Home Novel Alternatif Sfera
Bab 19

Bab 19: Superman


"Ada apa yang berlaku?" Tanyaku kepada Miss R sebaik sahaja aku sampai di pejabat. Suasana di Hey ketika itu sedikit berbeza daripada hari-hari yang lain. Masing-masing nampak begitu sibuk sekali. Aku melihat jam di tangan. Aku sangkakan, aku yang lambat sampai ke pejabat. Namun, jam menunjukkan yang aku masih ada lagi dua puluh minit sebelum waktu kerja bermula.

"Daniel sudah kembali ke pejabat!" Jawab Miss R. Dia berlalu meninggalkan aku dan segera keluar dari bahagian editorial dengan membawa beberapa dokumen di tangan.

"Habislah aku! Habislah aku!" Miss B pula masuk ke bahagian editorial dengan keadaan yang kelam-kabut. Dia terus mengambil tempat duduk di sebelahku.

"Marina. Pinjam pen," belum sempat aku memberi kebenaran, dia pantas mengambil pen yang baru aku beli itu dan menulis sesuatu di atas beberapa helaian kertas yang dipegangnya. 

Aku mula mengemas apa yang patut. Itu rutin harianku sebelum aku memulakan tugas. Tidak berapa lama kemudian, Chan pula masuk ke Editorial. Wajahnya nampak tenang seperti biasa. Namun, langkah yang diaturnya pantas. Nampak jelas dia sedang bersegera. Dia datang ke mejaku.

"Marina. Beri saya dokumen yang saya beri pada awak semalam," kata Chan. 

"Okey. Sebentar ya," Aku segera mencari fail yang dikehendakinya itu di dalam laci dan menyerahkannya kepada Chan. Miss B yang berada di sebelah kiriku tetap tekun dengan apa yang dilakukannya. Dia tidak langsung mengendahkan kehadiran Chan.

"Ini dia Chan,"

"Terima kasih," pantas dia mengambil fail yang aku hulurkan kepadanya dan terus meluru menuju ke biliknya. Namun setelah beberapa langkah, dia berpaling semula.

"Oh Ya! Marina, awak tahu Daniel akan datang ke pejabat hari ini?" Tanya Chan kepadaku. Dia nampak serius.

"Ya," aku mengangguk-anggukkan kepalaku.

"Bagus," Chan terus berlalu meninggalkan aku dan Miss B.

"Sibuknya kamu semua..." kataku kepada Miss B.

"Ada banyak lagi yang tidak siap Marina. Sebab itulah...! Daniel sepatutnya masuk pejabat esok. Bukan hari ini!" 

"Daniel akan marah kita semua nantikah Miss B?"

"Tidak. Tetapi, kami tidak mahu dia fikir yang kami tidak mampu untuk bekerja tanpa seliaannya," jawab Miss B.

"Oh begitu..." kataku tanda faham.


"Hai! Semua baik-baik sahaja di sini?" Seorang lelaki berkaca mata tiba-tiba sahaja datang ke bahagian editorial. Miss B tercengang untuk seketika.

"Ya... Ya.. Daniel. Semua okey," jawab Miss B. Dia tergagap-gagap.

'Oh! Ini rupanya Daniel...' hatiku berkata-kata. Aku memerhatikan lelaki itu dengan teliti semasa dia bercakap dengan Miss B. Ketika itu, fikiranku didatangi berbagai persoalan kerana wajah Daniel nampak begitu biasa sekali bagiku. Aku yakin yang aku pernah melihatnya sebelum pertemuan kali pertama itu. Tetap bila? Di mana? Aku tertanya-tanya.

Daniel tidak begitu mengendahkan aku pada awalnya. Dia hanya mampu memberikan senyuman yang biasanya diberikan seseorang kepada orang yang tidak dikenalinya. Apabila Miss B memperkenalkan aku sebagai kerani baru di situ kepadanya, barulah dia bertanya itu dan ini kepadaku.

"Chan ada di dalam pejabat?" Tanya Daniel kepadaku.

"Ya..." aku mengangguk pantas.

"Terima kasih," Daniel meninggalkan aku dan Miss B. Dia berlalu mencari Chan.

