CINTA
AWANG YANG BUTA.
RUMAH Nek Ros kembali sepi. Cuti
sekolah sudah berakhir. Semua cucu-cucunya sudah kembali ke rumah
masing-masing. Tinggallah Nek Ros sendirian. Atuk Jay pun tiada. Lalu tiadalah sesiapa
di rumah teres dua tingkat itu untuk dia berlawan cakap.
“Marilah
ikut kami balik, mak,” ajak Marni menantunya ketika sedang mengemas
barang-barang.
“Benar
mak. Takkan mak nak duduk sorang-sorang. Ayah tak ada. Kami pun bimbang, mak,”
kata Darwis anak lelaki pertamanya.
“Janganlah kau bimbang Wis. Mak masih kuat lagi.
Lagipun, kalau mak ikut kamu macam mana dengan rumah ni. Kalau boleh mak tak nak tinggalkan rumah
ni gelap,” jawab Nek Ros, tenang.
Darwis
anaknya, tidak upaya memujuk. Marni
menantunya, juga gagal.
“Nek,
marilah ikut ke rumah kami. Qila janji akan picit nenek setiap malam,” pujuk
cucunya Siti Aqila pula.
“Hana
pun janji. Hana tak nak nakal. Hana akan picit kaki nenek juga,” kata Hana
Humaira, anak kedua Darwis. Anak ketiganya Ainun Najwa, hanya tersengih-sengih.
Nek
Ros tersenyum. Dia tahu anak menantu dan cucu-cucunya amat sayangkan dia. Dia
juga begitu. Namun, belum masanya dia meninggalkan rumah itu. Pergi, bermakna
dia keluar rumah tanpa izin suami. Hukumnya derhaka, dia menderhaka kepada Atuk
Jay. Keluar dari rumah itu, bererti dia akan berjauhan dengan kenangan dan kasih
sayangnya kepada lelaki itu.
“Mak,
apakan daya kami kalau mak dah kata begitu. Kalau ada apa-apa, mak
cepat-cepatlah callkami.” Darwis
memeluk Nek Ros. Pelukan kasih sayang yang memang tidak pernah berkurangan.
Lalu
tinggallah dia sendirian. Temannya kini hanya ikan-ikan belaannya dalam
aquarium. Dulu ada Awang, yang dibela sejak kecil. Dia menemui Awang sedang merayau dalam keadaan basah kuyup di
taman permainan.
Dia
membawa Awang ke rumah, memandikan dan diletakkan dalam tempat peraduan yang berhias
cantik. Semakin hari Awang semakin besar dan comel serta sangat manja. Setiap
pagi Awang akan mengejutkan seisi rumah dengan tangisannya, minta dibukakan
pintu untuk keluar ‘membuang’. Kalau lapar, ia akan menjilat-jilat kaki Nek Ros
atau Atuk Jay. Kalau tidur, mesti ingin sentiasa berkepit. Biasanya akan tidur
di tengah-tengah antara mereka.
“Awang,
cubalah kau jauh sikit dari bini aku! Kau ni buat aku cemburu tau!” jerkah Atuk
Jay, berpura-pura marah. Awang terteleng-teleng, seolah-olah melawan. Atuk Jay berpura-pura
ingin menumbuknya. Bertempiaran Awang melarikan diri.
“Tahu
pun kau takut dengan penumbuk jantan aku ya!” Atuk Jay ketawa berdekah. Nek Ros
pula mengekek-ngekek. Saat itu sangat indah dan manis. Awang dianggap
seolah-olah anak bongsu mereka. Makan, tidur dan berjalan-jalan ke taman
permainan bersama-sama. Hanya kalau mereka bermotorsikal sahaja, Awang tidak
dibawa kerana Awang agak penakut. Pernah sekali dibawa naik motor, Awang terjun
dan terkencing-kencing!
Awang
sangat baik. Ia suka memicit-micit kaki Nek Ros sebelum tidur. Ia juga suka
mencium pipi Nek Ros. Pendeknya hubungan mereka sangat rapat. Langsung tidak ada batas penghalang.
Namun
semuanya tidak lama. Selepas Awang mula membesar dan cukup umur, perangainya
berubah. Dia menjadi ‘anak’ bujang yang miang dan tidak mendengar kata. Seharian
kerjanya merayap ke rumah jiran. Kalau lapar baru balik ke rumah.
“Awang
mana?”
“Entahlah
bang. Sejak pagi hilang. Sarapan dalam mangkuk tu pun tak dimakan. Heran saya.
