Home Novel Alternatif Sfera
Bab 14

Bab 14: Spa Sari Ayu


“Maaf Marina. Saya tidak dapat datang malam ini ke tempat Michelle. Bukan saya sengaja. Tetapi tiba-tiba sahaja pakcik saya datang dari Melaka.''

“Okeylah. Hendak buat macam mana? Tidak mengapalah. Awak bawalah dia jalan-jalan.”

“Minta maaf banyak-banyak Marina. Saya terpaksa batalkan janji kita untuk pergi ke sana bersama-sama. Tetapi walau apa pun. Saya harap awak bergembiralah malam ini ya.”

Beep!!!! Bunyi trak sampah yang lalu di luar rumah pada ketika itu membawa aku keluar daripada fantasi. Fantasi tentang kemungkinan yang berlaku jika aku masih lagi bersama dengan Norman. Aku memandang ke arah cermin yang sedang memantulkan refleksi diriku yang masih berjubah mandi.

“Hai. Berangan lagi?” tegur Gina.

“Yup!” aku ketawa kecil.

Jika aku masih bersama Norman. Pasti ini pula akan berlaku antara aku dan Gina.

“Siapa yang telefon Marina?'' Gina akan bertanya.

“Norman,” aku akan menjawab ringkas.

“Hmmmm... biar aku teka. Dia tidak jadi datang, bukan?”

Aku pasti akan mengangguk sambil membuat riak muka ‘Ya. Tunanganku mengecewakan aku lagi’

“Kenapa pula dia tidak dapat pergi? Apa alasan dia kali ini?”

“Pak cik dia datang. Tidak akanlah dia hendak tinggalkan pula,” seperti biasa aku akan menggulung hujah membela Norman.

Gina pula pasti akan keluarkan pandangannya. “Aku bukan tidak percayakan dia Marina. Tetapi cuba kau tengok. Setiap kali ada majlis-majlis macam ini. Mesti dia mengelak. Terutama sekali kalau Michelle atau Ally yang buat. Entahlah. Tetapi, aku rasa dia seperti kurang selesa dengan mereka,” Gina akan menyatakan pendapatnya dan membuat konklusi tentang apa yang berlaku.

Tetapi, hatiku akan cuba menafikan kebenaran di sebalik apa yang dikatakannya.

Walaupun sekadar imaginasi. Kadangkala, perkara seperti itu boleh menjelaskan realiti sebenar sesuatu keadaan.

 Aku melupakan seketika fantasiku bersama dengan Norman dan memberi fokus kepada apa yang kami rancang. Aku dan Gina sedang bersiap untuk ke majlis pembukaan spa terbaru Michelle di Seksyen 13, Shah Alam.

“Bagaimana dengan baju aku Marina?'' Tanya Gina sambil berpusing-pusing di hadapanku.

“Wow!”' aku sengaja menterbeliakkan mataku. “Maksud aku...” sejujurnya aku tidak suka apa yang Gina pakai. Tidak pada malam itu kerana kami ada kejutan untuk Gina.

“Kenapa Marina? Tidak molek pada mata kau?''

Walaupun apa yang dikenakan oleh Gina di dalam dan di luar ialah barangan yang berjenama. Tetapi Gina nampak sedikit 'murah' dan 'berserabut' pada malam itu. Cuba bayangkan.

Gaun satin sutera, Gucci (warna hitam kebiruan)

Kasut tumit tinggi kulit bewarna perak daripada Roberto Cavalli. (aku ada satu dan kami berdua memakai kasut yang sama malam itu)

Rantai hip-hop sebagai penata gaya (katanya)

Stoking paras lutut, berbelang merah jambu dan hitam

Truck cap Bounty Hunter. Ditambah pula dengan bulu di kepala.

 “Aku rasa baju kau okey. Cuma lagi cantik kalau kau buang truck cap, bulu dan stoking itu. Nampak keterlaluan sangatlah. Lagi pun kita bukannya hendak pergi ke parti Urban Frequenz di La Queen.''

“Betulkah?”

“Betul. Less is more... ”

“Okey-okey. Aku tanggalkan semua yang kau cakap tadi.”