'Boleh tahan juga' hatiku terdetik berkata. Aku cuba untuk kembali menyiapkan kerjaku. Namun, dua puluh peratus perhatianku tetap pada lelaki bernama Daniel yang baru sahaja aku temui itu. Warna kulitnya cerah, dia berpakaian kemas, berkaca mata Calvin Klein, berkarisma dan mempunyai personaliti yang sungguh menawan. Jauh daripada apa yang pernah Harry ceritakan padaku.

"Muka dia macam pernah nampak..." beritahuku kepada Miss B.

"Siapa? Daniel?"

"Ya," aku mengiyakan tekaannya.

"Nampak dalam mimpi agaknya. Mimpi yang awak lupa. Memang selalu jadi,'' kata Miss B separuh berbisik. Aku hanya tersenyum. Aku ingin berfikir dengan lebih lanjut lagi mengenainya. Namun, aku terpaksa menyimpan hasratku itu untuk sementara waktu kerana kerjaku yang bertimbun. Rata-ratanya, fail-fail yang diberikan kepadaku diletakkan label 'urgent' dan 'emergency'.

Satu jam kemudian, Harry menghantar mesej kepadaku.


-Sudah jumpa dengan Ketua Editor?-

-Sudah. Sombonglah-

-Sombong? Kenapa awak fikir begitu? Sebab dia tidak tanya tentang makanan kegemaran awak? :p-

-Bukanlah sampai begitu. Sudah. Tidak perlu kita bercakap tentang Daniel. Kenapa awak tidak datang hari ini? Bila awak akan kembali ke Hey?- 

-Ada urusan di UM. Saya perlu periksa kamera-kamera di UM. Lusa nanti saya datang sebab Daniel akan adakan mesyuarat-

-Saya tidak diberitahu pun tentang mesyuarat itu-


Harry tidak memberi sebarang respon mengenainya. Namun aku tidak tergerak untuk menghubunginya terus melalui telefon. Aku mengalihkan perhatianku kepada kerja-kerjaku. Pada malam itu, ketika Harry menghantar mesej bertanyakan khabar, aku tidak langsung teringat untuk bertanya tentang mesyuarat itu.


******


Tepat seperti mana yang diberitahu oleh Harry, Daniel memanggil kami semua untuk satu sesi mesyuarat. Aku bersama-sama dengan Miss B, Miss R dan Miss D bergerak bersama-sama ke bilik mesyuarat. Chan, Daniel, Susan, Carmen, Dee, Teresa, Rushdee dan beberapa yang lain awal-awal lagi sudah berada di sana. Ketika semua orang sudah berada di dalam bilik mesyuarat memerhatikan perbualan antara Daniel dan Chan, Harry masih tidak kelihatan. Pantas, aku menghantar mesej kepada Harry untuk bertanyakan tentang keberadaannya.

-Harry. Di mana awak? Tidak datang mesyuarat?-

Namun, lima minit berlalu tanpa sebarang respon.

Selepas menyemak beberapa dokumen yang diberikan oleh Chan, Daniel melihat jam di tangannya. Kemudian, dia mengalihkan pandangannya kepada beberapa kerusi yang masih kosong. Ketika itu, aku cukup yakin yang dia sedang menunggu Harry walaupun dia tidak menyatakannya secara langsung. Namun, bayang Harry masih tidak kelihatan. Yang lain pula ternanti-nanti apa agaknya yang ingin dikatakan oleh Daniel.

"Ada baiknya jika kita mulakan mesyuarat ini sekarang," kata Daniel. Dia membuka fail yang berada di hadapannya dan memulakan mesyuarat. Fokus pada ketika itu adalah tentang edisi terbaru Hey yang akan dihantar untuk pencetakan dalam masa tiga belas hari sahaja lagi.

'He has a way with words,' kataku dalam hati ketika melihat Daniel mengendalikan mesyuarat itu. Kata-katanya tersusun, mesejnya jelas dan dia nampak tenang sepanjang mesyuarat.

"Terima kasih semua. Boleh bersurai sekarang," tepat dua puluh minit dari waktu mesyuarat bermula, Daniel menamatkan mesyuarat itu.

