Daftar   |      Log Masuk   |   Terlupa password
Home Novel Seram/Misteri PUJA -sekali mengambil selamanya bertuan...
PUJA -sekali mengambil selamanya bertuan...
Maria Kajiwa
3/9/2013 11:35:10
20,567
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Bab 12

Sementara itu di Batu Silak…

DI DALAM sebuah lubang berbentuk empat segi seperti lubang kubur, seorang lelaki baru sahaja mencelikkan matanya. Pertapaannya untuk malam yang keempat sudah selesai. Ada lagi tiga malam sebelum malam yang dinanti-nantikan itu tiba.

Perlahan-lahan dia bangkit, meninggalkan timbunan najis kelawar yang menimbus seluruh tubuh bogelnya sejak malam berlabuh. Dia bangun dan keluar dari lubang itu. Kini dia bergerak ke hadapan sebuah batu yang berbentuk seperti meja empat segi berwarna kehitaman.

Dia pijak batu itu lalu bersila di atasnya. Dia memejamkan matanya semula sambil membaca mentera yang diturunkan oleh ayahnya dahulu kepada dia selaku pewaris ilmu puja. Semua yang telah dihafal sejak berusia lima tahun, dibaca dengan lancar dan penuh khusyuk. Itulah kali pertama, dia bertanggungjawab memuja puaka Batu Silak. Dia tidak mahu melakukan kesilapan.

Apa yang belum cukup, ialah tiga nyawa untuk dipersembahkan. Dan dia yakin tiga malam lagi selepas upacara pertapaan dan memuja itu selesai, segalanya akan beres.

Khairul terus berada di atas batu itu dan di suatu sudut pula, sesusuk orang tua sedang merenung tajam ke arahnya. Malam kian larut.

*****

22 tahun yang lalu..

DENGAN muka masam, Khairul bertegas untuk duduk sahaja di dalam kereta. Dia tidak mahu turun. Malah tidak mahu ke tempat itu. Dia tidak suka.

“Turun!” paksa ayahnya yang telah membuka pintu kereta luas-luas.

Dia menggeleng.

“Turun! Sampai bila nak jadi penakut macam ni?” Ayahnya mencerlung tajam tetapi dia diam sahaja.

“Tak nak, abah!” Khairul menolak tangan ayahnya apabila lengannya ditarik dengan kuat. Sayangnya pegangan ayahnya mengalahkan gari besi. Dia berpaut pada apa sahaja yang boleh dicapai namun kudrat seorang budak kecil sepertinya tidak sekuat mana. Akhirnya pegangan tangannya terlepas.

Lalu tubuhnya dihela tanpa belas kasihan, ke sebuah kubur lama. Tidak jauh dari Batu Silak.

“Tak nak!” Dia berundur ke belakang apabila melihat kuburan lama itu dipenuhi dengan tulang-temulang yang pelbagai rupa. Ada pula mayat tanpa kepala yang sedang mereput. Dia mahu muntah. Lutut kecilnya menggigil.

“Masuk!” tengking ayahnya lagi sambil memegang tangannya kuat-kuat.

Air matanya berjuraian turun. Sungguhpun dia menyayangi ayahnya namun arahan itu amat berat untuk dipatuhi. Dia berundur makin jauh sayangnya tangannya direntap kuat sekali lagi dan belum sempat dia berfikir, tubuhnya ditolak masuk ke dalam kubur itu.

Dia tersungkur jatuh dan kemudian menggelupur apabila menyedari yang dia terjatuh di atas mayat tanpa kepala. Dia bingkas bangkit.

“Abah! Tolong, abah!” Dia mendongak ke atas. Dia hulurkan tangan meminta bantuan. Tetapi sayang, ayahnya hanya memandang tanpa perasaan.

Kemudian dia terlihat sesuatu yang membuatkan matanya tidak berkelip. Di sebelah ayahnya berdiri seorang lelaki tua yang tidak pernah dilihat sebelum ini.

Dia tergamam kerana lelaki tua itu amat hodoh dan mengerikan rupanya. Wajah lelaki itu hampir tiada kerana dihurung ulat yang berjerembik hampir memenuhi keseluruhan muka. Darah pula meleleh-leleh dari segenap rongga yang ada.

Ketakutannya bertambah.

“Abah!” Dia melaung lagi. Dia melingas mencari jalan untuk memanjat ke atas semula namun setiap apa yang cuba dicapai bagaikan reput sehingga dia gagal berpaut.

“Abah! Tolong! Tolong, abah!” Jeritannya bersulam tangis. Gerun hatinya apabila terpijak tulang-temulang di bawah kakinya. Namun panggilannya hanya dipandang sepi. Ayahnya tetap pergi meninggalkan dia di situ tanpa sebarang pesan.

Dia terduduk sendiri. Tidak percaya.

Dia mahu atau tidak, masa terus bergerak laju. Senja makin lama makin tua. Malam melabuh tirai dan kegelapan mula membungkus setiap inci kawasan itu. Suara-suara haiwan makin keras. Bayangan-bayangan ngeri makin jelas.

Dia masih di situ.

Tergigil-gigil ketakutan apabila mula merasakan dia bukan lagi berseorangan. Dalam bias cahaya bulan yang mencuri masuk melalui dedaun pokok, dia dapat melihat seorang tua yang berwajah hodoh duduk mencangkung di sudut lubang sedang melahap sesuatu. Sesekali menderam. Sesekali memandang tajam ke arahnya.

Apabila diperhati elok-elok, sedarlah dia lelaki tua itu sedang mengunyah badan manusia yang tidak berkepala. Dia menjerit nyaring lalu pengsan.