Gina masuk ke dalam biliknya semula. Dua puluh minit kemudian, dia memanggilku. Menyuruh aku untuk memilih baju yang sesuai untuk digayakan ke majlis itu.

Aku lihat ada satu gaun hitam putih bercorak bunga raya bersaiz sederhana yang tidak pernah dipakai Gina.

Cuma kasut sahaja yang tidak ditukarnya. Aku dan Gina telah berjanji untuk memakai kasut yang kami beli bersama di Ipoh beberapa bulan dahulu.

Untuk majlis pelancaran itu, aku mengenakan gaun satin putih berlapis renda hitam. Gaun pula daripada kedai barangan terpakai (sesuatu yang perlu dirahsiakan daripada Ally). Gabung padan. Aku tidak kisah membeli barang murah. Tetapi bukan barangan tiruan. Tidak sama sekali!  Apa yang pasti, aku tidak akan membiarkan diri aku nampak lebih menyerlah daripada Gina pada malam itu kerana malam itu seharusnya menjadi malam Gina.

“Marina. Ally sudah sampai,” kata Gina kepadaku.

“Bagaimana? Okey?”  Gina sekali lagi berpusing-pusing di hadapanku.

“Stunning!” Aku melakonkan semula gaya Meryl Streep apabila dipuji oleh Sophia Loren di Anugerah Oscar.

*****


“Alahai... ramainya orang....” kata Ally. Kami berpusing-pusing di sekitar blok kedai di Seksyen 13 bagi mencari slot yang strategik untuk letak kereta.

“Eh, Marina. Berapa ramai agaknya orang yang Michelle jemput?” Tanya Ally kepadaku.

“Entahlah. Aku pun tidak pasti. Ramai agaknya. Ruang tempat letak kereta pun penuh sahaja.”

“Bagaimana jika kita letak kereta di Giant?” cadang Ally.

“Oh Tidak! Aku tidak sanggup berjalan sejauh satu kilometer dengan pakaian sebegini,” bantah Gina.

“Ya. Tidak dengan kasut tumit tinggi ini,” kataku menyokong.

“Okay, ladies!!!”Ally mengalah.

Akhirnya. Selepas lama menunggu dan berpusing-pusing mencari, sebuah kereta di hadapan 7-11 keluar dari lotnya. Dengan segera, Ally memarkir keretanya dan kami bertiga berjalan menuju ke arah spa.

Dari jauh lagi, kelihatan satu belon besar dilepaskan satu kilometer dari tapak spa bagi menunjukkan kepada orang ramai yang lalu lintas mengenai kewujudan spa baru itu. Menurut Ally, beberapa orang wartawan dijemput untuk menulis mengenainya.

Dengan penuh keterujaan, kami melangkah masuk ke dalam Spa Sari Ayu yang dihias cantik untuk majlis pelancaran pada malam itu.  Mataku melilau mencari Michelle di tengah-tengah puluhan tetamu yang mula memenuhi ruangan spa.

“Yuhuuuuu!” suara Michelle kedengaran. Dia datang dari arah belakang. “Terima kasih kerana sudi datang.”

“Terima kasih kerana menjemput,” kata Gina. Mereka saling berpelukan.

“Marina tidak bawa Norman?” Tanya Michelle kepadaku.

Aku terdiam seketika. Ketika itu hatiku berkata 'Oh! Michelle... aku tahu kau sibuk. Tetapi janganlah sampai kau terlupa tentang aku dan Norman.'

“Aduh sayang! Aku terlupa pula. Kau faham-faham sahajalah,” kata Michelle. Dia ketawa kecil. “Tidak apalah. Jangan sedih-sedih. Malam ini ialah masa untuk kau beraksi nakal. Yang datang semuanya meletup-letup belaka! Aku memang sengaja jemput mereka.''

''Untuk aku?'' Tanyaku dengan riak muka penuh keterujaan.

''Ya, Marina! Untuk kau. Tetapi jangan tersalah pilih. Nanti tidak pasal-pasal tersangkut dengan 'dot dot dot' pula.”

“Ada-ada sahaja kau ini,” aku dan Gina mencubit Michelle walaupun aku sendiri tidak tahu apa yang Michelle maksudkan dengan 'dot dot dot'.