Aku segera memeriksa telefon bimbitku dengan harapan, ada mesej yang dibalas oleh Harry. Namun, aku kecewa kerana tiada apa-apa maklum balas yang aku dapat darinya. Hatiku mula resah. Fikiranku mula memikirkan kemungkinan yang tidak baik. Aku takut kalau ada apa-apa yang terjadi kepada Harry. Aku percaya, Harry bukanlah jenis yang sengaja tidak mahu menghadirkan diri ke mesyuarat penting sebegitu. Aku hampir pasti, ada sesuatu yang berlaku kepadanya.

Masing-masing mula meninggalkan bilik mesyuarat melainkan Chan dan Daniel yang masih sibuk berbincang. Aku pula diminta oleh Chan untuk menunggu di situ sehingga dia habis berbincang dengan Daniel. Aku mendengar perbualan mereka berdua. Ketika itu, ada sesuatu tentang Daniel yang membuatkan aku terfikir tentang hubungannya dengan Harry. Aku terfikir bagaimana agaknya Harry boleh tahu segalanya tentang Daniel dan apa yang menyebabkan Harry yang santai itu boleh menjadi orang kepercayaan Daniel yang begitu mementingkan kesempurnaan? Aku tidak mampu memikirkan jawapan kepada persoalan yang aku ciptakan sendiri. Lalu, aku membiarkan sahaja semua itu pergi seperti mimpi di petang hari.

"Marina! Mari!" Chan mengajak aku beredar sebaik sahaja dia dan Daniel mencapai persetujuan untuk menukar kulit muka hadapan edisi terbaru Hey. Aku menghentikan segala persoalanku tentang Harry dan Daniel dan bersiap sedia untuk mengikuti Chan keluar dari bilik mesyuarat. Serentak aku bangun dari tempat duduk, Daniel perlahan-lahan membuka cermin matanya. Dia memandang ke arahku dan mengukir sebuah senyuman.

"Oh!" Aku berhenti menarik nafas buat beberapa saat. Aku tidak percaya dengan apa yang aku lihat. Hatiku menjerit-jerit apabila melihat Daniel tidak berkaca mata buat kali pertama.

"Harry?" Kataku perlahan. Aku berlagak tenang. Namun, hatiku menjerit-jerit 'Mustahil! Mustahil! Mustahil'

"Harry?" Chan memandangku, kemudian dia memandang Daniel, "Siapa Harry?"

"Tiada sesiapa," aku menggelengkan kepala. "Jom kita ke Editorial Chan!" Aku sekali lagi memandang ke arah Daniel yang sedang tersenyum penuh makna. Aku berlalu meninggalkan bilik mesyuarat itu dengan segera.

Aku kembali ke mejaku. 'Apa yang berlaku sebenarnya? Bagaimana aku boleh tidak pernah sedar bahawa Daniel dan Harry ialah orang yang sama?' Aku sudah jadi seperti belut kena ranjau. Monologku menjadi semakin panjang. Setiap satu babak bersama 'Harry' yang berada dalam ingatanku berputar dan bermain berulangkali. Bermula dari saat aku menyelamatkan sapu tangan Hermesnya ke saat dia menjengukku pada hari pertama bekerja sehinggalah saat terakhir aku menghantar mesej kepadanya.

"Patutlah... Patutlah... Patutlah..." kataku sendirian. Beberapa kali aku menepuk dahiku. Segala kemusykilan yang pernah aku rasakan sebelum itu terjawab satu persatu.


"Marina. Daniel mahu berjumpa," Chan mengejutkan aku daripada lamunan tentang 'Harry'.

"Okay, Chan!"

Aku menggerakkan kakiku menuju ke pejabat ketua editor. Perlahan-lahan aku melangkah sambil menyusun ayat dan respon yang ingin aku berikan kepada Daniel tentang seorang lelaki bernama 'Harry'.

Perlahan-lahan, aku membuka pintu pejabat ketua editor. Aku cuba berlagak tenang. Cuba berlagak yang aku tidak terkesan dengan semua itu.

"Ya. Encik Harry hendak berjumpa dengan saya?" Kataku sebaik sahaja aku masuk ke dalam pejabatnya. Daniel tersenyum apabila mendengar aku memanggilnya dengan nama rekaannya itu.

