''Dalam perkara ini, saya pilih untuk jadi nerda dan menjawabnya dengan ringkas. Saya akan cakap yang ini merupakan satu tanggungjawab sosial saya kepada pembaca Hey.''

"Dan saya tidak dapat bayangkan riak muka awak bila awak jawab soalan itu," kataku sambil tertawa.

"Tetapi percayalah. Mereka tidak akan tanya. Tiada siapa pun yang kisah tentang iklan-iklan yang tersiar. Apatah lagi menganalisanya," kata Daniel dengan yakin.

"Okey. Bercakap tentang iklan, awak pernah dengar tentang Czech Dream?"

"Ya. Itu cerita wajib apabila bercakap tentang iklan. Kasihan sungguh pada mereka yang digunakan untuk 'ujian' itu."

"Sewaktu di sekolah dahulu, cikgu pernah menyuruh kami berlakon berdasarkan cerita Czech Dream. Semua orang diminta membayangkan apakah yang akan mereka lakukan sekiranya mereka berada di tempat pelanggan-pelanggan dalam cerita itu."

"Jadi apa yang awak lakukan?"

"Saya ambik botol air dan pura-pura menelefon polis."

"Konon-kononnya awak buat laporan yang awak ditipu?" Daniel cuba meneka.

"Ya...." kataku mengangguk.

"Hmm..."

"Kenapa? Awak rasa itu kurang kreatif?"

"Kreatif. Sekurang-kurangnya awak jadi lain daripada yang lain. Tetapi kalau saya jadi cikgu awak. Saya tidak akan tertarik," terang Daniel jujur.

"Baiklah. Kalau awak pula bagaimana? Apa yang awak akan lakukan?"

"Seperti mana yang awak lakukan, saya akan mengambil botol air dan membayangkannya seperti sebuah telefon. Tetapi saya tidak akan menelefon pihak polis."

"Jadi, awak akan menelefon siapa?"

"Saya akan telefon pihak bomba."

"Lagi pelik. Kenapa pula awak hendak telefon bomba?"

"Saya akan kata 'Tolonglah datang segera, api kemarahan mereka sedang membara di sini!'" Daniel cuba melakonkan watak itu dengan penuh perasaan.

"Serius! Awak pasti akan jadi bahan budak-budak lelaki selepas itu,"  kataku sambil menahan gelak.

"Tetapi sekejap sahaja saya jadi bahan. Selepas itu, kedudukan saya akan naik semula sebab budak-budak perempuan akan mula hantar surat untuk beritahu betapa kreatifnya saya."

"Daniel. Tolonglah... Awak ini perasan lebih awak tahu?"

Belum sempat Daniel membalas kata-kataku, seseorang menghubungiku. Melihat kepada nama pemanggil yang tertera, aku pantas menjawab panggilan itu.

"Hello…" ucapku dengan ceria.

"Hai Marina..."

"Hai Sandy. Apa khabar?"

"Sihat sangat-sangat, Marina. Aku hendak beritahu sesuatu. Aku sudah selamat bersalin semalam."

"Kau sudah bersalin? Syukurlah Sandy. Anak kau lelaki atau perempuan?"

"Perempuan dan aku namakan dia seperti yang kau cadangkan tempoh hari."

"Oh, ya? Baguslah kalau begitu. Ayahnya setuju dengan nama itu?"

"Setuju... Nash tidak banyak soal. Dari semalam, dia asyik menggentel budak itu sahaja. Aku tidak dapat peluang pun."

"Kau ini pun. Dia seronoklah dapat timang anak. Anak sulunglah katakan. Kau sudah usung budak itu dalam perut selama sembilan bulan. Sekarang biar dia pula yang dukung."

"Bila kau hendak datang melawat?"

"Nanti aku cuba cari masa yang sesuai."

"Okey. Aku tunggu ya. Nanti bila-bila senang aku telefon kau lagi."

"Jaga diri okey. Kirim salam pada Nash."

Aku menamatkan panggilan dan mengembalikan fokusku kepada Daniel.

''Wah! Bukan main seronok lagi awak berbual. Siapa?'' Tanya Daniel.