“Gurau sahaja. Tetapi walau bagaimana pun, cantik kamu semua malam ini. Gina pun nampaknya tidak pakai aksesori yang eksotik. Kenapa? Tiada tajaan?” kata Michelle. Dia mengenyitkan matanya kepadaku. Sebagai tanda bahawa aku telah melaksanakan tugasku dengan baik. Kami sememangnya mempunyai rancangan untuk Gina dan kalau boleh, kami mahu dia kelihatan cantik dan ringkas malam itu.

“Dia terpaksa jual sebab hendak bayar duit kereta kekasih muda baru dia...” jawab Ally.

“Sudah tukar selera rupanya. Bukankah kau selalu suka yang tua?” soal Michelle.

“Kau percayalah cakap si Ally ini, Michelle...” kata Gina.

“Kalau betul pun apa salahnya. Okeylah, aku kena pergi stesyen mencuci rambut sekejap. Duduklah ya. Jangan malu-malu. Ambiklah apa-apa yang hendak dimakan,” kata Michelle.

“Baiklah kakak,” kata Ally.

Michelle berlalu pergi meninggalkan kami. Daripada isyarat yang diberikan Michelle kepada aku dan Ally, kami dikehendaki untuk bersedia dengan langkah yang seterusnya. Fokus kami ketika itu ialah Gina dan kejutan yang kami rancang untuknya.

Kami berbual dengan Gina seperti biasa sambil menikmati minuman yang disediakan dan meneliti rekaan Spa Sari Ayu yang baru dibuka itu. Ketika kami sedang asyik berbual seluruh Spa bertukar menjadi gelap. Pantas membuatkan tetamu yang datang panik. Dalam keadaan gelap itu, tanganku ditarik seseorang.

''Marina, ikut aku,'' suara bisikan itu datang daripada Michelle.

Dengan segera, aku meninggalkan Gina bersama-sama dengan Ally dan menuju ke pentas utama.

''Baiklah, Marina. Kita lakukan seperti mana yang dirancang.''

''Okey. Tetapi, aku sedikit gementar.''

''Jangan bimbang. Anggap sahaja mereka seperti cahaya yang lut sinar,'' Michelle cuba menggunakan teori metafizik yang baru dipelajarinya untuk menenangkan aku.

Aku cuba bertenang dan menganggap mereka seperti cahaya lut sinar seperti mana yang diberitahu oleh Michelle. Akan tetapi, apabila cahaya lampu sorot diterangkan dan ke semua yang hadir mengalihkan perhatian kepadaku yang sedang berdiri disimbahi cahaya itu di atas pentas, satu perasaan lain muncul.

Dari atas pentas, aku dapat melihat Gina dan Ally yang sedang berdiri di tengah-tengah tetamu yang datang. Gina membuat riak muka 'apa yang kau buat di atas?' kepadaku.

Aku tidak membalas pertanyaannya kerana muzik lagu yang akan aku nyanyikan sudah mula berkumandang. Dengan penuh rasa gemuruh di dada, aku mula menyanyi.

“Father has a business strictly second hand. Everything from toothpicks to a baby grand. Stuff in our apartment came from father's store. Even things I'm wearing someone wore before.”

“Everyone knows that I'm just Second hand Rose. From Second Avenue. From Second Avenue. Nu!”

Ke semua tetamu yang hadir bertepuk sebaik sahaja aku habis menyanyi. Untuk seketika, aku merasakan diriku seperti seorang bintang. Seluruh spa digelapkan sekali lagi. Dengan sepantas kilat, aku kembali mendapatkan Gina dan Ally.

Seperti yang dirancang, aku mengambil tempatku dan berdiri tepat di hadapan Gina. Lampu sorot dinyalakan dan kemudian dihalakan kepada Gina.

''Tuan -tuan dan puan-puan, saya perkenalkan tetamu istimewa saya hari ini, Gina!'' suara Michelle kedengaran begitu bersemangat sekali.

Gina nyata terkejut dengan semua itu. Dia nampak terpinga-pinga. Daripada riak wajahnya dia seolah-olah bertanya.