Keesokan paginya, dia tersedar apabila pipinya terasa hangat ditujah cahaya matahari. Apabila dia membuka mata, dilihat ayahnya sedang merenung wajahnya dari atas. Dia hanya terkelip-kelip tidak tahu apa yang mahu diharapkan tetapi dia berasa lega kerana orang tua hodoh yang dilihatnya malam tadi sudah tidak ada.

Tanpa disangka, ayahnya menghulurkan sebatang kayu yang yang sudah ditakuk-takuk ke dalam lubang kubur.

“Naik!” perintah ayahnya.

Lalu tanpa berfikir panjang, dia memanjat kayu itu sampailah ke atas dan keluar dari lubang kubur itu.

“Sekarang kamu tak takut lagi, kan?” tanya ayahnya sambil merenung tepat ke dalam matanya.

Dia menarik nafas lega. Memang pada waktu itu dirasakan segenap perasaannya telah berubah. Dia rasa sebati dengan tempat itu. Serasi dengan tanah. Serasi dengan seluruh ruang lingkup yang berbeza. Dia rasa lebih kuat. Dia rasa lebih hebat.

Sejak itu dia tidak menolak lagi kalau diajak masuk ke dalam Batu Silak.

*****

Lima belas tahun selepas kejadian itu…

“Baliklah, abah tenat,” kata Khairul melalui telefon. Pada waktu itu dia hanya mengharapkan adik-adiknya dapat balik sekejap menjenguk wajah ayahnya bersama ibu mereka.

“Kami tak mahu balik. Abang ajelah yang uruskan ayah tu,” balas adik Khairul yang bongsu. Mereka cuma tiga beradik. Kesemuanya lelaki dan Khairul anak yang sulung.

“Tapi abah nak jumpa kamu. Abah nak jumpa mak. Bawa mak balik. Tolonglah,” jawab Khairul. Dalam keadaan begitu, dia mengharapkan agar adik-adik dan ibunya berlembut sedikit. Dia tahu daripada keadaan ayahnya yang sakit tenat itu, umur ayahnya sudah tidak panjang. Apatah lagi setiap siang dan malam ayahnya menangis tidak henti-henti. Hatinya jadi susah.

“Tak ada gunanya kami jumpa abah. Lagipun kami takut, nanti puaka tu pergi pulak dekat kami. Kami tak nak terbabit dengan benda syirik tu. Abang ajelah ambil. Kan abang sama aje dengan abah?”

“Sekurang-kurangnya baliklah sekejap jenguk abah. Abah dah tenat. Abah menangis tak henti-henti kau orang tahu tak?” Suara Khairul mula meninggi. Dia ketepikan segala kata-kata yang melukakan hati.

Dalam saat seperti itu dia benar-benar berasa keseorangan. Sememangnya hidup dia dan ayahnya penuh rahsia. Mereka tidak bercampur atau berkawan dengan ramai orang kerana takut rahsia mereka diketahui. Apatah lagi mereka hidup tidak seperti orang Islam. Mereka tidak bersolat. Masjid adalah kawasan larangan. Azan pula bagai api yang boleh mendidihkan darah. Mereka terpaksa hidup jauh dari semua itu dan keluar hanya apabila benar-benar perlu.

“Abah tu menangis bukan ingatkan kami. Itu puaka yang menangis sebab tak nak berpisah dengan abah. Saya rasa lebih baik abang panggil ustaz yang boleh menolong abah lepas dari puaka tu. Kalau tak, susah abah tu nak mati.”

Khairul baling telefon ke dinding. Kalau adik-adik dan ibunya tidak mahu balik juga ke situ, dia sudah tidak peduli. Kalau mereka tidak lagi mempedulikan dirinya, dia juga begitu. Selama ini pun hanya dia yang tinggal bersama ayahnya. Susah pening orang tua itu, hanya dia yang tahu. Ibu dan adik-adiknya sudah lama menjauhkan diri kerana mereka kata apa yang dibawa oleh ayahnya tidak betul. Namun pada dia, ayahnya cukup hebat.

Tanpa dia tahu, adik-adiknya telah mengadakan solat hajat dan memanggil ustaz yang tahu hal-hal sebegitu. Genap tiga hari tiga malam, ayahnya meraung dan menggelupur kesakitan, ayahnya menghembuskan nafas terakhir.

Pada waktu itu dia melihat tubuh ayahnya sudah mereput bagaikan sudah lama mati. Bahagian muka ayahnya terus sahaja dihurung ulat-ulat yang kelaparan. Melahap dan memamah setiap inci daging yang ada dengan rakus. Nanah dan darah meleleh dari mata, hidung, mulut dan kerongkong yang melopong. Sehinggakan muka ayahnya tidak berwajah lagi. Persis seperti orang tua yang pernah dilihat mendampingi ayahnya suatu ketika dahulu. Bahkan setelah ayahnya dikebumikan pun, bilik tidur ayahnya tetap berbau busuk dan hanyir selama berbulan-bulan.

Namun kerana rasa marah yang menggunung kepada adik-adik dan ibunya, sedikit pun hal itu tidak membuatkan dia sedar atau insaf. Malah dia percaya merekalah yang telah menyebabkan ayahnya mati.

Lalu dia bersumpah, ilmu puja yang menjadi warisan Tok Siang Waki itu akan tetap dipertahankan sampai bila-bila. Ilmu puja itu akan diteruskan dan diwariskan kepada anak dan cucu cicitnya pula. Dan dia yakin satu hari nanti adik-adiknya akan melutut ke kakinya juga apabila hidup susah dan jadi papa kedana.

Dia akan tunggu masa itu tiba. Baru semuanya tahu siapa dia.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.