''Kawan saya. Dia baru sahaja bersalin semalam.''

"Oh, begitu," Daniel mengangguk-anggukkan kepalanya tanda faham. ''Hmm.. Jadi boleh saya tahu. Ini berita yang ke berapa untuk tahun ini?''

''Ha?'' Aku kurang mengerti.

''Maksud saya, sudah berapa orang kawan awak yang melahirkan anak pada tahun ini?''

''Ini yang ke enam Daniel.''

''Yang ke enam... Ramai juga. Jadi, tidakkah mereka buat awak risau?''

''Tidak. Apa yang perlu saya risaukan?''

"Kebanyakan perempuan yang saya jumpa akan risau dan mula membilang umur mereka."

"Sebenarnya kadang kala saya pernah terfikir mengenainya. Bohonglah kalau saya kata yang saya langsung tidak risau. Tetapi, saya percaya jika diizinkan Tuhan, giliran saya akan datang pada satu hari nanti. Cuma buat masa sekarang, saya cuba fokus untuk diri sendiri dahulu. Bila semuanya sudah okey, saya akan alihkan fokus saya kepada perkara-perkara yang lain pula."

"Tetapi bila? Awak tiada apa-apa rancangan khusus?" Tanya Daniel. Dia seperti mahu mengujiku.

"Tiga atau lima tahun akan datang. Tetapi, semua ini kita tidak boleh duga. Siapa tahu, mungkin akan terjadi tahun hadapan."

"Hmm.. Sudah ada calon ayah yang sesuai?"

"Saya ada beberapa nama yang berpotensi untuk membantu saya ke arah itu."

"Beberapa nama? Boleh tahan," kata Daniel sambil mengangguk-anggukkan kepalanya. Satu senyuman manis terukir di wajahnya.

''Oh ya. Anak kawan awak itu lelaki atau perempuan Marina?'' Tanya Daniel

''Perempuan.''

''Sudah diberi nama? Kalau belum, saya ada beberapa idea untuk nama budak itu.''

''Sudah. Atas cadangan saya, dia menamakannya ‘Jennifer’''

''Jennifer...'' sebut Daniel lembut. Daripada caranya itu, aku tahu dia sukakan nama itu.

''Ya. Jennifer namanya. Sedap bukan?''

''Sedap. Tetapi kenapa Jennifer?''

''Entahlah. Saya sukakan nama itu. Jennifer satu nama yang sangat feminin. Kebanyakkan Jennifer yang saya kenali semuanya sangat menawan.''

"Contohnya?"

''Contohnya seperti Jennifer Love Hewitt, Jennifer Lopez, Jennifer Aniston dan ramai lagi, Daniel."

"Maksud awak, nama boleh menjadikan seseorang itu cantik?"

"Kadangkala awak ini lucu juga Daniel. Bukan begitu maksud saya. Nama tidak akan boleh mengubah fizikal seseorang. Cuma, saya sukakan nama itu. Satu nama yang sedap didengar dan disebut. Kebetulan pula ramai orang-orang cantik yang memiliki nama itu."

"Okey. Okey. Saya faham," kata Daniel. Dia termenung seketika. Seperti ada sesuatu yang mengganggunya.

''Kenapa Daniel? Awak okey?''

Daniel hanya tersenyum. Namun senyuman yang dilemparkan itu tawar.

''Awak tahu Marina..."

"Apa dia?"

"Bekas teman wanita saya juga bernama Jennifer.''

''Betulkah?'' Aku pasti riak wajahku nampak sedikit teruja pada ketika itu kerana kali pertama Daniel bercakap mengenai hal itu kepadaku. Hatiku berbunga-bunga.

''Betul...'' Daniel menjawab dengan perlahan.

''Awak mahu bercakap mengenainya?'' 

Daniel tidak menjawab soalanku itu. Dia memanggil pelayan. Aku sangkakan dia mahu membayar bil.

''Awak tidak kisah jika saya minum Marina?'' Tanya Daniel.

''Tidak. Saya okey,'' kataku walaupun jauh di lubuk hati, aku sebenarnya berasa kurang selesa. Namun apa lagi pilihan yang aku ada? Dan siapa pula aku untuk menghalangnya?