'Adakah aku nampak cukup cantik? 'Adakah aku nampak tenang, gementar ataupun bingung? Dan 'Apa yang sebenarnya berlaku di sini?'

Aku yakin, pada saat itu dia tidak dapat menduga apa yang kami rancang untuknya.

“Selamat hari jadi! Selamat hari jadi!” kami beramai-ramai menyanyi. Michelle dan Ally pula membawa kek yang telah siap sedia dibeli sejak petang.

Gina mengalirkan air mata. Dia nyata gembira dan terharu. Cuma ada sesuatu tentang riak mukanya yang membuatkan hatiku berdetik untuk menduga apa yang difikirkannya.

''Hari ini bukan hari jadi aku,'' Gina berbisik kepada aku dan Ally.

'''Becoming' is better than 'Belated', right?'' Jawabku ringkas.

Selepas upacara potong kek dan bergambar, Michelle mencadangkan Gina untuk merasai khidmat urutan kepala dan cuci rambut percuma yang disediakan oleh Spa Sari Ayu pada hari itu. Itu juga merupakan satu hadiah kepada Gina sempena hari jadinya. Aku membiarkan birthday girl kami itu menikmati malamnya. Ally pula awal-awal lagi telah ke tingkat atas untuk mendapatkan khidmat urutan kaki.

Aku pula duduk menikmati makanan yang disediakan seorang diri. Menyanyi dalam keadaan gementar membuatkan aku lapar. Seketika, aku memikirkan tentang Gina.

Riak wajah yang ditunjukkan apabila kek dihidangkan kepadanya. Sukar untuk aku menjelaskannya, ketika itu Gina seperti dibelai dan dia seperti ditampar. Luahan perasaannya tentu kompleks jika riak wajahnya diterjemahkan dalam kata-kata.

Konsentrasiku terganggu sebentar apabila seorang lelaki menegurku.

“Hai. Boleh saya duduk?” Tanya lelaki itu. Tangan kanannya memegang sepinggan sate.

“Mmm.. ya. Duduklah,” kataku sambil tersenyum.

“Betul? Bagaimana dengan kawan-kawan awak?”

“Semua pergi cuci rambut.”

“Betulkah?”

“Ya. Maksud saya seorang pergi cuci rambut. Seorang lagi pergi berurut,” jelasku kepadanya. Pantas membuatkan aku terfikir kenapa aku perlu menjelaskannya kepada lelaki itu.

Dia hanya tersenyum sambil melabuhkan punggungnya.

“Berselera awak makan nampaknya...” aku menegurnya.

“Oh! Saya memang suka makan sate,” jawabnya dengan mulut yang penuh.

“Begitu...” aku mengangguk perlahan.

“Awak makan itu sahaja?” Dia menunjuk kepada kek yang yang sedang aku makan.

“Saya akan tambah lagi nanti. Biar apa yang baru saya makan tadi terhadam dahulu.”

“Okey. Faham...” katanya sambil mengangguk-anggukkan kepala.

Aku tertanya-tanya apa agaknya yang sedang difikirkannya. Mungkin dia terfikir yang aku sedang berdiet.

“Jadi awak kenal rapat dengan Michelle?” Giliranku membuka bicara setelah lama kami membisu.

“Oh. Tidak kenal sebenarnya. Kawan saya yang ajak teman. Awak pula bagaimana? Kenal rapat dengan Michelle juga?”

“Bolehlah. Agak rapat.”

“Oh ya! Sedap awak nyanyi tadi...”

Aku hanya tersenyum. Teragak-agak untuk memberikan respon.

“Lupa hendak kenalkan diri. Nama saya Harry. Awak pula?”

“Nama saya Marina.”

'Di manakah dia semasa aku menyanyi di atas pentas tadi? Tidak nampak pun batang hidung dia' aku bertanya sendirian “Terima kasih atas pujian awak tadi...”

''Awak memang meminati muzik Marina?''

''Boleh juga. Maksud saya, ya. Saya memang minat muzik.''

''Kalau begitu, boleh saya tanya satu soalan?''

Aku tidak suka dengan soalan itu sebenarnya. Sungguh! Soalan seperti itu buat aku berdebar-debar.

