ATUK
SAYANG NENEK.
Gurindam
dari atuk dilipat dan dikucup sekali. Kemudian Nek Ros masukkan semula ke dalam
sampul itu.
‘Dinda
datang, kanda.’ Itu yang berbisik di hati Nek Ros. Dia segera menutup pintu dan
tingkap. Hari sudah semakin senja. Nyanyian nyamuk mula menyentuh kuping
telinga.
Malam
itu selesai solat maghrib dan isyak, Nek Ros segera ke dapur. Dia perlu mencari
sedikit makanan untuk mengalas perut. Dia tidak mahu gastriknya menyerang.
Kalau boleh dia mahu sentiasa sihat. Walaupun usianya sudah masuk ke ambang
60-an, dia tidak mahu lemah dan berpenyakit.
Selepas
makan, dia berjalan keluar. Biasanya malam-malam begitu, dia akan duduk di buaian
menikmati angin malam bersama Atuk Jay. Namun, sejak enam bulan ini dia duduk
di buaian itu sendirian. Sepi. Rindu. Dia melaluinya sendirian.
Dia
menoleh ke arah motor Harley Davidson 1200cc milik Atuk Jay. Dia rindu untuk
menunggang motor itu. Dia segera bangun dan menarik kanvas yang menutupi motor
itu. Motor itu langsung tidak berhabuk kerana setiap hari dia menjaganya.
Tidak
lama Nek Ros tersenyum-senyum. Dia mendapat ilham.
Keesokan
pagi, selepas bersarapan pagi dia segera bersiap. Dia memilih baju T lengan
panjang dan jeans warna biru. Rambutnya yang pendek separas bahu itu disisir
rata ke belakang kemudian disarungkan
dengan sehelai skaf. Dia menyarungkan jaket hitam. Kemudian dia membelek
dirinya di cermin.
“Awak,
saya sayang awak. Hari ni, saya nak buktikan cinta saya pada awak. Awak tunggu
ya!” kata Nek Ros kepada wajahnya di cermin. Senyum menguntum. Dia berjalan
keluar dari bilik dan mencapai topi keledar yang ada di atas almari di belakang
pintu masuk.
Sepasang
boot kulit warna hitam separas lutut dikeluarkan dari almari kasut.
Kemudian dia menjeling kepada sepasang kasut lagi. Kasut Atuk Jay!
“Awak
tunggu, kita pergi ambil tuan awak. Tak lama lagi awak pun boleh keluar dari
sini.”
Nek
Ros menyapu boot yang ditinggalkan itu. Dia tersenyum lagi. Rasa geli
hati kerana semua benda diajak berbual.
Dikeluarkan
dompet dari beg tangannya. Mula-mula dia meneliti tarikh lesennya tamat tempoh.
“Oh!
Masih ada dua tahun lagi untuk tamat.” Dia tersenyum senang.
Enjin
dihidupkan. Segar dan cantik motor itu mengaum. Walaupun sudah lama tidak
dihidupkan, ia tetap tidak mogok.
“Mr.
Harley, boleh kita pergi sekarang?” tanya Nek Ros sambil memakai topi keledar.
Dengan bismillah, dia melangkah naik. Perlahan-lahan motor bergerak keluar. Dia
menongkatnya di luar pagar dan turun semula untuk mengunci pagar.
“Ros!
Awak nak ke mana?” laung Pati Lakshmi dari pintu pagar yang bertentangan.
Nek
Ros membuka semula topi keledar. Dia berjalan ke arah sahabatnya itu agar
suaranya tidak perlu dilaungkan. Malu juga dengan jiran-jiran yang lain.
“Dah
lama saya tak naik motor ni, Lakshmi. Rindu pulak!”
“Awak
rindu motor ke rindu tuan motor.” Pati Lakshmi menyeringai.
Nek
Ros tidak marah. Sebaliknya dia tersenyum senang.
“Ros,
saya harap awak mengalah. Kita tak tahu bila kita akan mati. Saya tak nak awak
menyesal. Jay itu orang baik. Murthy pun selalu kata begitu. Kita laki bini,
mesti ada sikit salah. Kalau tak gaduh, kita tak sedalam mana kasih sayang
kita.”
“Lakshmi,
awak ni memang pandai cakap. Saya pergi dulu. Nanti kita sembang lagi,” kata
Nek Ros sambil melangkah pergi.
“Awak
nak ke mana Ros? Dah lama awak tak naik motor tu. Saya risau!” laung Pati
Lakhsmi selepas Nek Ros melangkah beberapa tapak.
