SYAHIN pandang wajah emaknya yang
serius. Semalam emaknya sampai di apartmen mewahnya ini dengan bantuan Nuha.
Orang tua tu datang mengejut. Nuha pun langsung tidak memberitahu pada dia.
Senyap saja. Macam dah berpakat. Geram pun ada.
“Sampai
bila kamu nak bertangguh, Syahin? Dah lima tahun Nuha tunggu kamu. Kalau dulu mak
boleh terima alasan kamu nak kumpul duit. Kamu ada kerjaya. Dah mampu mak rasa.
Kenapa kamu nak Nuha tunggu kamu lagi tiga tahun? Kamu tak tahu Nuha dikebas
orang?” Bebel Hajah Halimah.
Kalau nak harapkan
Syahin balik ke kampung memang seperti menunggu ayam jantan bertelur. Kakinya
terpaksa juga melangkah ke kota Kuala Lumpur mencari Syahin. Mujurlah ada Nuha
yang baik hati menjemput dan menghantarkan dia ke mari.
“Nuha tak
bising-bising, emak pula yang kecoh.” Balas Syahin. Tidak senang soal kahwin
diutarakan. Dia tahulah Nuha tu calon menantu pilihan emak. Bila dia cakap dia
sukakan Nuha, emak cepat saja bagi lampu hijau.
“Umur kamu dah sesuai
mendirikan rumah tangga. Tak elok lewat-lewatkan benda baik.”
“Ala, mak tak perlu
risau pasal Syahin dengan Nuha. Takde
siapa nak kebas Nuha dari Syahin. Dalam Malaysia ni, Syahin aja yang suka pada
Nuha. Lelaki tak berkenan dengan gadis polos macam Nuha tu.” Cebik Syahin.
“Amboi, angkuh sungguh
ayat kamu.”
“Nuha tu tak pandang
lelaki lain mak. Dalam hati dah Syahin. Cukup dah. Sampai masa kami nikahlah.”
Hajah Halimah menggeleng
perlahan.
“Kalau suatu masa nanti
dia berubah hati, ada orang yang lain tahu hargai dia, kamu jangan salahkan mak
tak ingatkan kamu. Kamu meneysal waktu itu pun tiada guna dah.” Hajah Halimah
mengingatkan Syahin.
“Nuha takkan berubah
hatilah mak. Esok Syahin hantar mak balik. Jadual Syahin padat bulan ni. Takde masa nak teman mak.”
Sekali lagi Hajah
Halimah menggeleng. Syahin sudah banyak berubah. Dia berkecil dengan sikap
Syahin yang seolah-olah tidak mahu dia berada di sini.
“Tak mengapalah. Kamu
telefonkan Nuha untuk mak. Mak akan tumpang tidur rumah dia. Dia pun ada ajak
mak bermalam rumah dia”
“Mak merajuklah ni.”
“Kalau mak merajuk pun
bukannya kamu nak pujuk. Mak cuma tak mahu ganggu kamu. Kamukan sibuk, tiada
masa untuk temankan mak.”
“Mmm…”
“Satu lagi mak nak
pesan dengan kamu. Perangai kamu tu senonoh sikit. Berkudis mata mak tengok
gambar kau berpeluk sana sini dengan bukan muhrim kamu.” Itu sebab dia tidak
berkenan Syahin memilih kerjaya sebagai pelakon. Adegan-adegan yang macam itu
memang menyakitkan matanya.
“Mak… itu cuma
bergambar aja. Bukan buat-buat apa pun. Permintaan jurufoto.”
“Haram tetap haram.”
Hajah Halimah menukas.
“Mak ni kolotlah.”
“Biar kolot, asalkan
agama terpelihara.”
Malas dia mahu bertekak
dengan emaknya itu. Ada sahaja yang tidak betulnya.
“Mak rehat-rehatlah
dulu. Saya nak call Nuha sekejap.”
Syahin sudah menapak ke
balkoni.
“LAIN kali awak kena mention yang mak saya nak datang!” Suara
Syahin sedikit menengking. Hajah Halimah hanya memandang dari ruang tamu. Muka
Syahin berkerut-kerut. Sedang marahkan Nuhalah tu. Dasar anak tak tahu
diuntung.
“Kenapa
marah sangat ni? Awak macam tak suka pula mak awak datang?” Nuha ketawa kecil
di talian.
“Bukannya
tak suka tapi awak faham-fahamlah jadual kerja saya sentiasa padat.”
“Ouch…
Maaf saya tahu.” Tidak faham dengan sikap Syahin. Emak sendiri yang datang pun
dia bising-bsing begini. Syahin tak sedar agaknya yang dia sudah berbulan-bulan
tidak menjenguk emaknya sendiri di kampung tu.
“Please… lain kali jangan awak
pandai-pandai sendiri tanpa memaklumkan pada saya. Lepas awak habis kerja
jemput mak saya kat sini. Dia nak tidur rumah buruk awak tu.” Main lepas Syahin
mengeluarkan kata. Nuha tidak berkecil hati. Dia sudah biasa dengan angin
pasang Syahin.
“Baiklah.
Lepas waktu kerja saya on the way ke
sana.”
“Tepat
jam 7.00 malam awak mesti sampai. Saya nak keluar ada party dengan rakan-rakan.”
Terjongket
kening Nuha.
“Syahin…”
Talian
sudah dimatikan tanpa salam.