''Boleh. Tetapi kalau terlalu peribadi, jangan marah kalau saya jawab ‘no comment’,'' kataku dengan nada bersenda.

Dia tertawa kecil, menghirup air jus yang berada di tangannya sebelum menyambung bicara.

''Apa pendapat awak tentang revolusi muzik sekarang?''

'Revolusi muzik?' aku bersoal sendirian. Wow! Ini soalan cepu emas dan yang pasti, aku sukakannya kerana topik ini memang selalu aku fikirkan.

''Maksud awak bisnes muzik? Jualan rekod di pasaran?''

''Umm.. Hmm..'' dia menganggukkan kepalanya. Mulutnya masih penuh dengan sate.

''Hmmm.... Bagi saya'' aku menyusun bicara. ''Muzik akan kekal wujud. Artisan muzik sentiasa akan lahir. Oleh kerana rekod muzik tidak lagi selaku seperti tahun lapan puluhan dan sembilan puluhan, saya rasa fokus muzik akan beralih dan bergantung kepada live show''

''Awak fikir begitu?''

''Ya. Teknologi mengubah segalanya. Artisan muzik perlu merekod muzik. Tetapi mentaliti rekod muzik untuk dijual perlu diubah kepada rekod muzik untuk mempromosi dan mengekalkan status relevan mereka dalam masyarakat.''

Mungkin perasaan aku sahaja ketika itu, tetapi aku rasa daripada riak muka yang ditunjukkan, dia nampak kagum dengan apa yang aku katakan. Kami meneruskan lagi perbualan kami mengenai bisnes muzik. Sepanjang perbualan kami, aku tidak dapat menyembunyikan rasa kagumku kepadanya dan sekali lagi, Norman pantas terlintas dalam fikiranku. Aku berkata-kata dalam hati, 'Ini topik yang aku dan Norman selalu bualkan!'

Aku tidak henti-henti menyoal kenapa aku ditemukan dengan lelaki yang mempunyai karisma yang sama seperti Norman. Aku mengeluh dalam diam.

Memandangkan pengetahuannya yang luas tentang bisnes muzik, aku tergerak untuk bertanya siapakah dia dan pekerjaannya. Namun hasratku itu terbantut apabila seorang wanita menghampiri kami.

''Amboi rancak berbual…'' kata wanita itu.

''Jen...'' dia nampak menggelabah. Seolah-olah takut akan dimarahi oleh wanita itu.

“Jen?” Berkerut dahi wanita itu.

“Maaf. Maksud saya, Rita… Ya! Rita.”

“Perkenalkan, ini Marina.”

“Marina, ini Rita,” kami bersalaman. Mungkin perasaan aku sahaja, tetapi senyuman plastik terlihat jelas pada wajah wanita itu. Cemburu barangkali.

“Kita sudah lambat.. Jom kita balik. Nanti papa saya bising pula nanti,” Rita melihat jam tangan di lengan kirinya.

“Jom! Saya rasa kita boleh bergerak sekarang,” angguk Harry tanda setuju.

“Kami berdua minta diri dahulu ya Marina. Kalau ada jodoh kita jumpa lagi,” ucap Harry. Berkerut wajah perempuan itu apabila mendengar perkataan ‘jodoh’ keluar daripada mulut Harry.

“Baiklah. Harap-harap begitulah,” kataku sambil tesenyum sebelum menyedari apa sebenarnya yang aku katakan. Aku memarahi diriku kerana dengan jelas menyatakan yang aku berharap kami akan bertemu lagi.

'Siapa pula Jen?' soalku sendirian. Ah! Mungkin aku baru bercakap dengan Encik Kasanova yang suka menguji kuasa dan kemahirannya. Aku memerhatikan mereka keluar. Sebelum keluar, Harry menoleh ke arahku. Dia mengangkat tangannya dan melemparkan senyuman. Aku membalasnya dengan senyuman. “Boleh tahan juga dia ini,” kataku sendirian.

Tidak lama kemudian, Ally dan Gina pun datang. Aku dapat menghidu bau wangi yang barangkali datang daripada syampu yang mereka gunakan secara percuma.

