Selepas
semuanya berlalu dari ruang tamu itu, Nek Ros kembali pejamkan mata. Dia rasa
itu yang terbaik untuknya ketika itu.
“Awak,
kita nak tidur sekejap. Nak hilangkan pening ni,” kata Nek Ros.
“Tidurlah
wahai permaisuriku,” balas Atuk Jay.
“Maafkan
kita, awak.”
“Tak
apa, kita tahu awak tak sihat. Tidurlah. Awak nak kita dodoi ke?”
Namun
pertanyaan itu sudah tidak sempat dijawab. Nek Ros sudah terlena. Dengkuran
kecil kedengaran mendesah lembut. Atuk Jay meneliti wajah Nek Ros dengan penuh
kasih sayang. Kemudian dia teringat, di atas sofa itu dia pernah tertidur dan
bermimpi indah.
Kononnya
dia berada dalam sebuah istana yang sangat cantik. Ia dikelilingi sebuah tasik
yang membiru airnya. Ada pula sebuah taman yang penuh dengan beraneka pohon dan
bunga. Dayang-dayangnya ramai. Pengawalnya juga segak dan berani. Singgah sana
juga sangat cantik. Namun, di atas singgah sana itu dia sendirian. Tidak ada
permaisuri. Tidak ada teman.
“Sampai
bila beta nak duduk di sini sorang-sorang. Beta perlukan seorang permaisuri.
Mana permaisuri beta?” Itu yang selalu ada dalam hatinya.
“Sampai
hati dinda tak rindukan kanda. Sampai hati dinda hilang begitu saja,” keluhnya
perlahan.
“Tuanku,
sekarang masa untuk santap,” kata seorang dayang bernama Cempaka Dewi. Orangnya
kurus langsing. Berpinggang ramping dan berkulit putih kuning.
Lamunan
rindunya berterabur hilang. Dia menatap wajah dayang yang manis itu. Semasa
permaisuri ada, inilah dayang yang paling disukainya. Inilah juga dayang yang
paling cekap dan setia.
“Beta
kurang selera hari ini, dayang.”
“Tapi,
sejak pagi tuanku tak menyentuh apa-apa juadah. Santaplah sikit agar perut
tuanku tak masuk angin. Kalau dah masuk angin, tuanku juga yang susah,” pujuk
Cempaka Dewi dengan senyuman manis bak gula melaka.
“Beta
tak ada selera. Beta rindukan adinda permaisuri. Di mana dia?” Dia tidak
pedulikan pujukan Cempaka Dewi. Dan dia juga tidak malu mengaku perasaannya
kepada dayang yang seorang ini.
“Bersabarlah
tuanku. Permaisuri kan berada di kayangan.”
“Kenapa
dia tinggalkan beta? Dia tak sayangkan beta. Dia langsung tak rindukan beta.”
“Kita
mana tahu dia tak rindu?”
“Kalau
dia rindu, tentu dia dah balik. Kenapa nak duduk di kayangan tu lama-lama?
Bukannya ada apapun di sana.”
Cempaka
Dewi ketawa galak.
“Kenapa
tuan hamba ketawa ni? Salahkah apa yang beta cakap?”
“Tuanku
tak salah. Tapi, yang merajuk lari ke bumi itu adalah tuanku. Kenapa tuanku
sendiri tak terbang naik ke kayangan? Kenapa degil sangat hati tuanku hingga
tak nak mengaku salah. Tuanku sanggup biarkan singgah sana tuanku kosong tak
berpermaisuri. Tuanku sanggup menanggung rindu macam ni semata-mata kerana tak
mahu mengaku salah dan kalah,” kata Cempaka Dewi.
Dia
mengeluh berat.
“Betul
tuanku tak nak santap?” tanya Cempaka Dewi lagi.
Geleng.
“Tuanku
akan menyesal.”
“Kenapa
pula?”
“Sebab
hari ni tukang masak sediakan makanan kegemaran tuanku,” jawab Cempaka Dewi,
tersengih-sengih.
“Asam
pedas ikan pari dengan kangkung goreng belacan.”
“Belacan?”
“Ya tuanku, belacan kegemaran tuanku.”
Dia
terdiam lama. Sudah lama dia tidak menjamah hidangan itu. Semasa permaisuri ada
di sisinya, setiap hari dia dihidangkan dengan kangkung belacan, sambal belacan
dan semua sayur digoreng dengan belacan. Asam pedas pula bertukar-tukar jenis
ikan. Namun yang paling disukainya ialah ikan pari. Setiap hari permaisuri akan
pastikan masakan itu terhidang untuknya.
Tiba-tiba
air liurnya menitik. Kemudian berjuraian. Dia segera menjamah hidangan. Selepas
dua tiga suapan, dia berhenti dan termenung.
“Kenapa
tuanku?”
“Beta
teringatkan permaisuri. Sudah makankah dia?”
“Tuanku
jangan risaukan dia. Selama mengenali permaisuri, patik tahu dia seorang yang
kuat semangat. Cuma, patik risau satu perkara.” Cempaka Dewi berwajah gundah.