“Pati,
jangan bimbang. Motor ni saya naik sejak hampir 10 tahun. Motor ni dah terlebih
faham jiwa saya. Pati jaga diri ya!”
kata Nek Ros dengan gaya seorang kanak-kanak.
Pati
Lakhsmi menyengih dengan gerak lucu Nek Ros. Namun kebimbangannya tetap
berputik di hati.
“Tapi,
awak nak ke mana? Kenapa nampak kelam kabut sangat ni?”
“Awak
akan tahu nanti,” jawab Nek Ros sambil mengenyit mata. Dia melangkah tanpa
menoleh lagi. Dia mahu segera ke tempat di mana adanya kekasih hati.
Dia
menunggang motor berkuasa tinggi itu dengan tenang. Memang tidak kekok kerana
sudah biasa menunggangnya sejak ia
dibeli 10 tahun yang lalu. Kadang-kadang dia membonceng di belakang Atuk Jay.
Dalam masa yang lain dia menunggang sendirian. Malah adakalaya juga Atuk Jay
akan membonceng di belakangnya.
“Atuk
dan nenek memang rock!” Itu yang selalu dijeritkan oleh cucu-cucu terutama Amir
Ashraf.
Setengah
jam kemudian dia sampai di hadapan pagar rumah Nurlisa di Taman Bersatu. Dia
menongkat motornya dan turun menekan loceng di pagar. Dia tahu ketika itu,
Nurlisa dan Arman sudah ke pejabat. Yang ada mungkin Amir Ashraf dan atuknya.
Atuk Jay? Hatinya berdebar.
Beberapa
kali menekan loceng, tidak ada yang membuka pintu. Mungkinkah tidak dengar atau
mereka tertidur?
Nek
Ros keluarkan telefon bimbitnya. Dia menekan nombor telefon rumah Nurlisa. Telefon berdering.
Kemudian kedengaran bunyi gagang diangkat.
“Assalamualaikum!”
Satu suara menjawab. Suara itu amat dikenalinya. Jantungnya berdegup kencang.
Tubuhnya seram sejuk. Aduh! Suara yang dirindui selama enam bulan ini.
“Assalamualaikum!”
Ucapan itu didengar lagi. Lidahnya seperti melekat di lelangit. Berat dan kelu
untuk menjawab.
“Siapa
ni?”
“S...s...saya.”
Nek Ros memaksa suaranya untuk menjawab. Berpeluh dahinya.
“Ros
ke ni? Awak di mana?”
Sekali
lagi dia terkedu. Tiba-tiba pula hatinya menjadi sendu. Air mata menitis laju.
Jiwa rock kapak sudah pecah menjadi rock parang puting, pendek
dan tumpul. Esakan berderai!
“Awak
kat mana ni?”
“Kat
depan rumah Nurlisa... ”
Tut!
Talian terputus.
Nek
Ros duduk di atas batu di tepi pintu pagar. Dia memujuk hati agar tabah. Juga
menahan air mata agar tidak terus keluar. Malu rasanya kalau Atuk Jay melihat
dia dalam keadaan begitu.
“Aku
mesti kuat. Nenek mesti tetap rock!” Itu yang dikatakan kepada dirinya.
Akhirnya dia rasa lega. Dia bangun dan berjalan ke arah motor. Tidak lama,
pagar terbuka.
Nek
Ros menunggang motornya masuk ke halaman rumah dua tingkat itu. Dia masih
berusaha mengawal diri. Tidak mahu ada air mata membasahi pipinya.
“Ros...”
Satu suara menegurnya dari belakang ketika dia sedang menongkat motor. Dia terkaku lagi. Tidak berani menoleh.
“Akhirnya
saya dapat juga jumpa awak. Masa di Kuching, saya rasa saya akan mati tanpa
sempat bertemu awak untuk kali terakhir. Saya berdoa kepada ALLAH agar dapat
jumpa awak lagi. Akhirnya... hari ini saya jumpa awak.”
Nek
Ros tetap tegap berdiri.
“Saya
minta maaf kerana buat keputusan macam budak-budak. Saya merajuk pada perkara
yang sangat kecil. Kemudian saya ego dan tak nak mengaku kalah. Saya tinggalkan
awak begitu saja. Saya memang suami tak guna!” Suara Atuk Jay kedengaran
bergetar sebak. Tidak lama, esakannya berterabur!
Kali
ini Nek Ros tidak berdaya lagi. Dia berpusing. Dia berlari ke arah Atuk Jay.
Dia merebahkan diri ke dalam lelaki perkasa junjungan jiwanya itu.
“Abang!