“Ah! Leganya lepas kepala diurut,” kata Ally.

“Betul! Hilang semua pening kepala aku tadi,” Gina angguk bersetuju.

“Ya. Tangan Michelle ada magis,” kata Ally. Mulutnya disumbat dengan sate yang masih berbaki di atas meja.

‘Eh. Marina. Siapa minum dengan kau tadi? Ada dua cawan dan satu pinggan... hmm.. ini bekas sate kalau tidak silap aku,” tanya Gina.

''Tetamu...'' jawabku ringkas. Berharap mereka tidak bertanya lanjut.

''Lelaki?'' soal Ally penuh keraguan.

''Ya.''

''Apa namanya?'' Gina nampak bersemangat.

''Namanya Harry.''

“Wah. Segakkah dia?”

“Ya. Segak. Tetapi lupakanlah Gina, dia ini lebih kurang macam Georges Duroy.”

“Oh… Jadi Encik Kasanova itu berjaya dapatkan nombor Cik Marina kitakah?”

''Tidak,'' aku menggeleng. Berasa sedikit bangga kerana menjual mahal.

''Facebook?'' soal Ally pula.

''Twitter?'' Gina kembali mengambil giliran.

''Apa namanya tadi Marina? Terlupa pula aku.''

''Harry....''

 “Sedap namanya,” kata Ally. Ally dan Gina berterusan bertanya mengenai lelaki itu. Namun, aku berjaya mengubah topik perbualan dengan memberi hadiah yang telah aku sediakan untuk Gina. Sebuah kot trenc daripada jenama kegemaran Gina. Kot itu telah aku beli tujuh bulan sebelumnya ketika Jusco mengadakan jualan Mega di Stadium Melawati Shah Alam. Selain daripada murah, aku cuba untuk mengelakkan kelam-kabut mencari hadiah di saat-saat akhir.

“Eh. Jom balik. Sudah lambatlah...” cadang Gina. 

“Urutan kepala tadi buat aku rasa hendak terlelap pula. Gina, kau bawa kereta boleh?” kata Ally sambil olok-olok menguap.

“Boleh. Tiada masalah.”

Kami berjumpa dengan Michelle dan mengucapkan terima kasih atas apa yang diberi dan terus berlalu.

Di dalam kereta, aku tidak henti-henti berfikir tentang Gina. Daripada satu sudut dia nampak gembira tetapi daripada sudut yang lain dia nampak runsing. Terutama sekali apabila dia memandang kek yang terhidang dihadapannya. Kek yang bersaiz besar itu dihiasi dua puluh sembilan lilin bagi meraikan keberadaan Gina di dunia maya. Atau pun itu hanya perasaanku sahaja. Ini bukanlah bermaksud yang Gina langsung tidak gembira dengan kejutan itu. Ke semua orang yang berada di situ gembira dan Gina tidak terkecuali.

Namun, riak muka Gina seolah-olah mengatakan bahawa 'Aku  gembira kerana kamu semua mengingati dan menghargai aku tetapi aku juga risau akan umurku'. Seperti wanita-wanita yang lain, isu usia ialah isu yang penting dalam hidup Gina. Dua hari selepas kejutan hari jadinya itu, umurnya mencecah dua puluh sembilan tahun.

Gina seorang wanita moden yang dicemburui ramai. Namun, dia agak konvensional dalam sesetengah perkara. Gina sukakan fantasi dan idea daripada filem-filem romantik. Dia juga percaya dan menerima perbezaan tugas gender secara konvensional dalam kehidupannya.

Seperti ramai orang, Gina ingin berkahwin, mempunyai pasangan hidup, anak dan mempunyai keluarga sendiri. Namun hubungan cinta Gina dengan lelaki tidak pernah kekal. Entah di mana silapnya. Masalah pasti akan muncul di pertengahan. Sama ada Gina atau lelaki-lelaki itu yang silap, hanya mereka sahaja yang tahu.

