Home Novel Seram/Misteri PUJA -sekali mengambil selamanya bertuan...
PUJA -sekali mengambil selamanya bertuan...
Maria Kajiwa
3/9/2013 11:35:10
65,425
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Bab 5

Bab 5

Di Bandar Dagang

KHAIRUL memandang satu persatu wajah tua yang duduk di hadapannya. Wajah-wajah penuh harapan. Wajah-wajah yang sarat rasa gembira yang membuak-buak. Wajah-wajah yang penuh dengan pelbagai angan-angan dan rancangan. Dia faham apa yang mereka rasa.

“Ini cek untuk kerja kenduri tu.”

Dia langsung menolak sekeping cek yang telah siap ditandatanganinya sebelum perjumpaan yang berlaku di bilik mesyuarat Silak Tua Holdings itu bermula tadi. Zaid, selaku peguam syarikat yang duduk di sisinya hanya tersenyum nipis.

Salah seorang daripada tiga orang tua itu terus mengambil cek yang dihulurkan. Kemudian membaca jumlah yang tertera di atasnya. Lantas tersenyum manis.

“Pak Daud dah tetapkan tarikh kendurinya?” tanya Khairul lagi. Pada fikirannya, hal majlislah yang lebih penting untuk dibincangkan. Lagipun duit yang diberikan itu lebih daripada mencukupi.

“Dah ada duit ni, cepatlah kami selesaikan.” Pak Daud terus menjawab. Senyuman di wajahnya masih ada. Dua orang tua yang berada di kiri kanannya turut mengeyakan jawapan Pak Daud.

“Kalau dah ditetapkan, Pak Daud kena beritahu kami tarikhnya. Kami pun nak datang juga melihat,” tambah Khairul. Dia harap Pak Daud faham. Itu tugas dia sebagai penjaga Batu Silak.

“Kami mesti jemput Encik Khairul nanti. Semua orang dalam syarikat ni kami akan jemput,” balas Pak Daud dengan bersungguh-sungguh.

“Farish dah balik ke?”

Air muka Pak Daud berubah. Serta-merta senyuman di wajahnya memudar.

“Belum. Katanya dua tiga hari lagi baru boleh balik. Sekarang dia ada peperiksaan. Selepas tu baru dia bercuti panjang.”

Khairul menyambut jawapan Pak Daud dengan senyuman tawar. “Asalkan dia bersetuju, tak apalah.”

“Takkanlah dia tak setuju?” Pak Daud kembali tersenyum, begitu juga dengan yang lain. Sama-sama tahu apa ertinya semua itu. “Hal keluarga sebelah sana tu pula macam mana? Hari tu ada juga Pak Daud tanya-tanya pasal lembing-lembing tu tapi huh! Mereka tak layan sikit pun.”

“Hal keluarga Tok Abi Wadin tu, Pak Daud jangan bimbang. Kami akan uruskan pasal lembing-lembing adat tu. Sampai masanya nanti, saya sendiri yang akan serahkan ke tangan Pak Daud.”

“Kalau begitu tak apalah.”

“Yang pentingnya, Pak Daud sekeluarga selesaikan apa yang perlu dulu. Selepas itu baru kita semua boleh berkumpul di Batu Silak. Pada masa tu lembing-lembing itu akan diserahkan kepada Pak Daud bertiga sebagai penjaganya yang baru,” tambah Khairul dengan jelas. Dia harap Pak Daud bertenang dan tidak masuk campur hal yang tidak perlu.

“Kalau macam tu tak apalah. Biarlah kami balik dulu. Nanti tutup pulak bank.” Pak Daud terus berdiri. Begitu juga dengan lain-lainnya.

Khairul biarkan sahaja mereka pergi. Lapang dadanya. Selesai satu tugas. Dia lantas menutup fail di hadapannya. Pen diselitkan pada kocek baju. Sekarang dia ada satu tugas lain yang lebih penting daripada itu.

“Nak pergi sekarang ke?” tanya Zaid yang kelam kabut meninggalkan kerusi apabila langkah Khairul sudah sampai ke pintu.

Tanpa sebarang jawapan, Khairul terus menyambung langkahnya. Sudah terbayang apa yang akan menantinya sekejap lagi.

*****

PERJALANAN dari pejabat Silak Tua Holdings ke Batu Silak mengambil masa kira-kira sejam lima belas minit. Batu Silak yang terletak berhampiran sungai itu dipagari pagar setinggi lapan kaki dan dikelilingi pokok durian yang ditanam secara rawak. Kawasan itu juga dikawal oleh dua lapis pengawal keselamatan dan dua ekor anjing Rottweiler yang dibiarkan hidup bebas di sekitar kawasan itu. Pendek kata tempat yang dipanggil Batu Silak itu terkawal rapi.

Khairul melemparkan pandangan ke arah anjing-anjing Rottweiler yang menyalak garang menyambut kedatangannya ke kawasan itu. Sesekali timbul rasa gerun apabila melihat kegarangan anjing-anjing itu yang seolah-olah mahu menyiat-nyiat kulitnya pada bila-bila masa sahaja. Namun dia tidak ada pilihan, dia bimbang jika mahu mengharapkan pengawal keselamatan sahaja. Dia bimbang mereka semua terleka.

Sebaik sahaja kereta yang dipandu Zaid melepasi pintu keselamatan kedua, cepat-cepat pintu pagar itu ditutup semula. Anjing-anjing Rottweiler yang mengejar kereta Zaid tadi hanya mampu menyalak dari luar pagar. Setelah dirasakan keadaan cukup selamat, Khairul dan Zaid membuka pintu kereta hampir serentak.