Daniel tersenyum. Dia meneruskan hasratnya  dan menempah segelas bir bersaiz besar. Daniel mula bercerita tentang Jennifer. Tentang hubungannya dengan bekas teman wanitanya itu. Tentang bagaimana dia mengagumi Jennifer. Tentang Karisma yang dimiliki oleh wanita itu, warna kulitnya, bahasa yang dituturkan dan banyak lagi.

Aku cuba mendengar dan memahami apa yang diluahkan oleh Daniel. Nampaknya, dia benar-benar menyayanginya. Aku cuba membayangkan rupa bentuk wanita itu seperti mana yang diceritakan oleh Daniel. Dalam diam, aku tiba-tiba mencemburui Jennifer. 'Siapakah wanita ini? Sehinggakan Daniel begitu tergila-gilakannya?' Aku tertanya-tanya.

Di saat Daniel membuka cerita tentang perpisahan mereka, aku nampak jelas betapa kecewanya dia dengan perpisahan itu. Dia masih terkesan dengan apa yang berlaku. Menurutnya, dia menyimpan banyak impian dan harapan pada hubungannya dengan Jennifer. Malang sekali, hasratnya tidak kesampaian.

''Saya sangkakan cinta kami ialah cinta sejati! Tetapi...'' Daniel menjadi semakin beremosi.

''Sekiranya Jennifer ingin kembali semula kepada awak, adakah awak akan menerimanya semula?''

Daniel diam. Dia meneguk lagi bir yang berada di hadapannya. Untuk yang ke berapa kali, pelayan telah dipanggil ke meja untuk menambah bir ke dalam gelas Daniel.

''Awak tahu Marina..." Daniel menyambung ceritanya. Soalanku dibiarkan tidak berjawab. Kali ini dia tersenyum.

"Apa dia Daniel?"

Daniel tidak cepat menjawab. Dia memerhatikanku dengan pandangan yang dalam.

"Awak dan Jennifer punyai karisma yang sama. Kelakuan awak, cara awak berkomunikasi, gerak laku dan suara. Semua mengingatkan saya tentang Jennifer. Sebab itu saya suka sangat apabila awak setuju untuk bekerja di Hey. Awak mengubati kerinduan saya pada Jennifer,'' kata Daniel.

''Serius?'' Aku memberi ekspresi seolah-olah dia sedang berjenaka. Aku cuba tersenyum walaupun apa yang diberitahunya benar-benar membuat aku tersentak. Namun, aku ketepikan dahulu perasaanku itu kerana aku tahu yang Daniel sudah mulai mabuk.

''Daniel. Saya rasa awak patut berhenti minum.''

''Tidak. Saya masih okey.''

Aku membiarkan seketika Daniel dalam dunianya sementara aku cuba mencari jalan keluar. Daripada Jennifer, dia mula bercakap tentang perangai rakan-rakannya yang buruk. Kemudian Daniel mula mengarut dan bercakap tentang kehidupan singa yang ditontonnya di Animal Planet dan tentang UFO yang konon-kononnya melawat villa yang pernah didudukinya di Puncak Alam.

Sama ada yang dilihatnya ketika itu UFO atau antena Astro, aku tahu aku tidak boleh membiarkan Daniel berterusan sebegitu. Sebelum dia memberi deskripsi mengenai objek itu dan menarik perhatian seluruh orang yang berada di Asia Cafe, aku perlu menguruskan Daniel dengan segera.


Tambahan pula, apa yang dikatakannya berkenaan dengan Jennifer juga membuatkan aku menjadi sedikit resah kerana dia mungkin akan 'melihat' aku sebagai Jennifer dan bukan Marina. Jika Daniel mulai melihat aku sebagai Jennifer, macam-macam yang boleh berlaku.

Lantas, aku terus menghubunginya adiknya Sarah yang kebetulan berada di Kuala Lumpur pada ketika itu. Sarah berjanji untuk datang segera. Dia kedengaran cemas apabila aku memberitahunya tentang Daniel, namun aku menyuruhnya bertenang kerana aku akan cuba sedaya upaya untuk melayan kerenah Daniel yang sedang berlayar dalam dunianya sendiri.