Sejak akhir-akhir ni lain benar perangainya. Dah nak berbini gamaknya,” jawab
Nek Ros.
“Huh!
Nak kena budak ni! Merayap je dia. Kalau pun nak berbini, buatlah betul-betul.
Ikut adat. Jangan nak main terjah je macam orang tak ada mak bapak!” leter Atuk
Jay, dengan suara meninggi.
Nek
Ros ketawa. Geli hatinya mendengar leteran Atuk Jay itu.
“Kenapa
pula awak ketawa?” Atuk Jay terpinga-pinga. Dia menoleh ke arah Nek Ros dengan
mata cuak.
“Abang
berleterkan siapa?” tanya Nek Ros di celah tawanya.
“Siapa
lagi, Awang tu lah... ”
“Awang
tu mana tahu adat dan hukum. Awang tu bukan anak kita yang boleh kita atur
hidupnya. Kalau ia dah jumpa pilihan hatinya, kita kena terima keputusannya.”
Nek Ros cuba menyedarkan Atuk Jay mengenai sebuah kenyataan.
Atuk
Jay mengeluh perlahan. Kemudian dia tersenyum-senyum.
“Jack
dah cukup umur, bang. Biarlah dia berbini. Saya pun dah tak tahan dengan
perangainya. Dah mula memancut merata-rata!”
“Awak
kenal pilihannya tu?” tanya Atuk Jay, masih senyum.
“Kenal
sangat tu tidaklah. Tapi pernah jumpa beberapa kali di taman.”
“Anak
siapa?”
“Jill,
anak Datuk Safuan. Banglo hujung sana tu!”
“Hah?
Awang gilakan anak datuk? Ia sedar diri
ke tidak tu? Ia tahu ke ia tu keturunan mana? Jill tu keturunan bangsawan. Ia
pula hanya keturunan kampung! Anak terbuang yang tak tahu asal usul!” sergah
Atuk Jay lagi.
Sekali
lagi Nek Ros ketawa tetapi kali ini dia menutup mulutnya. Dia bimbang suara
tawanya akan menyentuh hati Atuk Jay.
“Abang...
sabarlah sikit. Abang ingat ini zaman cinta antara dua darjat? Zaman ini kahwin
campur semakin digalakkan untuk mendapat keturunan yang comel. Saya dah
bayangkan, anak-anak Awang yang comel...”
“Ish!
Awak ni Ros. Suka sangat nak berangan-angan.”
“Saya
tak berangan-angan bang. Saya tengah berharap.”
“Saya
bimbang Awang hanya akan jadi bahan ejekan dan akhirnya dipukul mati oleh
‘keluarga’ Jill tu,” Atuk Jay meluahkan rasa bimbangnya.
Awang
tetap dengan keputusannya. Setiap hari dia bertandang ke rumah Datuk Safuan.
Setiap hari dia cuba berlagak romeo di luar tembok batu rumah hartawan itu. Dia
tetap setia menanti Jill yang ada di dalam pagar.
Nek
Ros pernah mengekori Awang dan cuba melihat gerak ‘percintaan’ kedua-duanya.
Jill
akan datang ke tepi pagar. Awang akan menghulurkan tangannya dan Jill akan
menyambutnya. Mereka bergurau senda. Jill melompat-lompat riang. Awang berpusing-pusing
girang. Walaupun masing-masing terhalang oleh pagar besi dan tembok batu yang
gah, cinta mereka tetap utuh.
Nek
Ros pulang dengan senyum senang. Dia ikut gembira melihat Awang gembira dengan
kekasih hatinya. Mudah-mudahan Awang akan bahagia dan mendapat anak-anak yang
cantik dan comel.
Namun
cinta Awang tidak sampai ke penghujung. Satu hari, petaka yang digeruni Atuk
Jay benar-benar berlaku. Awang dibelasah sampai mati oleh pembantu rumah Datuk
Safuan gara-gara memadu kasih dengan Jill!
Air
mata Nek Ros menitik. Ketika itu dia tidak malu untuk menangis teresak-esak.
“Aku
dah kata, dia bukan jodoh kau. Kau tu keturunan kucing kampung. Jill keturunan
kucing Parsi. Mana padan. Mana serasi. Tapi kau degil. Kau ikutkan juga kata
hati dan cinta buta kau tu! Sekarang, tengok apa jadi dengan kau Awang!” leter
Atuk Jay ketika menanam jasad Awang yang berlumuran darah.