Jangan cakap macam tu. Ros yang salah. Ros tak jadi isteri yang baik hingga abang
merajuk dan berjauh hati. Ros minta ampun. Ros janji tak buat lagi. Ros tak
sanggup nak berpisah dengan abang lain. Cukuplah abang merajuk. Ros sanggup
buat apa yang abang suruh, asalkah Ros dapat terus hidup dengan abang.”
Mereka
berpelukan. Air mata menjadi saksi sebuah pertemuan.
“Kenapa
Ros tak pujuk abang. Siang malam abang tunggu Ros telefon abang.”
“Kenapa
abang lupakan Ros begitu saja. Ros malu nak telefon abang. Ros ingat memang
abang dah bencikan Ros. Lalu Ros cuba belajar hidup tanpa abang. Ternyata, Ros
tak berdaya. Abang hadir di mana-mana,” Nek Ros ikut merintih di bahu Atuk Jay.
“Sekali
lagi abang minta maaf. Abang tak akan buat lagi. Abang janji!” bisik Atuk Jay
pula. Pelukan menjadi semakin erat. Sinaran mentari pagi yang menyentuh diri,
langsung tidak dihiraukan lagi.
“Bravo
nenek! Tahniah!” Tiba-tiba Amir Asyraf muncul bertepok tangan. Dia senyum
dengan wajah yang ikut terharu melihat
pertemuan atuk dan neneknya itu.
Nek
Ros melepaskan dirinya dari pelukan erat Atuk Jay. Kata-kata Amir Asyraf
membuat dia tersipu malu. Dia mengesat air mata dengan hujung skafnya. Dia
benar-benar malu.
“Kenapa
Amir puji nenek macam tu?” tanya Atuk Jay.
“Sebab
nenek berani mengaku kalah. Sebab nenek berjaya pecahkan kepala batu atuk,”
jawab Amir Asyraf. Kali ini dia mula ketawa.
Nek
Ros dan Atuk Jay berpegangan tangan. Mereka saling bertentangan mata. Kemudian,
mereka mula mengukir senyuman.
“Amir
suka tengok atuk dan nenek dah kembali bersatu. Buanglah yang keroh. Ambillah
yang jernih. Sesat di muara, baliklah ke kuala. Tak payahlah nak merajuk-rajuk
lagi. Atuk dan nenek memang dah dicipta untuk bersama bukan untuk berpisah.
Sengsara kami tengok atuk meracau panggil nenek. Haru biru hidup nenek dok
mimpikan atuk,” kata Amir Asyraf, kali ini dengan ketawa perlahan.
“Amir
jangan bimbang, atuk tak akan merajuk lagi,” kata Atuk Jay.
“Nenek
pun janji, tak akan degil lagi,” sampuk Nek Ros pula. Atuk Jay menarik tubuh
Nek Ros ke dalam pelukannya. Kemudian dia mengucup dahi isterinya itu dengan
penuh kasih sayang.
“Auw!
So sweet! Amir suka!” Amir melonjak girang. Dia mengeluarkan telefon
dari kocek seluarnya dan mendail.
“Mama!
Rugi mama tak ada di rumah pagi ni,” kata Amir. Dia sengaja menekan butang loud
speaker agar perbualannya
dikongsi dengan atuk dan neneknya.
“Kenapa
Mir? Ada apa?” Suara Nurlisa kedengaran curiga.
“Romeo
dah jumpa Julietnya...huh! romantik semacam.”
“Apa
maksud Amir?”
“Nenek
dah datang. Atuk dah pandai senyum. Mungkin nenek datang nak jemput atuk
balik,” jawab Amir Asyraf. Matanya tidak lepas memandang ke arah Atuk Jay dan
Nek Ros yang masih berpegangan tangan.
“Nenek
datang naik apa?”
“Mr.
Harley atuk tulah.”
“Nenek
naik motor?”
“Kenapa
mama? Biasalah nenek tu. Bukan mama tak pernah tahu nenek naik motor atuk tu?
Mama jangan risaulah. Nenek Amir tetap rock!” jawab Amir Asyraf dengan ketawa
berdekah-dekah. Telefon dimatikan.
“Mama
Amir ingat, nenek ni dah tua sangat. Nenek lebih kuat dari dia. Kan awak?” Nek Ros
menoleh kepada Atuk Jay.
“Awak
memang kuat. Semangat awak memang cekal. Sebab itu saya sayang awak. Sayang sampai
mati. Atuk sayang nenek!” balas Atuk Jay dengan ketawa kecil. Nek Ros ikut ketawa.
Amir Asyraf semakin girang melihat keceriaan pasangan itu. Atuk sayang nenek!