"Tiada siapa yang panggil saya Harry di sini Marina," kata Daniel sambil menyandarkan badannya pada kerusi. "Panggil sahaja Daniel," Senyuman yang dilemparkannya berbaur nakal dan seolah-olah memberitahu hatinya sedang menjerit-jerit meraikan helahnya yang telah berjaya mengelirukan aku. 

"Duduklah Marina..."

"Apa yang ada di sebalik cermin mata Calvin Klien awak itu Harry? Maksud saya... Daniel? Atau Harry?" Sengaja aku melakonkan kekeliruanku kepadanya.

"Daniel. Saya Daniel," katanya sambil tertawa.

"Tertipu saya selama ini. Harry dan Daniel ialah orang yang sama rupa-rupanya," kataku sambil menggeleng-gelengkan kepalaku. Aku masih sukar untuk mempercayai apa yang baru terbongkar "Sangat mengagumkan. Awak mampu mengubah identiti awak dengan hanya menggunakan satu prop."

"Prop? Jadi awak samakan ini dengan persembahan pentas?"

"Ada nama lain yang lebih sesuai untuk drama yang awak cipta ini Daniel?"

"Awak marah dengan saya Marina?"

"Tidaklah. Cuma... sedikit terkejut. Saya rasa seperti diperangkap. Tetapi bila difikirkan, lucu juga"

"Jangan salah sangka Marina. Saya bukan mahu perangkap awak. Itu sebenarnya satu cara untuk saya memperkenalkan diri kepada awak."

"Oh begitu. Jadi sudah berapa lama lelaki bernama Harry ini wujud sebenarnya?"

"Sejak Jen..." Daniel terhenti, dia seperti memikirkan sesuatu. Sekali lagi dia menyebut nama Jen yang pernah aku dengar semasa pertama kali aku bertemu dengan Harry di majlis perlancaran Spa Sari Ayu. "Sudah lama sebenarnya," jawab Daniel.

"Hmmm. Pasti ada cerita di sebalik nama itu bukan?"

Daniel terdiam. Dia hanya tersenyum.

"Bagaimana jika saya panggil awak Encik Kent?"

"Kent?" Berkerut dahi Daniel mendengar cadanganku itu.

"Ya. Tidak pernah tonton Superman?"

"Oh! Maksud awak Clark Kent?"

Aku mengangguk. 

"Saya bukan adiwara," Daniel menggelengkan kepalanya.

"Awak memang seorang wira. Awak ingat sebab apa awak ke hospital dahulu?" Kami sama-sama tertawa mengenang kembali apa yang telah berlaku di antara kami sebelum itu. Terutama sekali saat 'Harry' menyelamatkan beg tangan seorang wanita bernama Sheila tidak lama dahulu.

"Selamat datang ke Hey Marina," ucap Daniel kepadaku.

"Terima kasih Daniel. Saya harap ini akan jadi satu pengalaman yang bermakna buat saya."

"Sudah semestinya Marina. Sudah semestinya."


Malam itu, aku ke Dr Love dan menceritakan kepada Gina dan Ally tentang apa yang berlaku antara aku, 'Harry' dan Daniel. Nyata, mereka terkejut sekali dengan apa yang dilakukan oleh Daniel. Gina begitu teruja apabila mendengarnya. Ally pula sedikit skeptikal, baginya itu ialah satu permulaan kepada permainan yang selalu dimainkan oleh orang seperti Daniel. Dia meminta aku untuk lebih berhati-hati.

Dari respon-respon yang diberi oleh kedua-dua sahabat baikku itu, aku mula mencari maklumat tentang Daniel. Tidak salah jika aku katakan yang aku ketika itu seolah-olah 'menyiasat' dengan lebih lanjut lagi mengenai latar belakang Daniel. Aku membaca dan meneliti semua maklumat yang terdapat di internet satu persatu. 

Aku membaca segala-galanya mengenai karier, keluarga dan kisah peribadi Daniel. Kadang-kala, bila ada masa yang sesuai, aku akan bertanya serba sedikit mengenai Daniel kepada mereka yang berada di Editorial. Segalanya tentang Daniel begitu menarik perhatianku, dia obsesiku yang terbaru. Untuk beberapa minggu, aku pasti akan mencuri sedikit masa setiap hari untuk membaca tentang Daniel.