“Apa
dia dayang?”
“Di
istana sana, ada ke stok belacan? Permaisuri sangat sukakan belacan. Setiap
hari dalam setiap hidangan pasti ada belacan. Kalau tak ada belacan, permaisuri
mesti tak selera makan,” jawab Cempaka Dewi.
Kunyahannya
terhenti. Benar kata Cempaka Dewi. Belacan sangat penting kepada permaisurinya.
Ia ibarat seketul keju kepada orang putih.
“Tak
apa tuanku. Patik akan cuba hubungi inang di sana. Patik akan cari berita
permaisuri di sana. Tuanku santaplah dulu.”
Dia
mengunyah semula.
Asam
pedas ikan pari dihirup dengan penuh selera. Entah kenapa, ia lebih sedap dari
biasa.
“Siapa
yang masak hidangan asam pedas ini hari ni?” Dia mengangkat muka dan merenung
wajah Cempaka Dewi.
“Kenapa
tuanku? Tak sedap ke?” Cempaka Dewi bertanya dengan bimbang.
“Rasanya
tak sama macam semalam. Lebih sedap. Terasa rempahnya dan bau daun kesomnya ...”
katanya sambil mencicip kuah asam pedas itu. Tidak lama, dia berhenti.
“Atau
mereka masukkan darah dalam masakan ini. Macam dalam cerita Raja Bersiong tu?”
“Ish,
apa yang tuanku mengarut ni?” sanggah Cempaka Dewi dengan cepat.
“Habis,
kenapa sedap sangat ni?”
Cempaka
Dewi mula tersenyum.
“Kita ada tukang masak baru. Dia memang sangat
pakar dalam masakan asam pedas, tuanku.”
“Siapa
namanya?”
“Penyair
Bidasari tuanku.”
“Aik?
Namanya Penyair Bidasari, kenapa kerjanya memasak?”
“Itu
nama samarannya tuanku.”
“Memasak
pun ada nama samaran. Tak pernah beta dengar sebelum ini.”
“Dalam
zaman siber ni semuanya kena menyamar tuanku. Tambahan tukang masa tersohor
macam dia. Ramai peminat dan paparazi yang tunggu,” kata Cempaka Dewi.
“Bawa
dia mengadap beta. Teringin beta nak melihat orangnya!”
Cempaka
Dewi berlalu pergi meninggalkan dia sendirian menghabiskan kuah asam pedas itu.
Dia menghirup dan menghirup. Dia rasa sangat berpuas hati dan nikmat dengan
kesedapan kuah dan isi ikan pari itu.
Tidak
lama, Cempaka Dewi masuk ke ruang santap itu bersama seorang wanita. Dengan
penuh hormat mereka duduk mengadapnya.
“Tuanku,
inilah pacar yang bernama Penyair Bidasari itu,” kata Cempaka Dewi
memperkenalkan. Dia meneliti wajah itu. Rasanya seperti pernah dilihatnya pacar
itu. Wajah dan senyumannya sangat dekat dalam hatinya.
“Beta
pernah melihat wajah kamu. Di mana ya?” Dia bertanya dengan sambil matanya
tidak lepas merenung wajah Penyair Bidasari.
Penyair
Bidasari tunduk diam. Cempaka Dewi juga diam. Masing-masing cuba mencari jawapan.
Suasana sepi seketika.
“Ha!
Baru beta ingat. Kamu ni pernah berlakon dalam filem Seniman Bujang Lapok
bersama Allahyarham P.Ramlee tu. Kamu yang bergaduh dengan suami kamu pasal
belacan tu. Kamu hampir dipancung kerana tak masukkan belacan dalam hidangan
suami kamu. Masa tu beta masuk campur dan dimarahi oleh Pengarah, Ahmad Nisfu.”
“Ampun
patik tuanku, tapi siapakah tuanku ini?” tanya Penyair Bidasari pula.
“Kamu
tak kenal beta? Betalah Raja Kapor! Ha! Ha! Ha!” Dia ketawa berdekah-dekah. Sampai
berair matanya kerana ketawa itu. Dia teringat mukanya yang macam tepong gomak.
Dia terbayang wajah Ahmad Nisfu yang berang!
“Awak!
Kenapa awak ketawa ni? Apa yang lucu?” Tiba-tiba bahunya ditepuk berkali-kali.
Atuk
Jay tersentak. Dia tersedar. Dia mencubit pipinya. Ya ALLAH! Dia mengelamun rupanya.
Wajah Nek Ros yang tidur di sofa itu ditatap dengan ketawa yang bersambung.
“Apa
yang lucu? Sampai awak ketawa terbahak-bahak. Sampai terkejut kita...?”
“Saya
tadi teringat mimpi saya hari tu. Mimpi saya menjadi raja dalam sebuah negeri.”
“Raja?
Raja apa?” tanya Nek Ros dengan senyuman.
“Akulah
Raja Kapor!” kata Atuk Jay bersama ketawanya yang semakin berdekah.