Tanpa mempedulikan dua orang pengawal keselamatan yang tersenyum dan cuba berbaik-baik dengannya, Khairul terus melajukan langkah ke arah sebuah bangunan setinggi rumah dua tingkat di hadapannya. Dikeluarkannya segugus kunci dari poket seluar. Kunci yang diwarisi daripada keturunannya, keluarga Tok Siang Waki.

Sebaik sahaja kunci pintu masuk utama bangunan itu diputar, Khairul terus menolak daun pintu yang jarang-jarang dibuka itu. Habuk terus berterbangan menyesakkan nafas. Khairul terbatuk-batuk kecil sambil menutup mulutnya.

Tap! Lampu terpasang apabila Zaid menekan suis lampu yang berada di tepi pintu. Hanya setelah ruang kosong yang tadi gelap gelita terang-benderang baru Khairul meneruskan langkahnya semula. Arahnya kini menuju ke sebuah lagi pintu tetapi kali ini pintunya diperbuat daripada besi tahan karat dan dikunci menggunakan kunci sistem elektronik moden yang memerlukan sebaris kod lapan angka.

Setelah memasukkan kod yang sudah dihafal di dalam kepalanya, Khairul menunggu sehingga pintu di hadapannya terbuka dengan sendiri. Hanya selepas itu, dia dan Zaid melangkah masuk ke dalam ruang yang sentiasa dilimpahi cahaya lampu neon 24 jam. Sebuah batu besar yang hampir mencecah siling menunggu mereka.

“Tak nak masuk?” tanya Khairul apabila sudah sampai ke hadapan batu besar itu. Batu itulah yang dipanggil Batu Silak oleh generasi mereka dahulu. Di hadapannya ada sebuah pintu kecil yang muat untuk seorang memasukkinya.

Zaid terus menggeleng. Beg hitam yang dibawanya tadi dihulurkan kepada Khairul. Beg bertukar tangan. Dia beralih jauh dari pintu gua.

Khairul tidak berasa hairan dengan sikap Zaid. Walaupun sejak remaja lagi Zaid menemaninya ke situ, belum sekali Zaid melangkah masuk ke dalam Batu Silak. Dipaksa bagaimanapun, Zaid tetap menolak. Oleh itu ditinggalkan Zaid berseorangan di luar, dia melangkah masuk dengan tenang.

Setelah hampir lima belas minit, dia keluar sambil membawa keluar beg hitam yang kini bertambah berat.

“Dah?” tanya Zaid yang sentiasa resah gelisah semasa berada di situ. Badannya berpeluh-peluh.

Khairul angguk. Beg diserahkan semula kepada Zaid. Zaid pula mengangkat beg yang berat itu keluar dari situ.

*****

SELEPAS melepasi pos keselamatan yang pertama, kereta dipandu laju oleh Zaid. Mereka menuju semula ke arah bandar, mencari sebuah bank. Begitulah rutin mereka sebulan sekali.

“Tak nak tanya?” Khairul tersenyum sinis.

Melihat muka Zaid yang masih berpeluh itu dia tahu perasaan takut dan cuak Zaid masih belum hilang walaupun mereka berdua sudah kembali berada di jalan raya. Begitulah Zaid setiap kali menemankan dia ke situ. Dia bosan sungguh. Perkara seperti itu pun hendak takut. Lelaki ke apa dia ni? Cemuh Khairul dalam hati.

Zaid terus menggeleng.

Melihatkan respons Zaid, Khairul terus menakut-nakutkan. “Kalau aku mati, siapa nak ganti tempat aku? Engkaulah.”

“Tak nak aku,” balas Zaid dengan pantas. “Engkau kahwinlah cepat. Cepat dapat anak, cepat engkau boleh ajar dia kerja engkau tu. Aku… payah sikit.”

“Apa yang engkau takutkan? Bukannya ada apa-apa dalam gua tu. Tak ada apa,” pujuk Khairul.

Apa pun kata Khairul, Zaid tetap menggeleng keras.

“Tak nak!”

Gelak Khairul makin kuat. Dia menepuk lembut pehanya, lucu sekali dia melihat Zaid yang berbadan lebih besar daripadanya namun lebih penakut.

“Aku dulu pun macam engkau juga. Sejak aku berumur tujuh tahun sampailah aku berumur 12 tahun. Puas ayah aku pujuk. Aku tetap tak nak.”

“Kenapa engkau tak nak masuk?” Zaid toleh ke arah Khairul sekilas.

Khairul tidak terus menjawab. Dia termenung sambil cuba mengingati kisah masa lampau. Pada waktu itu bangunan yang menyembunyikan Batu Silak itu tidak secanggih itu. Pintu-pintunya hanya dibina daripada kayu jati. Dia yang telah menukar pintu tersebut dan memasang pagar kawalan keselamatan dua lapis. Dia tahu apa yang ada di dalam batu hitam itu amat besar nilainya pada zaman sekarang dan akan terus meningkat seiring zaman.

“Cakaplah kenapa engkau tak masuk pada masa tu? Takut?” desak Zaid apabila Khairul masih tidak menjawab pertanyaannya.

“Entahlah, hati aku rasa berat nak masuk. Aku rasa seram sejuk aje kalau ayah bawa aku ke situ macam ada mata besar yang merenung. Macam ada benda yang bila-bila masa aje nak menerkam dan menggigit leher aku,” jelas Khairul perlahan-lahan.

“Habis tu? Kenapa engkau boleh masuk pula?”

Khairul terdiam lagi. Biarlah kenangan silam itu menjadi rahsianya seorang diri. Sampai masanya nanti, dia juga akan melakukan hal yang sama kepada anak sulungnya yang bakal mewarisi tugas dan tanggungjawab itu. Walaupun apa yang dilakukan itu mungkin sangat jijik dan kejam.


Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.