Daripada apa yang telah aku baca dan dengar mengenai Daniel, aku dapati, keluarganya memang banyak mempengaruhi Daniel. Pendedahan kepada dunia media dan korporat sejak muda telah banyak membentuk personalitinya.

Ayah Daniel, Darius merupakan editor akhbar tabloid Rainbow. Sejak kecil lagi, ayahnya yang menyedari ketaksuban Daniel dengan MTV dan VH1 seringkali meminta pendapat Daniel tentang cara untuk menarik perhatian remaja kepada Rainbow. Ibunya, Karina juga seorang yang dikenali ramai. Sebelum berkahwin dengan Darius, Karina telah mula mengusahakan agensi pelancongan dan peragaan. Di sekolah, Daniel merupakan seorang pelajar yang sederhana. Walau pun begitu, dia sentiasa mendapat keputusan yang cemerlang dalam subjek bahasa dan matematik.

Sebaik sahaja tamat SPM, Daniel terus ke Singapura dan bekerja di ISETAN. Dia menumpukan masa membina hubungan baik dengan orang-orang kuat dalam fesyen, muzik, filem dan juga politik.

Perkenalannya dengan Ramzi yang merupakan orang kuat majalah 8 Days di Singapura telah memberi banyak pendedahan kepada Daniel mengenai dunia penerbitan majalah. Daniel dan Ramzi begitu rapat sehingga ada khabar angin yang mengatakan bahawa hubungan mereka berdua lebih daripada sekadar kawan.

Pada tahun 2002, dia diterima bekerja di Harper's Bazaar Singapura sebagai penulis ulasan atas saranan dan sokongan kuat Ramzi. Selepas tiga tahun, dia kembali ke Malaysia dan bekerja pula untuk beberapa majalah seperti Remaja, Maskulin dan InTrend. Dia ke Singapura pada tahun 2008 dan mengambil peranan besar sebagai penolong ketua editor di ELLE. Pada pertengahan tahun 2009, Daniel kembali semula ke Malaysia dan bekerja di Granite, salah sebuah majalah sukan yang diterbitkan oleh Terry Lee Publication. Walaupun kerjanya di Granite biasa-biasa sahaja, kerja-kerja yang dihasilkannya ketika bersama dengan majalah-majalah yang terdahulu dan ditambah pula dengan sokongan rakan-rakannya yang berpengaruh, telah berjaya menarik perhatian pengurusan Terry Lee Publication. Semua itu membuatkan mereka percaya dengan kredibilitinya sebagai seorang editor.  Pada tahun 2010, Terry Lee Publication telah membuat keputusan untuk melantik Daniel menjadi ketua editor majalah Hey. Ternyata, itu satu keputusan yang tepat. Pada ketika itu, Hey sedang bersaing dengan majalah seperti KLue dan Junk di mana jumlah pembaca bagi kedua-dua majalah ini dikatakan tidak menentu. Untuk menunjukkan visi dan kelainan yang ingin dilakukan kepada majalah Hey, dia mengejutkan industri dengan kulit muka depan yang agak sensual di mana dia menampilkan dua lelaki berendam di dalam satu tub mandi sambil berpelukan. Daniel mempertahankan tindakannya dengan mengatakan apa yang diputuskan signifikan dengan topik 'brotherhood, sensitivity and understanding' yang ditampilkan Hey pada ketika itu.

Daniel telah berjaya mengubah hala tuju Hey dan menjadikannya satu fenomena. Seiring dengan kejayaan yang dikecapinya, kisah peribadinya juga sering kali diperkatakan di laman-laman blog. Perkara yang selalu menjadi buah mulut mereka ialah khabar angin mengenai status seksualitinya, hubungannya dengan beberapa wanita ternama dalam dunia politik dan media dan hubungannya dengan Ramzi dan beberapa lelaki lain. Selain daripada itu, dia juga dikenali dengan gayanya yang tersendiri dan unik dan telah beberapa kali disenaraikan dalam Malaysia Best Dressed Men.

"Jadi Marina. Bagaimana? Dapat apa-apa yang menarik tentang Daniel?" Tanya Gina.

"Menarik! Sangat menarik," aku menjawab ringkas.

Previous: Bab 18
Next: Bab 20

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.