''Oh Danny. Bagaimana boleh jadi begini?'' Kata Sarah apabila melihat keadaan abangnya itu. ''Sudah lama dia tidak berkelakuan sebegini. Marina. Apa sebenarnya yang berlaku?''

''Dia terlalu banyak minum. Sebentar tadi, kami hanya makan malam dan duduk berbual tentang kerja. Tetapi apabila dia mula bercakap dengan Jennifer...''

''Jennifer?'' Tanya Sarah bagaikan tidak percaya.

''Ya.''

''Huh!'' Keluh Sarah sambil menggeleng-gelengkan kepalanya.

''Tidak mengapalah Marina. Saya bawa dia balik. Maaf kerana susahkan awak tadi. Terima kasih banyak ya.''

"Tiada apa-apalah Sarah. Kalau ada apa-apa nanti jangan lupa beritahu saya."

"Tiada masalah Marina. Kita jumpa lain kali ya."

"Semestinya..."


Sarah berlalu membawa Daniel pulang ke rumahnya dan bermula dari saat itu, rasa ingin tahu aku tentang Jennifer membuak-buak. Aku ingin sekali bertanya dengan lebih lanjut kepada Sarah berkenaan dengan hubungan Daniel dan Jennifer. Namun, bagaimana jika dia menyampaikannya kepada Daniel? Begitu juga dengan rakan-rakan sekerjaku yang lain. Apa pula kata mereka nanti? Pasti akan ada yang bergosip tentang aku dan jika sampai ke pengetahuan Daniel, aku pasti akan berasa amat-amat malu.

"Cubalah kau cari di Google," cadang Ally.

"Di Google?" Tanyaku hairan.

"Ya. Walaupun dia bukan Khairy Jamaluddin atau Aaron Aziz. Tetapi, orang tetap kenal dia. Aku pasti mesti ada cerita tentang dia dan Jennifer dahulu. Cubalah."

Walaupun ragu-ragu pada mulanya, aku merasakan apa yang dicadangkan oleh Ally itu boleh dipakai. Lalu, dengan perasaan ingin tahu yang membara, aku memasukkan 'Daniel Hey Editor & Jennifer' ke dalam kotak carian.

"Macam mana? Ada?" Tanya Ally.

"Ya. Ada beberapa link yang membawa aku kepada laman-laman gosip." Aku membuka beberapa laman tersebut. "Ya! Ada cerita-cerita lama tentang Daniel dan bekas teman wanitanya Jennifer," kataku kepada Ally dengan penuh bersemangat.

Aku menghabiskan masa berjam-jam membaca artikel-artikel dan cerita-cerita yang akui temui itu.

"Menarik," kataku sendirian sebaik sahaja aku habis membacanya. Aku menatap gambar-gambar wanita bernama Jennifer Adams itu. Secara jujurnya, aku akui dia ialah seorang wanita yang sangat menarik. Dia merupakan seorang pensyarah dalam bidang bahasa dan komunikasi di Universiti Kebangsaan Malaysia dan fasih bertutur dalam bahasa Melayu, Inggeris, Perancis dan Arab. Jennifer pernah melibatkan diri dalam beberapa penerbitan yang tertumpu kepada kajian dalam bidang psikolinguistik.

"Dia cantik, dia boleh jadi bintang filem kalau dia mahu," kata Ally yang tidak henti-henti memujinya. Dan aku rasa ramai lagi yang sependapat dengan Ally. Malah, aku rasa dia juga pernah terfikir untuk melibatkan diri dalam bidang perfileman. Tetapi, hubungannya dengan Daniel yang memberi peluang kepada Jennifer untuk berkenal rapat dengan ramai orang di media mungkin membuatkan dia berfikir dua kali.

"Aku tidak rasa dia nampak seperti aku. Tetapi, jika Daniel menyamakan aku dengan wanita sebegini, aku sepatutnya berasa bangga," kataku kepada Ally.

"Ya. Mungkin kau perlu bersemuka dengannya. Kemudian barulah kau tahu kenapa Daniel menyamakannya dengan kau."

Previous: Bab 27
Next: Bab 29

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.