Sejak dua tahun kebelakangan ini, Gina mula keluar dengan lelaki-lelaki muda yang rata-rata berumur di antara dua puluh hingga dua puluh dua tahun. Yang terbaru ialah Hani, seorang lelaki berumur dua puluh dua tahun yang baru sahaja tamat pengajian di kolej. Jika dikira pada bulan itu, sudah lima belas bulan mereka menjalinkan hubungan. Sebelum itu, dia juga menjalinkan hubungan dengan dua lelaki yang lebih kurang sebaya dengan Hani iaitu Adi dan Terry yang mana hubungan itu berakhir dalam tempoh tiga bulan.

Kami risau dengan situasi Gina kerana dia menghabiskan masa, wang dan tenaga yang banyak untuk Hani. Aku tahu dia juga mengharap sesuatu yang lebih daripada Hani. Tetapi persoalan yang sering aku tanya ialah, apa yang Hani harapkan daripada Gina?

Ada beberapa orang kawan kami pernah berkata yang Gina sudah terlalu tua untuk permainan cinta yang sebegitu rupa. Benarkah?

Sebenarnya isu usia ini bukanlah satu perkara yang baru bagiku. Isu itu ialah sesuatu yang selalu dibangkitkan. 

Setiap kali orang berkata yang aku nampak lebih muda daripada usia sebenar, aku tidak tahu sama ada aku patut bergembira dengan komen itu ataupun tidak. Persoalan yang selalu bermain di fikiranku ialah, 'apakah wajah yang sesuai untuk seseorang yang berusia dua puluh lima tahun?'

Namun, aku juga tidak pernah lari daripada memberikan pendapat yang tipikal tentang isu usia. Rani pernah mengeluarkan telefon bimbitnya dan menunjukkan kepadaku gambar-gambarnya dan Sosila yang sedang asyik bermain kasut roda di Extreme Park, Shah Alam.

“Wow! Hebat sungguh Sosila! Masih aktif di usia lima puluhan,” itulah respon yang aku beri.

Rani hanya tersenyum apabila mendengar kata-kataku. Senyuman Rani membawa erti, 'adakah kita perlu terus mati apabila mencecah usia lima puluhan?' Yang nyata, kami berdua ada sentimen tersendiri. Pertama, lebih kepada soal penampilan dan yang kedua adalah tentang cara hidup. Sejujurnya, apa yang aku katakan bukanlah datang daripada hatiku sendiri. Aku selalu mendengar kata-kata itu daripada orang lain dan hanya mengulang sahaja apa yang mereka katakan. 'Apabila mencecah umur sebegini, sepatutnya awak begitu dan begini'. Seolah-olah bermaksud, semakin meningkat angka ulang tahun kelahiran kita, pengalaman kita sememangnya semakin bertambah tetapi had dan batasan yang diletakkan kepada kita juga semakin banyak.

Jangkaan ini sebenarnya lahir semasa kita membesar. Melihat datuk, nenek dan ahli keluarga kita berdepan dengan isu usia, kita mencipta persepsi, 'Oh! Kita perlu lakukan ini pada umur dua puluhan', 'Oh! Saya sudah berumur tiga puluh lima tahun. Saya sepatutnya begitu dan begini'. Ke semua ini ialah apa yang dirasakan ideal dan normal oleh masyarakat.

Tetapi, tidak semuanya bertuah dan dapat mengikut ideal itu. Ada yang gagal dalam perkahwinan atau percintaan berkali-kali dan perlu masa untuk pulih. Ada yang perlu mengulang semester semasa belajar di kolej. Masing-masing ada realiti dan cabaran yang berbeza. Jadi, apakah erti setiap tahun kehidupan mereka yang membawa erti kata ‘ideal’ bagi kamus sesebuah stereotaip?

Secara peribadi, melihat golongan berusia lima puluhan yang aktif, bertenaga dan obsesif sebenarnya memberi kita satu inspirasi untuk terus positif dan sentiasa bereksperimen dalam kehidupan. Jiwa dan semangat kita tidak perlu mati apabila mencecah umur lima puluhan. Bak kata Mark Twain, ''age is an issue of mind over matter. If you don’t mind, it doesn't matter''.

Kita adalah apa yang kita fikirkan. Jika kita fikir kita terlalu muda atau tua untuk sesuatu perkara. Jadi, mungkin ya.

Previous: Bab 13
Next: Bab 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.