MEGAT
Haider merempuh masuk ke pejabat wartawan itu. Matanya liar mencari seseorang. Benjy
dan rakan-rakan yang lain terpaksa menghalang lelaki itu dari membuat kacau.
“Aku nak cari lelaki yang tulis
cerita ni!” Surat khabar pada tangannya itu dilemparkan atas lantai.
Mata mereka mula terarah pada Benjy.
Siapa lagi yang menulis cerita pembunuhan ngeri itu jika bukan Benjy.
“Aku yang tulis.” Benjy mengaku.
“Boleh kita bercakap di luar. Aku ada
perkara ingin beritahu pada kau.” Megat Haider memperbetulkan kot yang dipakai.
Dia merengus kecil.
“Em… okey!” Benjy bersetuju.
Mereka beriringan keluar. Encik Ali
keluar dari bilik pejabatnya. Kekecohan sudah reda. Rakan-rakan sejawat Benjy hanya
menjongket bahu apabila di soal oleh ketua mereka, Encik Ali.
Megat Haider mundar-mandir di
hadapannya. Megat Haider seperti orang yang kegelisahan. Benjy berdiri
bersandar pada dinding bangunan dengan menyeluk kedua belah tangan ke dalam
saku.
“Apa masalah kau ni?” Benjy membuka
bicara.
“Lelaki yang mati itu…” Kata-katanya
tidak diteruskan. Dia mendesah.
“Kau ada kaitan dengan lelaki yang
mati itu ke? Aku tak rasa kau yang bunuh dia. Tapi
kau
macam tahu ‘apa’ yang membunuh dia?”
Megat Haider menggenggam kemas jari-jarinya.
“Ben... kau mesti tolong aku. Kau
datang ke pejabat aku malam ini.” Megat Haider memaut kedua-dua bahu Benjy.
Lama Benjy merenung wajah Megat
Haider. Akhirnya dia mengangguk perlahan.
Megat
Haider segera beredar. Lelaki itu melolos masuk ke dalam kereta BMW nya.
Terjongket kening kiri Benjy melihatnya. Megat Haider nampak tergesa-gesa.
“Pening aku dengan kau Haider.” keluh
Benjy.
Kenapa Megat Haider mencari dia? Dia
mula diasak dengan seribu persoalan. Dan jawapan itu akan dijawab jika dia
menemui Megat Haider. Benjy mengaturkan langkah. Dia tidak boleh berlama-lama
di luar. Apabila dia melangkah masuk semula ke pejabat, Encik Ali sudah sedia
menunggu di mejanya. Dia tersengih seraya mengaru-garu kepalanya.
“Benjy… masuk ke bilik saya sekarang.”
Arah Encik Ali.
“Baik.”
Dengan langkah malas dia mengekori
Encik Ali.
PANGGILAN
dari Arlissa sengaja Megat Haider tidak diendahkan. Dia menutup terus telefon
bimbitnya itu. Megat Haider masih menunggu kedatangan seseorang. Dia berharap
orang itu akan datang.
Bayang Benjy masih tidak kelihatan.
Megat Haider tidak senang duduk di kerusi. Dia cuba menghubungi Benjy tetapi talian
tidak dapat disambungkan. Barangkali Benjy sibuk dengan kerjanya. Megat Haider
tidak boleh menunggu lama lagi. Megat Haider mengambil keputusan untuk
pulang.
Sebaik Megat Haider angkat punggung
bekalan elektrik di bilik pejabatnya itu terputus. Suasana dalam bilik itu
menjadi gelap.
“Sayang… awak dah tak rindukan saya…”
sayup-sayup tangisan itu kedengaran.
Megat Haider memandang
sekelilingnya.
Megat Haider mengurut dadanya
sendiri. Nafasnya sesak dan tercungap-cungap. Dia cuba menenangkan dirinya.
Perempuan berambut panjang berdiri
di muka pintu itu menyerupai wajah Ayu Jasmin. Kaki Megat Haider seakan
bergerak sendiri merapati perempuan itu.
“Kau siapa?”
“Sayang… awak dah lupakan saya ke?”
Suara perempuan dengan esakan kecil. Perempuan itu mengangkat kepalanya.
“Jasmin dah mati.”
Perempuan itu terus memeluk tubuh
Megat Haider.
“Haider!” Suara Benjy kedengaran di
luar biliknya itu.
Bekalan elektrik yang terputus
kembali pulih. Pintu pejabat itu terkuak. Benjy muncul di muka pintu dengan
riak cemas.
Megat Haider kaget. Perempuan
berwajah Ayu Jasmin sudah tiada bersamanya. Benjy mengawang-awangkan telapak
tangan pada muka Megat Haider.
“Kau okey?” ujarnya.
“Jasmin…”
Benjy mengerut dahi. Dia tidak
nampak sesiapa di situ. Megat Haider seperti tersedar dari mimpi. Dia meraup
muka.
“Kau betul-betul nampak Jasmin ke?”
“Dia ada depan aku tadi, Ben. Aku
boleh rasa sentuhan jari-jari dia pada wajah aku.” Matanya tidak menipu. Ayu
Jasmin benar-benar berada di depan matanya.
“Haider… aku rasa lebih baik kita
beredar dari sini.”
Benjy juga dapat merasai ada ‘orang
lain’ bilik pejabat Megat Haider itu. Sesuatu yang memerhatikan mereka. Sesuatu
yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.
Mereka melangkah keluar.
“Haider…”
Benjy menoleh. Dia mendengar suara
perempuan sayup-sayup menyebut nama Megat Haider. Bayang-bayang perempuan
kelihatan berdiri di ruang bilik pejabat Megat Haider. perempuan itu tersenyum
memandangnya.
“Ben!” Megat Haider memanggil.
Pintu bilik pejabat tu segera
ditutup. Benjy dan Megat Haider melangkah masuk ke perut lif. Ketika pintu lif
ingin tertutup kelibat seorang perempuan lalu di hadapan pintu lif tersebut.
Benjy segera menahan pintu lif dari tertutup. Tindakannya mengejutkan Megat
Haider. Dia keluar dari perut lif. Matanya meliar sekeliling.
“Ben!” Megat Haider memanggil lagi.
Benjy menoleh ke arah Megat Haider.
Kakinya menapak semula ke dalam lif. Pintu lif tertutup.
“Haider, kau ada gambar Ayu Jasmin.”
“Kau nak buat apa?”
“Tunjukkan pada aku.”
Megat Haider membuka telefon
bimbitnya.